Rabu, 5 Disember 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Jenain minta maaf kepada keluarga Aminulrasyid

Posted: 05 Dec 2012 02:35 AM PST

SHAH ALAM, 5 Dis — Walaupun Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan beliau daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, dua tahun lepas, Koperal Jenain Subi tetap merendah diri memohon maaf kepada keluarga remaja lelaki itu.

"Saya minta maaf kepada keluarga Aminulrasyid atas apa yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah. Jenain yang ditemani peguam belanya, M.Athimulan, Salim Bashir dan Halim Ashgar Mohd Hilmi berkata keputusan mahkamah juga telah membuktikan bahawa beliau tidak bersalah.

"Alhamdulillah...semua ini kuasa Tuhan dan selama ini saya berserah kepadaNya. Hari ini telah terbukti siapa salah dan siapa tidak salah dan akhirnya saya mendapat keadilan yang sewajarnya," katanya yang tidak dapat menahan tangisan.

Terdahulu, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan membebaskan Jenain daripada tuduhan selepas menerima rayuan anggota polis itu terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen di sini pada September tahun lepas.

Sejurus hakim membacakan keputusannya, Jenain yang memakai kemeja dan berkopiah putih mengalirkan air mata dan tersenyum. Isteri serta seorang anak perempuannya yang berada di galeri awam turut menangis kegembiraan.

Beliau yang pernah bertugas sebagai polis mahkamah turut menerima ucapan tahniah daripada beberapa anggota polis yang hadir memberikan sokongan moral. Jenain, 49, yang ketika kejadian bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, antara 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda. Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepala.

Ditanya sama ada beliau masih ingin meneruskan khidmat dalam pasukan polis, Jenain yang kini digantung tugas berkata kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat sebagai anggota polis.

"Saya tetap akan teruskan perjuangan dan berkhidmat untuk pasukan polis serta kerajaan," kata bapa kepada empat orang anak yang telah berkhidmat selama 25 tahun dalam pasukan polis.

Sementara itu, ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad, 62, berkata keluarganya tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Jenain daripada tuduhan menyebabkan kematian anaknya.

Beliau berkata keluarganya akan berbincang dengan peguam untuk membuat semakan terhadap keputusan itu.

"Sudahlah keputusan awal ke atas tertuduh sebelum ini hanya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan kali ini dalam keputusan rayuan tertuduh dibebas daripada kesalahan itu.

"Saya sebagai seorang ibu mahukan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana anak saya bukan penjenayah tetapi hanya tidak memiliki lesen memandu semasa kejadian berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Seksyen 11 di sini hari ini.

Norsiah berkata beliau hanya mengetahui mengenai keputusan pembebasan Jenain selepas dihubungi anak sulungnya, Nor Azura, 42, yang membaca berita di Internet.

Beliau berkata keluarganya tidak dapat hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan kerana semua anaknya sibuk bekerja dan hanya mampu berdoa di rumah supaya anggota polis itu dijatuhi hukuman setimpal.

"Bagaimanapun saya amat terkejut dan terkilan dengan keputusan ini. Saya juga rasa sangat sedih kerana kematian anak saya seolah-olah tidak mendapat pembelaan sewajarnya," katanya. — Bernama

LFL bantah mahkamah bebas Jenain, gesa A-G rayu keputusan

Posted: 05 Dec 2012 02:07 AM PST

KUALA LUMPUR, 5 Dis — Keputusan mahkamah membebaskan Korporal Jenain Subi daripada tuduhan menyebabkan kematian remaja lelaki berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah dibantah oleh kumpulan "Lawyers for Liberty (LFL)", malah menggesa Peguam Negara (A-G) supaya merayu semula keputusan tersebut atas alasan wujudnya kelemahan pihak berkuasa dalam menguruskan kes tersebut.

LFL menegaskan, terdapat beberapa perkara dalam penyiasatan tersebut mewujudkan keraguan seperti 21 das tembakan dilepaskan untuk menghentikan kereta Proton Iswara yang dipandu Aminulrasyid, dan juga masih lagi tiada penjelasan berkenaan parang yang dikatakan dijumpai di dalam kereta yang dipandu kanak-kanak 15 tahun itu.

"Bagaimana seseorang itu boleh melepaskan 21 das tembakan hanya untuk menghentikan kereta tanpa mengetahui ia akan menyebabkan kematian ... malah, ia turut diakui Junain ketika perbicaraan di mahkamah.

"Kemudian, pihak pendakwaan juga mempunyai saksi keseluruhan insiden tersebut, Azamuddin yang juga bersama Aminulrasyid ketika kejadian.

"Ketua Polis Selangor, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang kini merupakan Timbalan Ketua Polis Negara juga tidak memberikan penjelasan berkenaan parang yang dikatakan ditemui di dalam kereta berkenaan," tegas Penasihat LFL, Eric Paulsen.

Paulsen melihat keseluruhan proses perbicaraan kes itu tidak diurus dengan baik dan menunjukkan ada cubaan pihak polis untuk melindungi kes tersebut.

Justeru itu, LFL menggesa campurtangan A-G untuk merayu keputusan kes tersebut, dan membentuk IPCMC, serta undang-undang pihak berkuasa termasuk prosedur operasi standard dikemukakan kepada umum.

"Termasuklah Perintah Arahan Tetap Ketua pada garis panduan polis mengenai pelepasan senjata dan penahanan dan soal siasat," katanya.

Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan Jenain daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, dua tahun lepas setelah hakim Datuk Abdul Rahman Sebi memutuskan menerima rayuan Jenain, 49, terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen di sini pada September tahun lepas.

Dalam penghakimannya, Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki itu.

Jenain didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun.

Abdul Rahman juga berkata tiada kes prima facie dibuktikan ke atas Jenain dan anggota polis itu tidak sepatutnya dipanggil membela diri.

Pada 13 Sept tahun lepas, Hakim Latifah Mohd Tahar menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mendapati Jenain bersalah melakukan kesalahan itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010.

Jenain didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved