Isnin, 7 Januari 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Muzik folk, Ebiet dan Franky Sahilatua

Posted: 06 Jan 2013 04:14 PM PST

7 JAN — Jika ada persamaan di antara Ebiet dan Franky Sahilatua, selain di bawah syarikat rakaman yang sama, Jackson Record, konsep muzik mereka juga sama iatu muzik folk balada/nusantara yang penuh dengan pelbagai elemen dan rentak di dalamnya seperti country, blues, rock n roll, pop dan sebagainya.

Cuma secara jujurnya nama dan populariti Ebiet lebih menyerlah di rantau Asia Tenggara khusunya berbanding Franky walaupun Franky terlebih dahulu merakamkan album pertama tahun 1975 yang berjudul "Senja Indah di Pantai" bersama adik perempuannya Jane.

Bersama adiknya Jane, mereka sempat merakamkan 15 album berentak folk balada dan country sejak tahun 1975 sehingga awal tahun 90an. Selepas itu Franky meneruskan kariernya sebagai penyanyi solo.

Dari segi perbezaan karya-karya mereka, walaupun suara Franky lemak dan merdu, mesej lagu-lagunya keras dan kritis seperti lagu Perahu Retak yang diciptanya bersama Emha Ainun Najib pada tahun 1996.

Berbanding Ebiet yang mana banyak lagu-lagu dan liriknya menceritakan tentang alam dan manusia, jika ada pun nada kritis di dalamnya , masih berkias dan tertib dengan bahasa puisinya yang indah seperti lagu hitnya Berita kepada Kawan.

Ebiet G.Ade atau nama sebenarnya Abid Ghoffar Aboe Dja'far adalah antara penyanyi folk singer/songwriter yang berkonsepkan muzik balada/nusantara yang paling menonjol dan punya ramai peminat di Malaysia, Singapura dan Brunei khususnya terutamanya di era awal 80an dulu.

Beliau yang lahir pada 21hb April 1954 sangat popular terutama melalui empat album awalnya yang berjudul "Camellia" dalam tempoh 2 tahun iaitu melalui "Camellia 1" (1979), "Camellia 2" (1979), "Camellia 3" (1980) dan "Camellia 4" (1980).

Album "Camellia 1" berjaya dijual sebanyak 2 juta unit dan itu adalah suatu yang hebat bagi seorang penyanyi folk yang dari segi penampilannya agak biasa-biasa saja.

Saya pertama kali mendengar muzik Ebiet pada tahun 1980 . Saya yang waktu itu masih mencari watak dan hero yang sederhana dan unik sangat teruja apabila pertama kali mendengar lagu-lagu beliau.

Album-album Ebiet yang dibeli abang saya sewaktu beliau ke Indonesia 4 judul kesemuanya, iaitu "Camellia 1", "2", "3" dan "4".

Muzik Ebiet dan personalitinya adalah satu fenomena . Sebelumnya kita telah dibiasakan dengan imej glamour para artis popular, jadi bila Ebiet tiba, muziknya yang unik dan misteri itu melekat ke jiwa saya.

Sebelumnya saya telah didedahkan dengan artis-artis folk/country barat seperti Bob Dylan, Cat Steven, Simon & Garfunkel antaranya. Pun di waktu itu maklumlah masih tinggal di kampung , jadi seperti kebanyakan anak muda kampung yang lain, penguasaan bahasa inggeris saya agak kurang baik jadi di waktu itu muzik Ebiet lebih dekat dengan personaliti dan jiwa kerana saya faham apa yang mahu disampaikannya melalui lagu.

Bicara alam Ebiet dalam lagu-lagunya sangat berkesan, jujur dan berterus-terang. Melodinya sangat unik dan misteri. Lagu-lagu yang diciptanya memang sesuai dengan suara, penghayatan dan intonasinya.

Tidak hairanlah ramai pendengar tidak kira tua dan muda meminati lagu-lagu hit beliau seperti "Berita Kepada Kawan", "Camellia", "Lagu Untuk Sebuah Nama".

Secara keseluruhannya jika saya melihat dan mendengar muzik Ebiet dan konsepnya, rasa hormat yang tinggi saya tujukan kepada penerbit album-albumnya terutama untuk siri "Camellia 1", "2", "3" dan "4" iaitu Jackson Arief dan penggubah lagu-lagunya, Billy J. Budiardjo.

Bayangkan jika dinilai dari segi rupa dan imej, Ebiet tidak punya semua pakej itu melainkan bakat yang hebat. Keberanian dan keyakinan Jackson Arief yang tinggi terhadap hasil kerjanya dengan kualiti rakaman gred A, berjaya menghasilkan kejayaan demi kejayaan sehingga nama Ebiet naik mendadak di arus muzik perdana sehingga ke rantau Asia Tenggara.

Selepas album "Camellia 4", saya agak kecewa pada awalnya dengan album-album seterusnya seperti "Langkah Berikutnya" (1982) namun saya suka album "Tokoh-Tokoh" (1982), "1984" (1984) dan "Zaman" (1985). Album selepas itu bagi saya kurang menyengat, pun saya beli juga seperti album "Isyu!" (1986), "Menjaring Matahari" (1987), "Sketsa Rembulan Emas" (1988) dan "Seraut Wajah" (1990).

Saya mula mendengar lagu Franky & Jane pada tahun 1986 setelah membeli kasetnya di Chow Kit dengan judul "Musim Bunga" yang diterbitkan pada tahun 1978.

Menariknya tentang Franky Sahilatua (lahir di Surabaya pada 16hb Ogos 1953 dan meninggal pada 20hb April 2011 ), beliau pernah menganggotai kumpulan Lemon Trees pada tahun 1969 bersama Leo Kristi yang diketuai oleh Gombloh waktu itu.

Setelah membeli dan membaca majalah Tempo terbitan awal 90an, yang membicarakan tentang album "Swami" yang dikepalai oleh Fals dan Jabo, dengan lagu hit mereka "Bento". Ada beberapa pendapat artis-artis dan pemuzik seperti Ian Antono juga Franky tentang Iwan Fals.

Saya agak tertarik tentang pendapat Franky tentang Iwan Fals yang baginya muzik Fals itu biasa saja, sama seperti dia mendengar muzik Gombloh, Ebiet antaranya. Berbeza bila dia mendengar muzik Leo Kristi.

Pendapatnya itu membuatkan saya mencari-cari album Leo Kristi, malangnya sangat sukar untuk mendapatkannya di Malaysia waktu itu. Kebetulan kawan saya, Zunar kartunis waktu itu ke Indonesia, saya pun kirimkan album Leo Kristi dan album Ebiet ("1984") dan akhirnya saya dapat memilikinya.

Zunar adalah peminat tegar muzik Franky & Jane, Iwan Fals, Ebiet juga Gombloh. Selalulah kami bertukar-tukar pendapat tentang cerita-cerita yang berkait dengan hal muzik terutamanya kerana beliau faham apa itu muzik "folk".

Saya sangat terkesan apabila membaca tentang keakraban Ebiet dan sahabatnya Franky di satu laman blog. Walau berbeza agama, sifat saling menghormati antara sesama itu mendatangkan rasa hormat yang tinggi bagi saya.

Franky meninggal dunia pada 20hb April, 2011 di usia 58 tahun kerana menderita penyakit kanser tulang belakang yang dideritanya selama 2 tahun.

Saya masih mendengar lagu-lagu Fals, Jabo, Ebiet, Doel Sumbang, Gombloh, Leo Kristi, God Bless juga Franky Sahilatua sehingga hari ini tanpa pernah jemu kerana sejak mula berkarya, dengan lagu-lagu merekalah saya membesar. Mereka mengajar saya tentang Tuhan, manusia dan alam dalam konteks yang lebih menyeluruh dan jujur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Demi murid-murid terpinggir

Posted: 06 Jan 2013 03:23 PM PST

7 JAN — Penggal persekolahan bagi tahun 2013 sudah bermula dan pasti akan kedengaran pelbagai rungutan daripada pihak ibu bapa dan sekolah mengenai prestasi murid/pelajar dalam kurikulum.

Bagaimanapun, tentu sahaja kelompok yang tampil membantu menyelesaikan masalah adalah lebih mulia berbanding kelompok yang hanya tahu mengungkitkan isu. Tambahan pula, cukuplah golongan politikus terus mengeluarkan kenyataan berupa retorik yang tidak akan menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam sistem pendidikan negara.

Zul Fikri komited dalam usaha membela golongan marginal; khususnya murid-murid yang terpinggir.

Dalam hal seperti inilah saya sangat kagum dengan usaha yang dilakukan kumpulan Teach for the Needs (TFTN) sejak diasaskan pada 1 Mac 2012. Kumpulan yang bergerak secara bebas dan sukarela itu menyediakan platform, rundingan, bahan mengajar, buku dan sistem sokongan yang diperlukan bagi mengatasi masalah pembelajaran.

Saya sempat berbual-bual dengan pengerusi TFTN, Zul Fikri Zamir Mohamad Munir yang mengasaskan kumpulan itu bersama-sama Asmidar Alias (presiden).

"TFTN mempunyai objektif menyediakan kelas tambahan (tuisyen) percuma untuk murid-murid kelas corot, anak-anak yatim dan anak-anak daripada keluarga miskin. Kami juga berusaha membantu guru dan sukarelawan meningkatkan kemahiran diri melalui kerja sukarela dan mendepani masalah masyarakat secara 'hands on'," kata pemuda kelahiran Jerantut, Pahang itu.

Pada umumnya, walaupun belum sampai setahun diasaskan, TFTN memang berpegang pada satu lagi objektif penubuhan iaitu menggerakkan sebuah gerakan berasaskan pendidikan untuk masyarakat. Tentulah usaha murni ini bukan suatu kerja mudah; apatah lagi apabila dilaksanakan secara "apolitikal" dan tanpa mengharapkan naungan mana-mana politikus.

Saya sangat memahami keadaan ini kerana Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada Ogos 1999 juga berpegang pada konsep memartabatkan Bahasa Malaysia menerusi aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya tanpa bernaung pada mana-mana politikus dan parti politik. Sekurang-kurangnya kami boleh membuat kebaikan tanpa menanggung dosa orang lain.

Sumbangan dan aktiviti TFTN pula semakin dikenali umum dan berita-berita mengenainya semakin banyak disiarkan di media konvensional dan alternatif. Perkembangan ini amatlah membanggakan dan diharap boleh menarik perhatian anggota masyarakat untuk tampil membantu sekadar termampu.

Berani bersuara demi golongan marginal

Zul Fikri yang bekerja sebagai guru Pendidikan Jasmani dan Bahasa Malaysia sejak 2010 berkata, terdapat 19 duta TFTN daripada kalangan guru di seluruh negara. Selain itu, sukarelawan berdaftar pula terdiri daripada 300 orang, di mana sekitar 50 daripadanya terlibat secara aktif melalui kerja-kerja pentadbiran, projek rumah anak yatim dan kerja-kerja mengumpul dana.

Pemuda berkenaan yang kini tinggal di Kuala Lumpur memang lantang bersuara di forum, dialog dan melalui tulisan apabila bercakap mengenai soal pendidikan dan kelompok marginal yang sering terpinggir dan dipinggirkan dalam arus pendidikan negara. 

Golongan guru dan orang awam menjadi sukarelawan.

Hasil pemerhatian saya, beliau dan rakan-rakannya dalam TFTN ikhlas dalam perjuangan; sekali gus tidak tunduk pada tekanan dan pujukan "puak arus perdana" yang tidak mahu sebarang kepincangan sistem pendidikan negara didedahkan.

"Di bawah program TFTN, ada sekitar 230 murid berumur 11 dan 12 tahun yang kami bimbing selepas tamat waktu pelajaran di sekolah. Sebagai tambahan, ada sekitar 70 murid yang dibimbing secara berterusan menerusi projek Rumah Anak Yatim," kata guru berumur 27 tahun itu.

Mengulas lanjut, Zul Fikri menceritakan bahawa program tambahan (expansion programme) dikendalikan bagi memastikan penghuni rumah anak yatim turut mendapat manfaat dan peluang menimba ilmu secara adil dan saksama.

"Program pertama bermula pada 7 April 2012 melibatkan 52 penghuni Asrama Anak Yatim dan Miskin Darul Hikmah di Gopeng, Perak. Program itu kendalian Anas Hakimie. Yuni Roslan pula menangani program sama di Asrama Baitul Husna, Bukit Sekilau, Kuantan, Pahang melibatkan 15 murid bermula awal Jun 2012," katanya dengan penuh semangat.

Satu aktiviti tambahan yang dinamakan "Parenting Programme" turut dilaksanakan sebagai sebahagian projek "I Luv My Kids" dengan bantuan Profesor Dr Saedah Siraj, tokoh pendidik dari Universiti Malaya.

Pelbagai program berskala kecil, sederhana dan besar diadakan dari semasa ke semasa sebagai bukti kesungguhan dan keikhlasan TFTN membantu kanak-kanak yang memerlukan bantuan dalam pembelajaran dan pendidikan. Konvensyen Pendidikan TFTN di Universiti Malaya pada 8 Disember 2012 menjadi salah satu bukti komitmen mereka.

Pelbagai pihak tampil membantu

Dalam usianya yang relatif muda — belum sampai setahun — tentulah masih terlalu awal untuk menilai kejayaan TFTN dalam misi membantu murid-murid yang lemah dalam pelajaran. Namun, jika keputusan UPSR 2012 diambil kira, rata-rata anak didik TFTN menunjukkan peningkatan dalam prestasi.

"Melalui penglibatan kami secara langsung sejak Mac tahun lalu, ada beberapa perkara yang dikenal pasti. Kami dapati bahawa anak-anak yatim dan anak-anak daripada keluarga miskin kurang diberi perhatian oleh sekolah dan masyarakat," Zul Fikri memberitahu saya.

Pendedahan yang dilakukan ini tentu sahaja (mungkin) akan membuatkan pihak sekolah dan lebih-lebih lagi Kementerian Pelajaran naik angin serta tampil menafikan apa-apa yang dikatakan. Mana mungkin jabatan dan kementerian menerima kritikan pedas seperti ini; bahawa ada murid yang sengaja dibiarkan terpinggir dalam sistem pendidian negara.

Di pihak TFTN, mereka tidak sekadar mengkritik atau menyalahkan pihak lain. Sebaliknya, mereka berusaha membantu sekadar termampu berdasarkan kemahiran yang dimiliki para sukarelawan. Bagi hampir 70 murid di bawah program tambahan di Gopeng dan Kuantan, masing-masing diberikan kamus sebagai langkah awal untuk cemerlang dalam pelajaran.

"Melalui sumbangan buku daripada penerbit seperti PTS dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), kami berusaha menanam minat membaca dalam kalangan lebih daripada 170 kanak-kanak yang menyertai projek TFTN," pemuda yang gemar membaca dan mengembara itu menghuraikan.

Bagi menjayakan segala projek yang dilaksanakan secara sukarela dan tanpa bantuan politikus, tentulah melibatkan pelbagai cabaran. Zul Fikri mengakui bahawa komitmen serta kekurangan sukarelawan daripada kalangan guru menjadi cabaran utama. Selain daripada itu, tentulah soal kewangan perlu diambil kira.

Buat masa ini, TFTN bergantung sepenuhnya pada hasil jualan butang/lencana dan kemeja-T serta sumbangan kecil-kecilan daripada anggota masyarakat yang prihatin terhadap nasib kanak-kanak yang terpinggir dan dipinggirkan dalam sistem pendidikan negara.

"Sesungguhnya TFTN amat memerlukan lebih ramai guru muda untuk menyertai program ini dan menyediakan kelas-kelas TFTN di sekolah masing-masing. Kami juga mengharapkan kerjasama syarikat-syarikat korporat untuk menyediakan sumbangan kewangan bagi memastikan gerakan yang dimulakan oleh TFTN boleh dikekalkan dan diberi penambah baikan demi masa depan kanak-kanak," katanya dengan penuh harapan.

Nafi mitos anak-anak kelas corot

Bercakap mengenai perancangan bagi tahun ini, Zul Fikri berkata, selain memberi tumpuan kepada program dan duta sedia ada, TFTN turut merancang Futsal Guru Muda pada 27 Januari, makan malam amal pada Mac dan larian amal pada Jun ini.

"Advanced Research Projects for Education (ARPE) di bawah seliaan Anas Alam Faizli pula akan memberi fokus terhadap penyediaan modul pembelajaran anak-anak berkeperluan dalam TFTN; kajian rintis terhadap duta/sukarelawan/guru di seluruh negara; serta kajian akademik berkaitan isu pendidikan masa depan," katanya.

Harus ditekankan bahawa TFTN ditubuhkan untuk menyediakan platform sukarela kepada guru dan bukan guru bagi menggerakkan program berasaskan pendidikan. TFTN secara terus-menerus memperjuangkan golongan marginal tertindas seperti murid kelas corot, anak miskin, anak yatim dan anak-anak di pedalaman.

Sukarelawan daripada kalangan guru dan bukan guru memang diharapkan dan dialu-alukan untuk sama-sama terlibat dalam menjayakan misi yang sangat murni ini. Malah, itulah juga sebabnya saya tampil memperkatakan mengenai TFTN menerusi makalah ini.

"Ruang untuk orang ramai menyumbang memang terbuka; daripada menjadi sumber tenaga pengajar kepada menjadi sebahagian rangkaian dan pentadbir TFTN di seluruh negara. Melalui TFTN, rakyat Malaysia boleh membuktikan bahawa isu pendidikan boleh ditangani melalui kerjasama kolektif, berbanding hanya mengharap kepada kerajaan semata-mata," Zul Fikri menyatakan dengan penuh optimis.

Menurut guru itu lagi, salah satu objektif penubuhan TFTN adalah untuk membuktikan betapa tidak benar suatu mitos yang sudah berakar-umbi dalam kalangan masyarakat. Mitos yang dimaksudkan adalah tanggapan bahawa anak-anak kelas corot, anak miskin, anak yatim dan anak-anak pedalaman tidak berhak mendapat peluang pendidikan yang sama rata dengan rakan mereka yang lain.

Dengan semangat, kesungguhan dan sikap tegas yang ditunjukkan, saya juga optimis bahawa TFTN akan berjaya dalam misi murni yang diperjuangkan demi golongan minoriti, marginal dan tertindas.

* Maklumat lanjut mengenai aktiviti TFTN boleh dibaca di  www.teachfortheneeds.org

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Jualan amal dibuat untuk mengutip dana bagi aktiviti TFTN.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved