Ahad, 23 Disember 2012

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Perihal muzik dan kedamaian

Posted: 22 Dec 2012 04:07 PM PST

23 DIS ― Saat saya menulis dalam mood yang agak sedih mengenangkan penduduk Gaza yang sedang diserang Israel, tiba-tiba lagu "When the Children Cry" dari kumpulan Rock Glam kelahiran Amerika yang popular di tahun 80an, White Lion berkumandang melayang-layang di minda.

Saya harus menghormati band rock ini kerana tidak seperti kebanyakan band rock dengan imej glam yang lain, lagu-lagu mereka banyak menyentuh isu sosial dan politik seperti lagu "Cry for Freedom" dan "Broken Home" yang terdapat dalam album ke tiga mereka, "Big Game", yang diterbitkan pada tahun 1989.

Maknanya mereka juga berfikir perkara lain yang lebih serius dan penting selain perempuan, arak dan dadah yang biasanya menjadi simbol dan kebanggaan mana-mana kumpulan rock barat terutama yang datangnya dari Amerika khususnya.

Sejak zaman berzaman lagu yang bercerita tentang kebodohan dan kekejaman perang sudah berkumandang di seluruh dunia mengajak manusia mencintai dan menyemai benih kasih sayang dari mengangkat senjata.

Woody Guthrie, Pete Seeger, Victor Jara, Phil Ochs, Tom Paxton, Billy Bragg, John Lennon antaranya ― mereka ini semuanya berjasa kepada bangsa, negara juga seluruh dunia kerana berperanan dalam muzik dan lagu yang berbentuk protes mengutuk perang dan manusia yang gila kuasa.

Untuk lebih jelas, dengarlah lagu-lagu singer songwriter Phil Ochs seperti lagu "War is Over", "Love me I'm a liberal", "There But For Fortune", "I Ain't Marching Anymore" antaranya dan kita akan lebih faham bahawa muzik folk itu bukan hanya lagu dan muzik semata bahkan mampu memberi pencerahan kepada jiwa kita yang cintakan kedamaian.

Dylan dengan lagu "Master of War" dan Donovan dengan lagunya "Universal Soldier" di era perang Vietnam ( 1957-1975) jelas menyindir golongan atasan yang punya kuasa dan para soldadu yang menjadi boneka dengan bahasa puisi mereka yang bijak walau mereka yang berkuasa di atas menganggapnya hanya lawak jenaka di angin lalu semata.

Atau jika kita sukakan muzik Rock dengarlah muzik dari band-band Rock 70an seperti Creedence Clearwater Revival (CCR), Al Stewart, Pink Flyod, Gary Moore dan banyak lagi band-band atau penyanyi era 70an menyanyikan lagu tentang peperangan walau dalam dalam apa genre dan konsep sekalipun seperti folk, ekperimental, psychedelic, progresif, pop, blues, rock, reggae, jazz dan sebagainya.

Sehinggalah Woodstock Music Festival yang berlangsung pada tahun 1969 di White Lake, New York selama 3 hari yang melibatkan pemuzik dan penyanyi yang hebat di zaman itu seperti Ritchie Havens, Country Joe McDonald, Crosby, Still, Nash and Young, John Sebastian, Arlo Guthrie, Santana, Sha Na Na, Hendrix, Joan Baez, Janis Joplin antaranya.

Mereka menyanyikan lagu yang bermesejkan keamanan dan benci perang. Simbol Peace menjadi begitu popular dan imej rugged anak muda bermata kuyu dengan rambut panjang dan nampak "cool" menjadi trend di zaman itu.

Itulah kontra di antara mereka yang cintakan keamanan dengan negara yang sukakan perang. Negara-negara maju berperang walau rakyat mereka sendiri pun sangat bencikan peperangan.

Setiap pemuzik dan penyanyi tidak akan sukakan keganasan dan perang walau apapun pegangan agama mereka atau jika tidak mempercayai agama sekalipun.

Adakah kita jumpa penyanyi atau pemuzik yang menyanyikan lagu cintakan peperangan? Setahu saya tidak ada, kalau ada maknanya mereka itu tidak punya rasa kasih dan sayang dalam diri, melainkan kebencian dan dendam semata.

Jika di Indonesia, saya salut band rock Godbless atau pun Gong 2000 yang lagu-lagu mereka banyak berkisar tentang kehidupan, kemanusiaan dan peperangan.

Juga Iwan Fals seperti dalam lagunya yang berjudul "Puing" jelas mengutuk perang semaksimumnya, pun mesej dan kritiknya itu kesannya hanyalah seperti angin lalu saja bagi mereka yang berkuasa dan berkepentingan.

Semua manusia juga saya percaya akan cintakan keamanan, kecuali bagi mereka yang duduk selesa di kerusi empuk, punya kuasa dan mahu menambahkan lagi kuasa mereka atas dasar kepentingan dan nafsu serakah semata.

Mereka ini akan berdiri di atas pentas politik sambil bercerita tentang keamanan dan kejamnya perang itu tanpa punya rasa malu walau sedikit pun.

Apabila Gaza bergegar dengan dentuman tanpa belas Israel yang membunuh ribuan umat yang tidak berdosa, umat Islam di seluruh dunia yang prihatin seperti biasa akan menghulurkan bantuan dalam bentuk ringgit dan sebagainya walau Israel tidak pernah kisah dan peduli pun kerana dari zaman dulu lagi mereka anggap merekalah yang paling bijak dan berkuasa.

Amerika pula bukanlah negara yang punya apa melainkan mereka bijak memanipulasi kebodohan dan sikap tamak bangsa Arab yang berbalah sesama sendiri terutamanya sewaktu krisis perang Iraq-Iran juga sewaktu krisis Perang Teluk. Selamanya bangsa Arab ini dari dahulu sampailah kiamat mereka ini akan tetap tinggal diam dalam kebodohan dan sikap sombong mereka semata.

Di negara kita juga seluruh umat islam di seluruh dunia, mereka menghulurkan simpati dan bantuan dalam pelbagai bentuk. Atas nama insan se agama juga sesama makhluk, kita wajib membantu antara sesama kita.

Segala konsert amal, jualan amal, tabung amal, segalanya yang berbentuk amal belaka mereka jayakan walau biasanya bilamana sesuatu yang dikerjakan itu berkaitan dengan ringgit, peratus amal itu mungkin agak berkurangan.

Pun bagi saya, perhatian yang diberikan agak keterlaluan dan berlebihan sehingga mungkin timbul isu manipulasi juga . Saya rasa lebih afdal jika kita bantu dan dahulukan rakyat kita yang masih banyak lagi memerlukan bantuan dan perhatian. Dengan kos sara hidup yang tinggi hari ini, masih banyak rakyat di dalam negara kita ini yang berada di bawah paras kemiskinan.

Ini jika kita nak minta bantuan pun masih perlu berhadapan dengan pelbagai kerenah birokrasi yang merumitkan, payahlah kalau begitu. Untuk mereka yang di atas sana, jenguk-jenguklah rakyat bawah yang hidup mereka walau dalam kekurangan, pun masih boleh berketawa dan hidup riang walau minum ais kosong segelas.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis

Hadapi Kiamat dengan mendekati Tuhan

Posted: 22 Dec 2012 04:03 PM PST

23 DIS ― Sejak awal tahun ini, tarikh 21 Disember 2012 menjadi bualan hangat masyarakat di seantero dunia.

Bukan kerana tarikh tersebut hanya empat hari sebelum sambutan Hari Natal, tetapi ianya melibatkan kelangsungan umat manusia di muka bumi ini. Pelbagai terma diberikan kepada tarikh tersebut.

Ada yang menyebutnya sebagai Armageddon, Dooms Day dan tidak kurang juga merujuk hari itu dengan terma yang lebih simplistik iaitu hari kiamat.

Namun, tarikh 21 Disember 2012 berlalu sudah tanpa sebarang insiden tidak diingini. Detik-detik menggerunkan yang digambarkan sebelum ini, tidak kunjung tiba. Bagi mereka yang benar-benar akan kedatangan hari kiamat pada tarikh itu, mereka pulang hampa.

Tiada insiden yang mana langit akan pecah, tiada pula asteroid menghentam bumi dan tiada juga gempa bumi besar-besaran. Yang kelihatan pada hari tersebut hanyalah hari yang terang-benderang disinari dengan cahaya matahari.

Ternyata, ramalan oleh masyarakat Maya bahawa dunia akan kiamat pada tarikh 21 Disember nyata meleset dan tidak tepat. Pastinya, segala gembar-gembur yang dilaporkan dalam media massa hanya satu publisiti mengarut.

Malangnya, masih ada segelintir umat manusia yang begitu takut dengan hari berkenaan hingga mendorong mereka membuat persiapan akhir. Di Amerika umpamanya, dilaporkan ada individu yang membeli stok makanan secukupnya dan menyimpan di kawasan bawah tanah. Tidak kurang juga, yang membeli stok perubatan sebagai persediaan menghadapi siri penyakit yang akan melanda dunia.

Mujurlah di Malaysia, penduduk-penduduknya lebih realistik dan tidak begitu mudah untuk terpedaya dengan khabar angin yang tidak berasas. Agak menghairankan mengapa individu-individu yang dimaksudkan itu begitu bimbang dengan hari kiamat?

Segalanya telah ditakdirkan bahawa dunia akan kiamat jua satu hari nanti. Cuma, bila dan bagaimana — ianya akan ditentukan oleh Tuhan pencipta kita. Oleh itu, mengapa mereka perlu menghalang sesuatu yang tidak mungkin dapat dielakkan? Berkemungkinan kumpulan manusia ini tidak kuat imannya. Jika benarlah iman mereka kuat, perasaan takut untuk mati tidak akan berbangkit.

Sesungguhnya, hidup dan mati di tangan tuhan. Bak kata pepatah: manusia hanya boleh merancang, tuhan yang menentukannya. Jika kumpulan manusia sebegini masih berdegil ingin membuat persiapan menghadapi kiamat, lebih baik tempoh terluang digunakan untuk mendekatkan diri dengan Tuhan.

Inilah masa terbaik untuk kita mempersiapkan diri dengan melakukan kerja-kerja ibadah. Sentiasa beramal dan membantu golongan yang memerlukan di saat-saat sukar. Pengisian kehidupan dengan amal ibadah boleh membantu seseorang manusia untuk menghadapi hari-hari sukar dengan tenang.

Kepada kumpulan manusia yang tidak dapat menerima hakikat ini, mereka perlu bertenang dan menerima ketentuan yang telah ditetapkan. Tiada siapa yang ingin mati. Tiada siapa juga yang mahu meninggalkan anggota keluarga tersayang dan lebih-lebih lagi harta-benda yang dikumpul.

Persinggahan kita di muka bumi ini hanyalah sementara sahaja. Setiap umat manusia diutuskan ke bumi ini ada fungsi dan peranannya tersendiri. Dunia di alam fana dan barzakh cukup berbeza. Hanya apabila kita melalui ke fasa itu, baharulah kita dapat merasainya sendiri.

Kita tidak perlu takut untuk mati kerana kematian itu adalah satu hakikat. Mati tidak berakhirnya kehidupan manusia. Bagi penulis, kematian merupakan permulaan kepada satu kehidupan baru di dunia lain.

Pokoknya, bersedialah dari sekarang!

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved