Ahad, 18 November 2012

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Tolak katak politik

Posted: 17 Nov 2012 04:15 PM PST

18 NOV — Penulis pernah terserempak dengan seekor katak ketika melalui sebuah kawasan paya tidak beberapa lama dahulu.

Wajahnya cukup hodoh manakala saiz badan katak itu pula agak luar biasa berbanding katak biasa.

Kelihatan ketika itu, katak tersebut sedang menunggu untuk memerangkap mangsa.

Mujur, katak tersebut tidak merasa terancam dengan kehadiran penulis di kawasan berkenaan. Malahan, katak itu seolah-olah reda dengan kehadiran penulis.

Haiwan yang tergolong dalam keluarga amfibia itu mungkin tidak sehebat harimau bintang mahupun seekor cheetah…namun sekurang-kurangnya ianya mampu berdiri sama tinggi sebagai seekor haiwan yang digeruni…tidak seperti segelintir katak-katak lain yang tidak bermaruah dan berintegriti.

Katak yang dimaksudkan penulis merujuk kepada katak politik yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini. Katak-katak politik ini nampaknya lebih rela menghambakan diri mereka dengan elemen kekayaan, kuasa dan pengaruh bagi meningkatkan mobiliti sosial.

Mereka juga tidak mempunyai rasa malu di atas tindakannya sebaliknya percaya ianya adalah cara terbaik untuk mencipta kejayaan. Soal prinsip dan ketepatan pada janji hanyalah retorik semata-mata.

Apabila Ahli Dewan Undangan Negeri Jelapang, Datuk Hew Yit Foong mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan kerusi berkenaan di bawah tiket BN, ianya bukan sesuatu yang mengejutkan. Sebagai seorang pemimpin politik, godaan untuk melepaskan jawatan dan pangkat terlalu sukar untuk dilakukan.

Cumanya, apa yang mengejutkan ialah keberanian ADUN Jelapang itu untuk meminta bertanding di kawasan terbabit di bawah tiket BN. Apakah hak YB Yit Foong untuk menuntut supaya membenarkan beliau bertanding di bawah tiket BN?

Malah menurut Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, persoalan untuk membenarkan Yit Foong bertanding di bawah tiket BN tidak pernah dibangkitkan dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

Oleh itu, dimanakah kewajaran YB Yit Foong untuk menuntut hak sedemikian? Yit Foong perlu ingat bahawa dirinya sudah pun mengkhianati mandat dan kepercayaan  yang diberikan rakyat pada PRU 2008 lalu dengan berpaling tadah menjadi wakil rakyat Bebas.

Beliau juga harus berpijak pada bumi nyata dan menerima hakikat bahawa imejnya sebagai seorang figura awam sudah pun tercalar ekoran tindakan itu. Tuntutan  untuk bertanding di Jelapang di bawah tiket BN seolah-olah memberi gambaran Yit Foong sedang cuba mendapatkan "political bargaining" dan menggambarkan dirinya seorang calon yang boleh menang.

Mujurlah Soi Lek tidak termakan dengan  hujah tersebut. Soi Lek dilihat mengambil pendekatan berhati-hati dalam isu ini kerana sebarang salah langkah akan mengundang padah yang serius.

Jelas, ianya adalah satu keputusan yang tepat daripada Soi Lek. Tidak ada jaminan kukuh bahawa selepas ini ADUN Jelapang itu tidak akan berubah hati. Sememangnya sukar untuk kita semua menduga tindak-tanduk pemimpin politik. Kebanyakan tindakan berkisar kepada motif politik. Dalam sekelip mata, mereka boleh berubah. Berubah sama ada ke arah kebaikan atau sebaliknya.

Oleh itu, setiap parti politik harus berwaspada dengan kewujudan katak-katak politik yang dimaksudkan. Katak-katak politik ini ibarat barah yang boleh merosakkan reputasi dan nama baik profesion kepolitikan. Sering kali orang ramai melihat politik sebagai sesuatu yang menjijikkan namun apa yang membuatkan politik itu jijik dan kotor ialah si pelakunya.

Kepada parti-parti politik baik di pihak pemerintah mahupun pembangkang, pemimpin-pemimpin politik sebegini tidak seharusnya mendapat tempat. Rakyat pula perlu menghantar mesej jelas dengan menolak katak-katak politik pada PRU akan datang.

Selagi prinsip dan integriti mereka terus dipersoalkan, rakyat mempunyai pilihan untuk memilih pemimpin lain yang lebih bertanggungjawab selaras dengan aspirasi rakyat.

* Pandangan diatas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Nick Drake, untuk hari yang murung

Posted: 17 Nov 2012 03:58 PM PST

18 NOV — Saat saya sedang menulis ini, cuaca di luar jendela begitu gelap dan murung. Mungkin hujan akan turun dengan lebatnya sebentar lagi. Mood yang sebegini datang berserta putaran lagu Nick Drake yang judulnya 'Fruit Tree' berlegar dan bermain-main di minda. Sebiasanya begitulah, cuaca yang murung untuk lagu yang murung.

Nick Drake yang lahir pada 19hb jun 1948 dan meninggal dunia pada 25hb november 1974 dalam usia 26 tahun adalah English folk singer song-writer yang sangat berbakat, murung dan albumnya hanya laku dan diterima peminat setelah kematiannya.

Semudah itu takdir menghukumnya sepertimana gambaran kecewa dan harapan yang tertulis di dalam lagu 'fruit tree'nya. Bahawa lagu dan namanya hanya akan diterima selepas ketiadaannya:

            Fame is but a fruit tree, so very unsound

            It can never flourish, till its stock is in the ground

            So man of fame, can never find away

            Till time has flown, far from their dying day

                                               Fruit Tree — Nick Drake

Saya antara salah seorang pendengar muzik Nick Drake yang tegar. Sebabnya dia memang antara folk singer-songwriter yang terbaik, unik dan original dengan teknik finger picking yang mantap.

Gaya susunan muzik dan lagunya berbunga-bunga atau penggunaan teknik 'broken chord' yang agak complicated kerana tuning gitarnya mengikut seleranya atau 'alternate tuning'. Jika gitar kita menggunakan standard tuning agak sukar juga untuk memainkan lagu-lagu Nick Drake.

Membandingkan gaya penulisan lagu-lagu Nick Drake dengan penyanyi folk kelahiran Kanada Leonard Cohen yang muziknya diterima di Amerika, secara jujur saya akui Cohen lebih menonjol sebagai 'Poet' kerana beliau seorang penulis yang bagus.

Lagunya penuh dengan mood-mood classical dengan melodi yang mudah serta punya nilai komersial yang pop dan tidaklah rumit sangat berbeza jika saya mendengar lagu-lagu Nick Drake.

Seperkara juga Cohen melalui siri karier yang panjang berbanding Drake. Atau mungkin juga kerana saya seorang pemain gitar, maka itu yang membuatkan karya-karya Nick Drake lebih dekat dengan saya. Pun hala tuju mereka ke ruang yang kita kata 'murung' itu sama cuma karya-karya Cohen lebih variasi sifatnya.

Info pertama mengenai Nick Drake saya dapat dari majalah muzik keluaran British VOX pada awal tahun 90an dulu. Saya suka membaca majalah tersebut, salah satu sebabnya ianya murah tak sampai sepuluh ringgit harganya dan kandungannya banyak bercerita tentang muzik yang ada attitude dan real.

Waktu itu kawan saya Joe Kidd (Carburetor Dung) banyak mempengaruhi saya dengan muzik-muzik yang ada elemen punk di dalamnya. Banyak yang saya belajar dari beliau.

Album pertama Nick Drake yang saya dapat adalah album terakhirnya 'Pink Moon' yang diterbitkan pada tahun 1972. Pertama kali mendengar lagu-lagu yang terdapat di dalamnya saya rasa ianya sesuai dengan selera jiwa saya yang waktu itu agak rebel dan pasif dengan persekitaran.

Saya suka imej kejiwaan yang tidak mengada-ngada dan biasanya artis yang real dan jujur adalah artis folk kerana lagu-lagu mereka biasanya akan bercerita tentang alam, diri, kehidupan yang malap dan murung, bulan yang pudar warnanya dan berbagai lagilah.

Cuba kita dengar lagu-lagu Cat Steven, Dylan, Phil Ochs, Iwan Fals, Doel Sumbang, Gombloh, Harry Chapin, Don McLean, Jackson Browne, Leonard Cohen antaranya — Saya percaya kita akan dapat sesuatu dari mereka. Bicara mereka penuh dengan elemen kejujuran, yang bagi saya itu asas yang paling penting dalam berkarya.

Apabila bertemu dan berkenalan dengan penerbit dan pemuzik R.S. Muthi sekitar tahun 2002 di tempat kerja saya di Yamaha Music waktu itu, beliau memiliki semua koleksi album Nick Drake jadi dari situ saya dapat salinan album-album tersebut seperti 'Five Leaves Left' (1969), 'Bryter Layter'(1970) juga 'Pink Moon'(1972)

R.S Murthi adalah penerbit yang menerbitkan album ke tiga saya, 'itu padang...aku di situ' pada tahun 2003 dan album 'Bulan'(2004). Oleh kerana pemahaman dan selera muzik lebih kurang sama, maka mudahlah untuk kami berkolaborasi.

Cuma agak hampa waktu itu kerana tidak ada syarikat rakaman yang berminat untuk mengedarkan album itu kerana tidak cukup komersial kata mereka walaupun album tersebut mendapat kritik yang baik di beberapa akhar Inggeris terutamanya.

Album pertama Nick Drake 'Five Leaves Left' diterbitkan oleh Joe Boyd pada tahun 1969, penerbit yang telah memperkenal dan menerbitkan album Pink Floyd di era Syd Barret untuk album single mereka ' Arnold Layne' pada tahun 1967.

Seterusnya walaupun album itu gagal di pasaran Joe Boyd masih sanggup menerbitkan album 'Bryter Layter' pada tahun 1970 yang jualannya juga gagal menembusi pasaran mainstream. Saya salut atas dedikasi dan kepercayaan Joe Boyd terhadap hasil kerja Nick Drake.

Satu hal yang nyata bagi saya, jika kita mahu menjadi artis yang berjaya kita perlu fokus ke arah itu. Satu hal yang pasti Nick Drake bukanlah satu pakej yang sempurna terutama dari segi attitude nya yang pasif kepada dunia kecuali dunia yang dia sedang gauli. Dia juga seperti manusia biasa yang punya cita-cita untuk berjaya tetapi mengikut acuannya.

Di sini kita harus akui yang nasibnya tidaklah secerah Bob Dylan atau Leonard Cohen. Bukan semua artis dilahirkan untuk menjadi bintang kerana selepas berusaha, itu adalah kerja Tuhan untuk memutuskannya.

Untuk album terakhirnya 'Pink Moon' yang diterbitkan oleh John Wood pada tahun 1972 yang hanya melalui sesi rakaman yang fokus pada gitar dan vokal sahaja, ianya dikira berkesan kerana album itu mendapat kritik yang baik dari media, pun masih gagal menembusi pasaran komersial.

Hanya selepas kematiannya selepas Volkswagen mengambil lagu 'Pink Moon' untuk untuk iklan komersial mereka, selepas seminggu jualan album-album Nick Drake meningkat dari sehari ke sehari sehinggalah ke hari ini.

Seperti lagunya 'I was made to love magic' yang penuh dengan cerita duka, murung dan sunyi, itulah sebahagian dari cerita takdir yang harus kita semua lalui dan percayalah, kehidupan ini hanyalah sebuah permainan takdir dan kita hanya punya dua pilihan, menidak atau menerima.

Jika kita menidakkan takdir maka jadilah kita seperti Nick Drake yang mati dalam keadaan kecewa dan putus asa, jika kita menerima kita akan menganggap inilah namanya 'kehidupan' dan kita sedang menjalani seadanya.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved