Ahad, 13 Januari 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


SPR hormati keputusan TI-M tarik diri pantau pilihan raya

Posted: 13 Jan 2013 12:55 AM PST

KUALA LUMPUR, 13 Jan — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memaksa Transparency International Malaysia (TI-M) untuk menjadi pemantau pilihan raya, dan menghormati keputusan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut apabila mereka menarik diri dari memantau pilihan raya tahun ini.

Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, banyak lagi NGO menawarkan diri untuk menjadi pemantau pilihan raya, tetapi SPR akan menapis bagi memastikan NGO tersebut benar-benar berkaliber dalam menjalankan tugas tersebut.

"Tu hak dia, tu keputusan dia. Tiada masalah. Kita menawar (untuk memantau pilihan raya) kepada semua NGO, kalau dia menolak, itu hak mereka.

"Tapi bagi saya, rugilah dia," kata Wan Ahmad (gambar) ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Minggu lalu, TI-M menolak jemputan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pemerhati untuk pilihan raya umum ke-13, apabila mengatakan terdapat "pertikaian" dalam terma perjanjian antara badan pengendali pilihan raya itu berhubung pemerhati pilihan raya domestik.

Bagaimanapun, pemerhati anti rasuah global itu tidak mendedahkan pertikaian tersebut, sebaliknya melalui kenyataan yang diedarkan kepada media hari ini, pihak TI-M berkata, mereka akan merahsiakan puncanya demi menjaga hubungan dengan SPR.

"TI-M telah bersetuju untuk tidak menyatakan sebabnya untuk menggalakkan perbincangan yang bebas dan berterus terang," kata TI-M dalam satu kenyataan hari ini.

Setiausaha Agung TI-M, Josie M Fernandez, dalam kenyataannya turut menjelaskan TI-M juga sebelum ini telah bekerjasama dengan SPR berkenaan penambahbaikan sistem daftar pemilih, termasuk pembiayaan politik, dan agensi yang bersedia untuk berbincang mengenai isu tersebut.

"TI-M sebelum ini telah terlibat dengan beberapa perbincangan dengan SPR," kata Fernandez, dan menambah ketika pertemuan-pertemuan itu, TI-M akan menggesa SPR untuk mematuhi standard antarabangsa dan norma asas dalam proses pemerhati pilihan raya.

"Bagaimapun, TI-M ada menyuarakan beberapa pertikaian dalam Terma Rujukan yang dietetapkan SPR mengenai pemerhati pilihan raya domestik," katanya.

Pemantau pilihan raya oleh NGO ini inisiatif yang pertama kali diperkenalkan SPR, bertujuan memberi peluang kepada NGO berkenaan menilai sendiri ketelusan dan peraturan SPR sepanjang pilihan raya berlangsung.

SUPP: Perhimpunan pembangkang tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada BN

Posted: 12 Jan 2013 11:42 PM PST

Chin berkata daripada mengadakan demonstrasi jalanan, adalah lebih baik sekiranya pakatan pembangkang cuba turun padang untuk memberi penjelasan kepada orang ramai tentang kemampuan mereka. – Gambar oleh Choo Choy May

MIRI, 13 Jan – Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka anjuran parti pembangkang semalam tidak menghakis sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13, kata Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata anggaran kehadiran 50,000 hingga 60,000 peserta pada perhimpunan itu tidak boleh dijadikan ukuran tentang sokongan yang diterima pembangkang.

"BN tidak perlu takut, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada Kabinet pada 1998, perhimpunan serupa dihadiri 50,000 hingga 60,000 peserta, tetapi sokongan terhadap BN tidak terjejas," katanya kepada pemberita selepas melawat sebuah rumah kebajikan untuk warga tua kelolaan pihak swasta di sini, menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, di sini hari ini.

Chin, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata daripada mengadakan demonstrasi jalanan, adalah lebih baik sekiranya pakatan pembangkang cuba turun padang untuk memberi penjelasan kepada orang ramai tentang kemampuan mereka.

"Saya harap pakatan pembangkang boleh hentikan demonstrasi jalanan, ia bukan cara Malaysia, mesej apa yang cuba mereka sampaikan atau apakah hasil yang ingin mereka capai, selalulah turun padang dan beritahu orang ramai siapakah yang akan menjadi perdana menteri sekiranya pakatan memenangi pilihan raya umum akan datang, tapi itu pun mereka tak mampu jelaskan kepada rakyat," katanya.

Menjawab pertanyaan pemberita sama ada beliau mempunyai petunjuk bilakah parlimen akan dibubar, Chin, yang juga Anggota Parlimen Miri, berkata ia tidak mungkin berlaku bulan ini atau bulan depan.

"Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kini giat turun padang untuk menilai keadaan politik dan memandangkan Tahun Baru Cina akan disambut tidak lama lagi, tidak mungkin pilihan raya akan diadakan," katanya.

Beliau berkata tarikh pilihan raya umum tidak sepatutnya menjadi rahsia besar memandangkan penggal kerajaan sedia ada akan berakhir pada 28 April tahun ini.

Banyak pihak berpendapat bahawa memandangkan Tahun Baru Cina akan disambut pada 10 dan 11 Feb dan pelbagai bantuan kewangan akan disampaikan antara sekarang dan Mac, maka Perdana Menteri mungkin membubarkan Parlimen pada Mac.

Pemerhati politik meramalkan Parlimen akan dibubar pada minggu pertama Mac dan pengundian dijangka diadakan menjelang akhir bulan itu. – Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved