Khamis, 22 November 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


KDN: Harga kamera perangkap had laju meliputi latihan, selenggara dan jaminan

Posted: 22 Nov 2012 02:28 AM PST

KUALA LUMPUR, 22 Nov —Datuk Abu Seman Yusop menjelaskan perbezaan pembelian kamera perangkap laju Model Laser Digicam dan Model Laser Trucam yang dibeli Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada tahun 1995 dibuat secara tender terbuka.

Timbalan Menteri Dalam Negeri itu turut berkata wujudnya perbezaan harga yang dibeli kerajaan Malaysia dengan harga di luar negara juga disebabkan ianya meliputi kos latihan yang dilaksanakan pembekal, kos penyelenggaraan, termasuk juga dua tahun jaminan.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan dengan terperinci nama syarikat yang membekalkan kamera berkenaan.

"Perbezaan harga wujud antara  kita (Malaysia) dengan US (Amerika Syarikat) kerana mereka adalah pengeluar, sementara kita bawa kamera itu dari luar negara.

"Ada elemen latihan yang dibuat oleh pembekal kepada PDRM, penyelenggaraan, dan jaminan selama dua tahun.

"Jadi kita tak boleh bezakan kemudahan dapat di sana (AS)," katanya semasa sesi penggulungan di Dewan Rakyat hari ini, dan menambah, "kita juga buat secara tender terbuka."

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan wujudnya perbezaan ketara antara harga kedua-dua kamera tersebut dan menegaskan, berdasarkan harga pasaran semasa kedua-dua model kamera perangkap laju tersebut, hanyalah antara USD5000 untuk model Laser Trucam dan USD6000 untuk model Laser Digicam.

"Sekiranya terdapat perbezaan jenama sekalipun, takkan sampai begitu tinggi harga yang dibayar kerajaan," soalnya ketika sidang media di lobi Parlimen sebelum sesi penggulungan itu bermula.

Dalam jawapan bertulis Datuk Seri Hishamuddin Hussein  di Parlimen sebelum ini, beliau menjelaskan pihak polis mempunyai 124 unit kamera perangkap laju yang bernilai RM23,500,125.  

"... sejak 1995, PDRM telah dibekalkan dengan kamera perangkap had laju secara berperingkat. Sehingga kini, jumlah keseluruhan kamera tersebut adalah sebanyak 124 unit.
 
"Harga bagi setiap unit adalah seperti berikut;
a. Model Laser Digicam berjumlah 85 unit dengan harga RM173,925.00 seunit; dan

b. Model Laser Trucam berjumlah 39 unit dengan harga RM223,500.00 seunit," katanya dalam jawapan bertulis tersebut menjawab soalan Ahli Parlimen Jerai Mohd Firdaus Jaafar berkenaan keseluruhan unit kamera perangkap laju yang dimiliki pihak berkuasa tersebut dan harga setiap satu daripadanya.

Mahfuz turut mengemukakan dokumen pembelian kedua-dua jenis kamera tersebut daripada negeri Idaho, Montana, dan Delaware di Amerika Syarikat yang bertarikh antara Oktober 2011 hingga Januari 2012 yang menunjukkan harga sebenar kamera tersebut lebih murah.

Kerajaan juga telah mencadangkan pelaksanaan kamera Sistem Penguatkuasa Automatik (AES), yang menimbulkan kontroversi untuk menangkap pemandu yang memandu melebihi had laju dan melanggar isyarat lampu merah.

Kamera AES, kini di peringkat percubaan dengan 14 daripadanya dipasang di Perak, Kuala Lumpur, Selangor, dan Putrajaya.

Abu Seman juga sebelum ini berkata polis akan meneruskan penggunaan kamera had laju mobil disamping penggunaan AES.

831 unit kamera AES akan dipasang dua syarikat swasta dan operasinya akan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam tempoh lima tahun.

Rogol di balai polis isu terpencil, kata KDN

Posted: 22 Nov 2012 01:39 AM PST

KUALA LUMPUR, 22 Nov — Kementerian Dalam Negeri (KDN) melihat kes kejadian rogol wanita warga asing di Balai Polis Prai adalah isu terpencil.

Timbalan menterinya, Datuk Abu Seman ketika sesi penggulungan kementeriannya berkata, ia hanya berlaku segelintir sahaja, bagaimanapun menegaskan PDRM memandang serius terhadap perkara itu.

"Ia hanya berlaku dalam segelintir sahaja ... ia isu terpencil.

"Tetapi PDRM memandang serius itu, dan anggota polis yang terlibat telah pun didakwa," katanya lagi.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu turut menggesa agar pasukan keselamatan itu tidak dipersalahkan atas kesalahan segelintir pihak polis yang tidak bertanggungjawab.

"Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga ... Ahli Yang Berhormat perlu ingat, dalam setandan pisang tidak semuanya elok," katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Puchong, Gobin Singh Deo di Dewan Rakyat petang tadi.

Abu Seman turut berkata, setakat ini, sejumlah 384 balai polis di negara ini sudah dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) sehingga 2012 dan berada dalam keadaan baik.

Sebelum ini, seorang wanita pekerja kedai makan warga Indonesia berusia 25 tahun mendakwa dipaksa melakukan hubungan seks secara bergilir-gilir oleh tiga anggota polis di sebuah balai di Bukit Mertajam selepas menahannya di kawasan Megamall Pulau Pinang kira-kira jam 6.20 pagi ketika sedang menunggu teksi.

Tiga anggota polis berkenaan bagaimanapun telah didakwa di mahkamah.

Susulan kejadian itu, sekumpulan rakyat Indonesia telah mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan Malaysia di Indonesia untuk membantah perlakuan tersebut.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved