Jumaat, 14 Disember 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Kit Siang seru Pakatan yakinkan pengundi atas pagar untuk bentuk kerajaan

Posted: 14 Dec 2012 03:12 AM PST

Lim berkata PR mempunyai jalan yang masih jauh dalam menuju objektifnya. — Gambar fail

KUALA LUMPUR, 14 Dis ― Dengan tinggal sehari sahaja lagi Kongres Tahunan Ke-16 DAP akan berlangsung di Pulau Pinang, Lim Kit Siang hari ini menyeru agar rakan-rakan parti komponen pembangkang dalam Pakatan Rakyat (PR) supaya komited dalam menarik sokongan empat juta pengundi atas pagar supaya memilih mereka bagi membolehkan pembangkang membentuk kerajaan di Putrajaya ketika Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

"Seandainya kita mahu berjaya melakukan perubahan kerajaan di Putrajaya, kerana kita mesti meyakinkan mereka (pengundi atas pagar) bahawa ketiga-tiga parti PR benar-benar komited untuk mengangkat prinsip-prinsip dan dasar-dasar yang menyatukan kita bersama seperti yang termaktub dalam Common Policy Framework dan Buku Jingga sambil meletak ke tepi sejarah perbezaan ideologi," kata Ketua Parlimen DAP itu hari ini dalam satu kenyataan sempena kongres DAP.

Jelas ahli Parlimen Ipoh Timor itu lagi, PR telah sepakat untuk menyertai pilihan raya kali ini dan membentuk kerajaan di Putrajaya dengan 125 kerusi di Parlimen melalui pembahagian kerusi melalui kadar nisbah 45:40:40 antara PKR, PAS dan DAP.

"PR mempunyai jalan yang masih jauh dalam menuju objektifnya ... memandangkan ketiga-tiga parti komponen mesti memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi lagi berbanding dengan yang telah dimenangi pada tahun 2008 untuk mendapat majoriti 112 kerusi di Parlimen dalam PRU-13.

 "Namun untuk menjadi kerajaan persekutuan yang baik, PR tidak boleh setakat memiliki majoriti mudah dengan lebihan satu kerusi di Parlimen, bahkan mesti mencuba untuk memenangi lebih banyak kerusi majoriti dalam PRU-13.

 "Ini adalah tugas yang payah, malah amat berat, tetapi bukanlah mustahil," katanya.

Beliau turut menyentuh berkenaan isu hubungan antara ketiga-tiga komponen parti PR yang menurutnya "adalah sama setaraf di mana kami menghormati perbezaan pendapat satu sama lain."

"Inilah sebabnya pemimpin DAP telah menyatakan dengan jelas pendirian kami tentang kontroversi salun rambut di Kelantan kepada pimpinan PAS sejak dari mula, walaupun kami tidak mengumumkannya melalui media.

 "Peraturan pemisahan gender di Kelantan yang turut memberi kesan kepada orang bukan Islam adalah kes penting, di mana untuk isu yang serupa DAP dituduh tunduk kepada PAS manakala PAS pula dituduh berkompromi demi menyenangkan hati DAP.

"Tetapi ini tidak cukup untuk mendapatkan sokongan daripada empat juta pengundi atas pagar," tambah pemimpin veteran DAP itu lagi.

 Beliau turut menegaskan, mana-mana komponen parti PR tidak pernah tunduk sesama mereka, sebaliknya mereka mengamalkan prinsip berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira sebarang perbezaan.

"Adalah bohong jika dikatakan pemimpin DAP takut kepada pemimpin PAS, seperti juga jika dikatakan pemimpin PAS takut kepada pemimpin DAP, dan jika dikatakan orang Melayu atau orang Cina akan tertindas di bawah pentadbiran kerajaan PR.

"PKR, PAS dan DAP amat komited untuk berkhidmat demi kebaikan semua rakyat Malaysia, tanpa peduli latar belakang kaum, agama ataupun kawasan," tegasnya.

Kit Siang turut menegaskan, meskipun berlakunya sedikit perbezaan pendapat antara DAP dan PAS, atas semangat demokrasi, mereka mengetepikan perbezaan pendapat tersebut.

"DAP menyokong sebuah negara yang sekular ... PAS pula berada pada pendirian yang sama sekali berbeza tentang hudud.

"Namun kami bersetuju untuk berbeza pendapat demi kemaslahatan demokrasi.

"Asas DAP untuk bekerjasama dengan PAS bukanlah untuk negara Islam atau hudud, tetapi demi prinsip pendemokrasian, kemajmukan, kepelbagaian budaya, hak asasi manusia, hak wanita dan pembangunan negara," katanya.

Beliau turut mengakui, dua pertiga majoriti Parlimen untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) bukanlah suatu perkara yang sukar apabila parti pemerintah itu hanya memerlukan tambahan lapan kerusi sahaja lagi berbanding 140 kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum 2008.

"Biarlah Kongres Kebangsaan DAP ke-16 membunyikan semboyan siapsiaga untuk PR menjadi kerajaan di Putrajaya.

"Rahsia kepada kejayaan kempen 'Seratus Hari Menuju Putrajaya' oleh PR bergantung kepada kemampuan kita untuk memenangi undi empat juta pengundi atas pagar dengan menumpukan kepada isu-isu penting nasional, dan juga kemampuan PR," tambahnya lagi.

Kongres ke-16 DAP yang bakal berlangsung esok adalah kongres terakhir parti politik di negara ini.

DAP juga adalah satu-satunya parti politik yang mengadakan pemilihan parti di ambang pilihan raya, sedangkan parti-parti politik lain telah menangguhkan pemilihan parti sehingga selepas pilihan raya.

Ibrahim Ali nafikan dirinya dan Perkasa rasis, hanya pertahankan perlembagaan

Posted: 14 Dec 2012 01:32 AM PST

Ibrahim mendakwa Perkasa hanya mempertahankan perlembagaan. — Gambar fail

KUALA LUMPUR, 14 Dis — Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menafikan dirinya dan pertubuhan tersebut sebagai rasis kerana mendakwa mereka hanya mempertahankan apa yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Ahli parlimen Pasir Mas itu turut menambah, label rasis itu timbul oleh kerana Perkasa memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputera walaupun ianya termaktub dalam perundangan tertinggi negara semenjak Malaysia mula merdeka pada tahun 1957.

"Saya perjuangkan agenda Melayu dan agenda Bumiputera, mengikut Perlembagaan, saya mempertahankan asas Perlembagaan dan Perkara 153 hak keistimewaan orang Melayu, ada pihak menuntut pada sesuatu perkara yang pada pandangan saya secara tidak langsung bertentangan dengan Perlembagaan, atau tuntutan yang bertentangan dengan dasar-dasar nasional," kata beliau dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian Online.

Tambah Ibrahim, jika benar beliau adalah seorang rasis, mengapa sepanjang beliau menjadi pemimpin semenjak 1986 sehingga menjawat jawatan timbalan menteri, beliau tidak pernah dituduh rasis.

"Sepanjang saya memimpin Perkasa, orang tuduh rasis dan macam-macam lagi, saya tidak pernah menerima laporan polis terhadap saya, orang lain yang tidak kata rasis, mereka menerima banyak laporan polis, saya tak ada," katanya.

Ibrahim turut mempersoalkan mengapa orang tidak mengatakan apa-apa kepada pertubuhan Dong Zong dan Hindraf sedangkan menurutnya pertubuhan-pertubuhan tersebut lebih rasis kerana membuat tuntutan bertentangan dengan perlembagaan.

"Sebagai contoh bila Dong Zong tuntut macam-macam hal pendidikan, kita hanya tekankan kerajaan kena tegas, sebab ada tuntutan-tuntutan itu bertentangan dengan perlembagaan, begitu juga Hindraf sebelum ini mereka buat memorandum, mereka tuntut macam-macam, mereka burukkan nama negara, jadi kita kritik Hindraf mengapa mereka patut buat demikian, kenapa mereka perlu ke luar negara dan burukkan nama negara, jadi ini akhirnya mereka kata kita (Perkasa) rasis.

"Tidak pernah dalam sejarah sejak saya tubuhkan Perkasa, pernahkah saya mengeluarkan kenyataan yang menyuruh jangan bantu orang India, jangan bantu orang Cina?," tambah beliau. 

Menurut Ibrahim, dalam mempertahankan Perlembagaan negara, mereka bukan sahaja mempertahankan Islam sebagai agama persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, kedaulatan Raja Melayu, hak Melayu termasuk juga hak kerakyatan semua warganegara. 

"Siapa saja persoalkan hak kerakyatan kita tentang mereka, pasal kita inklusif, kita mempertahankan kontrak sosial dalam Perkara 153 termasuk kerakyatan, malah sekarang pun kalau orang India layak dapat kerakyatan, sebab ramai orang India bising kerana soal kerakyatan, kita tidak tentang, kalau kita rasis, kita akan tentang, cuma kalau kita nak tegur kerajaan, lakukan dengan betul, maknanya, orang yang layak saja boleh terima kerakyatan, kalau dia baru datang Malaysia satu atau dua tahun, mereka tak boleh dapat kerakyatan, tetapi kita tidak menentang supaya tidak beri kerakyatan ini, di mana yang dikatakan saya atau Perkasa rasis?," tambah beliau lagi.

Menurut Ibrahim, Perkasa dituduh rasis kerana dilabel oleh surat khabar Cina, termasuk terus memutar belitkan isu pemberian angpau bersampul putih walaupun dibuat dengan ikhlas tapi isu ini dibesarkan oleh portal berita Malaysiakini.

Ahli parlimen Pasir Mas itu menambah, mereka lakukan itu kerana sebab politik sebab mereka tengok pendirian Perkasa sebagai NGO tidak menyokong pembangkang. 

Pada pilihan raya 2008, Ibrahim Ali memenangi kerusi parlimen Pasir Mas dibawah tiket PAS.

Walaubagaimanapun tidak beberapa lama selepas itu, beliau mengisytiharkan dirinya sebagai ahli parlimen bebas dan menubuhkan NGO yang digelar Perkasa.

Perkasa aktif dalam memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan seringkali mengkritik Pakatan Rakyat (PR) – gabungan PKR, PAS dan DAP yang dikatakan menggugat kepentingan  Melayu dan bumiputera sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan persekutuan.

Kehadiran Perkasa tidak disenangi oleh sesetengah pihak terutamanya dari PR yang menggangap pertubuhan tersebut sebagai perkauman dan tidak menghormati Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved