Ahad, 10 Februari 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Mengajar membenci ‘Cinta’

Posted: 09 Feb 2013 03:47 PM PST

10 FEB — Dalam khutbah solat Jumaat dua hari lalu, dibacakan oleh masjid-masjid di seluruh negara yang bernaung di bawah Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), umat Islam diminta agar menolak dan membenci Hari Valentine. 

Petikan daripada khutbah yang bertajuk "Budaya Kesesatan" : 

"Budaya menjadikan Valentine's Day sebagai perayaan diminati untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan kita sebagai umat Islam. 

"Ada yang mengirimkan kad ucapan dan hadiah, mengumandangkan lagu-lagu cinta dan asmara, membuat upacara tari-menari, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, bertukar-tukar perasaan di taman-taman bunga sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri demi membuktikan kesetiaan kepada teman masing-masing. 

"Menurut Ken Sweiger, perkataan "Valentine" berasal dari bahasa Latin bermaksud "Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa", digunakan pada zaman Rom Kuno  kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. 

"Sedar atau tidak, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi "To be my Valentine?", maka ianya telah melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan akidah umat Islam dan dimurkai Allah SWT kerana ia telah meminta seseorang menjadi "Sang Maha Kuasa" dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali semangat budaya pemujaan berhala." 

Lihatlah betapa dangkalnya pemikir-pemikir Jakim yang menyediakan teks khutbah untuk dibacakan kepada semua lelaki Muslim bersolat Jumaat di seluruh negara. 

Dalam banyak-banyak masalah besar melanda umat Islam seluruh negara seperti cabaran kenaikan harga barang, tidak mampu untuk memiliki rumah, kos pendidikan semakin mahal dan banyak lagi isu-isu kehidupan, Hari Valentine yang diangkat sebagai isu besar oleh Jakim. 

Apa mudaratnya kepada orang ramai jika pasangan kekasih yang belum berkahwin berkasih semahu mereka? 

Apakah sebenarnya jejaka-jejaka di Jakim cemburu kerana mereka gagal untuk mendapatkan pasangan? 

Tidak pernah pula kedengaran Jakim mengangkat permasalahan rasuah sebagai isu besar yang memudaratkan bukan sahaja umat Islam tetapi rakyat Malaysia secara keseluruhannya. 

Tidak pernah juga diperdebatkan tentang mengapa ramai umat Islam masih hidup melarat di Malaysia sedangkan kutipan zakat oleh jabatan-jabatan agama meningkat saban tahun. 

Selain daripada berkempen menentang Hari Valentine, mengapa tidak Jakim berkempen agar pemerintah di negara ini mengamalkan konsep "good governance" dan telus dalan semua urusan? 

Apakah Hari Valentine lebih penting dari pemerintahan yang baik? 

Apakah melawan Hari Valentine lebih penting dari melawan rasuah? 

Mengapa umat Islam di Malaysia takut untuk memakan "khinzir" tetapi tidak takut untuk mengambil rasuah? 

Dimana peranan Jakim dalam membuktikan Islam sebagai penyelamat Ummah di negara ini? 

Lebih menyedihkan lagi, penguatkuasaan Islam di Malaysia hanya terpakai kepada orang-orang miskin dimana kita boleh melihat tindakan hanya diambil kepada pasangan-pasangan kekasih yang menggunakan perkhidmatan hotel-hotel murah dan tidak mensasarkan hotel-hotel lima bintang yang dikunjungi golongan atasan. 

Mengapa ada double standard? 

Apakah dari pandangan Jakim hukum Islam hanya terpakai kepada golongan bawahan kerana mereka yang paling mudah untuk ditindas? 

Jika mahu diteruskan lagi peranan Jakim, kerajaan perlu mengisinya dengan orang-orang yang bijak pandai. 

Bukan semata-mata diisi dengan golongan yang fasih berbahasa Arab, hafal Al-Quran tetapi gagal untuk memahami inti sebenar yang diajarkan oleh kitab suci yang dibawa oleh junjungan besar Muhammad S.A.W. 

Jika ajaran pertama malaikat Jibril kepada Muhammad "Iqra" (bacalah)gagal diikuti oleh ramai umat Islam termasuk yang bekerja di Jakim, jangan bicara soal mahu menubuhkan pemerintahan Islam. 

Jika kebersihan yang diajarkan Islam gagal diikuti oleh ramai penganut, jangan bicara soal nak melaksnakan Hudud. 

Dalam bahasa mudahnya, jika perkara yang asas masih tidak boleh dilakukan, tidak perlu pergi terlalu jauh. 

Akhir kata, penguatkuasa agama seperti Jakim harus membuang pemikiran berasaskan video pornografi. 

Jangan terlalu mudah membuat kesimpulan semua aktiviti pasangan kekasih akan berakhir di ranjang sepertimana yang terdapat dalam video-video porno yang mereka tonton. 

Percayalah, kehidupan sebenar dunia ini tidak semudah seperti dalam video-video pornografi. 

Contohnya, konsert-konsert di Malaysia tidak mungkin berakhir dengan aktiviti seks "orgy" seperti sering dituduh oleh sesetengah pihak yang mendakwa terjumpa kondom-kondom bersepah-sepah selepas selesainya konsert.

* Ini pandangan peribadi penulis.

Utamakan artis-artis tempatan

Posted: 09 Feb 2013 03:43 PM PST

10 FEB — Saya bukanlah peminat setia bintang sensasi Korea, Psy. 

Begitu juga dengan tarian Opam Gangnam Style yang dipersembahkannya dalam acara konsert di serata dunia. 

Malah, aksi dan gaya tarian Gangnam Style itu tidak sehebat mana. Gerak-geri tariannya agak melucukan dan jarang-jarang sekali dipersembahkan oleh mana-mana artis. 

Namun pelik tetapi benar, tarian sebegini rupa boleh mencapai hit mencecah 1 bilion di Youtube dan nampaknya ia semakin menjadi ikutan. 

Psy akan berada di Pulau Pinang esok (Isnin) sempena sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2013 anjuran kerajaan pusat. Beliau dijangka membuat persembahan khas di rumah terbuka itu. 

Kita menyambut baik kehadiran Psy ke Pulau Pinang. Sekurang-kurangnya kehadiran Psy mampu melonjakkan nama Pulau Pinang dalam persada pelancongan dunia. 

Kehadiran beliau kali ini bukan sahaja membolehkan rakyat di negara ini untuk merasai sendiri demam Opam Gangnam Style dari dekat bahkan selebriti itu sendiri. 

Namun demikian, ada baiknya…butiran mengenai jumlah wang yang digunakan untuk membawa Psy ke Pulau Pinang diperincikan secara halus. Menurut sesetengah laporan media, difahamkan penampilan Psy pada majlis rumah terbuka itu menelan belanja antara RM1 juta hingga RM3 juta. 

Soalnya, apakah keperluan untuk pihak penganjur membelanjakan wang yang sebegitu banyak hanya untuk seorang selebriti ke rumah terbuka?Apakah berbaloi membelanjakan jutaan ringgit hanya untuk menyaksikan Psy beraksi untuk seketika sahaja? 

Biarpun pihak penganjur menegaskan, kos untuk membawa Psy ke Pulau Pinang ditanggung sepenuhnya oleh sebuah syarikat persendirian, penjelasan itu tidak cukup untuk meyakinkan rakyat bahawa perbelanjaan ini benar-benar memanfaatkan negara amnya dan rakyat khasnya. 

Apakah syarikat persendirian itu sudah lupa wang yang diperoleh mereka adalah juga wang rakyat menerusi cukai yang dibayar oleh rakyat saban tahun? Wang rakyat harus digunakan dengan sebaik-baiknya untuk tujuan yang lebih bermanfaat. 

Dari satu aspek, kehadiran Psy ini nampaknya mendatangkan kesan jangka pendek tetapi harus difikirkan juga kesan jangka panjang. Rasionalnya di sini, kesan jangka panjang tidak wajar dikorbankan hanya untuk memuaskan kehendak jangka pendek. 

Agak janggal juga, mengapa pula selebriti antarabangsa yang dijemput untuk membuat persembahan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina negara dan bukannya artis tempatan?   Apakah artis-artis tempatan kita tidak setanding dengan artis antarabangsa? 

Kalangan artis yang dilahirkan di Malaysia tidak kurang hebatnya. Kita telah berjaya melahirkan selebriti terkenal dunia seperti Ah Niu, Michael and Victor (anak kelahiran Ipoh), Nicholas Teo, Sheila Amzah dan Yuna. Mereka ini pernah memenangi anugerah tertentu dan ini bukti kebolehan serta bakat mereka. 

Kita tidak harus menghantar mesej yang salah kepada rakyat dalam perkara ini. Tatkala kedengaran ada artis-artis tempatan menghadapi kesukaran untuk mencari sesuap nasi di bumi sendiri, bukankah lebih baik jika artis-artis tempatan diberikan keutamaan untuk tujuan itu? 

Kita berbangga Psy akan datang ke Malaysia sekali lagi pada bulan Mac ini namun kita juga harus berbangga kerana artis-artis tempatan kita adalah setanding dan berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan artis dunia. Jika kita terus memegang teguh kepada takuk pemikiran sebegini, maka selagi itulah artis-artis tempatan negara akan terus dianggap sebagai kelas kedua. 

P/S: Kung Hei Fatt Choy! 

* Ini pandangan peribadi penulis.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved