Isnin, 18 Mac 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Usahawan Melayu jangan terlalu bergantung kepada status ‘Bumiputera’ — Rafidah Aziz

Posted: 18 Mar 2013 04:50 AM PDT

Oleh Nomy Nozwir
March 18, 2013

PETALING JAYA, 18 Mac — Usahawan Melayu tidak seharusnya bergantung kepada status Bumiputera dalam dunia perniagaan yang kompetitif, kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz (gambar).

Menurut Rafidah, usahawan Melayu seharusnya lebih berani menceburi pasaran luar, dan mengambil kesempatan dari Perjanjian Perdagangan Antarabangsa (FTA) ASEAN untuk memasarkan produk ke pasaran serantau dan antarabangsa.

"Kalau kita katakan kita ini seorang usahawan Bumiputera, itu kita sudah silap. Seharusnya kita perlu meletakkan diri kita sebagai seorang usahawan kerana pasaran luar adalah pasaran neutral dan tidak mengenal bangsa, jantina dan agama.

"Oleh itu, usahawan perlu menggunakan FTA sebagai peluang meluaskan perniagaan, bukan sebagai penghalang," kata Rafidah dalam seminar "Inovasi dan Transformasi PKS Menuju Pasaran Global", di sini, hari ini.

Rafidah juga menegaskan para usahawan haruslah mengkaji kehendak semasa pasaran, di samping memahami demografi dan kebudayaan pasaran di luar.

"Terdapat banyak isu-isu yang kini diberi tekanan oleh masyarakat, seperti isu alam sekitar, hak pekerja, ketelusan urusniaga, dan hak pengguna, usahawan kita perlu bersedia menangani isu-isu ini sebelum menceburi perniagaan di luar negara," kata Rafidah lagi.

Beliau juga menegur sikap sesetengah golongan usahawan yang tidak memberikan penekanan terhadap kualiti selepas mendapat persijilan kualiti antarabangsa (ISO), dan berkata ia seharusnya diberi penilaian secara kerap bagi melihat kualiti produk yang baik sebelum dipasarkan.

"Kadang-kadang usahawan kita yang mengeksport ini leka dengan perkara sebegini, menyebabkan nama baik negara kita tercemar kerana mengeksport produk-produk yang tidak bermutu tinggi, kita harus jaga kualiti, bukan sahaja untuk perniagaan kita tapi nama negara secara keseluruhan," katanya lagi.

Beliau juga memuji langkah SME Corp yang banyak membantu golongan usahawan memajukan industri kecil dan sederhana di negara ini, dan mengatakan terdapat peningkatan dari segi kualiti dan kuantiti eksport pasaran sejak penglibatan SME Corp.

Rafidah merupakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri semenjak 1987 sehingga 2008, selepas menang tipis dalam pilihan raya 2008 di kawasan parlimennya di Kuala Kangsar.

PM luang masa dengan pemimpin gereja menjelang pilihan raya

Posted: 18 Mar 2013 04:38 AM PDT

Oleh Debra Chong
Penolong Pengarang Berita
March 18, 2013

Datuk Seri Najib Razak berusaha bertemu sebanyak mungkin kumpulan rakyat sebelum mengumumkan pilihan raya, dijangkakan berlangsung bulan depan. — Gambar failKUALA LUMPUR, 18 Mac —  Datuk Seri Najib Razak meluangkan masa dalam satu jamuan teh bersama pemimpin gereja di kediamannya Seri Perdana Putrajaya hari ini, selepas menerima lawatan veteran askar Sabtu lepas menunjukkan perdana menteri berusaha bertemu sebanyak mungkin kumpulan rakyat sebelum mengumumkan tarikh pilihan raya, dijangkakan berlangsung bulan depan.

Demografi penganut Kristian terdiri kurang 10 peratus daripada 28 juta keseluruhan penduduk Malaysia tetapi dilihat sebagai kumpulan pengundi yang berpengaruh kerana paling lantang mempertahankan hak bukan Islam ditengah-tengah kontroversi kalimah "Allah".

The Malaysian Insider difahamkan jamuan teh tersebut dijadualkan 4 petang ini, ia dianjurkan Jabatan Perdana Menteri dan pertubuhan belia Kristian kebangsaan yang telah dirancang sejak dua minggu lalu.

Namun beberapa paderi berkata mereka hanya menerima jemputan 11 jam sebelum jamuan tersebut dan tidak akan menghadirinya.

"Sebenarnya, saya hanya terima jemputan dua jam lalu. Saya tidak rasa akan hadirnya," kata pemimpin gereja Sabah kepada The Malaysian Insider dalam satu pesanan ringkas selepas dihubungi tengahari tadi.

Pemimpin gereja Protestan berkata beliau dalam satu mesyuarat.

Seorang lagi paderi berkata beliau menerima jemputan menerusi Pos Laju pada Jumaat lalu, tetapi juga memberitahu tidak akan menghadirinya tanpa memberikan sebarang alasan.

Kontroversi tercetus pada 2011 apabila penghantaran Alkitab, kitab Injil dalam bahasa Melayu kepada Bumiputera Kristian yang menggunakan Bahasa Melayu telah disekat atau dirampas di pelabuhan, sebelum kerajaan akhirnya tunduk kepada tekanan dan membebaskannya.

Perselisihan di antara majoriti Melayu-Islam yang membentuk 60 peratus dari 28 juta rakyat Malaysia dan minoriti Kristian berlaku pada awal 2010 walaupun Mahkamah Tinggi pada 2009 membenarkan Gereja Katolik mempunyai hak untuk memanggil tuhan mereka sebagai "Allah".

Kumpulan Buddha turut menyeru Jabatan Perpaduan dan Intergrasi Nasional, di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menyelesaikan masalah kalimah "Allah" ini.

Jadual Najib padat bagi dua tempoh minggu ini di mana perdana menteri akan bertemu dengan rakyat di seluruh negara sebelum membubarkan Parlimen pada hujung Mac ini untuk memberi laluan pilihan raya umum dijalankan pada pertengahan April.

Najib juga telah menjelajah ke seluruh negara untuk program TV3 Jelajah Janji Di Tepati sepanjang tahun selain dari lawatan ke tempat popular Malaysia dalam usaha untuk melibatkan diri dengan pelbagai demografi rakyat Malaysia.

Beliau juga telah mengumumkan beberapa inisiatif ekonomi dan undang-undang termasuk pemberian kepada orang ramai dengan yang terbaru adalah menyetarakan gaji anggota polis dan tentera dan peningkatan gaji untuk penjawat awam lain semalam.

Pengerusi BN telah menangguhkan beberapa acara beberapa minggu lalu akibat daripada pencerobohan pemberontak bersenjata Sulu yang menuntut Sabah akan tetapi acara kembali pulih seminggu selepas itu.

Semalam Najib telah menghadiri program One Million Purple Walk anjuran Kementerian Wanita dan Pembangunan Masyarakat.

Hari ini Najib akan melancarkan kad laporan tahunan untuk Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang beliau perkenalkan selepas menjadi orang nombor satu negara pada April 2009.

Perdana menteri kemudiannya dijadualkan akan menghadiri perhimpunan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) pada 22 Mac sebelum menghadiri program Janji Di Tepati di kawasan parlimennya Pekan pada 23 Mac.

Jadual terakhirnya untuk program awam pada bulan ini setakat ini adalah perlumbaan F1 Petronas Malaysia di Sepang pada 24 Mac, apabila cuti sekolah penggal pertama bermula.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved