Selasa, 25 Disember 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Kerajaan tidak pernah pinggirkan masyarakat Kristian, kata Najib

Posted: 25 Dec 2012 01:37 AM PST

KUALA LUMPUR, 25 – Kerajaan tidak pernah melupakan masyarakat Kristian di Malaysia kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini sambil menekankan penganut agama tersebut juga berperanan dalam pembangunan dan kemajuan negara sejak merdeka lagi.

Najib (gambar) berkata kerajaan sentiasa menghargai peranan masyarakat Kristian, malahan keputusan penarikan sekatan ke atas jemaah Kristian ke Jerusalem baru-baru ini adalah antara komitmen kerajaan terhadap penganut agama tersebut.

"Walaupun usaha yang dilakukan oleh kerajaan masih tidak mencukupi kepada masyarakat Kristian Malaysia, tapi kerajaan tidak pernah melupakan peranan mereka.

"Pelbagai usaha dilakukan sebagai penghargaan kepada penganut Kristian di Malaysia, keputusan penarikan lawatan ke Jerusalem baru-baru ini juga adalah salah satu komitmen kerajaan kepada penganut Kristian," kata Najib pada majlis jamuan petang sempena Hari Natal di Pusat Luther, Petaling Jaya.

Walaupun terdapat halangan dan sekatan terhadap masyarakat Kristian di Malaysia, Najib berkata semua perkara tersebut boleh diselesaikan menerusi perbincangan dan dialog yang konstruktif.

"Saya mencadangkan mekanisma dialog dan perbincangan bagi menyelesaikan sebarang permasalahan atau persoalan.

"Semua masyarakat di Malaysia tidak perlu takut untuk berbincang secara konstruktif terutamanya hal antara agama," tegas beliau.

Najib juga mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh masyarakat Kristian khususnya di Malaysia terutamanya daripada aspek kebajikan dan juga pendidikan di dalam negara.

"Saya juga adalah produk daripada sekolah Mubaigh, saya bersekolah di Sekolah Rendah St. John, Kuala Lumpur.

"Banyak nilai-nilai baik yang saya pelajari hinggalah menjadi ketua negara. Selain itu, masyarakat Kristian juga berperanan dalam kebajikan, bantuan klinik, program perlindungan dan banyak lagi," tambah Najib.

Menurut PM lagi, sumbangan tersebut telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik untuk semua rakyat. Dalam pada itu, Najib juga menggesa semua rakyat Malaysia tidak mengira agama dan bangsa untuk menerima konsep penerimaan bagi mewujudkan suasana yang lebih harmoni di dalam negara.

"Semua masyarakat mesti menganjurkan konsep penerimaan.

"Saya percaya untuk kita memiliki sebuah kesatuan yang kukuh, kita mesti menerima semua perbezaan dan meraikannya," kata beliau lagi.

Masyarakat Kristian di Malaysia meliputi 10 peratus daripada 28 juta rakyat Malaysia tetapi kelompok minoriti ini penting terutamanya menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13 memandangkan dianggap sebagai penentu kemenangan dikawasan bandar dan dalam perebutan memancing sokongan pengundi pertengahan.

Barisan Nasional (BN) dan Umno perlu memenangi hati kelompok pengundi ini kerana dilihat banyak menyokong parti lawan Pakatan Rakyat (PR).

Malahan, baru-baru ini Putrajaya telah menamatkan kuota, had umur dan lain-lain larangan ke atas penganut Kristian di Malaysia yang mahu menziarahi Jerusalem serta dianggap sebagai satu langkah untuk meraih sokongan masyarakat Kristian amnya.

Walaubagaimanapun, masyarakat Kristian sering menjadi sasaran golongan ekstremis Melayu-Islam yang sering menyerang dengan tuduhan menjalankan aktiviti memurtadkan orang Islam, mempunyai niat meletak PM beragama Kristian, isu penggunaan nama "Allah" dan bermacam-macam lagi.

Dalam majlis hari ini, pemimpin PR dan BN turut hadir antaranya Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Chuan Tian Chang (PKR-Batu), Lee Hoy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan), Teresa Kok (DAP-Seputeh) dan banyak lagi.

Krismas disambut penuh kesederhanaan tapi meriah

Posted: 25 Dec 2012 01:11 AM PST

KUALA LUMPUR, 25 Dis – Perayaan Krismas disambut secara sederhana namun meriah oleh penganut Kristian di Malaysia ketika sesetengah mereka terpaksa berhadapan dengan situasi banjir yang kini melanda Pantai Timur.

Seperti kebiasaan, mereka menghadiri acara keagamaan di gereja pada sebelah pagi sebelum menghabiskan masa bersama anggota keluarga dan sahabat handai.

Keadaan trafik di ibu negara lancar berikutan ramai pulang ke kampong halaman sama ada untuk menyambut Krismas atau menghabiskan cuti tahunan.

Kesempatan cuti Krismas digunakan penduduk Kuala Lumpur serta warga asing  untuk mengunjungi pusat beli-belah dan lokasi tumpuan seperti Kuala Lumpur City Centre.

Di SABAH, Krismas disambut meriah dengan penganjuran beberapa majlis rumah terbuka pemimpin negeri yang dihadiri masyarakat pelbagai agama dan pelancong asing.

Antara yang mengadakan rumah terbuka Krismas ialah Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) merangkap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata sambutan perayaan utama seperti Krismas merupakan masa terbaik untuk mengukuhkan perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Menerusi amalan kunjung-mengunjung ke rumah terbuka, kita dapat mengeratkan hubungan sesama kita dan sudah tentu kita dapat bekerjasama membangunkan negara Malaysia dan Sabah seperti dalam konsep kita sentiasa bekerjasama dalam Barisan Nasional," katanya ketika ditemui di rumah terbuka Upko di Dewan Tun Fuad Stephens, Penampang yang dihadiri kira-kira 2,000 pengunjung.

Terdahulu, Musa turut mengiringi Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin menghadiri rumah terbuka PBS di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Murut (KDCA), juga di Penampang.

Pairin ketika ditemui pemberita di rumah terbukanya yang dihadiri lebih 5,000 orang, menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa terbuka untuk berkongsi harapan serta pandangan daripada masyarakat Kristian.

Pairin yang juga Huguan Siou (pemimpin tertinggi) masyarakat Kadazandusun Murut berkata pendekatan bersifat 'meyakinkan' itu membawa makna bahawa Najib sentiasa terbuka dalam pandangan beliau selain menunjukkan keprihatinan mendekati masyarakat majmuk di negara ini.

Seorang ahli perniagaan dari Tawau, R.Balachandran, berkata beliau mengambil peluang mengunjungi rumah terbuka Pairin yang disifatkannya sebagai sesuatu yang baik dalam mengekalkan perpaduan masyarakat pelbagai bangsa.

Di SARAWAK, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu bersama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Douglas Uggah Embas tidak ketinggalan mengadakan rumah terbuka Krismas di Dewan Tan Sri Kalong di Betong.

Jabu memberitahu pemberita majlis seperti itu adalah unik dan sudah menjadi tradisi khususnya di Sarawak.

"Hari ini kita dapat lihat pengunjung yang datang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, dan mereka menunjukkan tanda hormat-menghormati antara kaum dan agama di negeri ini," katanya pada majlis yang dihadiri 2,000 pengunjung itu.

Di PERLIS, penganut Kristian menyambut hari Krismas secara sederhana dalam cuaca tidak menentu.

Pusat perniagaan beroperasi seperti biasa dan cuti sempena Krismas dimanfaatkan oleh penduduk untuk kegiatan kekeluargaan termasuk berkelah di lokasi pelancongan. – Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved