Ahad, 9 Disember 2012

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Sabotaj ada di mana-mana!

Posted: 08 Dec 2012 04:17 PM PST

9 DIS — Sekarang merupakan musim sabotaj.

Barangkali kerana itulah, perkataan sabotaj menjadi bualan hangat orang ramai sejak kebelakangan ini.

Dari perhimpunan Agung Umno hinggalah ke perhimpunan MCA yang berakhir baru-baru ini, keluar arahan daripada pucuk kepimpinan parti agar pengkhianat parti perlu ditangani.

Nampaknya semua begitu "menyukai" dan jatuh cinta terhadap perkataan sabotaj. Nampaknya juga istilah sabotaj mendatangkan kesan yang begitu mendalam terhadap sesebuah pihak hinggakan arahan sedemikian dikeluarkan.

Mutakhir ini, semua perwakilan parti bukan sahaja diingatkan untuk tidak mensabotaj calon lain bahkan juga usah menikam dari belakang. Malah barisan pemimpin berkenaan digesa untuk berganding bahu dalam menjayakan agenda yang ditetapkan.

Ternyata, sabotaj boleh berlaku di mana-mana sahaja baik di rumah, tempat kerja malah hubungan antara satu sama lain. Ia didorong oleh sikap cemburu, marah mahupun kecewa terhadap seseorang.

Perbuatan sabotaj akan terus berlaku selagi si pelaku menaruh perasaan syak-wasangka dan ketidakpercayaan terhadap musuhnya. Pokoknya, individu yang berkelakuan sedemikian hanya menunjukkan mereka sebenarnya tidak yakin kepada diri mereka sendiri.

Sabotaj boleh hadir dalam pelbagai bentuk. Antaranya, character assassination (pembunuhan watak), penghantaran surat layang dan gosip. Pemilihan taktik ini digemari ramai kerana ia mengundang impak yang maksimum terhadap pihak lawan sama dari segi psikologi mahupun luarannya.

Jika ada antara anda yang berpendapat bahawa sabotaj hanya berlaku di dalam parti-parti politik sahaja, kenyataan tersebut adalah kurang tepat. Realitinya, individu seperti penulis sendiri pernah berhadapan dengan perbuatan sabotaj yang dicetuskan oleh sekumpulan individu tidak bertanggungjawab.

Modus operandi mereka cukup licik. Mereka tidak banyak bercakap sebaliknya hanya mengangguk acapkali diajukan soalan. Kesilapan kecil pula digembar-gemburkan hinggakan menyebabkan ia dianggap sebagai sesuatu yang serius. Terdapat juga kecenderungan oleh pihak berkenaan untuk mencari kesalahan orang lain.

Kepada si pelaku tadi, apakah perlu untuk mensabotaj seseorang? Dimanakah kewajaran untuk berbuat demikian? Apakah mereka mendapat kepuasan dengan mensabotaj pihak lain? Apa dosanya hinggakan individu itu perlu diberi layanan sedemikian rupa?

Pada hemat penulis, mereka yang terlibat dalam amalan sabotaj harus bangkit dan cermin diri melihat bagaimana mereka boleh kembali ke pangkal jalan. Pendek kata, mereka tidak seharusnya membisu dan menganggap masalah sabotaj itu seolah-olah tidak pernah berlaku. Sikap inilah yang akan mengundang masalah kepada sesebuah organisasi.

Sabotaj ada di mana-mana. Kini, terpulanglah kepada kita semua bagaimana untuk menangani masalah tersebut dengan baik. Bagi pihak yang mendalangi sabotaj, mungkin sudah sampai masanya untuk menghentikan niat jahat itu dan melakukan perkara lain.

Soalnya sekarang, apakah mereka sudah bersedia?

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Konsep muzik yang pelbagai dan tahap penerimaan kita

Posted: 08 Dec 2012 04:14 PM PST

9 DIS — Saya pernah terlibat beberapa kali untuk membuat persembahan muzik dan nyanyi dalam program muzik yang dianjurkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat juga dari pihak NGO.

Salah satu sebabnya kerana album saya yang berjudul Dari Rakyat Untuk Rakyat (DRUR) yang diterbitkan pada tahun 2009 penuh dengan tema politikal dan kemanusiaan.

Peristiwa yang tidak dapat saya lupakan adalah sewaktu program Protes Minyak pada tarikh 6hb julai 2008 di stadium Kelana Jaya di mana berlaku rusuhan dari para penyokong PAS terutamanya yang tidak dapat menerima konsep dan muzik yang bingit dari kumpulan muzik Punk Carburater Dung.

Melihat situasi dan mentaliti para penyokong yang rata-ratanya penyokong PAS petang itu, saya sudah merasakan sesuatu yang tidak diduga akan berlaku bermula bila kumpulan muzik Punk Dum Dum Tak membuat persembahan.

Nampak jelas sikap para penonton yang jelas tidak suka dan berminat dengan cara dan muzik mereka.

Saya juga turut membuat persembahan pada hari tersebut dengan beberapa lagu santai dengan iringan gitar akustik.

Jelas percaturan blogger terkenal Hishamuddin Rais yang terlibat sebagai orang kuat untuk program tersebut nyata silap.

Kemuncaknya penyanyi Carburator Dung Alak dilanyak dengan teruk oleh para penyokong yang ekstrim. Saya hanya mampu melihat dari satu sudut belakang akan kejadian yang bagi saya tidak sepatutnya berlaku.

Dari situ saya mula berfikir sejauh manakah penerimaan mereka-mereka yang di dalam kerajaan Pakatan terutamanya bagi parti PAS dalam menerima konsep muzik yang pelbagai?

Adakah untuk muzik Punk pemuzik perlu memakai baju Melayu berserta kopiah dan membawakan lagu Maher Zen atau Raihan dalam muzik Punk?

Bagi saya apa mesej yang mahu disampaikan itu adalah lebih penting dari penampilan atau konsep muzik yang mahu dipersembahkan.

Pun sewaktu bertemu Alak dan membincangkan hal itu selepas kejadian tersebut, Carburater Dung sebenarnya telah pun mengikut saranan penganjur supaya berpakaian kemas.

Album saya DRUR walaupun di dalamnya penuh dengan elemen dan tema kemanusiaan juga protes namun dari segi penerimaan dan sambutan dari pendengar PAS terutamanya agak dingin.

Dalam beberapa persembahan yang dianjurkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) walau jumlah kehadiran penonton mencecah ribuan orang, album saya pernah tidak terjual walau sekeping pun.

Mungkin mereka mahu saya berkopiah atau berjubah sesuai dengan imej Islamik yang indah di luar apabila membuat persembahan atau untuk cover album konsepnya perlu nampak penuh dengan imej Islamik yang cantik di mata.

Membelek cover album DRUR yang bagi mereka mungkin tidak melambangkan imej yang Islamik , peratus keinginan sudah berkurangan sehingga tukang jual puas memberi penerangan dengan lebih detail pun belum tentu terjual album saya itu.

Walau dalam album tersebut terdapat lagu I.S.A yang liriknya ditulis oleh Amer Hamzah Arshad dan Shuhada Memali yang liriknya ditulis oleh Amin Iskandar yang menceritakan tentang trajedi dan peristiwa di Memali, pun itu masih membuatkan mereka berkerut kening tatkala saya menyampaikan lagu tersebut.

Pengalaman tersebut saya alami sewaktu membuat persembahan di sebuah markas PAS di Gombak dalam tahun 2010. Saya pun berfikir saya menyanyikan lagu tentang Memali ini untuk siapa sebenarnya?

Pun masih terdapat beberapa kerat di kalangan orang kuat PAS yang agak terbuka dalam menilai muzik selain muzik nasyid dan mereka ini masih gigih berusaha ke arah itu. Tapi jumlah mereka ini sangat kecil dan agak sukar dan mungkin akan mengambil masa juga untuk mengubah apa yang sudah tertanam di minda para ahli dan penyokong yang taksub.

Dalam hal yang begini, bagi saya kerajaan Barisan Nasional (BN) lebih bersikap terbuka dalam meraikan apa yang anak-anak muda mahu dan perlukan. Dan mereka akan cuba memahami tanpa terus menghukum, yang bagi saya itulah perkara yang paling penting dan bijak yang telah dan sedang mereka lakukan.

Untuk kita menarik orang muda untuk ke dunia kita, perlulah kita cuba faham dan bergaullah mengikut cara dan acuan mereka, bukan memaksa mereka mengikut cara kita.

Kita boleh katakan mereka terdesak untuk memancing undi anak muda, tapi muzik dan seni selalunya berkesan untuk jangka masa yang panjang dan kita perlu tahu majoriti manusia memang sukakan muzik terutamanya di kalangan anak-anak muda dulu mahupun sekarang.

Baru-baru ini kerajaan Pakatan juga telah menganjurkan program Konsert Bersih juga di stadium Kelana Jaya.

Walau disertai kumpulan muzik otai Blues Gang juga Republic Of Brickfield antaranya, jumlah kehadiran para penonton tidaklah ramai dan kesannya konsert tersebut tidaklah begitu mendapat sambutan dari para penyokong Pakatan khususnya.

Mungkin senarai para artis yang mereka pilih seperti Blues Gang atau Republic of Brickfield populariti mereka tidaklah sehebat kumpulan muzik rock popular seperti Wing, May mahupun Search?

Itu saya tidaklah pasti sangat cuma sering timbul persoalan di benak saya, sejauh manakah penerimaan masyarakat juga penyokong pakatan terutamanya PAS dalam menilai konsep muzik yang pelbagai?

Saya perhatikan hari ini pihak kerajaan Barisan Nasional walau dalam apa cabang seni pun, mereka akan cuba mengambil tahu dan memberi perhatian, seperti program yang dianjurkan oleh rapid KL bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang di adakan pada 5hb september lepas.

Program bas percuma "GoKL City Bus" di lokasi yang ditetapkan itu turut menjemput para busker atau pemuzik jalanan termasuk saya bermuzik di lokasi-lokasi terpilih di sekitar ibukota selama 2 minggu.

Juga akan di adakan berbagai program yang melibatkan para busker seperti Busking Festival di KLCC dalam masa terdekat ini. Sebelum ini mereka juga telah mengadakan program Indie Festival yang berlangsung di Dataran Merdeka baru-baru ini. Jelas mereka menunjukkan kesungguhan dalam meraikan dunia anak-anak muda zaman ini.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved