Ahad, 24 Mac 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Mengenai hidup dan semangat

Posted: 23 Mar 2013 05:00 PM PDT

March 24, 2013

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

24 MAC ― Kehidupan ini memang tidak akan adil untuk penghuninya. Ada yang cantik, buruk, kaya, miskin, cacat, sihat, sakit dan segala macam bentuk, gaya dan ragam para penghuni dunia yang boleh kita tatap dan lihat.

Cuma yang penting, bagus jika kita memanfaatkan setiap peluang dan ruang yang kita miliki. Cerita dunia adalah tentang siapa kalah dan siapa menang. Atau kita boleh saja tidak indah akan siapa menang atau siapa yang kalah. Itu kita katakan apabila telah sampai tahap redha kita dalam menerima takdir dan hukum alam.

Atau mungkin juga atas sebab itu menjadi pendorong untuk kita menjadi seorang manusia yang ingin meninggalkan nikmat dunia dan ceritanya. Kebanyakan pujangga sufi asalnya adalah dari mereka yang kecewa dan hampa dengan kehidupan.

Seperti Rumi yang kecewa dengan kematian gurunya Syamsi Tabriz, beliau bangkit dari kekecewaan sehingga menjadi tegap dan mantap dari segi pemikiran dan jiwa, namanya menjadi panduan bagi mereka yang dahagakan kasih sayang Tuhan dari zaman berzaman.

Kita di sini tidak lebih hanyalah sebagai penduga sahaja. Kita hanya mampu menduga atau mengagak akan takdir cerita kita mengikut versi dan bijaknya kita dalam mentafsir makna alam.

Saya pernah mengeluh dan sangat kecewa tentang takdir yang menimpa anak saya yang dilahirkan cacat dari segi mentalnya. Sebagai seorang bapa dan juga ketua keluarga, itu perkara yang paling saya takut untuk menghadapinya. Tapi itulah juga, apabila ia terjadi, kita terpaksa belajar untuk menghadapi kenyataan atau kita akan menjadi manusia yang kecewa dan menanggung sesal seumur hidup.

Anak saya yang autisma itu umpama kitab hidup yang menjadi bacaan dan renungan untuk saya setiap masa. Banyak yang saya pelajari darinya sejak dari hari lahirnya sehinggalah usianya mencecah 14 tahun hari ini.

Seperti nasihat dari seorang kawan saya bila saya mempersoalkan tentang keadaan anak saya itu suatu masa dulu, katanya jika kita lihat di Ethiopia lebih lagilah keadaan yang menyayat hati yang boleh kita tonton setiap hari, kebuluran, badan kurus kering seperti mayat dan berbagai lagilah.....

Kecewa dan kalah memang sering dan akan selalu kita tempuh selagi bergelar manusia, itu lumrah. Persoalan demi persoalan kita panjatkan ke langit sana untuk jawapannya. Pun jika kita menghayati makna kecewa itu rahmatnya tetap ada di mana-mana selagi ada percaya dalam diri kita. Yang penting selagi ada daya untuk menghadapinya, selagi itulah kita akan terus hidup dengan semangat yang menyala.

Baru-baru ini seorang lelaki datang dekat ketika saya sedang berlagu. Lagu "You're my everything" (Santa Esmeralda) yang saya nyanyikan nyata mendatangkan rasa kagum lelaki yang langkahnya agak longlai seolah patah harap dalam hidup itu.

Umurnya 28 tahun dan baru saja berhenti kerja sebagai Pengawal Keselamatan di Pasar Seni, katanya. Selesai lagu yang saya nyanyi itu, dia minta saya nyanyikan lagu "Kisah Seorang Biduan"(Broery Marantika) pula. Kebetulan saya tahu lagu itu dan saya pun lagukanlah.....

Katanya cerita dalam lagu itu memang kena dengan apa yang sedang dilaluinya sekarang. Saya pun tidaklah hairan malah telah memahaminya mengapa apabila kita sedang kecewa, kita suka layan dan ubatkan lagi rasa kecewa itu dengan lagu-lagu sedih yang segala-galanya malap dan patah harap belaka.

Lelaki itu baru putus tunang. Tunangnya seorang guru dan katanya dek kerana taraf hidup yang berbeza, keluarga tunangnya minta putuskan tunangan. Katanya lagi bila dia baca di akhbar tentang kisah para lelaki yang sanggup membunuh bekas tunangan mereka lantaran kecewa seperti yang sedang dilaluinya, seakan dia faham dan menyokong tindakan mereka itu, dan apabila dia mahukan pendapat dari saya, saya pun cuba untuk meneutralkan rasa kecewa dalam dirinya. Pun itu tidaklah semudah dan selancar kita membaca A, B dan C.

Saya menasihatinya agar melupakan bekas tunangnya itu dan mulakan hidup baru. Lelaki itu pun ada rupa dan badan pun masih sihat walau sinar dari matanya semalap mendung yang menanti ribut melanda.

Nyata dia kecewa dengan nasihat saya. Saya katakan itu kerana dia sangat asyik melayan kecewa dan jiwa kacaunya. Katanya lagi kerana tunangnya lah dia kini menjadi penagih dan putus harap untuk terus hidup. Saya bertegas menyatakan tentang kehidupan yang nyata ini ada di hadapan kita dan sepatutnya kita raikanlah dengan semangat untuk terus hidup ke depan, bukan ke belakang.

Saya pun berfikir mungkin malang kerana lelaki itu dibesarkan dengan lagu-lagu yang meleleh dan tangkap jiwang. Apabila kecewa, dilayannya pula sedih dan kecewa itu dengan lagu-lagu Melayu slow rock kesukaannya yang bernada kecewa dan putus harap seperti "Sampai Hati"( Spring), "Sembilu"(Ella) dan banyak lagi... makanya hidupnya akan menjadi bertambah longlai dan tidak bermaya untuk terus ke depan. Nyata lelaki itu kalah dalam permainan hidup yang kitalah para watak yang menjadi pelakonnya.

Selepas puas meluahkan rasa kecewanya yang amat dengan kehidupan ini, lelaki itu berlalu pergi. Hanya ada dua pilihan baginya, meneruskan hidup dan lupakan semalam, atau melayan kecewa sehingga menjadi penagih tegar yang akhirnya mati dalam kekecewaan.

Atau mungkin juga akan datang semangat ke dalam diri lelaki itu untuk lebih mendekatkan dirinya dengan agama dan Tuhan, mudah-mudah itu yang ditempuhnya.

Kita tidak akan mampu untuk mengubah takdir dan cerita dunia. Kita di sini untuk menghadapi dan belajar untuk menerima walau apa cara sekalipun cabarannya. Kita semua juga berhak mengecap kebahagiaan dalam versi yang kita percaya.

Dalam tempoh beberapa bulan ini, banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita. Ramai para wira kita terkorban dalam kekacauan yang berlaku di Lahat Datu, Sabah. Peperangan bukanlah pilihan yang terbaik walau apa cara sekalipun kerana ia melibatkan banyak nyawa, namun apabila kita tidak punya pilihan, dengan semangat juang yang tinggi, kita pun mara ke hadapan.

Dan yang paling penting, selagi hidup kita akan pastikan semangat dalam diri itu sentiasa menyala kerana tanpa semangat, kita umpama manusia yang kehabisan bateri, maka perlulah di charge selalu.

Semangat itu adalah perlambangan bagi roh, ia hidup di dalam diri kita selagi ada nyawa di badan. Roh adalah rahsia bagi zat yang maha kuasa. Selagi bernyawa, pastikanlah kita sentiasa punya semangat untuk terus hidup.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis

Mampukah ‘gentleman politics’ diamalkan di Malaysia?

Posted: 23 Mar 2013 04:57 PM PDT

March 24, 2013

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

24 MAC ― Pentas politik ibarat jalan pintas ke puncak kegemilangan dan kemasyhuran.

Bagi mereka yang ingin menikmati saat-saat indah itu, inilah masa dan peluangnya untuk berbuat demikian.

Apa tidaknya, jika anda mempunyai rangkaian rapat dengan orang-orang kenamaan dan disokong oleh mereka, maka segalanya menjadi mudah. Pada permukaan, segalanya cukup indah dan baik-baik belaka.

Tetapi hakikatnya, langit tidak selalu cerah. Tanggapan umum bahawa politik merupakan sesuatu yang indah, jauh sekali meleset. Di luar sana, wujudnya si antagonis dan protaganis masing-masing mempunyai agendanya tersendiri; baik mahupun yang kurang baik.

Dalam kalangan individu yang berjawatan tinggi, kehadiran individu lain yang dilihat berpotensi adalah satu ancaman besar kepada kelangsungan mereka. Justeru, individu-individu sedemikian perlu dicantas, kalau tidak pun dihapuskan terlebih dahulu.

Demikianlah dilema dan penyakit yang melanda pentas politik negara. Gentleman politics dan politik bersih yang menjadi kemahuan semua nampaknya hanya akan tinggal impian semata-mata.

Politik Malaysia sejak beberapa dekad lalu telah melalui satu fasa gelap. Gutter politics, caci-mencaci dan tuduh-menuduh sudah menjadi satu kebiasaan seolah-olah ia sesuatu yang biasa. Isu seks dan soal peribadi nampaknya menjadi terus modal utama musuh politik. Keadaan ini menjadi lebih malap selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Tidak hairanlah mengapa satu ketika dahulu Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pernah melabelkan politik sebagai sesuatu yang kotor. Namun apa yang sebenarnya yang menjadikan politik itu kotor ialah si pelaku atau manusia sendiri.

Justeru, hanya mereka yang mempunyai daya ketahanan serta kemampuan untuk berubah mengikut keadaan, akan bertahan dalam dunia yang penuh jijik itu.

Yang pasti, survival atau kelangsungan diri mengatasi segala-galanya. Itu sebabnya kita jarang melihat pemimpin-pemimpin politik negara jarang melibatkan diri dalam diskusi dan politiking yang membina.

Sebaliknya, apa yang dapat kita lihat ialah sikap kebudak-budakan dan kebodohan pemimpin politik dalam menyerang antara satu sama lain. Serangan itu tampil dalam bentuk yang pelbagai, bersifat peribadi dan serangan ke atas moral seseorang pemimpin.

Medium yang digunakan pula tidak kurang hebatnya dengan media sosial, YouTube dan Facebook kini menjadi pentas untuk mengaibkan musuh-musuh politik.

Terbaru, klip video seorang lelaki yang dipercayai seorang politikus terkenal terlibat dalam aksi songsang dengan pasangannya. Ini bukan kali pertama pendedahan tersebut dibuat dalam media sosial. Soal motif dan modus operandinya… hanya mereka yang menyebarkan video tersebut boleh menjawabnya.

Dan ini membawa kita kepada persoalan pokok dalam isu ini… apakah era "gentleman politics" sudah berkubur di Malaysia? Ataupun "gentleman politics" sebenarnya tidak wujud di Malaysia? Mengapakah begitu sukar "gentleman politics" begitu sukar bertapak di negara ini?

Adakah pemimpin-pemimpin politik kita masih tidak begitu matang dan sukar untuk meninggalkan pendirian partisan mereka? Mungkinkah juga mereka sebenarnya tidak berniat langsung untuk berubah kerana sebarang perubahan hanya akan mengugat kedudukan mereka?

Jika laporan media dan kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan pemimpin politik kita dijadikan sebagai penanda aras, boleh dikatakan tidak ramai pemimpin politik negara yang dapat digolongkan dalam kelas yang gentleman.

Apa tidaknya, apa manfaat yang akan diperolehi mereka jika berlaku adil dan jujur dalam politik? Tidak semestinya orang yang berlaku adil dan jujur akan menang dalam perjuangan politik malah dalam banyak ketikanya, ramai yang tersungkur bukan kerana kelemahan mereka tetapi atas faktor lain.

Dalam dunia politik, semuanya berkisar kepada survival dan untuk meneruskan survival, harus ada perancangan untuk memastikan musuh anda tidak terlepas. Bagi mereka, gentleman politics hanya untuk mereka yang lemah dan enggan berhadapan dengan realiti. Individu yang gentleman lazimnya tidak mendapat tempat dalam dunia politik. Sering kali, mereka akan digelar tidak berkarisma terlalu berhati-hati, lemah dan tidak berprinsip.

Ramai yang berpendapat, sikap gentleman hanya akan membuka ruang dan peluang kepada musuh politik untuk kembali menyerang. Maka kerana itu, adalah lebih baik jika musuh politik dimatikan terlebih dahulu. Itulah doktrin yang pernah diajar oleh strategis perang terkenal, Niccolo Machiavelli dalam karyanya "The Prince".

Agak mengecewakan bilangan pemimpin politik negara yang mengamalkan "gentleman politics" adalah amat rendah. Jika ada sekalipun, bilangannya tidak ramai. Ramai yang lebih cenderung untuk menjadi pak turut dan mengikut telunjuk bos besar mereka. Semuanya dibuat dengan harapan periuk nasi mereka terjamin.

Sebagai pemimpin yang dipilih rakyat, mereka sepatutnya menggunakan masa terluang untuk membahaskan isu-isu yang bersangkut-paut dengan kebajikan rakyat. Untuk mendapatkan penghormatan daripada rakyat, pemimpin politik kita haruslah berpegang teguh kepada prinsip perjuangan sejati mereka dan bukannya berjuang mengikut keadaan semasa.

Bagi penulis, ini adalah pemimpin politik yang oportunis dan tidak bermaruah. Ini juga kumpulan pemimpin politik yang tidak harus mendapat dalam hati masyarakat. Pemimpin jenis ini wajar ditolak.

Sikap gentleman yang penulis maksudkan tidak bermakna pemimpin-pemimpin politik perlu senyum dan tidak membuli setiap hari di hadapan orang. Tetapi sikap gentleman yang penulis maksudkan lebih merujuk kepada kematangan pemimpin-pemimpin politik kita untuk berpolitik.

Tetapi bersediakah pemimpin-pemimpin politik kita untuk berbuat demikian? Adakah mereka sudah matang untuk mengetepikan sikap partisan yang semakin menebal dalam isu-isu tertentu membabitkan kepentingan rakyat?

Sikap pemimpin-pemimpin politik kita sudah berada pada tahap yang meloyakan. Sudah sampai masanya untuk mereka membuang sikap yang kurang baik itu. Jangan mengadu-domba dan jangan sesekali meletakkan rakyat dalam keadaan yang sukar dan jangan biarkan penghormatan rakyat terhadap pemimpin politik hilang begitu sahaja.

Jika tahap persepsi rakyat terhadap pemimpin politik sudah mencapai ke peringkat tersebut, maka segala-galanya mungkin sudah terlambat. Jangan pula menyalahkan rakyat jika mereka membuat keputusan yang sebaliknya. Tidak hairan mengapa pada mata rakyat, pemimpin-pemimpin politik kini hanya dikenang sebagai individu yang oportunis, tidak bermaruah dan palsu.

Bermakna juga, gentleman politics yang penulis sebutkan tadi pun tidak berguna lagi. Apakah harapan yang tinggal untuk rakyat kita? Apakah kita perlu menahan gelagat pemimpin politik begini untuk satu tempoh yang panjang lagi?

Mereka harus sedar bahawa gelagat buruk sebegini tidak akan dikompromi lagi. Sama ada pemimpin politik negara berubah ke arah kebaikan ataupun bersedia untuk diubah.

* Ini pandangan peribadi penulis.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved