Ahad, 20 Januari 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Kenyataan rasis Dr M bakal hancurkan BN, kata anak Samy Vellu

Posted: 20 Jan 2013 02:40 AM PST

KUALA LUMPUR, 20 Jan — Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihatkan agar tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berunsur perkauman kerana ia bakal memusnahkan imej Barisan Nasional (BN) yang cuba dipulihkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Pengarah Strategik MIC S Vell Paari.

Anak kepada bekas menteri Kabinet Datuk Seri S Samy Vellu itu menegaskan, tindakan bekas perdana menteri itu mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman hanya akan memberikan kesan negatif kepada pentadbiran Najib kerana kenataan-kenyataan Dr Mahathir akan menjadi "back-fire" kepada BN.

"Kenyataan Dr Mahathir yang bersifat perkauman akan hanya menjadi 'back-fire' buat BN, beliau langsung tidak membantu (BN)," kata Vell Pari (gambar) apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider.

"Beliau cuba memusnahkan imej BN yang cuba dibangunkan Najib yang baru menjadi perdana menteri lebih kurang dua, tiga tahun ini ...  ianya bukan perkara yang mudah," tegasnya lagi.

Beliau turut berkata adalah lebih baik untuk perdana menteri yang telah berkhidmat selama 22 tahun itu "bersara" seperti mana mantan perdana menteri sebelum beliau.

"Beliau patut sedar rakyat Malaysia sudah semakin matang, kenapa perlu gunakan isu perkauman untuk memecah belahkan rakyat?" katanya.

Vell Pari turut memuji langkah proaktif Najib melaksanakan Inkuiri Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat pemberian kerakyatan kepada warga asing di Sabah walaupun sedar tindakannya itu bakal memberikan kesan kepada kerajaan BN.

"Berkenaan RCI di Sabah, kita patut rasa bangga dengan Najib, walaupun ada kenyataan daripada RCI itu yang tidak baik untuk BN, tetapi Najib teruskan ...  beliau cuba untuk menjadi telus," katanya.

"Saya generasi ketiga, ini negara kita, adakah satu hari nanti bila kita selisih di tengah jalan kamu mahu satu keluar parang, dan satu lagi keluar keris?" soalnya, sebagai respon kenyataan perkauman yang dikeluarkan Dr Mahathir dikhuatiri akan memecahbelahkan rakyat negara ini.

Menurutnya lagi setiap individu rakyat Malaysia jelasnya adalah penyumbang kepada negara ini, dan tidak seharusnya isu perkauman itu dimainkan.

"Dr Mahathir langsung tidak membantu," katanya lagi.

Bekas perdana menteri yang masih berpengaruh di negara ini seringkali mengeluarkan kenyataan membidas pembangkang, dan sesetengah pihak menganggap Dr Mahathir seringkali mengeluarkan kenyataan yang bersifat perkauman.

"Dr Mahathir sudah bersara, sepatutnya jangan ganggu pemerintahan negara dengan kenyataan-kenyataan perkauman yang tidak membantu kerajaan.

"Jika Dr Mahathir tidak boleh menolong, janganlah bising-bising," tegasnya lagi.

SYABAS jawab dakwaan kerajaan Selangor di media arus perdana

Posted: 19 Jan 2013 11:26 PM PST

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Syarikat Bekalan  Air Selangor (SYABAS) hari ini mengeluarkan "iklan" di hampir keseluruhan akhbar arus perdana bagi menjawab segala tuduhan dan dakwaan parti pembangkang terhadap syarikat yang menguruskan bekalan air di negeri itu.

SYABAS dalam kenyataan penuh dua muka surat itu menjawab 15 dakwaan yang dilontarkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor pimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Antara dakwaan-dakwaan yang dijelaskan SYABAS termasuklah urusan penyelengaraan pam air, dakwaan tidak mempunyai dana mencukupi untuk membaiki pam ekoran tarif air tidak dinaikkan, peranan seperti termaktub dalam Perjanjian Konsesi, dan banyak lagi.

"Adalah tidak wajar kerajaan negeri yang memegang 30 peratus ekuiti dan mempunyai wakil dalam Lembaga Pengarah SYABAS memberi galakan kepada pengguna untuk memfailkan saman terhadap SYABAS.

"Sedangkan ketidakupayaan dan kekangan yang dihadapi SYABAS disebabkan halangan kerajaan negeri dari meluluskan projek di bawah program penambahbaikan, menaiktaraf, mengganti atau pembangunan baru (Program CAPEX) seperti dicadang SYABAS," kata syarikat itu dalam laporan akhbar yang boleh dilihat dalam akhbar Sinar Harian, New Straits Times, dan kebanyakan media arus perdana lain.

Malah, SYABAS turut menegaskan, halangan melaksanakan Program Perbelanjaan Modal (CAPEX) daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negeri (SPAN) oleh kerajaan Selangor juga membantutkan usaha membaik pulih, menaiktaraf, dan sebagainya.

"SYABAS telah dihalang melaksanakannya apabila ia dibekukan SPAN atas arahan kerajaan negeri sejak Julai 2008.

"SYABAS hanya dibenarkan untuk menjalankan kerja kritikal sahaja serta penyelenggaraan rutin ... itupun setelah mendapat kelulusan SPAN," kata kenyataan itu.

Keadaan itu jelas syarikat tersebut menjadikan seolah-olah "terikat tangannya" dan tidak banyak yang dapat dilakukan syarikat itu akibat pembekuan tersebut.

"Oleh itu mendakwa SYABAS tidak mengambil kira perancangan jangka panjang adalah tuduhan tidak berasas dan tidak adil sama sekali," kata kenyataan tersebut.

Isu air yang melibatkan kerajaan Selangor dan syarikat konsesi air berkenaan semakin berlarutan apabila beberapa kawasan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air.

Keadaan tersebut turut menyaksikan terus berlaku pertikaian mengenai pembinaan Loji Langat 2, yang mana telah dijadualkan semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Selangor, namun dihentikan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor apabila mereka berjaya menawan negeri terkaya di Malaysia itu dalam pilihan raya umum 2008.

Ketiga-tiga pihak sering bertelagah mengenai keperluan loji rawatan air tersebut, dengan BN dan SYABAS mahukan kerajaan Selangor memberikan kebenaran untuk meneruskan projek tersebut.

"Sikap menyalahkan SYABAS yang memberikan perkhidmatan kepada rakyat tanpa memberikan bantuan yang sewajarnya umpama "baling batu sembunyi tangan." kata kenyataan itu di bahagian kesimpulannya.

"Pembekuan kerajaan Selangor dalam CAPEX adalah tidak wajar ... SYABAS berharap kerajaan negeri yang mempunyai tanggungjawab di bawah undang-undang untuk membantu menyelesaikan masalah berkait menambah kapasiti air terawat dapat melihat perkara ini dengan lebih serius.

"SYABAS hanya menguruskan perkhidmatan pengagihan air terawat yang dikeluarkan oleh syarikat operator loji rawatan air yang dilantik kerajaan negeri sendiri," jelas syarikat itu lagi.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved