Ahad, 10 Februari 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Tarik kerakyatan ‘bercanggah dengan Perlembagaan’, kata peguam

Posted: 10 Feb 2013 02:15 AM PST

Gambar fail Tun Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR, 10 Feb — Kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kerajaan Barisan Nasional (BN) diberikan mandat dua pertiga majoriti Parlimen bagi menarik kerakyatan rakyat Malaysia adalah bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, kata peguam.

Pakar-pakar perundangan yang dihubungi The Malaysian Insider turut mengingatkan Dr Mahathir bahawa kerakyatan adalah perkara pokok bagi hak asasi manusia buat rakyat negara ini.

Jelas mereka, hak itu tidak seharusnya ditarik demi menjaga Perlembagaan Persekutuan.

"Cadangan Dr Mahathir itu akan meruntuhkan semangat dan struktur Perlembagaan," kata Pakar Perlembagaan Syahredzan Johan kepada The Malaysian Insider.

Jelas Syahredzan, terdapat beberapa peruntukan dalam dokumen yang membentuk "struktur utama" Perlembagaan yang tidak boleh dipinda, dan jika dipinda, pindaan itu sendiri melanggar semangat Perlembagaan.

"Apa peruntukan itu, tidak dijelaskan. Namun secara amnya, peruntukan itu memberikan hak kepada individu untuk kerakyatannya tidak ditarik," kata peguam itu, dan menambah kerakyatan itu adalah salah satu daripada hak tersebut.

Walaupun ianya boleh dipinda, Syahredzan menegaskan struktur Perlembagaan telah menetapkan untuk memastikan ianya tidak diganggu.

Meminda Perkara Tiga Perlembagaan berkenaan kerakyatan memerlukan dua pertiga majoriti Parlimen dan persetujuan Majlis Raja-raja, tegas Syahredzan.

"Jika ia dipinda, ia akan dicabar di mahkamah," tambahnya.

Sementara itu, N. Surendran bersetuju dengan Syahredzan, sekaligus turut melabel cadangan tersebut sebagai "tidak masuk akal" yang akan memberikan kesan bukan sahaja kepada mereka yang terlibat, tetapi juga rakyat Malaysia.

"Kerakyatan adalah perkara utama dalam hak asasi manusia di Malaysia. Cadangan Dr Mahathir akan memudahkan untuk menarik kerakyatan rakyat Malaysia, kata Naib Presiden PKR itu lagi.

Peguam Mohamed Hanipa Maidin pula menambah telah ada peruntukan dalam Perlembagaan berhubung kerakyatan Malaysia.

"Untuk menarik kerakyatan bukan perkara mudah ... Saya tidak pasti peruntukan mana yang dimaksudkannya (Dr Mahathir)," kata Hanipa.

Syahredzan bagaimanapun menjelaskan Peruntukan Artikel 24 hanya merujuk kepada mereka yang memperoleh kerakyatan, dan Artikel 25, ianya merujuk kepada rakyat yang "tidak setia" melalui naturalisasi.

Peguam itu berkata adalah hipoktitikal untuk menghalang rakyat daripada mempersoalkan Perkara 153 berkenaan hak Melayu dan Bumiputera, dan mencadangkan penarikan kerakyatan.

"Kamu tidak boleh memilih apa yang disukai kerana politik," tegasnya.

Semalam dalam program yang dianjurkan Human Development Club di Bandar Tun Razak, seorang pengunjung bertanya kepada Dr Mahathir apa tindakan yang boleh diambil terhadap peguam seperti Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.

Dr Mahathir, berkata kerakyatan hanya boleh ditarik apabila Perlembagaan dipinda. Menjelaskan perkara itu, majoriti dua pertiga Parlimen diperlukan untuk meminda Perlembagaan.

"Jadi saya harap kemenangan akan diberikan kepada Barisan Nasional (BN)," tambahnya.

Perkara 24 Perlembagaan Persekutuan menyatakan kerajaan boleh menarik kerakyatan mereka yang menerima kerakyatan negara lain, atau mengamalkan hak eksklusif rakyat negara lain.

Perkara 25 pula menetapkan kerajaan hanya boleh melucutkan kewarganegaraan sesiapa yang menjadi warganegara melalui pendaftaran atau penaturalisasian jika berpuas hati bahawa orang itu telah menunjukkan dirinya melalui perbuatan atau percakapan sebagai tidak taat atau tidak setia kepada Persekutuan.

PR Perak yakin tawan 40 kerusi DUN dalam PRU 13

Posted: 10 Feb 2013 12:58 AM PST

KUALA LUMPUR, 10 Feb — Pakatan Rakyat (PR) Perak yakin akan menguasai 40 daripada keseluruhan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar dalam satu kenyataan hari ini berkata, Barisan Nasional (BN) Perak telah melakukan satu kesilapan besar apabila merampas kerajaan pilihan rakyat pada tahun 2009.

"Pada 8 Mac 2008, rakyat Perak telah memberi mandat kepada PAS, PKR dan DAP untuk memerintah negeri Perak. Kehendak rakyat itu wajib dihormati oleh semua pihak," jelas ADUN Tronoh (gambar) itu dalam kenyataannya.

Menurut Sivakumar, daripada analisa yang diperolehi daripada pelbagai sumber, PR Perak dijangka akan memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi daripada 59 kerusi yang akan ditandingi untuk Dewan Negeri Perak.

"Kemenangan yang besar ini adalah perlu untuk menjamin kesejahteraan dan kedudukan kerajaan yang baru dipilih itu. Pakatan Rakyat Negeri Perak akan terus berusaha dengan lebih gigih lagi untuk menambahkan lagi bilangan kerusi dalam PRU13.

"Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat Perak cukup yakin bahawa rakyat negeri Perak akan memberi mandat yang lebih besar dalam pilihanraya umum akan datang," katanya.

PR Perak telah menang tipis 31 kerusi berbanding BN yang memenangi 28 kerusi pada Pilihan Raya 2008.

Majoriti tipis itu kemudiannya menimbulkan perbalahan apabila tiga ADUN PR melompat parti, dan majoriti kembali berpihak kepada BN, yang turut menyaksikan PR Perak hanya bertahan selama 11 bulan bermula Mac 2008 hingga Februari 2009.

Malah, situasi itu turut menyaksikan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, digantikan dengan Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Tegas Sivakumar, kerana tamakkan kuasa, BN Perak telah merampas kerajaan rakyat itu melalui "pintu belakang" dengan melanggar undang-undang sedia ada yang tidak sah di sisi Undang-undang Tubuh Negeri Perak mahu pun Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara ini telah menimbulkan kemarahan seluruh rakyat Perak ketika itu.

"Barisan Nasional mengharapkan bahawa peristiwa rampasan kuasa itu akan dilupai oleh rakyat apabila dimakan oleh masa. Tetapi, andaian Barisan Nasional itu adalah tidak benar," tegasnya lagi.

Peristiwa rampasan kuasa itu jelas Sivakumar telah terpahat dalam sanubari setiap rakyat Perak, walaupun pelbagai usaha telah diambil oleh kerajaan BN Perak untuk mengalih perhatian mereka, segala usaha itu terbukti gagal.

Katanya, rakyat dapat menilai, membuat pertimbangan yang rasional dan membandingkan pemerintahan 11 bulan PR dan pemerintahan empat tahun BN.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved