Jumaat, 9 November 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


SIS: Kebebasan beragama termasuk menukar agama

Posted: 09 Nov 2012 02:55 AM PST

KUALA LUMPUR, 9 Nov — Kebebasan beragama mestilah termasuk untuk menukar agama, kata badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan wanita Muslim berikutan kenyataan Nurul Izzah Anwar dalam isu ini.

Dalam kenyataan medianya, Sisters In Islam (SIS) bertanya bagaimana Muslim menuntut kebebasan, yang mahu menarik lebih ramai orang bukan Islam untuk memasuki agama itu tetapi dalam masa sama tidak membenarkan penganutnya keluar dari agama tersebut.

"Kepercayaan berdasarkan paksaan akan jadi hipokrit," menurut SIS dalam kenyataan medianya.

Pengarah program SIS, Suri Kempe menerangkan bahawa NGO tersebut tidak menggalakkan umat Islam untuk murtad, sebaliknya memperjuangkan kebebasan meninggalkan agama bagi mereka yang tidak lagi mempercayainya.

"Islam bukanlah agama jalan sehala," kata Suri.

Kenyataan naib presiden PKR, dalam forum berkenaan dengan isu negara Islam di Subang Jaya Sabtu lalu telah menyebabkan beliau diserang oleh pemimpin agama dan pemimpin Umno dengan mengatakan beliau menggalakkan murtad.

Nurul Izzah telah membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menjelaskan perkara tersebut dan akan mengambil tindakan ke atas akhbar yang dimiliki Umno, Utusan Malaysia, Berita Harian dan beberapa blog kerana memutarbelitkan kenyataannya.

Murtad dan kebebasan beragama adalah isu sensitif di Malaysia, di mana Melayu — yang mewakili 60 peratus dari 28 juta penduduk — dari segi Perlembagaan adalah Muslim.

Sementara kebebasan untuk beragama adalah dijamin bagi bukan Muslim di bawah Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan, semua orang Melayu adalah Muslim di bawah undang-undang.

Undang-undang Islam melarang Muslim dari keluar dari agama tersebut dan undang-undang syariah negara ini telah memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengenakan hukuman kepada golongan murtad.

Dengan mempunyai dua sistem perundangan syariah dan persekutuan, ianya sering mencetus kontroversi dalam kebebasan beragama di bawah artikel 11 apabila orang Muslim cuba untuk keluar dari agamanya.

Ini boleh dilihat dalam kes Lina Joy (Azalina Jailani), Revathi Massosai dan Nyonya Tahir (Wong Ah Kiu).

Ahmad minta Bukit Aman tubuh jawatankuasa siasat polis salah guna kuasa

Posted: 09 Nov 2012 02:30 AM PST

Ahmad Abdul Jalil bersama laporan polis yang dibuat hari ini bersama peguamnya Fadiah Nadwa Fikri. — Gambar oleh Siow Feng Saw.

PETALING JAYA, 9 Nov — Juruukur bahan yang didakwa menghina Sultan Johor di laman Facebook hari ini membuat laporan polis menggesa satu siasatan dijalankan terhadap pihak polis yang bertanggungjawab dalam siasatan terhadapnya kerana dakwanya telah menyalahgunakan kuasa mereka.

Ahmad Abdul Jalil, 27  yang ditemani keluarganya, beserta peguam hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 3.30 petang hari ini turut meminta Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi tujuan tersebut dan juga demi keselematan dirinya dan keluarga.

"Ahmad menuntut pihak polis menyiasat anggota mereka yang terlibat dalam kes ini telah menyalahgunakan kuasa mereka apabila menggeledah rumah keluarganya tanpa waran serta tidak memberikan hak kepadanya untuk berjumpa peguam dan keluarga.

"Kami (juga) meminta Bukit Aman untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi memastikan keselamatan Ahmad dan keluarganya terjamin," kata peguam yang mewakili Ahmad, Fadiah Nadwa Fikri.

Sementara itu, Ahmad ketika sidang media selepas laporan polis itu dibuat berkata, dirinya mengalami tekanan emosi akibat tindakan pihak polis semasa sesi soal siasat, di samping tidak memberi kebenaran kepadanya untuk bertemu keluarga dan peguamnya.

"Saya tiada niat untuk tarik perhatian umum ... (tetapi) ketika ditahan, saya tidak diberikan hak untuk jumpa peguam dan keluarga.

"Tuduhan mereka juga tidak berasas ... bukan saya yang lakukan perkara itu (hina Sultan Johor) ... saya bukan penjenayah," kata Ahmad kepada pemberita.

Beliau juga meminta pihak polis diberikan kebebasan untuk menyiasat kes ini dan mengambil berat terhadap keselamatan dirinya.

"Bukit Aman perlu siasat dan ambil berat kes ini ... dan perlu diberikan kebebasan untuk menyiasat kes ini," katanya lagi.

Ahmad semalam telah didakwa di Mahkamah Johor Baru atas dua pertuduhan, masing-masing di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di atas dakwaan menghina Sultan Johor di laman Facebook.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah, dan telah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Sebutan bagi kes ini akan didengar pada 28 November 2012 di Mahkamah Sesyen Jenayah 2 Johor Bahru.

Beliau sebelum ini telah ditahan di pejabatnya di Cheras, sebelum di bawa ke Johor oleh pihak polis.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved