Sabtu, 19 Januari 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Mahathir syor tubuh suruhanjaya siasat pemberian kerakyatan kepada sejuta pendatang asing

Posted: 19 Jan 2013 02:57 AM PST

Mahathir syor tubuh suruhanjaya siasat pemberian kerakyatan kepada sejuta pendatang asing

BUKIT MERTAJAM, 19 Jan — Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan agar ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pemberian taraf kerakyatan kepada sejuta pendatang asing di Persekutuan Tanah Melayu sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan. "Saya hanya mencadangkan sahaja, dan tidak serius tentang itu (melaksanakannya)...tetapi jika mahu menjalankan siasatan mestilah secara menyeluruh, ia tidak adil sekiranya hanya fokus kepada satu perkara sahaja dan tidak perkara lain.

"Terdapat perkara yang sama, saya hanya mahu menunjukkan perbandingan, saya bukan serius mengenainya tetapi saya memang menekankan apabila melakukan sesuatu perkara ia mesti adil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan dan menyampaikan ucaptama pada konvensyen 'Transformasi Ekonomi dan Pelajaran Melayu Pulau Pinang 2013' anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pulau Pinang di Dewan Utama, Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Permatang Pauh di sini hari ini.

Beliau (gambar) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan terhadap tindakannya memberikan taraf kerakyatan kepada 200,000 pendatang asing di Sabah ketika beliau menjadi perdana menteri. Katanya 200,000 pendatang asing itu telah berada di Sabah untuk satu tempoh yang lama iaitu lebih 20 tahun dan menggunakan bahasa Melayu dalam komunikasi serta mengamalkan budaya setempat.

"Dari segi perundangan mereka memang layak untuk mendapat taraf kerakyatan," katanya.

Selain itu, katanya, pemberian taraf kerakyatan kepada sejuta pendatang asing di Persekutuan Tanah Melayu sebelum merdeka dilakukan Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj walaupun ia tidak termaktub dalam undang-undang ketika itu.

"Hal ini berlaku disebabkan orang Melayu pemurah dan bersedia untuk mengurangkan kuasa mereka, ini sangat berbeza dengan apa yang berlaku di Sabah kerana mereka memang berhak untuk mendapat taraf kerakyatan," katanya.

Konvensyen sehari anjuran Perkasa Pulau Pinang itu bertujuan membangkitkan motivasi dan kesedaran di kalangan orang Melayu Pulau Pinang, khusus mengenai ekonomi dan pendidikan.

Antara objektif utama konvensyen sehari ini ialah menjadi salah satu platform utama percambahan minda membincangkan isu serta peluang ekonomi dan pelajaran orang Melayu Pulau Pinang dan menghasilkan resolusi dan pelan tindakan strategik hala tuju transformasi ekonomi dan pelajaran secara dinamik dan holistik yang sentiasa relevan dan kemaskini ke arah pembangunan dan kemajuan ekonomi serta pelajaran orang Melayu.

Tiga kertas kerja dibentangkan pada konvensyen itu. Yang turut hadir ialah isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Yang Dipertua Perkasa Negeri Pulau Pinang Yusof Suhaimi Mohd Yatim. — Bernama

SPR muat naik borang mohon undi pos bulan ini, kata Wan Ahmad

Posted: 19 Jan 2013 02:16 AM PST

KUALA LUMPUR, 19 Jan — Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan memuat naik borang permohonan untuk mengundi secara pos di laman web badan itu pada bulan ini, kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Meskipun ada desakan daripada pihak tertentu supaya kaedah itu dimansuh serta diganti dengan pengundian awal, beliau berkata undi pos tetap relevan dan diperlukan.

"Antaranya adalah untuk anggota polis dan tentera yang terpaksa bertugas di luar negara, di atas kapal atau menjaga sempadan serta tidak sempat untuk mengundi awal. Mereka ini layak memohon undi pos menggunakan borang 1A," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang, buat pertama kali, semua petugas media termasuk wartawan, jurugambar, jurukamera dan juruteknik yang bertugas di luar kawasan berdaftar mereka, layak memohon untuk mengundi pos.

"Bagaimanapun, bilangan sebenar petugas media yang akan menggunakan kemudahan ini hanya akan diketahui selepas SPR menerima semula semua borang permohonan," katanya.

Berdasarkan laporan Bernama sebelum ini, dijangka kurang daripada 10,000 petugas media bakal menggunakan kemudahan itu.

Wan Ahmad berkata petugas media yang ingin mengundi secara pos perlu melengkapkan permohonan serta mendapat pengesahan majikan sebelum dihantar kepada Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya yang berkenaan menerusi faks, pos atau menyerahkannya sendiri.

Beliau berkata tarikh akhir menghantar borang ialah pada hari ketiga selepas penamaan calon, petugas media yang layak (mengundi secara pos) akan menerima sampul keutamaan, antara lain mengandungi kertas undi untuk calon kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri masing-masing.

"Sampul-Sampul keutamaan itu akan dihantar kepada pengundi melalui surat berdaftar dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad, dan juga boleh dikembalikan melalui pos tanpa setem," katanya.

Selain itu, Wan Ahmad berkata turut layak mengundi secara pos adalah pengundi tidak hadir (PTH) iaitu penjawat awam yang berkhidmat di perwakilan luar negara serta pelajar sepenuh masa di luar negara dan pasangan masing-masing, rakyat Malaysia yang berdaftar serta bermastautin di luar negara dan petugas SPR. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved