Isnin, 3 Disember 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


MAIWP dakwa Masjid Ar-Rahman rosak, tolak fitnah pembangkang

Posted: 03 Dec 2012 12:15 AM PST

KUALA LUMPUR, 3 Dis — Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam  menjelaskan penutupan Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya (UM) adalah bertujuan untuk membaik-pulih dan menolak fitnah oleh pembangkang yang mengatakan ia didalangi oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

Setiausahanya, Datuk Che Mat Che Ali dalam kenyataan media menyatakan keadaan infrastruktur yang sudah teruk sebagai sebab utama masjid tersebut ditutup dan hanya untuk sementara waktu.

"Oleh kerana terdapat banyak kerosakan di Masjid Ar-Rahman meliputi kebocoran bumbung, kerosakan pendawaian, kerosakan paip dan air melimpah ketika hujan lebat, masjid ini telah ditutup sementara.

"Kerosakan ini mengancam keselamatan jemaah masjid sekiranya lambat dibaiki," kata Che Mat.

MAIWP juga mengecam pemimpin parti pembangkang yang cuba mengambil kesempatan dengan mewujudkan isu dengan mengatakan masjid tersebut ditutup dan memutarbelitnya.

"Kenyataan daripada orang tidak bertanggungjawab mengatakan kita menutup masjid adalah tidak benar sama sekali kerana penutupan masjid adalah untuk membaiki demi untuk keselamatan dan keselesaan jemaah.

"Sehubungan itu, jangan ada pihak yang bermain politik dan memutarbelitkan isu ini kerana Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan kerajaan sentiasa berkhidmat untuk meningkatkan syiar Islam di negara ini," tambah beliau yang juga merupakan pengarah JAWI.

Jumaat lalu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar (gambar) hadir bersama-sama sekumpulan jemaah masjid yang diketuai pengerusi jawatankuasa jemaah mempertahankan Masjid Ar-Rahman, Jamlus Mansor bagi meminta kerajaan menjelaskan penutupan masjid tersebut.

"Kita tidak menolak keperluan (naik taraf), tapi saya mahu laporan daripada jurutera serta laporan daripada syarikat pemaju untuk menunjukkan tahap kerosakan di masjid dan adakah kemungkinan boleh buka ruangan tertentu untuk memudahkan jemaah daripada UM dan penduduk sekitar," kata naib presiden PKR itu.

"Sepatutnya masjid dijadikan tempat untuk diimarahkan semua. Saya datang ke sini tidak membawa bendera parti. Kita utarakan kebimbangan para jemaah.

"Kita minta secara baik supaya semua laporan ini diberikan kepada umum secara terbuka," tambah Nurul Izzah.

Hasan Ali dakwa DAP penghalang Islam walaupun MCA seringkali mengatakan parti tersebut menyokong hukum hudud

Posted: 02 Dec 2012 11:34 PM PST

Hasan Ali dakwa DAP penghalang Islam walaupun MCA seringkali mengatakan parti tersebut menyokong hukum hudud

Dr Hasan berkata tindakan Karpal Singh menggambarkan bahawa DAP tidak sesekali bersedia menerima apa sahaja peraturan yang mempunyai roh Islam, sehinggakan hal-hal yang diterima baik oleh rakyat daripada sudut akhlak turut disanggah. – Gambar fail

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Datuk Dr Hasan Ali hari ini mendakwa parti DAP merupakan batu penghalang untuk Islam dilaksanakan dinegara ini walaupun parti komponen MCA seringkali mendakwa DAP mahu membenarkan hukum hudud dilaksanakan di negara ini oleh kerana parti tersebut bergabung dengan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Apa yang hendak ditimbulkan di sini bukan soal penguatkuasaan peraturan seperti yang terdapat dalam enakmen yang telah berkuatkuasa sejak sekian lamanya.

"Tetapi, lebih kepada soal tentangan dan halangan terhadap peraturan itu yang datangnya daripada DAP rakan politik PAS dalam pakatan pembangkang," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Presiden Jalur Tiga (Jati) berkata, tindakan DAP yang seringkali membangkang apa jua usaha PAS memartabatkan Islam serta sikap PAS yang seringkali akur dengan bangkangan tersebut mengecewakan umat Islam.

Terbaru, Pengerusi DAP Karpal Singh turut campur tangan dalam isu penggunting/pendandan rambut wanita tidak dibenarkan memotong/mendandan rambut lelaki termasuk yang bukan Islam menyebabkan Jawatankuasa PAS Pusat secara tergesa-gesa meminta Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) mengkaji semula tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh mereka.

Dr Hasan berkata tindakan Karpal Singh menggambarkan bahawa DAP tidak sesekali bersedia menerima apa sahaja peraturan yang mempunyai roh Islam, sehinggakan hal-hal yang diterima baik oleh rakyat daripada sudut akhlak turut disanggah.

Tegasnya, tanpa berfikir panjang dan menilai implikasi bentuk tindakan yang akan diambil, pimpinan tertinggi PAS dilihat terus mundur ke belakang dan akur dengan kemahuan dan niat jahat terhadap Islam yang menjadi amalan DAP.

"Dalam hal yang dikatakan remeh seperti ini pun tidak dapat diterima baik oleh DAP apa lagi dalam hal-hal besar seperti melaksanakan Hudud dan Negara Islam yang PAS berjanji akan merealisasikannya apabila pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya," katanya.

MCA dalam kempennya kepada masyarakat Cina seringkali mendakwa DAP bersekongkol dengan PAS untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum Hudud.

"MCA sekali lagi hendak mencabar pendirian DAP sama ada mereka bersama–sama MCA menentang pelaksanaan hudud versi PAS atau tidak?

"Sekirannya mereka menyatakan mereka tidak berkongsi pendirian yang sama dengan MCA dalam isu hudud versi PAS maka mereka perlu tampil memberitahu rakyat bahawa mereka menyokong pelaksanaan hudud versi PAS di negara.

"Diharapkan DAP tidak lari  dan sembunyi daripada cabaran pendirian mereka dalam isu ini. Mereka hanya perlu menyatakan pendirian sokong atau tidak? bertanya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved