Ahad, 20 Januari 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Tragedi pembodohan massa

Posted: 19 Jan 2013 03:41 PM PST

20 JAN — Kehebohan yang berlaku di Malaysia beberapa hari lalu memperlihatkan bahawa media sosial sebagai senjata ampuh mempengaruhi dan mendedahkan isu tidak boleh diragui lagi. Setelah media sosial berperanan menjatuhkan beberapa kerajaan seperti di Tunisia dan Mesir, kini ia menghampiri Malaysia.

Belum pun reda fenomena Himpunan Kebangkitan Rakyat (#KL112) yang berlangsung jaya di Stadium Merdeka, Malaysia digegarkan dengan fenomena #listen iaitu video penghinaan Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin terhadap mahasiswi Universiti Utara Malaysia (UUM), Bawani KS yang tersebar luas di laman sosial Facebook dan Twitter. Kedua-dua fenomena ini memunculkan satu hal yang sudah lama terjadi iaitu tragedi pembodohan massa.

#KL112 ditanggapi negatif hampir seluruh media cetak arus perdana kecuali akhbar berbahasa Cina dan Sinar Harian, satu-satunya akhbar berbahasa Malaysia yang berani mengambil sikap objektif. Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa media berbahasa kebangsaan adalah media pembodohan terulung. Media elektronik juga berkelakuan sama dengan pembodohan demi pembodohan menjadi intipati berita.

Sangkaan bahawa media arus perdana akan berubah pasca tsunami politik 2008 jauh meleset. Malah sikap yang diambil semakin membuat rakyat sebal dengan kebebalan mereka. Pengalaman saya membaca akhbar baik Utusan Malaysia mahupun The Star mulai peristiwa Reformasi 1998 hingga kini sama sekali tidak menunjukkan mereka bergerak ke arah kecerdikan.

Alih-alih meratapi kematian media, kita diberi rezeki video penghinaan Sharifah Zohra Jabeen yang jauh lebih berkesan dalam membangkitkan kesedaran rakyat bahawa fenomena pembodohan tidak boleh ditoleransi sama sekali. Meski indoktrinisasi mahasiswa seperti yang terakam di dalam video itu bukan hal baru, bukti nyata sangat diperlukan dan di sini keberadaan media sosial sangat membantu.

Fenomena #listen mengingatkan kembali pembodohan-pembodohan yang saya alami sewaktu menuntut di UiTM pada 1999. Tahun itu sepanas 2012/2013 kerana pilihanraya umum akan menjelang dan dengan bersumberkan surat-surat layang, akhbar Harakah dan akhbar bawah tanah, pembodohan itu dilawan dengan laungan "boooo". Maka rasmi lahirnya generasi Reformasi yang sudah memasuki umur 30an kini.

Fenomena #listen bukan sekadar soal menyokong Pakatan Rakyat (PR) atau Barisan Nasional (BN), tetapi jauh dari itu menyedarkan rakyat bahawa pembodohan adalah tragedi nasional seperti mana rasuah dan pemerkosaan. Kes calon Hakim Agung, Daming Sunusi yang terjadi baru-baru ini di Indonesia harus dijadikan pelajaran. Daming dalam fit and proper test di DPR membantah hukuman mati untuk pemerkosa dengan menyebut. "Yang diperkosa dengan yang memperkosa ini sama-sama menikmati. Jadi harus pikir-pikir terhadap hukuman mati". Jangan sampai pembodohan nantinya diberi pembenaran seperti "Yang dirompak dengan yang merompak harta negara ini sama-sama menikmati. Jadi harus fikir-fikir terhadap perubahan".

Sejak saya bersikap kritikal terhadap kerajaan mulai PRU ke-10, hujah mereka yang mempertahan kerajaan BN tetap sama; bersyukur, negara dah aman damai, Melayu gaduh bangsa lain tepuk tangan & kalau tak suka pindah/pulang ke negara lain/"asal".

Andai tergerak mendukung kerajaan BN sekalipun, hujah saya adalah BN masih pilihan yang lebih baik berbanding PR kerana konsep perkongsian kuasa yang terbukti berjaya walaupun masih perkauman & BN berjaya membangun negara meski hubungan kaum rakyatnya sangat rapuh serta terdedah kepada perkelahian.

Mahu tidak mahu kemenangan PR diperlukan untuk melenyapkan polemik picisan seperti fenomena #listen, seterusnya beranjak ke polemik yang lebih penting dan berisi. Generasi muda masa hadapan diyakini akan lebih kritikal terhadap PR serta BN dan hal ini sangat penting untuk menguatkan masyarakat sivil sebagai kuasa ketiga yang mampu menggerunkan kedua-dua gabungan parti politik.

Barang harus diingat, pembodohan oleh PR terutama di kalangan generasi Reformasi terhadap anak-anak muda generasi tsunami politik sudah mulai menunjukkan bibitnya. Kelompok ini mendakwa sebagai yang paling memahami perjuangan dan sering memandang remeh dinamika perjuangan anak-anak muda yang jauh lebih progresif dan tidak bersifat partisan melulu.

Maka mengangkat PR bukan sekadar peralihan kuasa tetapi untuk meletak batu asas kepada wacana yang lebih cerdik buat generasi masa hadapan. Biarlah anak dan cucu kita mentertawakan generasi #listen asalkan mereka bebas merdeka dan tidak perlu #listen kepada sesiapa.

* Ini pandangan peribadi penulis

 

‘Listen, Listen, Listen to us as well’

Posted: 19 Jan 2013 03:38 PM PST

20 JAN — Sepanjang minggu ini, nama Presiden Suara Wanita 1 Malaysia, Sharifah Zohra Jabeen menjadi bualan hangat dalam laman sosial. 

Perkataan Listen, Listen, Listen kini menjadi trend utama dalam twitter dan Facebook. 

Bahkan, fenomena Opam Gangnam Style dendangan Psy yang selama ini mendominasi ruangan laman sosial kini tenggelam seketika. 

Semuanya gara-gara kerana tindakan Sharifah yang menghentikan pertanyaan yang diajukan oleh seorang pelajar bernama KS Bawani. 

Menurut laporan media tertentu, Sharifah merampas mikrofon daripada Bawani sebelum soalan sempat dihabiskan dan disusuli pula dengan perkataan 'Listen, Listen, Listen.' 

Daripada sikap dan layanan yang ditunjukkan oleh Sharifah terhadap Bawani, jelas terselit satu keangkuhan daripada seorang wanita yang berjawatan tinggi. Kata-kata dan sikap biadap itu tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang yang berintelek, kononnya! 

Dalam apa keadaan sekalipun, hubungan antara seorang manusia dengan seorang manusia lain, ia harus bersifat mutual. Tidak timbul sama ada seseorang itu lebih tinggi pangkatnya, usianya mahupun pengalamannya. 

Yang ditagihkan oleh Bawani ialah jawapan kepada persoalan yang dilontarkan. Beliau tidak pun menjerit ketika melontarkan pertanyaan itu. Maka jika Sharifah tidak begitu selesa dan enggan menjawab soalan-soalan itu, beliau sebenarnya mempunyai pilihan untuk tidak menjawabnya.Tetapi lakukannya dalam cara yang terhormat. 

Adakah begitu sukar untuk menjawab dalam nada yang lebih baik? Mengapakah perlu meninggikan suara dan merampas mikrofon? Adakah kerana Sharifah seorang yang berpengaruh dan berpangkat tinggi, beliau boleh mengeluarkan kata-kata sedemikian? Adakah disebabkan faktor itu, Sharifah boleh dibenarkan terlepas begitu sahaja? 

Jika Sharifah mahu orang lain menghormatinya, beliau wajar berusaha keras untuk meraihnya kembali. Pendek kata, "You don't ask for respect but have to earn it." 

Melihat isu Sharifah lawan Bawani, penulis melihat ada persamaan dalam konteks hubungan majikan dan pekerja.  Semua daripada kita mempunyai pekerjaan masing-masing. Bekerja di syarikat besar, kecil ataupun bekerja sendiri. Semuanya mengharapkan mereka dapat bekerja untuk satu tempoh panjang. 

Masing-masing mempunyai tekanan tersendiri baik ketika berhadapan dengan kerenah boss ataupun bebanan kerja yang banyak. Untuk menjadi seorang boss yang baik kepada kakitangan anda, bukannya mudah. Sebaliknya, ia menuntut keringat yang berlipat ganda. 

Dalam konteks ini, tugas majikan bukan sahaja sekadar mengarah kakitangannya untuk melakukan tugasan yang dimahukan. Seseorang majikan itu perlu mempunyai EQ dan sentuhan peribadi yang tinggi. Maklum, apa yang diuruskan di hadapan kita ialah sekumpulan manusia. Manusia juga memerlukan kasih sayang dan tunjuk ajar yang sempurna. 

Bagi penulis yang pertama kalinya menjadi boss kepada 10 orang kakitangan, penulis sentiasa mengambil pendekatan berhemah dalam menguruskan hal-ehwal kakitangan. Pendekatan yang bersifat sentuhan peribadi menjadi kegemaran penulis. Tidak timbul soal majikan tunduk kepada pekerja tetapi sekadar untuk mengenali dengan lebih dekat kakitangan-kakitangan kendaliannya. 

Percaya atau tidak, kesudahannya cukup menakjubkan! Mereka memberikan maklum balas positif dan menyahut cabaran yang dipertanggungjawabkan. Ini bermakna, pendekatan "mengarah" tidak semestinya berhasil dan wajib dipraktikkan dalam hubungan majikan-pekerja. 

Episod hitam Sharifah-Bawani yang kini semakin viral di internet wajar dijadikan pedoman oleh kita semua khasnya dalam soal menguruskan hubungan antara manusia. Jangan hanya diarahkan untuk "Listen, Listen, Listen" tetapi juga listen, listen, listen to us as well! 

Seperti mana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pernah mengatakan bahawa era kerajaan yang mengetahui semuanya sudah berakhir. Tidak wajarkah kita menyahut gesaan PM itu? 

* Ini pandangan peribadi penulis

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved