Ahad, 9 Disember 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Najib lancar Kelab Peminat Ah Jib Gor

Posted: 09 Dec 2012 01:10 AM PST

KUALA LUMPUR, 9 Dis — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Kelab Peminat Ah Jib Gor bagi membolehkan beliau merasai denyut nadi rakyat terutamanya masyarakat Cina di negara ini. Kelab itu dilancarkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) melalui 'tele-persidangan' dengan anggota kelab itu di Sekolah Menengah Yu Yuen, Sandakan, Sabah. Najib ketika berinteraksi berkata penubuhan kelab peminatnya di Sandakan itu merupakan testimoni bahawa rakyat termasuk di Sabah meyakini konsep 1Malaysia dan agenda transformasi negara. Beliau berkata kelab tersebut boleh menjadi jambatan komunikasi antara beliau dan rakyat di negara ini termasuk di Sabah dalam memahami perasaan, permintaan dan jangkaan rakyat terhadap kerajaan. "Terima kasih atas keyakinan dan sokongan anda.. Saya percaya kita boleh gunakan talian komunikasi ini untuk bertukar-tukar pandangan dan komen dari semasa ke semasa.

"Saya berpendapat ini adalah sangat positif kerana ia bukan sahaja mewujudkan hubungan yang baik tetapi juga hubungan secara bersemuka antara anda semua dan pemerintah," katanya. Najib berkata beliau berharap kepercayaan rakyat terhadap kerajaan akan berterusan selaras dengan komitmen kerajaan dalam menjadikan transformasi sebagai agenda utama negara. "Kita percaya bahawa kita kerajaan yang kuat, kita boleh memimpin negara ini untuk memenuhi wawasan negara kita dalam menjadi sebuah negara maju sepenuhnya. "Malaysia adalah tanggungjawab kita dan kita mesti berusaha menggalakkan suasana harmoni dan kestabilan di kalangan pelbagai etnik di Malaysia," katanya. Najib juga berkata 1Malaysia bukan slogan semata-mata tetapi merupakan panduan nasional yang merupakan falsafah menyeluruh dan prinsip kepada negara termasuk dasar-dasar dan agenda transformasi.

"1Malaysia adalah tentang 'membentuk', bersatu dan mengharmonikan Malaysia. Ia adalah berdasarkan prinsip keadilan sosial, tentang menjadi adil dan inklusif, dan juga mengenai 'kesederhanaan.. semuanya adalah sebahagian daripada falsafah 1Malaysia. "1Malaysia akan menjadi falsafah menyeluruh kita dan dengan sokongan anda, negara ini akan berubah menjadi sebuah negara pelbagai kaum pertama yang kita semua banggakan," katanya. Terdahulu, sebelum sesi 'tele-persidangan' itu, Perdana Menteri turut berinterasi melalui 'Facebook chatting' dengan warga sekolah tersebut termasuk Penolong Kanan Hong Lean Hwa dan pelajar tingkatan lima, Esther Yap Yuk Lim. Hong mengucapkan terima kasih atas sumbangan RM1 juta kepada sekolah itu ketika lawatan Perdana Menteri pada 20 April lalu dan Najib menjawab "Saya berharap sumbangan ini dapat meningkatkan lagi pencapaian murid-murid di Sekolah Yu Yuan". Najib turut menjawab enam soalan dari Esther termasuk mengenai makanan Cina yang menjadi kegemarannya di mana Najib menjawab beliau suka ikan kukus bersama sos soya dan ketam masak cili masam manis manakala hobinya pula adalah membaca buku dan bersenam.

Najib juga ditanya kerja pertamanya selepas tamat pengajian di sebuah universiti di United Kingdom di mana Najib memberitahu bahawa beliau menyertai perkhidmatan kerajaan sebagai pegawai junior di Unit Perancang Ekonomi (EPU) sebelum menyertai Bank Negara. Beliau turut berkongsi nilai yang diperlukan untuk berjaya dalam hidup iaitu rajin, integriti dan kreatif selain memberitahu beliau amat sukakan Sabah kerana keindahan alam semulajadi dan eko-pelancongannya. Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong yang juga Anggota Parlimen Sandakan berkata Kelab Peminat Ah Jib Gor itu merupakan inisiatif penyokong Perdana Menteri yang terdiri dari badan bukan kerajaan (NGO) di Sandakan. "Mereka ingin menunjukkan sokongan padu kepada Perdana Menteri kerana Perdana Menteri amat prihatin dan dekat dengan hati rakyat. "Kelab peminat ini akan dikembangkan ke Kota Kinabalu, Tawau dan bandar-bandar lain di Sabah dan harap ia akan berkembang di semenanjung juga kerana ia terbuka untuk semua," Liew yang juga Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP). — Bernama

Dakwaan 300,000 orang India tiada kerakyatan tak benar, kata Najib

Posted: 09 Dec 2012 12:53 AM PST

KUALA LUMPUR, 9 Dis — Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini berkata dakwaan oleh pembangkang yang mengatakan seramai 300,000 masyarakat kaum India tidak memiliki kerakyatan adalah tidak benar dan tuduhan itu bertujuan memburukkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurut Najib, tuduhan tersebut tidak berasas sama sekali malahan pihak pembangkang tidak mempunyai bukti kukuh untuk menyokong tuduhan tersebut.

"Ini (pembangkang) ada pula mengatakan terdapat sebanyak 300,000 masyarakat kaum India yang tidak mendapat kerakyatan sebagai warganegara.

"Mana buktinya? Pembangkang ini pandai tuduh sahaja tapi apabila suruh beri bukti mereka tidak ada," kata pengerusi BN tersebut semasa ucapan pembukaan perhimpuan agung MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra pagi ini.

Najib juga berkata berdasarkan perbincangannya dengan menteri sumber manusia Datuk Dr S. Subramaniam, hanya seramai 9,000 sahaja kaum India yang membuat permohonan untuk mendapatkan kerakyatan dan bukannya 300,000 sepertimana yang didakwa oleh pihak pembangkang.

"Saya diberitahu Subramaniam bahawa hanya 9,000 orang sahaja yang memohon untuk mendapatkan kerakyatan.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,000 sudah diberikan kad pengenalan dan sijil kelahiran manakala selebihnya masih lagi dalam proses," terang Najib lagi.

Walaubagaimanapun, Najib sempat menyindir pembangkang dengan mengatakan jika dakwaan itu benar ia pasti sangat baik untuk BN yang boleh menambahkan "deposit tetap" mereka dalam pilihan raya umum ke-13 ini.

"Kalau betul dakwaan itu, ia pasti lebih baik. Pasti kami akan dapat jumlah undi lagi banyak," gurau Najib dihadapan perwakilan MIC.

Baru-baru ini, naib presiden PKR N. Surendran telah memberikan amaran kepada Putrajaya bahawa seramai 300,000 masyarakat India akan berkumpul di hadapan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) jika tidak menyelesaikan isu status kewarganegaraan.

Surendran dalam satu sidang akhbar mengganggarkan 300 ribu orang dari komuniti India sehingga kini dinafikan hak kerakyatan mereka.

Najib sebelum itu menggesa jentera parti MIC untuk memastikan undi kaum India sebagai "deposit tetap" kepada BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang akan datang.

Perhimpunan yang bermula hari ini dihadiri seramai 1,500 perwakilan dan 2,000 pemerhati itu akan menerima enam resolusi antaranya politik, hal ehwal kerajaan, pendidikan dan sosioekonomi, untuk dibahaskan.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved