Ahad, 24 Februari 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Jangan nafi calon pilihan rakyat

Posted: 23 Feb 2013 06:04 PM PST

24 FEB ―Teka-teki mengenai status sebenar Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-13 di Pandan kian berserabut.

Ini kerana, sidang akhbar yang dianjurkan oleh MCA Pandan pada petang Jumaat lalu bagi memberi gambaran sebenar isu berkenaan menimbulkan lebih banyak tanda-tanya.

Kenyataan MCA Pandan bahawa mereka belum memutuskan calon yang akan bertanding di Pandan pada PRU 13 nyata bercanggah dengan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang secara terbuka mengumumkan seorang peguam, Gary Lim sebagai calon MCA.

Lebih menghairankan, lima ahli jawatankuasa MCA Pandan iaitu Tan Chuan Yong, Leong Siew Kam, Chung Mun Hing, Lee Fook Seng dan Lee Cheing Fong mendakwa mereka tidak dimaklumkan mengenai sebarang keputusan untuk tidak mencalonkan semula Tee Keat.

Penafian oleh kelima-lima pemimpin itu bagaimanapun ditempelak oleh Gary sendiri yang menegaskan enam nama calon termasuk Tee Keat telah diserahkan kepada Soi Lek untuk pertimbangan.

Jelas, beberapa kenyataan yang dikeluarkan agak lemah dan tidak begitu meyakinkan. Ketidakhadiran beberapa pemimpin utama dalam sidang akhbar berkenaan termasuk Ketua Divisyen MCA Pandan, Ong Chen Huing turut membayangkan ada sesuatu yang tidak kena dengan MCA Pandan.

Ternyata dari satu sudut, sidang akhbar yang berlangsung tempoh hari tidak lebih daripada menjawab persoalan pada permukaan sahaja. Banyak persoalan tidak dijawab dan kalangan pemimpin yang hadir memilih jalan selamat agar tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Malah, kenyataan Ketua Pemuda MCA Pandan, Chong Sin Woon bahawa mereka akan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana  calon yang mendapat restu dan dicalonkan oleh pucuk kepimpinan MCA dan BN secara tidak langsung memberi bayangan jelas terhadap pendirian mereka dalam hal ini.

Hakikatnya, nasib Tee Keat sebagai calon BN di Pandan ibarat telur di hujung tanduk. Hanya Perdana Menteri sahaja yang boleh campur tangan dan menyelamatkan beliau. Jika kita menganalisa riak wajah Tee Keat pada sidang medianya beberapa hari lalu, beliau kelihatan yakin dan tenang. Apa tidaknya, senario yang dihadapinya sekarang pernah terjadi.

Contohnya pada 2010 ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor, Najib memilih P. Kamalanathan sebagai calon untuk kawasan berkenaan dan ternyata percaturan itu berjaya. Mungkinkah sejarah akan berulang?

Perdana Menteri sebelum ini menegaskan, beliau mahukan calon boleh menang (winnable candidate) untuk PRU kali ini. Soalan saya kepada Soi Lek…apakah Tee Keat bukan seorang calon boleh menang? Apakah seorang pemimpin yang mendapat sokongan daripada masyarakat berbilang kaum dan berkhidmat selama lima penggal bukan calon yang berpotensi?

Apakah kriteria calon boleh menang dari perspektif Soi Lek? Apakah pengumuman terbuka bagi menyokong Gary satu keingkaran terhadap suara hati rakyat Pandan yang ternyata lebih memihak kepada Tee Keat?

Apapun, jika keadaan sedia ada kekal, ia jelas satu kerugian besar buat MCA dan BN. Jika inilah mesej yang ingin disampaikan oleh Soi Lek kepada pengundi bahawa ego adalah lebih penting daripada suara hati rakyat, maka peluang untuk mengekalkan Pandan pada PRU akan datang kian goyah.

Lebih-lebih lagi, calon daripada pakatan pembangkang yang akan diturunkan pula ialah Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli… seorang pemimpin muda yang meningkat naik.

Sama ada akan bertanding di bawah tiket BN, Bebas ataupun pembangkang, Tee Keat sahaja yang mempunyai jawapannya. Jika Tee Keat pada akhirnya memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas, beliau tidak perlu gusar mengenai kesudahannya.

Barangkali, jika ada pihak yang meragui kebolehan calon Bebas, usah toleh terlalu jauh kerana dalam BN sendiri, ada seorang pemimpin iaitu Datuk Shahrir Samad yang pernah melakarkan kejutan ketika bertanding sebagai calon Bebas di Johor Baru.

Mungkinkah Tee Keat dapat mengulangi kejayaan seperti yang pernah dilakukan oleh Shahrir Samad?

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Wang dan kedudukan bukanlah segalanya

Posted: 23 Feb 2013 04:36 PM PST

24 FEB ― Hidup di kota besar seperti di Kuala Lumpur ini memanglah mencabar. Di sini segalanya wang. Apa saja jika ia melibatkan wang, segalanya menjadi halal belaka dan jika kita punya banyak wang memang kita akan memiliki ramai kawan, kita seperti gula yang semua semut ingin mendekati.

Sifat kita juga sebagai manusia dan penghuni kota yang suka berlumba untuk kesenangan dan masa depan kadang membuatkan kita lupa apa itu kualiti hidup yang sebenarnya. Secara tidak langsungnya betapa ringgit itu sangat berharga melebihi segalanya hatta nyawa sekalipun.

Sejak berumahtangga tahun 1995 dahulu sehingga dikurniakan 4 orang cahayamata, isteri saya hanya berkerjaya sebagai seorang suri rumah. Memang saya tidak kaya, tapi ringgit bagi saya bukanlah segala-galanya dalam hidup ini.

Saya hanya mahu anak-anak dibesarkan oleh ibu mereka sendiri. Setiap saat itu sangat berharga dan kalau boleh biarlah mereka merasai nikmat dan belaian yang jujur dan ikhlas, bukan pura-pura, terpaksa atau ada sebab lain.

Menjenguk ke belakang, zaman orang tua kita di kampung dulu, biasanya si suami bekerja dan isteri jaga anak-anak. Memang hidup tidaklah senang sangat tapi anak-anak masih masih mampu bersekolah hingga ke menara gading juga.

Arwah bapa saya berkerjaya sebagai seorang polis masih mampu menyara anak-anak sehingga mereka dewasa dan mampu berdikari. Ibu saya sejak awal hanyalah seorang suri-rumah sepenuh masa. Cuma kos sara hidup di kampung waktu itu tidaklah sama seperti hari ini.

Tidak percayakan orang lain untuk menjaga anak-anak buatkan saya terpaksa membuat pilihan samada mencari orang gaji dan isteri bekerja untuk menambah pendapatan atau hanya saya saja yang bekerja.

Di Kuantan baru-baru ini berlaku penderaan pada bayi lelaki yang berumur 4 bulan oleh orang gaji atau pembantu rumah warga Indonesia yang mereka dapat melalui ejen.

Saya bersimpati dengan nasib anak yang didera itu juga ke dua ibu-bapanya. Umurnya baru 4 bulan, dicampak dan dilambung macam anak patung. Kesannya pada si anak itu kita tidak tahu tapi perkara-perkara begini sering berlaku di zaman ini kerana nilai kejujuran itu hanya dinilai melalui ringgit.

Pun pengasuh warga Indonesia itu sudah pun dijatuh hukum penjara selama 20 tahun atas kesalahan penderaan terhadap kanak-kanak. Yang jelas itu bukanlah persoalannya, kerana emosi anak tersebut mungkin akan turut terganggu termasuk ke dua ibu-bapanya yang langsung mengalami trauma yang dasyat atas insiden yang terjadi yang menimpa ke atas mereka.

Apabila segalanya diniagakan, secara tidak langsung nilai ikhlas pun turut dinilai berdasarkan prestasi demi ringgitlah juga. Kita tidak mampu menduga berapa peratus tahap ikhlas seseorang kerana namanya pun manusia, apa pun boleh berlaku.

Di Kuala Lumpur atau di bandar-bandar besar, setiap pagi selepas subuh kita akan melihat ramai para ibu-bapa akan mendukung anak mereka yang masih bayi sehinggalah yang berumur 4 ke 5 tahun untuk dihantar ke pusat penjagaan kanak-kanak atau Taska, mahupun kepada pengasuh yang digaji.

Ini adalah pemandangan biasa. Apabila suami-isteri bekerja untuk menambah kos sara hidup yang semakin tinggi, mereka terpaksa mengorbankan nilai perasaan dan kasih-sayang terhadap sang anak yang belum mengerti apa-apa pun tentang hidup.

Wanita hari ini bukanlah seperti di zaman dulu. Wanita hari ini ramai yang berkerjaya dan sofistikated belaka. Saya tidak salahkan mereka untuk itu kerana ini lah harga yang perlu kita bayar untuk sebuah kehidupan yang sempurna mengikut kemahuan kita sendiri.

Sifat kita memang sukakan keindahan dan kesempurnaan terutamanya dari sudut materi. Mungkin itu penting untuk ekonomi kita sendiri. Saya akui punya kereta besar, rumah besar dan segalanya yang besar-besar belaka itu memang impian para warga zaman ini. Penting untuk dilihat sebagai golongan yang berjaya dan berkerjaya.

Di kota ini nilai kejujuran dan keikhlasan bukanlah satu perkara yang penting dan utama lagi kerana semuanya perlu bermodalkan wang dan ringgit. Nak jumpa ustaz kena duit, nak jumpa bomoh, pun kena duit juga. Nak kutip derma atas nama Gaza sekalipun, kena bermodalkan duit juga.

Apabila satu kerja itu perlukan modal, maknanya walau apapun dari segi logiknya perlukan pulangan dan keuntungan juga. Di mana nilai ikhlasnya?

Kita bikin sebuah album amal contohnya, perlukan modal juga. Takkan studio rakaman nak bagi percuma pula? Semuanya memerlukan kos. Kita letak di kedai muzik, mereka akan mengaut keuntungan atas setiap hasil jualan .Inilah kenyataan hidup di zaman ini.

Apa pun juga atas setiap apa yang kita lakukan di atas mukabumi ini, adalah baik jika kita mencari makna kualiti hidup yang sebenar. Setinggi mana harta dunia yang kita kaut, tidak akan mencukupi bahkan mungkin akan menjadikan kita manusia yang semakin menjauhkan kita dengan fitrah hidup itu sendiri.

Nyawa harganya tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Kita lahir ke dunia tidaklah dituntut untuk menggauli nafsu dan kehendak duniawi ini semahunya. Kita dituntut untuk berfikir untuk apa kita dijadikan dan jangan lupa akan janjiNya.

Kita kaya dan memiliki segala apa yang kita mahu di dunia ini. Pun apabila sampai tempoh, segala yang kita miliki ― tenaga, nafsu, kehendak malah segala yang ada pada kita akan diambil. Adakah kita punya pilihan lain untuk menafikan fitrah hidup kita sendiri?

Bukankah saat nazak kita dalam menghadapi kematian, yang wajib kita yakin dan hadap hanyalah Dia, tiada yang lain? Dia bukanlah materi atau apa saja yang kita bayangkan di dunia ini.

Apa pun bagi saya, setiap saat itu sangat berharga kerana hidup ini sangat singkat dan kita perlu menghargainya. Wang itu penting tapi ia hanyalah satu keperluan cuma. Mungkin kita akan beroleh tahap yakin yang tinggi dalam berhadapan dengan masyarakat, tapi sebenarnya hanya mereka yang miskin jiwa yang kalut dan kesah.

Tidak ada bezanya jika kita tidur beralaskan tikar mengkuang mahu pun pun tilam empuk berharga ribuan ringgit kerana yang penting adakah akan lena tidur kita itu?

Wang bukanlah segala-galanya dalam hidup ini... fikirkanlah.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved