Ahad, 13 Januari 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


DAP salah kira undi, salah teknik saja

Posted: 12 Jan 2013 03:40 PM PST

13 JAN — Memang DAP malu apabila ia mengumumkan keputusan pemilihan Jawatankuasa Pusatnya yang salah kira.

Dalam keputusan yang salah kira itu, anak Khir Johari yang sepatutnya menang telah kalah.

Macam-macam DAP diperli kerana kerana tiada seorang pun calon Melayu berjaya menduduki kerusi jawatankuasa 20 orang itu.

Apabila undi itu dikira semula selepas kongresnya selesai maka didapatinya kiraan awal itu silap.

Anak Khir Johari itu menang dan salah seorang yang diumumkan menang dulu rupanya kalah.

Maka DAP tiada pilihan selain dari membetulkan kesilapan itu, mengumumkan kesilapan itu kepada umum. Anak Khir diberi apa yang hak untuknya, dan yang kalah dulu tetapi diumumkan menang, diletakkan kepada kedudukanny betul dalam pemilihan itu.

Orang luar tidak tahu DAP salah kira. Mungkin ia boleh didiamkan saja dan orang pun tildak tahu apa yang berlaku. Oleh kerana DAP mahu menunjukkan ia telus dan jujur, maka ia mengumumkan kesilapannya itu walaupun ia memalukannya dan menggamit perli dari musuh politiknya.

Kesilapan DAP itu ssekadar salah kira. PAS pernah melakukan kesilapan yang sama semasa pimpinan Dato Asri hendak memecat keanggotaan Dato Mohamad Nasir yang menjadi Menteri Besar Kelantan masa itu.

Usul pemecatan itu sudah diumumkan. Catatan mesyuarat Jawatankuasa Pusat mencatitkan siapa yang menyokong dan siapa yang menentang. Ketika minit mesyuarat itu dirangka didapat undi yang menyokong sama banyak dengan yang menentang. Macam mana jadi sama sedang semasa mesyuarat dulu undinya berbeza satu.

Rupanya semasa membilang undi secara angkat tangan, yang membilang tidak mengira undinya sendiri sedang dalam catitan dia sendiri mengundi.

Datuk Asri sebagai pengerusi memanggil sidang akhbar mengumumkan kesilapan itu. Dia menyebut kesalahan itu sebagai salah teknik dan dibetulkan.

Maka apa yang terjadi kepada DAP itu sekadar memalukan sikit tetapi tidaklah menjejaskannya sebagai sebuah parti yang berkembang. Ia bukan satu penipuan yang ditujukan kepada mana-mana pihak dalam partinya.

Jauh bezanya sepak terajang kumpulan Dr. Mahathir menghadapi cabaran Tengku Razaleigh tahun 1987-88 dulu. Mereka bukan sekadar tipu menipu, bahkan berkelahi dalam parti.

Apa yang dialami oleh DAP atas salah teknik itu tidak sampai satu peratus dari politiking Umno yang berkuasa menghadapi cabaran berdua Ku Li dan Musa Hitam itu. Tidak mungkin kesilapan itu menyebabkan DAP diharamkan oleh mahkamah seperti yang terjadi pada Umno gara-gara perbalahan Dr. Mahathir dan Ku Li itu.

Mungkin ia memalukan tetapi tiada apa yang hendak dimalukan sangat kerana ia satu kesilapan teknik, bukan suatu yang disengajakan.

DAP sendiri menyedari kelemahannya dan segara bertindak membetulkannya ssecara berterangan. Tidak pula menyembunyikan bagi mengelakkan diketahui orang.

Apakah dengan kejadian itu DAP dikira tidak telus dan tidak cekap?

Jika ia tidak telus, tentu ia tidak didedahkannya. Ia mendedahkan kesilapannya itu sebelum ia diketahui orang lain. Maka payah hendak mensabitkan kejadian itu sebagai ia tidak telus.

Apakah DAP tidak cekap? Boleh ditohmah demikian. Tetapi sekadar satu kejadian tidak cukup hujah bagi mengecapnya sebuah pertubuhan yang leceh.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Jangan biarkan krisis air berterusan di Lembah Klang

Posted: 12 Jan 2013 03:35 PM PST

13 JAN — Krisis air terbaharu yang berlaku di Lembah Klang sejak akhir Disember lalu cukup menyedihkan.

Bagi sebuah kota metropolitan seperti Kuala Lumpur yang terkenal dengan destinasi membeli-belahnya dan bangunan pencakar langit terkenal, krisis air berkenaan nyata tidak dapat diterima.

Bukan sahaja krisis air ini menjadi bahan gurauan masyarakat antarabangsa bahkan juga menyulitkan kehidupan seharian penduduk gara-gara kerana kelemahan sistem pengurusan air.

Apa yang berlaku di Ampang, Gombak, Cheras dan Wangsa Maju sejak dua tiga minggu sudah tidaklah mengejutkan. Sebaliknya, tanda-tanda ke arah berlakunya krisis air sudah jelas di hadapan mata semua. Namun, ia tidak dipandang serius. Ada yang berpandangan krisis itu tidaklah sebesar mana. Akan tetapi, apabila krisis air itu berlarutan selama beberapa minggu, berlakunya situasi kurang senang dan tuding-menuding antara satu sama lain.

Tatkala krisis air semakin meruncing di Lembah Klang, kerajaan Pusat dan negeri Selangor masing-masing menuding jari mengenai siapakah sepatutnya yang harus bertanggungjawab. Malangnya, kedua-dua pihak masih enggan mengalah.

Kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Pusat, sebarang hasrat untuk menggunakan krisis air ini sebagai senjata meraih undi rakyat perlu dipertimbangkan semula.

Ia merupakan satu strategi berisiko yang hanya akan memakan diri kedua-dua pihak jika diuruskan dengan buruk. Kepimpinan kerajaan pusat dan negeri Selangor perlu sedar bahawa air merupakan komoditi terpenting dalam kehidupan dan survival manusia.

Malah teori Abraham Maslow meletakkan sumber air sebagai salah satu keperluan fisiologi yang diperlukan manusia.  Tanpa bekalan air, segala kehidupan dan kelangsungan mereka akan terancam.

Justeru, pengumuman Syarikat Bekalan Air Selangor, SYABAS beberapa hari lalu bahawa krisis air di Lembah Klang akan diselesaikan menjelang Khamis depan, amat dialu-alukan.

Sekurang-kurangnya, jaminan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan kerunsingan penduduk dan tidak perlu menunggu bekalan air dari lori tangki SYABAS.

Bagaimanapun, terdapat beberapa kemusykilan yang wajar dibangkitkan mengenai krisis air ini agar ia tidak akan berulang di kemudian hari. Antaranya, bagaimanakah bekalan air tidak mencukupi di Lembah Klang?

Semua sedia maklum, iklim di Malaysia ialah panas dan lembap sepanjang tahun. Bermakna, taburan hujan adalah mencukupi. Malah, baru-baru ini berlakunya banjir besar di beberapa buah negeri di Semenanjung.

Oleh itu, dimanakah logiknya untuk mengatakan air tidak cukup? Apabila Syabas baru-baru ini menegaskan gangguan bekalan air berlaku kerana wujud peningkatan permintaan air, syarikat berkenaan sepatutnya membuat persediaan awal untuk berhadapan dengan situasi sedemikian. Laksanakan pelan bertindak 5 atau 10 tahun bagaimana untuk menangani permintaan air yang makin meningkat, bukannya menunggu masalah itu berlaku baru bertindak.

Selain itu, budaya penyelenggaraan yang lemah juga dilihat sebagai antara punca mengapa krisis air di Lembah Klang berlarutan. Menurut tinjauan Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air di Selangor, empat daripada lima rumah pam gagal berfungsi pada 2 Jan lalu sementara rumah pam kedua dilaporkan sudah mengalami kegagalan berfungsi lebih daripada setahun.

Jika benarlah dakwaan yang dilaporkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris, maka timbul beberapa tanda-tanya di sini. Pertama, mengapakah kegagalan fungsi rumah pam kedua itu tidak ditangani segera sehingga lebih setahun lamanya? Apakah kerosakan di rumah pam kedua tersebut tidak begitu penting hingga ia boleh dibiarkan hingga ke hari ini?

Dari perspektif pengguna air, mereka tidak boleh dipersalahkan jika merasa marah dan kecewa terhadap SYABAS. Apa yang dimahukan oleh kebanyakan pengguna ialah tahap perkhidmatan dan kualiti air yang konsisten. Saban bulan, pengguna terpaksa membelanjakan wang untuk melangsaikan bil air. Biarlah bayaran yang dilangsaikan itu setanding dengan kualiti perkhidmatan yang diberikan.

Yang pasti, isu kemarahan pengguna mengenai krisis air tidak akan berbangkit jika segala lompong yang dinyatakan tadi ditangani dengan baik. Sudah sampai masanya jika pihak pembekal air seperti Syabas memberi perhatian serius kepada budaya penyelenggaraan semua rumah pam kendaliannya. Pastikan bahawa segala kerosakan diuruskan pada kadar segera dan tidak menunggu di saat-saat akhir.

Bagi syarikat pembekal air di negeri-negeri lain pula, mereka harus jadikan krisis air di Lembah Klang sebagai iktibar berharga. Jangan biarkan kebajikan penduduk terabai gara-gara kerana kesilapan pihak tertentu.

Krisis air yang berpanjangan di Lembah Klang tidak akan menguntungkan mana-mana pihak. Menjadi harapan semua pihak untuk melihat kerajaan Pusat  bersama dengan kerajaan negeri serta Syabas harus duduk bersama dan tampil dengan satu jalan penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah air ini.

Jika penyelesaian jangka panjang yang dikemukakan masih gagal mengatasi krisis air itu, mungkin kerajaan pusat atau negeri boleh menimbangkan keputusan untuk mengambil alih syarikat pembekal air terbabit demi mengembalikan keyakinan rakyat.

Ketepikanlah sengketa dan politiking anda buat seketika demi rakyat!

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved