The Malaysian Insider :: Opinion |
Posted: 02 Dec 2012 04:17 PM PST 3 DIS â Baru-baru ini Taman Tema Legoland telah dibuka di Nusajaya, satu-satunya di Asia. Jika ke bahagian Miniland, kita dihidangkan dengan model-model bangunan seperti Menara Petronas, Masjid Putra dan sebagainya yang dibina dari permainan Lego. Namun jika ingin melihat percuma miniland versi dunia nyata , sila berkunjung ke Putrajaya dengan puluhan bangunan, ke Bali dengan ribuan pura (kuil) dan Lombok dengan ribuan masjid, Minggu baru lalu saya berkesempatan melawat Lombok yang terkenal di saentero Malaysia gara-gara kes-kes percintaan lelaki Lombok dengan gadis tempatan yang berhujung "dilarikan". Lokasi Lombok sangat strategis untuk menarik kedatangan pelancong kerana berjarak dekat dengan Bali yang telah puluhan tahun menjadi destinasi pelancongan popular dunia. Lombok menurut banyak orang adalah Bali 10-20 tahun yang lalu, masih terjaga dari serangan pelabur dan pelancongan massa yang merosakkan lingkungan seperti dialami Bali. Gili Trawangan. Sememangnya Lombok sangat sesuai mengambil peranan sebagai kawasan pelancongan berwatak pembantu seperti mana Wilayah Iskandar di Johor dan Singapura serta Shenzhen dan Hong Kong. Namun apa yang terlihat di Lombok tidak demikian, Lombok jelas sekali ingin meniru Bali dalam pembinaan imej. Jika Bali terkenal dengan pura, maka Lombok yang majoriti Islam membina masjid-masjid yang anehnya jarak di antara satu sama lain sangat berdekatan. Primata, salah seorang blogger Indonesia yang aktif menulis di blog Kompasiana mencatat, "Jika anda baru pertama menginjakkan kaki di Lombok, bahkan lewat angkasa pun anda akan melihat di bawah, terhampar banyak pemandangan kubah masjid. Terlebih jika anda sudah jalan-jalan ke sekeliling kota Mataram ataupun bagian lain dari pulau Lombok. Masjid Kuno Suku Sasak. Memasuki Lombok sepertinya melawat pameran masjid yang menurut beberapa penduduk tempatan yang saya temui, tidak lebih dari upaya pemerintah Lombok untuk bersaing dengan Bali dalam erti menggunakan agama dan budaya untuk menarik kedatangan pelancong. Sayangnya tidak seperti Bali yang memanfaatkan pura untuk tujuan ibadat dan pelancongan, masjid-masjid di Lombok bukan sahaja sepi pelancong kerana kepura-puraan bahkan manfaatnya kepada penduduk setempat dipertanyakan terutama warga miskinnya. Sembalun Lawang. Jika memilih menjual Lombok sebagai pulau bernuansa Islam seperti diciptakan Belanda terhadap Bali sebagai pulau bernuansa Hindu menurut saya tidak akan berjaya melihatkan imej Islam yang tidak begitu positif dan masyarakat Lombok secara umumnya bukanlah seperti rakan seagama mereka di Acheh. Lombok lebih terbuka dan pragmatik dalam menyikapi persoalan agama dan dunia. Contohnya di Pulau Gili Trawangan, masjid utama terletak di pusat keramaian dan berjarak beberapa meter, pelancong lelaki dan wanita dengan bebas berjemur mengenakan pakaian yang terdedah. Semoga Lombok akan menemukan konsep terbaik agar generasi mendatang Lombok mendapat manfaatnya. Jangan semberono meniru Bali terutama dalam hal pelancongan kerana 80 peratus pelaburan dalam bidang pelancongannya dikuasai asing dan agama Hindu di Bali hanyalah komoditi yang dipergunakan asing untuk meraih keuntungan semaksimal mungkin. * The views expressed here are the personal opinion of the columnist. |
Posted: 02 Dec 2012 03:54 PM PST 3 DIS â Dua topik yang cukup sensitif dan dekat dalam hati rata-rata penduduk kaum India beragama Hindu di negara ini adalah topik berkaitan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan isu kuil. Tentu sahaja kedua-dua topik ini tidak semestinya mendapat perhatian seluruh masyarakat India, tetapi tetap merupakan antara isu yang sering ditimbulkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik dari semasa ke semasa. Mengikut data terkini, terdapat sejumlah 523 SJKT di Malaysia. Rata-rata SJKT diterajui oleh guru besar daripada kalangan kaum India yang berpendidikan Bahasa Tamil. Secara lumrah, mereka beragama Hindu dan mengamalkan budaya serta adat India-Hindu. Pada 5 November, saya mengemukakan pertanyaan menerusi ruangan status di laman rangkaian sosial Facebook untuk mendapatkan pandangan rakan-rakan sekiranya jawatan guru besar SJKT diberikan kepada individu bukan kaum India dan bukan daripada aliran pendidikan Tamil. Pelbagai aktiviti budaya dan agama turut dikendalikan di SJKT. â Foto-foto sekadar hiasan Berikut beberapa pandangan yang dikemukakan dan boleh dijadikan asas untuk membantu kita sama-sama lebih memahami senario sebenar berhubung sentimen berkaitan SJKT. Khususnya apabila membicarakan soal berhubung Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan hubungannya dengan SJKT. Arivu Ananthan (guru, Puchong): SJKT bukan sekadar pusat pengembangan bahasa. Guru besar mestilah seorang individu yang tahu mengenai budaya dan adat kaum India. Memang menjadi kebiasaan untuk SJKT menganjurkan aktiviti berkaitan budaya dan agama. Maka, seorang guru besar perlu tahu serta terlibat sama. Jika ada individu bukan kaum India yang fasih Bahasa Tamil serta tahu adat dan budaya kaum India, maka tidak menjadi masalah untuk mempertimbangkan memberi jawatan guru besar SJKT kepadanya. Azrul Hisham Abu Said (jurutera bunyi, Kota Damansara): Saya rasa cara utama untuk menyelesaikan persoalan ini adalah dengan mendidik masyarakat supaya persefahaman antara pelbagai kaum boleh wujud. Apabila isu itu berjaya diatasi, pemilihan guru besar nanti adalah berdasarkan kelayakan dan bukan berdasarkan kaum/bahasa. Ahmad Burhan (Selayang): Sana-sini dicanangkan tentang perpaduan antara kaum. Jadi apa masalahnya andai guru besar SJKT tidak terdiri daripada kaum India? Bukankah dengan berbuat demikian boleh pula dijadikan teladan baik ke arah menangani isu perkauman. Kalau seorang Perdana Menteri kaum Melayu boleh memimpin penduduk pelbagai kaum dan agama, apa salahnya seorang guru besar SJKT bukan daripada kaum India? Apa yang penting adalah sikap kita sendiri dan nilai-nilai murni dalam diri. Kaum dan agama sepatutnya tidak menjadi persoalan. John Phoon: Sebenarnya, sesiapa sahaja yang berwibawa dan memenuhi syarat boleh menjadi guru besar di mana-mana sekolah. Akan tetapi, ternyata masih sukar dilaksanakan di negara kita pada masa ini. Saya harap suatu hari nanti ia akan menjadi kenyataan. Murid-murid SJKT juga datang dengan harapan dan mahu pulang dengan kejayaan. Seterusnya, saya menyelitkan pertanyaan tambahan: Bagaimana jika guru besar itu merupakan individu India-Muslim? Beliau mungkin faham budaya India tetapi beragama Islam. Murugan Alimuthu: Kalau India-Muslim, tidak menjadi halangan kerana beliau sememangnya memahami budaya India secara mendalam. Muthannah Marawan (Shah Alam): Tidak menjadi masalah sekiranya guru besar tersebut bukan kaum India dan bukan beragama Hindu, asalkan beliau memahami hala tuju SJKT selain mengetahui budaya kaum India. Bagi guru besar India-Muslim, mungkin ia satu nilai tambah kerana rata-rata India-Muslim boleh berkomunikasi dalam Bahasa Tamil. Mohd Rafi Jalaluddin (Shah Alam): Kadang-kadang untuk mengembangkan sebuah organisasi, kita perlukan pemikiran yang tidak terhad pada budaya yang sama. Apa sekali pun kaum/agama guru besar itu, niat dan pemikirannya perlu betul. Aziyana Md Jais: Sememangnya guru besar adalah pentadbir sekolah. Maka mereka merupakan kalangan yang terpilih. Mana mungkin individu yang tidak mampu memimpin dilantik dan diberi tugas besar sebagai guru besar. Malah, kehadiran guru besar Bukan Kaum India di SJKT merupakan satu cara mewujudkan persefahaman dan perpaduan. Guru dan guru besar mampu menjadi pemangkin perpaduan antara kaum di sekolah. Lazimnya, SJKT dikaitkan dengan MIC. Malah, semacam ada hubungan erat (dalam konteks positif) antara guru besar SJKT dan MIC. Mungkinkah juga itu antara sebab guru besar SJKT amat sesuai jika terdiri daripada kaum India yang pro-MIC? Demikian saya melontarkan pertanyaan tambahan. Murugan Alimuthu: Sememangnya benar bahawa SJKT berkait rapat dengan MIC tetapi itu cerita lama. Mendiang bapa mentua saya bekas SJKT dan pengerusi MIC di suatu kawasan. Tetapi saya tidak nampak keadaan seperti itu di SJKT sekarang. Sebagai bekas guru sandaran di SJKT, saya tidak nampak keadaan seperti itu masih wujud. Para guru besar sekarang lebih berminat dengan tugas hakiki di sekolah berbanding terlibat dalam politik. Anak saya belajar di SJKT dan saya selalu berurusan dengan guru besar sekolah itu. Sampai hari ini saya tidak dengar bahawa beliau adalah wakil MIC atau mana-mana parti politik. Bagaimanapun, hubungan SJKT-MIC tidak dapat dipisahkan atas alasan segala peruntukan serta saluran bantuan daripada kerajaan pusat adalah melalui MIC. Pada masa sama, adalah tidak wajar jika dikatakan bahawa guru besar SJKT amat sesuai jika dilantik daripada kalangan kaum India sahaja. Aziyana Md Jais: Betul, warga pendidik dan guru besar lebih berminat berbicara bagaimana mahu mencapai matlamat pendidikan negara. Saya yakin bahawa guru besar selaku pentadbir tidak mencampur-adukkan politik dengan urusan sekolah. Apa pun, pada saya, tidak wajar jika dikatakan guru besar SJKT mesti daripada kaum India sahaja. Guru besar yang berdedikasi mampu menyumbang kepada kejayaan murid dalam pelbagai bidang. Antonie William (Pulau Pinang): Guru besar SJKT sewajarnya daripada golongan kaum India yang fasih Bahasa Tamil. Hal ini penting kerana beliau bukan hanya bertugas sebagai pentadbir tetapi juga sebagai pendidik, perantara dan pemupuk budaya serta ilmu Bahasa Tamil. Pertama, bagaimana seseorang Bukan Kaum India yang tidak tahu-menahu budaya kaum India mampu menerajui atau menyemai budaya India kepada murid-murid? Kedua, jika terdapat masalah berkaitan budaya India dan Bahasa Tamil, bagaimana beliau dapat menyelesaikannya? Ketiga, bagaimana perasaan guru-guru berpendidikan Tamil dan berpengalaman serta banyak berjasa kepada SJKT tetapi tidak dinaikkan pangkat menjadi guru besar? Demikian antara pandangan dan hujah yang dikongsikan rakan-rakan secara ikhlas menerusi dialog di Facebook. Mungkin belum memadai untuk membuat rumusan berhubung topik yang dibincangkan. Apatah lagi untuk membahaskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Sekurang-kurangnya perbincangan topik yang agak sensitif mengenai jawatan guru besar SJKT ini membuka laluan untuk dibahaskan secara terbuka demi kebaikan bersama. Malah, perkongsian pandangan juga memutikkan pelbagai persoalan baru yang mungkin terkeluar daripada topik asal. Misalnya, ramai yang berpendapat bahawa guru besar SJKT wajib memenuhi syarat itu dan syarat ini. Jika syarat-syarat sama diterapkan dalam konteks kerajaan, entah berapa ramai menteri yang benar-benar layak memegang jawatan yang diberikan oleh Perdana Menteri! Namun, itu adalah topik yang lain pula. * The views expressed here are the personal opinion of the columnist. |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider :: Opinion To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan