Isnin, 14 Januari 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Garis panduan sambut Tahun Baru Cina kerajaan Kedah tidak boleh diterima, kata DAP

Posted: 14 Jan 2013 02:36 AM PST

Garis panduan sambut Tahun Baru Cina kerajaan Kedah tidak boleh diterima, kata DAP

garis panduan dari kerajaan negeri menghalang wanita dari melakukan persembahan sempena menyambut Tahun Baru Cina.Garis panduan dari kerajaan negeri Kedah menghalang wanita dari melakukan persembahan sempena menyambut Tahun Baru Cina mendapat kecaman daripada DAP. — Gambar Reuters

KUALA LUMPUR, 14 Jan — Kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS dikecam oleh DAP kerana garis panduan dari kerajaan negeri menghalang wanita dari melakukan persembahan sempena menyambut Tahun Baru Cina.

Menurut Penolong Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching, peraturan melarang wanita dari persembahan di pentas sempena Tahun Baru Cina dianggap sebagai mengarut dan tidak boleh diterima.

"Ini bukan sahaja tidak menghormati hak orang bukan Islam, ini juga diskrimikasi terhadap wanita. Kerajaan negeri Kedah yang dipimpin PAS harus mengkaji semula dan membatalkan garis panduan ini," kata Teo yang merupakan ahli parlimen Serdang.

Menurut Teo, kerajaan yang tidak mendengar kehendak rakyat tidak akan bertahan lama, dan berharap kerajaan Kedah untuk lebih inklusif dalam menyentuh isu-isu sensitif.

"Ini bukan pertama kali kerajaan PR Kedah terlibat dalam kontroversi seperti ini, tindakan mereka menyebabkan Pakatan Rakyat menerima kritikan hebat dari parti komponen BN dan melemahkan peluang PR menjelang pilihan raya akan datang, dan tindakan tersebut hanya menjauhkan rakyat dari pentadbiran.

"Tidak ada parti politik dalam negara ini yang boleh bertahan dengan sokongan satu kaum sahaja. Keputusan dari kerajaan negeri Kedah ini bertentangan dengan semangat slogan PAS iaitu 'PAS for All'," katanya lagi.

Teo berkata, dengan slogan Perdana Menteri 1Malaysia terbukti mengelirukan, rakyat Malaysia juga mula mempersoalkan slogan "PAS for All".

"Kerajaan PAS Kedah tidak seharusnya memandang rendah dengan orang ramai, PR diundi oleh rakyat kerana kemarahan mereka kepada BN.

"Jadi rakyat juga boleh lakukan perkara sedemikian kepada PR sekiranya mereka kecewa dengan pentadbiran," katanya lagi.

Garis panduan dikeluarkan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah pada 9 Januari lepas antaranya melibatkan aspek pemakaian, nyanyian dan tarian, dilihat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Garis panduan itu antara lain menggariskan cara pemakaian pegawai dan artis yang terlibat hendaklah bersopan, tidak menjolok mata, artis digalakkan membuat persembahan nyanyian dan lagu berunsurkan ketuhanan atau nasihat dan tidak melalaikan serta melampau dan jika berlaku nyanyian dan tarian yang melampau, pihak kerajaan berhak memberhentikan program yang dijalankan dengan serta merta.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyifatkan garis panduan kerajaan PAS Kedah mengenai sambutan Tahun Baru Cina, sebagai menggugat serta menghakis hak dan kebebasan golongan bukan Islam di negeri itu.

Beliau berkata demikian merujuk kepada garis panduan mengenai penganjuran program '1Malaysia Sambutan Tahun Baru Cina 2013′ yang akan berlangsung di Star Walk Alor Setar, Kedah, pada 15 Februari depan.

Najib edar angpau percuma sempenan ulangtahun pertama Facebook ‘Ah Jib Gor’

Posted: 14 Jan 2013 02:18 AM PST

Laman Facebook "Ah Jib Gor" bertujuan mendekatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan masyarakat Malaysia. — Gambar fail

KUALA LUMPUR, 14 Jan — Sempena ulang tahun pertama pelancaran laman Facebook "Ah Jib Gor" serta sambutan Tahun Baru Cina pada 10 Feb ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengedarkan sampul angpau khas secara percuma untuk para peminatnya bermula hari ini.

Sampul angpau itu berwarna merah dan memaparkan karikatur Najib dengan berbaju Melayu hijau serta beberapa karakter kartun berbaju tradisional yang dicetak perkataan "Selamat Tahun Baru Cina".

Najib menerusi laman itu mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat-peminat yang memberikan sokongan kepada beliau selama ini dengan memberi cadangan serta mengutarakan idea bernas dalam bahasa Mandarin menerusi laman itu.

"Walaupun saya tidak dapat memberi maklum balas kepada setiap cadangan itu tetapi sudah cukup untuk saya memahami akan suara-suara masyarakat Cina di

Malaysia," katanya dalam laman peminat berbahasa Mandarin itu.

"Sampul angpau ini melambangkan perpaduan serta semangat bersatu-padu di

kalangan semua rakyat Malaysia, diharapkan agar semua masyarakat pelbagai kaum dapat mengekalkan semangat ini serta meneruskan sokongan terhadap kami," katanya.

Menurut laman web facebook "Ah Jib Gor", peminat-peminat hanya perlu "Like" pada laman itu dan menghantarkan alamat rumah serta nama penuh masing-masing ke alamat e-mel ahjibgor@gmail.com dan menyatakan bilangan paket angpau yang diingini.

Setiap paket mengandungi lima keping sampul angpau dan setiap peminat hanya boleh mendapatkan dua hingga lima paket sahaja sementara stok masih ada, menurut laman web itu. 

"Ah Jib Gor" merupakan facebook baru Perdana Menteri dalam bahasa Mandarin, mula beroperasi sejak 16 Januari 2012 sebagai satu lagi platform untuk mendekati masyarakat dengan lebih meluas menerusi laman sosial.

"Ah Jib Gor" yang bermaksud "Abang Najib" dalam bahasa Mandarin, diwujudkan untuk memberikan satu lagi forum kepada pengguna media sosial berbahasa Mandarin untuk mengenali Perdana Menteri sebagai insan biasa dan bukannya sebagai perdana menteri semata-mata. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved