The Malaysian Insider :: Bahasa |
Ceroboh Lahad Datu: Kerajaan tidak kompromi hak dan keselamatan rakyat Sabah Posted: 18 Feb 2013 03:31 AM PST KOTA KINABALU, 18 Feb — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar) memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan hak dan keselamatan rakyat negeri ini dalam menyelesaikan secara baik insiden pencerobohan warga Filipina di perairan Lahad Datu, bahagian pantai timur Sabah.
"Saya tengok kawalan di situ berada pada tahap yang membanggakan dan dalam proses kita untuk mengusir mereka ini, ia juga membantu keadaan. "Yang penting sekarang banyak betul spekulasi dan khabar-khabar angin dan saya tahu maklumat yang sebenarnya dan saya mengesahkan sebahagian besar yang digembar-gemburkan di luar sana merupakan perkara yang tidak asas langsung," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, dekat sini hari ini. Oleh itu, Hishammuddin mengingatkan orang ramai supaya tidak melihat insiden itu sebagai sesuatu yang boleh dipolemikkan atau dipolitikkan. Saya harap kita sabar kerana dari segi operasi, pihak berkuasa diberi mandat untuk memantau tetapi dari segi pendirian...itu amanah dan tanggungjawab kerajaan negeri dan kerajaan pusat," katanya sambil menambah bahawa beliau akan pergi ke Lahad Datu esok untuk melihat keadaan di sana. Beliau berkata kerajaan akan memastikan operasi yang dirancang itu berjalan lancar dan tidak ada insiden yang tidak diingini terutama yang melibatkan pertumpahan darah. Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia bekerja rapat dengan kerajaan Filipina dalam menangani insiden itu. Mengenai permintaan kumpulan penceroboh dari selatan Filipina itu untuk berjumpa personaliti tertentu, beliau tidak memberi butiran lanjut tetapi berkata rundingan masih dijalankan. "Saya ingin menegaskan bahawa ia (insiden) bukan isu suku kaum dan ia tidak kena mengena dengan pendirian atau kedaulatan dan sebagainya. "Tetapi dalam konteks kita, ini adalah bumi kita...ini adalah sesuatu yang menjejaskan keselamatan negara dan inilah yang kita tangani dengan bijaksana dengan cara tidak ada mana-mana nyawa terkorban atau tumpah darah di bumi kita," katanya. Ditanya perkembangan terkini rundingan dengan kumpulan warga Filipina itu, Hishammuddin berkata rundingan setakat ini menunjukkan betapa profesionalnya pasukan keselamatan negara. "Kalau kita ambil tindakan, dari hari pertama sudah kita ambil tindakan namun dalam keadaan begini kita tidak mahu ada nyawa yang terkorban "walau apa jua sebabnya" di pihak mereka yang akan memberi kesan kepada kita. "Sama ada insiden itu selesai dalam masa terdekat atau lama lagi, kitabergantung sangat kepada pihak-pihak (tentera, polis) yang lebih mahir dalam operasi ini," katanya. Ditanya sama ada terdapat masa tertentu untuk menyelesaikan kes itu, Hishammuddin berkata tidak ada pihak yang boleh mengesahkannya buat masa ini. Mengenai kritikan pihak pembangkang yang mempersoal tindakan kerajaan menangani isu pencerobohan itu, beliau berkata mereka berhak berbuat demikian namun pemimpin pembangkang tidak pernah menghargai apa juga perkara baik yang dilakukan kerajaan. Mengulas penyebaran insiden pencerobohan itu di "Youtube", beliau berharap rakyat tidak terikut-ikut dengan perkara itu dan menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyebarkan khabar angin khususnya yangboleh memudaratkan keselamatan. Hishammuddin berkata tahap kawalan keselamatan di pusat peranginan ataupelancongan terutama di pantai timur Sabah juga dipertingkatkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan. — Bernama |
Selangor tidak terlalu mengharap peruntukan kerajaan Persekutuan Posted: 18 Feb 2013 02:27 AM PST SHAH ALAM, 18 Feb — Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata kerajaan negeri tidak terlalu mengharap peruntukan kerajaan persekutuan kerana Selangor mempunyai dana mencukupi untuk mengurus pentadbiran dan melaksana pelbagai programnya.
"Kerajaan negeri (Selangor) mempunyai kemampuan untuk menguruskan sumber yang ada dengan baik. "Berdasarkan pengalaman saya dalam dunia korporat, kita perlukan banyak sumber dan di sini terletaknya bagaimana kita mengurus dan merancang untuk memastikan kita ada cukup sumber," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan jabatan kerajaan negeri di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini. Abdul Khalid berkata ini dibuktikan apabila kerajaan negeri baru-baru ini mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membina jambatan ketiga Sungai Klang di bandar Klang yang bernilai RM300 juta tanpa menunggu peruntukan daripada kerajaan persekutuan. Ditanya sama ada pembinaan jambatan ketiga itu akan diteruskan sekiranya pakatan pembangkang tewas dalam pilihan raya umum Ke-13 (PRU13), Abdul Khalid berkata pembinaan jambatan itu akan diteruskan oleh mana-mana parti yang menerajui kerajaan negeri. Beliau berkata pada 2008, kerajaan negeri ketika itu yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) telah melakukan pecah tanah projek itu tetapi terhenti disebabkan kerajaan negeri ketika itu tiada peruntukan kewangan. Mengulas mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang berkemungkinan dibuat lebih awal, Abdul Khalid berkata perkara itu akan diputuskan selepas selesai membuat perbincangan. Pada 30 Jan lepas, Abdul Khalid dilapor menyatakan hasrat membubarkan DUN Selangor selepas sambutan Chap Goh Mei bulan ini namun sehari kemudian, beliau menjelaskan pengumuman itu dibuat bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar segera mengumumkan tarikh PRU13. — Bernama |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider :: Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan