Ahad, 25 November 2012

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Bukan PAS, yang gelicir orangnya

Posted: 24 Nov 2012 04:19 PM PST

25 NOV — Telah timbul isu PAS dikatakan tergelincir dari dasar Islamnya dan kepimpinan ulama gara-gara dikatakan setelah ditembusi oleh para parasit.

Justeru itu PAS telah ditohmah mulai leka mengtamakan untuk berkuasa dari memajukan politik  dakwahnya sambil meningkatkan dakwah politiknya.

Tetapi menjelang muktamarnya dari 15 hingga 18 November  2012 nampak adanya gelombang orang yang keluar dari PAS. Yang ada ialah gelombang orang menyertai PAS oleh orang-orang yang bersara dari perkhidmatan kerajaan dan orang-orang Umno yang bersara dari partinya. Antara yang bersara dari Umno itu Tamrin Ghafar Baba dan Tan Sri Kadir Shaik Fadzir. Kadir tidak mendaftar jadi PAS, tetapi hati dan jasadnya sudah bersama PAS.

Mungkin yang dikatakan PAS tergelincir dari pimpinan ulama kerana Mohamad Sabu yang bukan ulama telah mengalahkan dua calon ulama dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden dalam Muktamar sebelum ini.

Ia tidak cukup untuk mengatakan ulama telah dipinggirkan kerana sistem kepimpinan PAS bertunggakkan kepada Majlis Syura Ulama, pimpinan bersama Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Dr. Harun Din. Wibawa Mursyidul Am dan Presidennya yang ulama belum tercabar.

Pemilihan Mohamad Sabu belum menjadikan status kepimpinan ulama terlucut. Seperti Iran, Presidennya boleh ulama dan boleh juga bukan ulama. Pernah bukan ulama menjadi Presiden seperti Bani Sadr, Rajai seorng guru matamatik dan Ahmadenejad sekarang. Ia juga pernah ada Presiden ulama seperti Ayatullah Ali  Khaminae, Hojatul Islam Mashimi Rafsanjani dan Khatami. Tetapi tidak pernah Iran terlucut dari pimpinan ulama.

Dua kerajaan negeri pimpinan PAS sekarang — Kelantan dan Kedah — berMBkan ulama. Benar MB Perak dulu bukan ulama tetapi ia disebab ulama yang berstatus pemimpin kalah dalam pilihanraya.

Adapun kerjasama dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP dibuat mengikutkan lunas siasah syariyah yang diluluskan oleh  Majlis Syura Ulama. Kerjasama politik atau tahaluf siasi sudah PAS jalani sebelum Anwar Ibrahim dipecat dari Umno sejak tahun 1985 menjelang PRU 1986. Uztaz Ibrahim Libya yang terkenal keras itu sebelum terbunuhnya tidak menentang tahaluf itu kerana ia diputuskan mengikut kaerah siasah syariyah.

Politik PAS itu ada turun naiknya, tetapi tidak pernah ia tergelincir dari pejuangan Islamnya. Ketika ia berada dalam kerajaan BN telah merasa sedap dengan nikmat kerajaan, tetapi PAS mengambil langkah sedia  ditendang dari mengikut arahan Hussein Onn dan Dr Mahathir. Ia kembali kepada perjuangan tulinnya.

PAS telah selamat dari tergelincir tetapi dari semasa ke semasa, orang ada yang tergelincir. Hatta dua orang yang pernah menjadi Presidennya tergelincir — Haji Ahmad Fuad dan Dato Asri. Sejak pimpinan Dr. Burhanuddin Alhilmy hinggalah ke zaman Ustaz Haji Abdul Hadi ada yang bertaraf pimpinan tergelincir baik tergelincair dari parti mahupun pemikiran Islam yang dibawa PAS.

Sebagai sebuah parti yang terbuka ia disertai oleh semua lapisan rakyat yang berbagai latarbelakang pendidikan. Maka tidak terlepas ia dari  dibolosi oleh orang yang dikatakan parasid. Tetapi para parasit yang tidak dapat menjadikan dirinya benar-benar PAS, maka satu demi  satu telah gagal menjadi ahli yang baik.

Ada parasid yang melarikan diri dan ada juga yang disuruh lari. Mereka juga tergelincir. Jika jenis itu belum hari, mereka juga akan tergelincir pula.

PAS pernah berkawan dengan Tengku Razaleigh, Rais Yatim dan Datuk Harun Idris. Mereka juga tergelincir. Tetapi PAS tetap seperti ketika ia ditubuhkan dulu.

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Menilai tingkah laku pemimpin politik

Posted: 24 Nov 2012 04:15 PM PST

25 NOV — Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin tidak pernah sunyi daripada kontroversi.

Jika beberapa tahun lalu, beliau mengundang kemarahan kaum wanita di atas komen bocor terhadap Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan, kali ini beliau menggemparkan umum dengan menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang pengguna twitter.

Dakwa beliau, pengguna twitter itu cuba memprovokasinya.

Bagi Bung Moktar, beliau ingin mengajar pengguna twitter itu untuk lebih bersopan-santun dan tidak secara sewenang-wenangnya menyalahgunakan twitter.

Hakikatnya, Bung Moktar merupakan seorang politikus yang berwarna-warni. Pastinya, pentas politik di negara kita secara amnya dan di Parlimen secara khususnya tidak sama tanpa kehadiran beliau.

Kelantangan untuk bersuara membidas pembangkang dan ada kalanya terhadap pemimpin kerajaan menjadikan Bung Moktar cukup istimewa dan sukar diramal.

Suka atau tidak, itulah Bung Moktar yang kita kenali selama ini!

Penulis mengenali Bung Moktar ketika menerbitkan sebuah rancangan bual bicara bersama dengan sebuah stesen radio tempatan. Kesempatan keemasan itu dimanfaatkan penulis untuk mendekati sikap Ahli  Parlimen Kinabatangan itu.

Pada hemat penulis, Ahli Majlis Tertinggi Umno itu merupakan seorang yang peramah dan mudah didekati, tidaklah seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.

Namun, jangan salah faham dengan kenyataan ini. Tidak bermakna penulis menyokong segala tindak-tanduk beliau yang penuh kontroversi itu. Apa yang salah tetap salah dan apa yang betul tetap betul.

Untuk memahami mengapa segelintir pemimpin politik bersikap sedemikian, jawapan cukup mudah. Semua pemimpin politik memerlukan "kontroversi" untuk terus kekal popular dalam pentas politik. Tanpa sebarang kontroversi, maka nama dan popularitinya tidak mungkin akan meletup. Pendek kata, kelangsungan mengatasi segala-galanya.

Akan tetapi, figura awam tetap figura awam. Mereka tidak dapat lari daripada menerima publisiti sama ada yang baik mahupun yang buruk. Oleh itu, kepada mereka yang Ingin menjadi popular sekalipun perlu juga bijak menangani tekanan.

Dalam kes membabitkan Bung Moktar, adalah lebih baik untuk tidak memberikan sebarang reaksi langsung terhadap komen pengguna twitter yang dimaksudkan. Tindakan beliau untuk memberi maklum balas sememangnya dinantikan oleh pengguna twitter berkenaan.

Tanpa disedari, Bung Moktar sebenarnya terjerat dalam perang saraf yang cuba dicetuskan oleh pengguna twitter itu. Berkemungkinan pengguna twitter sememangnya berniat untuk memprovokasi Bung Moktar dengan harapan imejnya di mata rakyat terus tercalar.

Kepada YB Bung, bukankah kesabaran sebahagian daripada iman? Apa perlunya untuk melayan kenyataan-kenyataan daripada pengguna twitter itu? Dalam pentas politik, semuanya berkisar kepada persepsi. Apakah YB benar-benar bersedia untuk menggadaikan imej anda semata-mata untuk menebus kemarahan itu?

Bayangkan jika terdapat 100 orang pengguna twitter yang berkelakuan sedemikian, apakah YB Bung mempunyai masa untuk melayan kerenah mereka? YB Bung perlu sedar bahawa segala tutur kata dan gerak-geri anda diperhatikan.

Dalam suasana politik negara yang masih belum matang sepenuhnya, kehadiran pemimpin politik yang sopan dan "gentleman" amat dialu-alukan. Negara kita memerlukan kehadiran pemimpin politik yang tahu untuk membawa diri ke mana sahaja mereka berada.

Sudah tiba masanya kelakuan dan tindak-tanduk pemimpin yang bercanggah dengan norma-norma yang dibenarkan dalam masyarakat dikikis. Mungkin juga pemimpin-pemimpin politik yang tidak tahu mengawal diri perlu memikirkan satu cara terbaik untuk mengawal kemarahannya.

Pertahankan imej di mata rakyat atau melepaskan geram terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab?

Jawapannya sudah pun ada di hadapan mata kita!

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved