Isnin, 28 Januari 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Menjadi pemandu pelancong di Bali

Posted: 27 Jan 2013 04:19 PM PST

28 JAN — Sedar tidak sedar sudah 9 bulan saya menetap di bumi Bali, 6 bulan pada trip pertama dan 3 bulan pada trip kedua. Sudah semestinya banyak sisi Bali yang dipelajari, positif dan negatif. Bagi banyak orang, Bali adalah pulau syurga dan begitulah saya melihatnya sampai detik ini.

Satu hal pasti syurga bagi saya belum tentu dikongsi sama individu lain. Bali seperti belahan dunia lain punya sisi syurga beragam; cukup adil dicipta Tuhan untuk dinikmati para penggemar budaya tradisinya, laut, gunung, tasik, wanita, hedonisme, makanan dan banyak lagi.

Mendukung ekonomi desa dengan mendaki Gunung Batur.

Perjalanan 9 bulan memberi banyak erti dalam berhenti sejenak melihat hidup sambil berjalan-jalan mengelilingi syurga ini. Berkat jaringan yang dicipta beberapa tahun dahulu bersama seorang aktivis di Bali bernama Ngurah Termana, saya sempat memanfaatkan keberadaan di sini bekerja sambilan sebagai pemandu pelancong bahkan kadangkala pemandu kereta.

Berawal dari sembang kosong, idea mencipta sebuah agensi pelancongan menjadi realiti meski bentuknya lebih mirip kepada komuniti pelancongan. Kenapa komuniti? Alasannya mudah. Kami berdua adalah pelancong dan pengembara yang suka berjalan-jalan dan tahu benar seperti apakah agensi pelancongan itu yang bermentaliti wang dan wang. Tidak pula bermaksud mengecilkan peranan wang, namun menghargai pelancong sebagai manusia jauh lebih bererti daripada sekadar komoditi. Maka dari situ lahir ungkapan, dari pelancong untuk pelancong.

Komuniti pelancongan yang kami cipta diberi nama Alternative Tourism Bali yang memfokuskan kepada sisi alternatif Bali di samping tidak melupakan sisi mainstream yang sudah terbentuk sekian lama. Hasrat ini timbul setelah melihat betapa ramainya pelancong yang berkunjung ke sini tetapi tidak menyedari kedatangan mereka tidak memberi impak secara langsung kepada kehidupan masyarakat Bali, malah menyumbang secara tidak langsung kepada kerosakan Bali.

Di syurga ini, sudah menjadi pengetahuan umum bahawa kebanyakan hotel berbintang dimiliki oleh orang asing terutama yang tersergam megah di daerah elit bernama Nusa Dua. Bukan menolak pembangunan dan orang asing, tetapi tatkala keadilan sosial dipinggirkan seperti membayar gaji yang rendah, bersikap rasis terhadap yang lemah dan sebagainya, sudah cukup ramuan untuk mengambil sikap melawan.

Tebing di Pantai Selatan Bali.

Sudah lumrah di villa-villa megah di Seminyak dan Ubud, sedang tetamunya asyik menikmati kolam renang dengan pemandangan sawah yang indah, tidak jauh berjiran penduduk-penduduk kampung menghadapi masalah kekurangan air. Banyak pemilik villa yang majoritinya orang asing beroperasi secara haram dengan menyewakannya secara diam-diam kepada pelancong dari negara asal pemilik sekaligus tidak menyumbang kepada pendapatan desa setempat.

Contoh-contoh ini hanya serba sedikit dari kerosakan yang dicipta industri pelancongan yang tidak bertunjangkan kemanusiaan dan alam. Memang sukar untuk melawan kaum kapitalis penindas yang di mana-mana mempunyai beribu alasan untuk mewajarkan penindasan. Meski usaha ini masih kecil, setidak-tidaknya ini langkah awal dalam mengatur industri pelancongan di Bali untuk beralih kepada suatu sistem yang manusiawi dan berkelanjutan buat generasi akan datang.

Sudah ratusan pelancong kami layani dan majoritinya dari Malaysia dan sisanya dari Singapura, Brunei serta Indonesia sendiri. Menjadi kepuasan tersendiri apabila didedahkan dengan fakta-fakta yang jujur tentang kondisi Bali, mereka menghargai dan merasa lebih peduli untuk menjaganya. Buat saya, melihat dunia dan menjaganya jangan sesekali menggunakan batas negara sebagai neraca. Indonesia itu saya, Malaysia itu saya dan dunia itu saya.

Bagaimana untuk menjaga Bali? Sebenarnya mudah, mulakan dengan hal-hal kecil seperti menahan diri daripada menginap di hotel berbintang lima di Nusa Dua dan di bahagian Bali lainnya sebaliknya pilihlah hotel-hotel milik orang tempatan atau homestay yang disediakan penduduk desa. Jika tidak mampu melawan nafsu fasiliti yang disediakan, hindari restoran-restoran mahal dengan menikmati hidangan di warung-warung kecil dan sederhana. Jika tetap gagal, paling tidak berbicaralah dengan para pekerja dan tanyakan kebajikan mereka supaya timbul rasa untuk melakukan sesuatu yang positif.

Sudah setahun beroperasi banyak yang dipelajari dan satu hal pasti, komuniti pelancongan ini akan terus bertahan dalam perjuangan panjang mengkedepankan kemanusiaan berbanding rupiah, ringgit dan dollar. Menjadi bahagia itu sederhana, berbagi sesama dan menolak haloba.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Intertekstual dan plagiat

Posted: 27 Jan 2013 04:07 PM PST

28 JAN — Apabila menonton filem atau siri televisyen, saya suka meneliti ciri intertekstual yang terkandung di dalamnya. Hal ini berlaku secara spontan kerana saya menonton filem bukan sekadar untuk berhibur tetapi untuk merangsang pemikiran kreatif dan kritikal secara yang menyeronokkan.

Filem "The Words" (2012) adalah mengenai apa yang terkandung di dalam dan di luar sebuah novel berjudul "The Words". Bagaimanapun novel berkenaan tiada apa-apa kaitan dengan autobiografi Jean-Paul Sartre berjudul "Les Mots" (1963), di mana judul itu bermakna "the words" dalam Bahasa Perancis.

Filem 'The Words' tidak sesuai bagi khalayak yang mengharapkan hiburan ringan.

Seorang pemuda (lakonan Ben Barnes) yang baru kematian anak dan baru ditinggalkan isteri mula menulis — menaip menggunakan mesin taip — kisah-kisah berdasarkan pengalamannya. Manuskrip itu kemudian hilang apabila tertinggal di dalam kereta api yang dinaiki isterinya.

Lebih 50 tahun kemudian, manuskrip berkenaan ditemui seorang penulis muda (lakonan Bradley Cooper) yang menaipnya semula bulat-bulat — menggunakan komputer riba — untuk diterbitkan. Lalu, penulis asal (yang kini sudah tua; lakonan Jeremy Irons) datang untuk memberitahu bahawa kisah dalam buku itu adalah sebenarnya apa yang ditulisnya dan kemudian hilang.

Kisah itulah yang secara amnya disajikan menerusi novel berjudul "The Words" karya seorang pengarang terkenal (lakonan Dennis Quaid) dalam filem berjudul "The Words" yang ditulis serta diarahkan oleh Brian Klugman dan Lee Sternthal. Cukup memeningkan, bukan?

Apabila menonton filem berkenaan pada 4 Januari 2013, saya segera teringat akan insiden makalah saya mengenai Kathakali (Dewan Siswa, Oktober 1995) yang turut saya paparkan di laman sesawang diplagiat seorang individu tidak dikenali menerusi sebuah makalah yang disiarkan dalam majalah Dewan Budaya (Februari 2012).

Pengalaman plagiat itu turut saya gunakan untuk menghasilkan cerpen "Ingin Jadi Sasterawan" (Fokus SPM, Julai 2012) dan "Penulis dari Pulau Cinta" (Tunas Cipta, Oktober 2012). Kedua-dua cerpen itu saya jadikan contoh dalam bengkel penulisan cerpen dan makalah anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) untuk mengingatkan peserta tentang bahaya mencuri (menciplak) karya orang lain.

Bagaimanapun, apabila cerpen saya disiarkan di Tunas Cipta, ada pula pihak luar yang tampil "mencucuk" orang dalam di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan menyebarkan khabar angin bahawa saya menulis cerpen berkenaan untuk memperli dan mempersenda DBP. Ternyata memang puak anti-Uthaya dan anti-Kavyan tidak pernah duduk diam dan tidak pernah menggunakan otak dalam usaha mereka yang bertentangan dengan ajaran mana-mana agama.

Dalam pada itu, individu yang memplagiat makalah Kathakali sudah disenarai hitamkan oleh DBP secara profesional dan penuh beretika menerusi surat bertarikh 1 Mac 2012. Saya kagum dengan sikap tegas yang ditunjukkan. Itulah juga mesej yang mahu saya sampaikan menerusi dua cerpen tadi; iaitu risiko yang terpaksa ditanggung jika menciplak atau memplagiat karya orang. 

Hubungan filem dengan karya lain

Saya ada menyebut istilah "intertekstual" pada bahagian awal makalah ini. Teori intertekstual dikemukakan oleh Mikhail Bakhtin dalam "Speech Genre and Other Late Essays" (1986), Julia Kristeva dalam "Desire in Language: A Semiotic Approach of Literature and Art" (1980) dan tokoh tempatan, Mana Sikana dalam "Teori dan Kritikan Sastera Pascamodenisme" (1998). Proses pembacaan dan menonton filem akan menjadi amat menarik dan lebih bermakna sekiranya kita dapat mempraktikkan teori ini secara santai.

Dalam filem "The Words", berlaku dialog (kaitan) yang menghubungkan antara teks dalaman dan teks luaran; iaitu kaitan antara filem itu dengan novel berjudul "The Words" serta manuskrip asal yang kononnya ditulis orang lain. Perkara-perkara berkaitan "dialog" ini dihuraikan oleh Bakhtin dalam bukunya. Dalam filem ini juga terdapat beberapa lagi teks; iaitu ciri yang ditekankan oleh Kristeva.

Masih ada penulis yang berani menciplak karya untuk disiarkan di majalah.

Dalam pada itu, plot filem "The Words" dikatakan sangat serupa dengan sebuah filem Jerman berjudul "Lila, Lila" (2009) yang dibuat berdasarkan novel berjudul "Lila, Lila" (2004) karya Martin Suter. Agak menarik untuk diperhatikan bahawa sebuah filem yang mengemukakan isu plagiat, turut berdepan kemungkinan memplagiat idea daripada filem/novel lain.

Penulis dan pengarah "The Words" pula mengatakan bahawa idea bagi filem itu diperoleh daripada kisah benar pengarang terkemuka, Ernest Hemingway yang dikatakan pernah kehilangan sebuah beg berisi sejumlah manuskrip. 

Sesungguhnya, pada Disember 1922, isteri Hemingway iaitu Elizabeth Hadley Richardson dilaporkan pergi bertemu suaminya di Geneva tetapi tertinggal sebuah beg berisi sejumlah manuskrip asal karya Hemingway di dalam kereta api yang dinaiki.

Kisah itulah yang kononnya dikembangkan menjadi skrip filem "The Words" sekitar 12 tahun lalu — iaitu sekitar tahun 2000 — dengan mengutarakan pertanyaan "what if" (bagaimana jika). Teknik "what if" memang turut saya sarankan kepada peserta bengkel penulisan cerpen anjuran Kavyan.

Ringkasnya, filem "The Words" ada sekurang-kurangnya tiga lapisan cerita mengenai empat watak berbeza. Belum lagi mengambil kira beberapa lapisan kisah di luar filem berkenaan. Golongan penulis dan peminat filem yang mencabar minda pasti akan mendapat manfaat dan pengajaran berguna menerusi filem ini.

Sekiranya teori intertekstual digunakan, maka akan jelaslah bahawa filem "The Words" menjadi sebahagian daripada jaring (sesawang) yang semakin melebar. Filem ini ada hubungan dengan sekian banyak perkara lain yang berlaku sebelum dan selepasnya, sama ada di dalam atau di luar filem.

Sesungguhnya, filem tersebut berciri intertekstual di mana "dalam setiap karya itu berlaku dialog yang menghubungkan antara teks dalaman dan teks luaran" seperti kata Bakhtin serta "dalam sebuah teks terdapat beberapa buah teks" seperti kata Kristeva.

Dari cerpen ke siri televisyen

Intertekstualiti tidak harus disalahertikan sebagai ciplak, plagiat, epigon, "cuplikan" atau yang seumpamanya. Saya ada menghuraikan teori intertekstual ini menerusi sebuah rencana di akhbar Mingguan Malaysia (2 Ogos 1998) serta didokumentasikan di blog saya untuk rujukan dan panduan umum.

Sementara itu, pengarang Rusia, Mikhail Bulgakov (1891-1940) menggunakan pengalamannya sebagai doktor muda di sebuah hospital kecil di Smolensk untuk menghasilkan sejumlah cerpen yang disiarkan di beberapa jurnal perubatan. Kemudian, cerpen-cerpen berkenaan dikumpul dan diterbitkan oleh para pengkaji dalam buku berjudul "A Country Doctor's Notebook" (Записки юного врача).

Cerpen-cerpen Mikhail Bulgakov mengalami perubahan apabila diadaptasi ke televisyen.

Karya agung Mikhail adalah novel satira "The Master and Margarita" (Ма́стер и Маргари́та) yang ditulis pada 1937 tetapi hanya terbit pada 1967; lama selepas pengarang itu meninggal dunia. Novel itu diterjemahkan ke Bahasa Inggeris pada 1967, 1992, 1993, 1997, 2006 dan 2008 oleh penterjemah/penerbit berbeza.

Menurut sumber di Internet, terjemahan cerpen-cerpen Bahasa Rusia karya Mikhail ke Bahasa Inggeris dilakukan oleh Michael Glenny pada 1975. Judul sembilan cerpen dalam buku ini adalah "The Embroidered Towel", "The Steel Windpipe", "Black as Egypt's Night", "Baptism by Rotation", "The Speckled Rash", "The Blizzard", "The Vanishing Eye", "Morphine" dan "The Murderer".

Terjemahan ke Bahasa Perancis dilakukan oleh Paul Lequesne (1994) manakala satu lagi terjemahan Bahasa Inggeris dilakukan oleh Hugh Aplin (2011) dengan judul "A Young Doctor's Notebook".

Terjemahan terbaru inilah yang dijadikan siri televisyen pada 2012 di mana Daniel Radcliffe (pelakon filem-filem "Harry Potter") memegang watak Mikhail semasa baru tamat pengajian dan menjadi doktor muda, manakala watak dewasa dilakonkan Jon Hamm (pelakon siri "Mad Men").

Saya membeli cakera video digital (DVD) "A Young Doctor's Notebook" (2012) pada 19 Januari 2013 dan meluangkan waktu malam 20 Januari 2013 menonton kisah-kisah yang diadaptasi daripada cerpen Rusia dalam empat episod. 

Agak menarik untuk diperhatikan bagaimana kisah-kisah pengalaman Mikhail disajikan semula dalam bentuk visual dengan melakukan sedikit perubahan dari segi teknik penceritaan. Misalnya, watak dewasa (Jon Hamm) hadir bersama-sama watak muda (Daniel Radcliffe) untuk memberikan panduan serta menyusahkan hidupnya.

Filem "The Words" dan siri "A Young Doctor's Notebook" menggabungkan beberapa dunia yang mampu pula dinikmati oleh "penghuni" dua dunia; iaitu dunia penulisan dan dunia perfileman. Pada masa sama, peminat buku, penulis dan peminat filem/siri televisyen yang bermutu juga akan mampu menghargainya. Apatah lagi jika dihayati menerusi pemahaman dan aplikasi teori intertekstual.

* Panduan penulisan cerpen dan makalah boleh juga dirujuk di www.uthayasb.blogspot.com dari semasa ke semasa. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved