Isnin, 18 Februari 2013

The Malaysian Insider :: Breaking Views


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Breaking Views


Rakyat Filipina dijumpai mati, dipercayai dibunuh rakan senegara

Posted: 18 Feb 2013 08:07 AM PST

KOTA KINABALU, 18 Feb — Seorang tukang masak rakyat Filipina dijumpai mati ditikam di Penampang dekat sini awal hari ini.

Mayat lelaki yang dikenali sebagai Dany Lutian, 28, itu ditemui oleh orang awam di sebuah kedai kopi di Kampung Hungab pada pukul 4.50 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang ASP Wan Badrol Hisham Wan Othman berkata sehubungan itu polis menahan seorang lelaki rakyat Filipina berusia 43 tahun pada pukul 6.05 pagi bagi membantu siasatan kes itu.

"Mangsa dipercayai ditikam dengan sebilah pisau. Terdapat kesan tikaman pada bahu kiri mangsa dan polis turut menemui senjata dengan kesan darah, dipercayai digunakan dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi di sini.

Wan Badrol Hisham berkata siasatan awal polis mendapati mangsa dan suspek mabuk akibat terlalu banyak minum minuman keras dan mula bertengkar mengenai siapa antara mereka yang harus membelanja minuman.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan. — Bernama

Representasi Dr Ling untuk timbang semula pertuduhan ditolak

Posted: 18 Feb 2013 08:03 AM PST

KUALA LUMPUR, 18 Feb — Representasi yang dikemukakan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik (gambar) supaya menimbang semula pertuduhan terhadapnya dalam kes Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) ditolak oleh Peguam Negara.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah memberitahu pemberita bahawa pihaknya menghantar surat penolakan itu kepada peguam Ling, Wong Kian Kheong pada 13 Feb lalu.

Katanya pihak pendakwaan mendapati permohonan tersebut tiada merit. Dr Ling mengemukakan representasi tersebut pada 9 Okt tahun lepas selepas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan akauntan Mok Chew Yin memberi keterangan di peringkat pembelaan.

Sementara itu, dalam prosiding hari ini Dr Mahathir yang dipanggil untuk menyambung keterangan sebagai saksi pembelaan keempat berkata jumlah nilaian RM21 dan RM25 sekaki persegi (skp) bagi tanah di Pulau Indah untuk projek PKFZ tidak termasuk faedah.

Katanya berikutan itu, jumlah keseluruhan sebanyak RM1.088 bilion juga akan meningkat.

Beliau juga berkata kerajaan tidak sabar-sabar untuk mendapatkan tanah di Pulau Indah bagi projek PKFZ.

Dr Mahathir yang juga bekas menteri kewangan apabila Kabinet bersetuju untuk membeli tanah itu pada 2001 berkata walaupun kerajaan memutuskan untuk membeli tanah itu melalui Kementerian Kewangan, tetapi ia akan disewakan kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang menguruskan projek itu.

Menjawab soalan Tun Abdul Majid sama ada beliau dirujuk sebelum sepucuk surat bertarikh 12 Jun, 2001 dan ditandatangani Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada ketika itu iaitu Tan Sri Shamsuddin Hitam dihantar kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan ketika itu Datuk Zaharah Shaari berhubung keputusan kementerian untuk mendapatkan tanah itu, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu mengenai surat itu.

Katanya dalam sesetengah kes, pegawai kanannya sama ada akan merujuk dengan beliau atau sebaliknya.

 "Tidak semestinya mereka perlu merujuk dengan saya mengenai semua isu. Surat ini, dalam apa pun tidak akan mengikat Kabinet.

"Kabinet boleh membuat keputusannya sendiri, di mana kadang kala tidak betul-betul mengikuti nasihat menteri atau pegawai kementerian berkenaan, jelas Dr Mahathir.

Beliau juga bersetuju dengan Tun Abdul Majid bahawa Kabinet mengambil masa untuk bersetuju dengan harga pembelian memandangkan PKFZ adalah projek mahal dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) juga berpandangan bahawa harga pembelian RM25 skp tidak berdaya maju.

Dr Mahathir juga ditanya Tun Abdul Majid bagaimana harga permulaan RM18 melonjak kepada RM21 dan akhirnya RM25 skp.

Dr Mahathir menjelaskan selepas mengambil kira bayaran faedah lebih 10 ke 15 tahun dan penjual hanya bersetuju untuk RM21 skp jika ia melibatkan pembelian tunai.

"Ia bukan satu kesilapan apabila Kabinet bersetuju untuk RM25 sekaki persegi, selepas mengambil kira kos tambahan yang perlu dibayar penjual," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata RM25 skp hanyalah satu harga kontrak berdasarkan terma pembayaran dan terma itu dikira mengikut tempoh tertentu.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling yang menjadi menteri pengangkutan selama 17 tahun mulai 1986, didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 Sept dan 6 Nov 2002.

Dr Ling dipanggil membela diri pada 9 Mac lalu dan empat saksi telahpun memberi keterangan termasuk Dr Mahathir.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi disambung esok. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved