Ahad, 27 Januari 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Perkasa tidak berhasrat mahu bakar Injil lagi

Posted: 27 Jan 2013 01:26 AM PST

KUALA LUMPUR, 27 Jan — Selepas bantahan dari orang ramai mengenai ugutan membakar kitab Injil minggu lalu, kumpulan Melayu berhaluan kanan Perkasa berkata mereka tidak lagi mahu membakar buku suci itu.

"Kami tidak bercadang lagi untuk bakar (kitab Injil)," kata setiausaha agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali memberitahu The Malaysian Insider hari ini.

"Kami tak pernah bercadang untuk anjurkan (bakar kitab Injil)," katanya lagi.

Minggu lalu, pemimpin Perkasa Datuk Ibrahim Ali (gambar) menyeru umat Islam membakar kitab Injil yang mengandungi perkataan "Allah" atau sebarang kalimah Arab.

Ugutan tersebut menimbulkan kemarahan pemimpin bukan Islam, terutamanya ahli politik dan agamawan, yang mengatakan pemimpin berhaluan kanan itu menimbulkan kebencian di kalangan agama dari kalangan dua agama terbesar dianuti di negara ini. Pada Selasa lalu, seorang paderi dari Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap dakwaan edaran risalah mengatakan pesta membakar kitab Injil berlangsung di Butterworth, yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Tetapi menurut The Star Online, tiada siapa yang menghadiri pesta tersebut.

Syed Hassan berkata beliau mengetahui perkara ini, tetapi ahli Perkasa tidak ada niat untuk menghadiri pesta tersebut.

"Ahli Perkasa tidak mendapat sebarang risalah, jadi saya rasa itu cuma khabar angin untuk membakar kebencian selepas kenyataan Datuk Ibrahim Ali," katanya lagi.

Beliau menegaskan kenyataan Ibrahim cuma "amaran awal" untuk semua mengambil isu "Allah" secara serius.

Syed Hassan juga melaporkan semalam Perkasa mungkin akan mengadakan rundingan meja bulat dengan gereja tempatan untuk membincangkan kenyataan Ibrahim.

Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) semalam mengecewakan pemimpin gereja dengan mengeluarkan khutbah Jumaat lalu yang menyeru umat Islam berhati-hati dengan "musuh Islam" yang cuba mengelirukan umat Islam bahawa semua agama berkongsi Tuhan yang sama.

Pemimpin Islam dan Kristian saling bertikam lidah berkenaan isu kalimah "Allah", yang didakwa ekslusif untuk Tuhan umat Islam.

Sebuah gereja dibakar selepas Mahkamah Tinggi memutuskan pada 2009 bahawa umat Islam tidak mempunyai hak ekslusif ke atas perkataan "Allah".

Debat mengenai isu ini dibangkitkan semula bulan lalu selepas setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng yang juga merupakan ketua menteri Pulau Pinang, menyeru agar Putrajaya membatalkan semula pengharaman kitab Injil berbahasa Malaysia di sebelah Borneo Malaysia.

Sebuah kumpulan gereja Sabah berkata kebebasan bumiputera Kristian diserang, dan mengatakan majoriti penganut tersebut datang dari negeri tersebut dan menggunakan bahasa Malaysia.

Kumpulan Buddha pula menyeru Jabatan Perpaduan dan Intergrasi Nasional, di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menyelesaikan masalah kalimah "Allah" ini.

Lebih sejuta penganut agama Hindu banjiri Batu Caves

Posted: 27 Jan 2013 12:54 AM PST

KUALA LUMPUR, 27 Jan — Lebih sejuta penganut agama Hindu mengunjungi Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves di sini bagi membayar niat dan menebus dosa sempena sambutan Thaipusam hari ini.

Sambutan yang dimasukkan dalam kalendar pelancongan Malaysia itu turut menggamit pelancong asing yang tidak mahu melepas peluang melihat keunikan perayaan yang mungkin tidak pernah dirai di negara mereka.

Tinjauan Bernama mendapati kawasan Batu Caves dibanjiri penganut agama Hindu sejak tiga hari lepas dan bilangan pengunjung bertambah hari ini apabila ritual membayar niat bermula dengan mendaki 272 anak tangga menuju ke kuil di dalam gua itu.

Seperti sambutan sebelum ini, penganut membayar niat dengan pelbagai cara termasuk mencukur kepala, membawa 'pal kudam' (belanga susu) dan 'kavadi' yang dihias cantik.

Seorang penganut wanita, D. Rathalakshmi Devalajar yang mencukur rambutnya, berkata beliau bernazar untuk berbuat demikian jika suaminya yang terlibat dalam kemalangan kembali sihat.

"Pada tahun ini, selepas pembedahan lutut, suami saya kembali sihat," katanya yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital kerajaan. Pelancong dari Abu Dhabi, Rhonda Walker pula teruja melihat perarakan membawa 'kavadi' yang diirngi pukulan gedang dan alat muzik lain.

"Ini kali pertama saya menyaksikan sambutan ini yang sangat unik dan mengagumkan. Saya tiba di sini semalam, semata-mata untuk menyaksikan sambutan ini," kata Walker yang juga seorang jurugambar.

Dani Rohdes dari Afrika Selatan pula menganggap sambutan Thaipusam sebagai sangat unik dan berwarna-warni.

Turut dikenali sebagai Thaipooyam dalam bahasa Malayalam dan disambut pada bulan 'Thai' atau bulan ke-10 dalam kalendar Tamil, Thaipusam juga bagi memperingati hari lahir Dewa Murugan dan kejayaannya menghapus kuasa jahat bernama Soorapadman.

Seperti tahun sebelumnya, suasana di sekitar kuil itu juga meriah dengan kebanjiran gerai yang menjual pelbagai jenis barangan selain beberapa gerai pameran agensi kerajaan.

Di Ipoh, lebih 20,000 penganut Hindu membanjiri Kuil Arul Subramaniar yang terletak di kawasan batu kapur Gunung Cheruh berhampiran Medan Istana di sini sejak petang semalam, bagi menyambut perayaan Thaipusam.

Selain berjalan kaki membawa periuk susu, ada penganut Hindu membawa kavadi melalui beberapa laluan utama dalam bandar raya Ipoh yang ditutup kepada lalu lintas bagi keselamatan mereka.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir melakukan tinjauan mesra untuk bertanya khabar dan beramah mesra dengan penganut Hindu di sekitar kawasan itu.

Di George Town, lebih 100,000 penganut Hindu dan pelancong asing bertumpu di kuil-kuil Hindu di Jalan Kebun Bunga di sini.

Mereka membanjiri sepanjang jalan utama menuju Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani yang terletak di atas bukit itu.

Turut memeriahkan suasana ialah Jawatankuasa Kerja Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang melawat 'Thanir Panthal' serta beramah mesra dengan pengunjung di sepanjang Jalan Kebun Bunga dan Jalan Air Terjun.

Pengerusinya, Teng Chang Yeow berkata pihaknya mempertimbangkan cadangan penganut Hindu untuk membina eskalator bagi memudahkan orang ramai yang perlu mendaki 513 anak tangga untuk mengunjungi kuil berkenaan.

"Kita akan laksanakan projek itu jika rakyat memberi mandat kepada BN mentadbir negeri ini. Dengan adanya eskalator itu nanti diharapkan warga emas, kanak-kanak dan orang kelainan upaya lebih mudah melawat kuil itu," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, pelancong dari Kanada G.C Paula, 32, tidak melepaskan peluang hari terakhirnya di negeri ini dengan merakam foto kenangan di kawasan sambutan Thaipusam bersama lima rakannya.

"Satu budaya yang mengagumkan, semua berkumpul dalam suasana harmoni dan meriah walaupun cuaca panas dan melaksanakan ritual yang unik," katanya.

S. Vishnutharan, 34, dari Taiping berkata beliau datang untuk menzahirkan rasa syukur isterinya selamat melahirkan anak sulung mereka dua bulan lepas dengan menjunjung periuk susu.

"Tahun lepas saya datang ke sini (kuil) berdoa supaya dapat anak, syukurlah Tuhan mendengarnya," katanya.

Di Kedah, Parti Progresif Penduduk mengagihkan 30,000 bungkusan nasi selama tiga hari sejak semalam kepada penganut Hindu yang meraikan sambutan Thaipusam di Kuala Muda. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved