Selasa, 27 November 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Umno, parti Melayu yang relevan — Datuk Siti Rahmah Kassim

Posted: 27 Nov 2012 02:12 AM PST

KUALA LUMPUR, 27 Nov — Usia senja 87 tahun tidak menghalang srikandi veteran Umno, Datuk Siti Rahmah Kassim menghadiri perhimpunan agung Umno kali ini, selain masih giat berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Berpegang kepada prinsip hidup "selagi hayat dikandung badan, selagi kesihatan mengizinkan, selagi tenaga membolehkan, selama itu saya berjuang demi agama, bangsa dan negara kerana Allah SWT", semangat perjuangan wanita ini terus kental.

Bagi Siti Rahmah, insan pertama menyerahkan gelang emas kesayangan pemberian bapanya untuk membiayai perjalanan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke London dalam misi menuntut kemerdekaan semata-mata kerana perjuangan bangsa, Umno baginya adalah 'dulu, kini dan selama-lamanya' di hati.

Perjuangan Umno tiada noktah dan inilah institusi politik Melayu yang relevan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara, katanya tegas.

Ditemui penulis di Pusat Dagangan Dunia Putra ketika menghadiri Forum Antarabangsa Umno yang berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini, jelas terpancar di sebalik garisan mamahan usia pada wajahnya, bahawa hanya Umno boleh terus membela dan mempertahan nasib Melayu serta tunjang Barisan Nasional (BN) untuk  memacu negara ke arah kecemerlangan.

"Umno lah sebuah parti politik yang betul-betul berani berhadapan dengan  kerajaan British, menyuarakan keinginan negara untuk merdeka. Barisan (Nasional) telah berkuasa 55 tahun, negara membangun, universiti bertambah, anak-anak kita ramai yang lulus daripada universiti," katanya penuh bersemangat.

Masih cergas menabur bakti kepada masyarakat sambil diiringi seorang pembantu, Siti Rahmah menceburi politik seawal usia 19 tahun dan merupakan wanita pertama bertanding dalam pilihan raya pada 1959.

Beliau yang pernah menjadi Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Negeri Sembilan masih aktif dan menjadi anggota Perkim. Jawatan lain yang pernah disandang ialah Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Negeri Sembilan dan Timbalan Presiden Majlis Ibu Tunggal Malaysia.

Cinta Siti Rahmah yang amat mendalam terhadap agama, bangsa dan negara membuatkan beliau sanggup menyertai forum antarabangsa Umno kali ketiga yang bertema 'Konflik dan Pendamaian Dalam Politik Rakyat - Menoleh ke Belakang atau Memandang ke Hadapan?' sempena Persidangan Agung Umno 2012 di sini.

Anak jati kelahiran Rembau, Negeri Sembilan ini yang telah bersama-sama orang Melayu lain menentang Malayan Union, berkata anggota Umno mesti yakin kepada organisasi yang dianggotai dan terus setia bersama-sama berjuang bersama pemimpin parti.

"Cuma pengikut yang di bawah ni, kita perlu setia. Jangan hari ini kita masuk Umno, esok orang datang cakap Parti Negara (sebagai contoh) elok, kita masuk pulak. Tak boleh," katanya.

Ditanya bagaimana beliau melihat barisan kepimpinan negara di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Siti Rahmah berkata: "Saya berpendapat pemimpin pada hari ini mempunyai semangat wira negara. Mereka mewarisi sikap-sikap pemimpin yang terdahulu."

Beliau berpendapat kepimpinan negara yang diteraju Najib serta di peringkat lain menjalankan tugas dengan penuh bertanggungjawab.

Berdasarkan pemerhatiannya, pembangkang ketika ini hanya menimbulkan isu untuk menarik perhatian rakyat.

"Cuma pembangkang ni, umpama memukul tin kosong. Bila dia pukul tin kosong pun, orang datang tengok. Jadi orang tak mengkaji apa peranan dia dan apa kejayaan dia. Kenapa kita mesti percaya?, katanya.

Siti Rahmah berkata tiada sebab kukuh untuk mana-mana pihak menukar dan menubuhkan sebuah kerajaan baru semata-mata atas nama demokrasi.

"Pembangkang memang itu sifatnya. Kalau mereka tidak menyalahkan kerajaan apa lagi modal mereka," katanya sinis. — Bernama

Generasi muda tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar — Khairy

Posted: 27 Nov 2012 02:10 AM PST

KUALA LUMPUR, 27 Nov —  Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (gambar) yakin generasi muda di negara ini tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar terutama pihak yang mahu menggulingkan kerajaan.

Beliau berkata ini kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi ruang yang cukup kepada orang muda untuk menyampaikan pandangan termasuk menerusi anggota Parlimen.

"...zaman kerajaan tahu segalanya sudah kita tamatkan, kita 'engage' generasi muda selami jiwa mereka itu dan buat segalanya untuk mereka," katanya kepada Bernama, di sini.

Anggota Parlimen Rembau itu berkata hasil inisiatif kerajaan mendekati mereka, sokongan golongan muda kepada BN kini semakin kukuh.

Selain itu tegasnya proses demokrasi di negara ini juga lebih baik berbanding di beberapa negara yang menyaksikan rakyatnya bangkit menggulingkan kerajaan.

Beliau berkata usaha kerajaan memperkasa generasi muda dapat dilihat menerusi Belanjawan 2013 dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, antaranya menyediakan peruntukan khas bagi latihan kemahiran belia.

"Pindaan Akta Universiti Kolej (AUKU) yang membolehkan mahasiswa berpolitik juga merupakan antara usaha kita memperkasa generasi muda. Ada kata takut kampus kucar-kacir jika perkara ini dilaksana.

"Tetapi sudah lebih setahun pindaan ini terlaksana, tiada kucar-kacir yang berlaku malah suara mahasiswa semakin lantang berusaha memajukan negara. Percayalah kepada kami, kami orang muda, mahu dan akan menjadikan negara ini yang terbaik di dunia," katanya. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved