Isnin, 18 Mac 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Menjual SJKT (Bahagian 2)

Posted: 17 Mar 2013 04:38 PM PDT

March 18, 2013

Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.

18 MAC — Mata saya terbeliak memandang foto dua pensyarah Kolej Siru Kambam yang ditunjukkan oleh Puan Parameswari. Sesungguhnya saya amat mengenali mereka bedua.

"Mereka?" Saya bertanya sambil memandang wanita berumur 55 tahun itu dengan kening berkerut.

"Adik tidak percaya?"

Lidah saya kelu. Saya datang bertemu guru Bahasa Tamil ini untuk mendapatkan maklumat asas mengenai Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Siru Kambam bagi tujuan tugasan kolej. Beliau pula memberikan pelbagai maklumat berserta bukti yang menggemparkan serta sukar dipercayai.

"Mereka berdua adalah pensyarah saya," saya berkata akhirnya.

Parameswari tidak pula terkejut mendengar jawapan saya. Beliau hanya tersenyum kecil.

"Ya, saya sudah mengagak."

"Maksud puan?"

Parameswari menyimpan salinan pelbagai dokumen dan bahan bukti."Encik Krishna dan Encik Kumara adalah pensyarah kolej kamu yang terlibat secara langsung dalam urusan membabitkan sekolah-sekolah Tamil. Mereka ada kuasa, suara serta pengaruh yang kuat pada peringkat atasan."

Saya semakin keliru. Kedua-kedua pensyarah itulah yang menyuruh saya mengumpul maklumat mengenai SJKT Siru Kambam bagi tujuan tugasan. Mengapa pula mereka berbuat begitu jika mereka terlibat sama dalam konspirasi seperti dikatakan oleh wanita ini?

"Saya percaya bahawa adik hanya mengenali mereka berdua sebagai pensyarah. Akan tetapi, saya mengenali mereka sejak mereka masih menjadi mahasiswa universiti."

Sambil berkata begitu, Parameswari meletakkan dua fail kertas yang agak tebal di atas meja. Nama "Kumara" dan "Krishna" tertera pada kulit hadapan fail. Saya membelek-belek beberapa halaman kandungan kedua-dua fail berkenaan.

Saya tidak pasti dari mana dan bagaimana Parameswari berjaya memperoleh pelbagai dokumen, surat dan memo sulit serta peribadi antara kedua-dua pensyarah berkenaan dengan sebuah organisasi yang secara terang-terangan sedang berusaha menghapuskan sekolah-sekolah Tamil di Malaysia.

"Saya pernah mengemukakan bahan-bahan bukti ini berserta tulisan berupa komentar ke beberapa akhbar dan majalah Tamil sejak tahun 1996. Akan tetapi, kesemuanya dibakul sampahkan. Mungkin kerana tulisan saya mendedahkan kepincangan dan konspirasi melibatkan pelbagai pihak. Mujurlah saya masih simpan salinan setiap tulisan itu," guru itu menjelaskan sementara saya meneliti kandungan fail.

Segala maklumat, dokumen, keratan akhbar dan foto yang tersaji di hadapan mata membuatkan saya kaku seketika. Minda saya berusaha mencerna sebanyak mungkin fakta yang sukar dipercayai. Konspirasi terancang oleh tokoh kaum India sendiri untuk menghapuskan sekolah Tamil?

"Tapi bukankah Encik Kumara dan Encik Krishna dikenali sebagai tokoh yang sangat mencintai budaya India dan bahasa Tamil? Masakan mereka tergamak berbuat seperti apa yang puan katakan … seperti apa yang puan tunjukkan menerusi bukti-bukti di dalam fail ini?"

Wanita itu tidak segera menjawab. Wajahnya sayu seketika. Bagaikan ada sesuatu yang mahu diceritakan tetapi tidak mampu diluahkan menerusi kata-kata.

"Seks, wang, kedudukan dan jawatan adalah antara perkara yang mampu melemahkan manusia yang kurang keimanan dan integriti. Sewaktu Kumara dan Krishna menjadi mahasiswa, mereka menghadapi masalah kewangan. Pada waktu itulah mereka dihubungi wakil sebuah organisasi yang menawarkan untuk menanggung sepenuhnya kos pengajian mereka hingga ke peringkat kedoktoran."

Mulut saya terlopong tanpa saya sedari. Kedua-dua pensyarah berkenaan sedang dalam proses menyiapkan tesis kedoktoran. Maknanya, mereka masih ditaja pertubuhan tersebut?

"Saya percaya bahawa mereka menghantar adik bertemu saya dengan tujuan mahu mengetahui berapa banyak maklumat yang saya tahu dan masih simpan mengenai operasi mereka. Mereka tidak berani berdepan dengan saya kerana takut pada bahan-bahan bukti yang ada di tangan saya," katanya.

Kalau begitu, mengapa guru ini sedia mendedahkan begitu banyak maklumat kepada saya? 

"Saya percaya pada kuasa Tuhan. Walaupun mungkin benar bahawa Kumara dan Krishna menghantar adik untuk bertemu saya bagi mengorek rahsia, saya sedar bahawa adik bukan sebahagian daripada kumpulan mereka. Saya dapat merasakan kemurnian dalam jiwa dan roh adik. Sebab itulah saya tidak keberatan untuk mendedahkan begitu banyak perkara," wanita itu menjawab bagaikan mampu membaca apa yang bermain dalam fikiran saya.

Saya segera menutup kedua-dua fail. Agak bimbang juga memikirkan kemungkinan saya terjerumus dalam sesawang konspirasi seperti yang diceritakan oleh Parameswari. Jika segala apa yang beliau ceritakan adalah benar, entah apa yang mampu dilakukan oleh organisasi yang menaja kedua-dua pensyarah saya.

"Saya sudah pening." Saya memegang kepala dengan kedua-dua tangan. "SJKT Ladang Siru Kambam terletak di bawah tabung amanah Kuil Sivaperuman. Jawatankuasa itu pula ada kaitan rapat dengan Pertubuhan Politik India (PPI) cawangan Siru Kambam. PPI sentiasa memperjuangkan bahasa Tamil, budaya Tamil dan segala apa yang berkaitan dengan Tamil. Jadi, mana mungkin PPI, pihak kuil dan pensyarah saya terlibat dalam konspirasi menutup sekolah Tamil dan menjual tanah itu?"

Parameswari tidak segera menjawab. Wanita itu juga ternyata tidak marah mahu pun terkejut dengan pandangan yang saya kemukakan. Sebaliknya beliau membuka sebuah fail lain dan mengeluarkan kembali foto Presiden PPI bersama seorang wanita jelita.

"Wanita seksi ini adalah salah seorang aktivis dalam organisasi ini," katanya sambil jari telunjuk menuding salinan kepala surat pertubuhan yang dimaksudkan. "Hasil pujukan serta habuan seks, Presiden PPI sudah menukar hak milik Dewan Besar Siru Kambam kepada wanita ini. Adik tahu di mana letaknya dewan itu?"

Saya menggeleng. Saya pernah membaca mengenai dewan itu dalam buku "Unknown Facts About Little Known Siru Kambam" tetapi tidak pernah berpeluang melihatnya walaupun belajar di Kolej Siru Kambam sejak dua tahun lalu.

"Dewan Besar Siru Kambam sudah bertukar menjadi pejabat cawangan organisasi ini," katanya sementara tangan kanan menepuk-nepuk kepala surat tadi.

Oh! Rupa-rupanya bangunan pejabat itulah dahulu merupakan Dewan Besar Siru Kambam. Encik Krishna dan Encik Kumara selalu juga mengajak saya menyertai perjumpaan dan aktiviti organisasi tersebut pada hujung minggu. Menurut mereka, saya boleh mendapatkan bekalan beras, gula, kacang hijau, air mineral dan sebagainya secara percuma jika menjadi ahli.

"Mengapa puan menceritakan semua ini kepada saya? Tentu sahaja saya tidak boleh memasukkan pendedahan ini dalam tugasan yang perlu ditulis."

Sambil berkata begitu, saya berfikir: Matilah saya kalau Encik Kumara dan Encik Krishna tahu bahawa saya sudah tahu mengenai perancangan licik mereka! Atau mungkinkah itu rancangan sebenar mereka? Supaya saya tahu kisah sebenar?

"Mengapa saya menceritakan semua ini kepada adik?" Parameswari bertanya kembali sambil tersenyum. "Bukankah adik sendiri yang datang bertemu saya untuk mendapatkan maklumat mengenai SJKT Ladang Siru Kambam?"

Saya memandang wajah wanita itu; mengharapkan jawapan yang lebih tulus. 

"Saya sudah berjuang secara sendirian sejak 1996. Sebelum sesuatu yang buruk berlaku terhadap saya, elok saya ceritakan kepada orang."

Lalu saya memutuskan untuk menceritakan pula kisah ini kepada anda sebelum sesuatu berlaku ke atas saya. Seperti yang sudah berlaku ke atas Parameswari.

* Uthaya Sankar SB menulis faksyen ini hasil perbualan bersama seorang pengkaji dan penyelidik yang berwibawa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved