Sabtu, 12 Januari 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Perhimpunan jejaskan perniagaan, kata peniaga

Posted: 12 Jan 2013 02:12 AM PST

KUALA LUMPUR, 12 Jan — Peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Raja Laut mendakwa kerugian ekoran perhimpunan didukungi pembangkang hari ini menyebabkan ramai warga kota kurang mengunjungi kawasan beli-belah itu.

Malah, ada peniaga mendakwa kekurangan pelanggan hampir 80 peratus berbanding hujung minggu sebelum ini. Pekerja sebuah kedai aksesori telefon di Jalan Raja Laut, Omiratna Abas, 19, berkata kedainya tidak dikunjungi pelanggan selepas dibuka pagi tadi.

"Pelanggan kami kurang hingga 80 peratus. Saya lihat kedai makan dan kawasan ini juga lengang sedangkan pada hujung minggu, selalunya pelanggan kami ramai," katanya.

Peniaga Sate Kajang Haji Samsuri di Medan Mara, Romi Yuli, 30, berkata perniagaannya pasti terjejas setiap kali ada perhimpunan seperti itu.

"Walaupun kedai dibuka tetapi kurang pelanggan," katanya yang mengusaha perniagaan itu sejak tiga tahun lepas.

Penjaja makanan, Charles Kato, 26, pula terpaksa sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat bagi mencari pelanggan.

"Saya baru pulang dari Sabah...saya tidak tahu mengenai perhimpunan hari ini. Susah mahu berniaga kerana perhimpunan ini menjejaskan perniagaan saya," katanya.

Tinjauan Bernama di kedua-dua kawasan itu juga mendapati beberapa kedai menutup perniagaan kerana bimbang kemungkinan kejadian tidak diingini berlaku.

Seorang peniaga kain di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Ahmed Bukhara, 43, berkata premisnya terpaksa ditutup kerana keadaan yang sesak dengan peserta perhimpunan.

"Keadaan ini menyebabkan pelanggan tidak mahu datang. Saya tidak suka kerana sebabkan kami rugi...susah nak berniaga," katanya.

Keadaan di Jalan Petaling, yang sering menjadi tumpuan pelancong terutamanya dari negara Arab, juga tidak banyak bezanya apabila ramai peniaga mendakwa sukar berniaga kerana perhimpunan itu.

Kebanyakan pelancong telah diingatkan oleh pengusaha hotel supaya tidak ke kawasan itu hari ini.

Sementara itu, beberapa warga kota yang ditemui juga merungut apabila himpunan itu menjejaskan perancangan hujung minggu mereka.

Penjawat awam, Zulfahmi Syafiq, 25, kecewa kerana terpaksa membatalkan hasratnya dan keluarga membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang melampau. 

Norizah Hasan, 26, pula terpaksa membatalkan hasratnya mengambil kursus perkahwinan di sebuah premis di kawasan itu kerana bimbangkan keselamatan selain kesesakan lalu lintas.

Norizah, dari Kampung Baru di sini berkata beliau akan berkahwin pada Mac depan dan telah mendaftarkan diri untuk mengikuti kursus itu hari ini dan esok.

Seorang guru, Mohd Kadir Abdullah, 42, pula menyifatkan kesesakan lalu lintas di kawasan Tuanku Abdul Rahman adalah sangat luar biasa ekoran perhimpunan itu.

Dalam pada itu, ramai juga yang meluahkan rasa marah mereka terhadap perhimpunan itu melalui laman sosial Facebook dan Twitter masing-masing.

Firdaus Ashraf menyifatkan perhimpunan itu sebagai terlalu fanatik kerana mengganggu aktiviti harian warga kota. — Bernama

Badan kehakiman ulangi komitmen terus junjung kebebasan

Posted: 12 Jan 2013 02:02 AM PST

PUTRAJAYA, 12 Jan — Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria hari ini mengulangi komitmen badan kehakiman untuk berpegang teguh pada prinsip kebebasan.

Beliau berkata badan kehakiman akan terus memperkukuh kedudukannya dan menentang sebarang cubaan untuk melemahkan kedudukannya sebagai sebuah badan bebas.

Ini akan dilakukan melalui latihan dan pengawasan lebih ketat terhadap anggota badan kehakiman, katanya.

"Saya ingin menyeru anggota Majlis Peguam dan orang ramai supaya mengelak daripada memberi rasuah kepada hakim dan pegawai untuk mendapat keuntungan peribadi.

"Sesungguhnya, dalam setiap perbuatan rasuah, pasti ada pemberi dan penerima. Anda semua boleh menyekatnya di peringkat anda," kata Arifin ketika merasmikan Tahun Undang-undang 2013 di Istana Kehakiman di sini.

Beliau berkata Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam dan badan kehakiman berkongsi impian yang sama iaitu untuk melihat badan kehakiman mencapai taraf dunia dan kerjasama rapat yang terjalin antara ketiga-tiga institusi ini merupakan langkah positif ke arah mencapai matlamat ini.

Arifin mengumumkan bahawa badan kehakiman mencatat prestasi cemerlang tahun lepas. Katanya pada tahun ini, institusi itu akan melaksanakan beberapa inisiatif baharu untuk meningkatkan prestasi dan kualiti kerjanya.

Arifin berkata mahkamah khusus berkaitan pembinaan akan ditubuhkan di Kuala Lumpur dan Shah Alam tidak lama lagi untuk mendengar pertikaian mengenai projek pembinaan memandangkan permintaan terhadap projek pembinaan akan terus meningkat.

"Kes berkaitan pembinaan memang unik kerana ia melibatkan isu teknikal, banyak pihak dan pelbagai terma pembayaran. Oleh itu, penubuhan mahkamah khusus mengenai pembinaan akan memberi manfaat kepada industri itu. Dengan mempunyai hakim khas, kes sedemikian dapat diselesaikan dengan cepat," katanya.

Beliau berkata untuk membolehkan Badan Peguam Malaysia dan Jabatan Peguam Negara menambah baik persembahan mereka dalam kes rumit, kemudahan sistem persembahan elektronik akan digunakan bagi membantu mereka ketika membuat persembahan.

Mengenai penyelesaian kes pula, Arifin berkata pada keseluruhannya, jumlah penyelesaian di Mahkamah Persekutuan tahun lepas meningkat sebanyak 175 kes, berbanding jumlah pada tahun sebelumnya.

Katanya Mahkamah Persekutuan berjaya menyelesaikan 759 daripada 1,375 kes rayuan serta permohonan kelulusan tertangguh dan sehingga 31 Dis 2012, terdapat 616 kes yang belum diselesaikan. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved