Isnin, 22 April 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Bom asap semasa penamaan di Bentong bukan milik polis

Posted: 22 Apr 2013 02:47 AM PDT

April 22, 2013

KUANTAN, 22 April  — Polis Pahang hari ini menafikan laporan akhbar yang mendakwa mereka melepaskan bom asap ke arah penyokong pembangkang semasa proses penamaan calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong, Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang ACP Anuar Osman berkata polis amat kesal dengan laporan yang tidak bertanggungjawab itu.

"Pasukan keselamatan tidak akan melepaskan kepulan asap merah tersebut memandangkan tidak ada sebab untuk menggunakannya lebih-lebih lagi majlis penamaan calon itu berjalan dengan lancar," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata pihak polis juga tidak menerima sebarang laporan polis berhubung dakwaan kononnya pasukan polis melepaskan bom asap daripada mana-mana pihak.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan awal mendapati bahan kes yang ditemui dalam kejadian berkenaan bukan milik polis.

"Terdapat beberapa perbezaan yang ketara, melalui barang kes ditemui ia berukuran setinggi kira-kira 13.4 sentimeter, berdiameter enam sentimeter dan lubang asap yang dikeluarkan adalah daripada sebelah atas.

"Sekiranya ia milik polis, tin bom asap tersebut berketinggian 13 sentimeter, berdiameter 5.4 sentimeter dan lubang asap yang dikeluarkan adalah daripada bawah," katanya.

Beliau berkata siasatan juga mendapati catatan nama syarikat pengeluar pada tin yang berwarna hijau itu telah dikikis. — Bernama

BN mahu atasi kegagalan PAS Kedah jaga kepentingan golongan muda

Posted: 22 Apr 2013 02:45 AM PDT

April 22, 2013

KUALA NERANG, 22 April — Kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS meminggirkan golongan muda di negeri ini apabila didakwa gagal menyediakan program dan kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan golongan berkenaan.

Janji pakatan pembangkang untuk membina sebuah litar lumba motosikal dalam manifesto pilihan raya umum ke-12 (PRU12) juga gagal ditunaikan.

Pengerusi Pemuda BN Kedah Badrol Hisham Hashim berkata pelbagai program dan kemudahan untuk anak muda seperti gelanggang futsal di negeri ini dalam tempoh lima tahun ini adalah inisiatif kerajaan persekutuan yang prihatin dengan keperluan golongan muda.

"PAS tak ambil berat dan tak hiraukan anak-anak muda di negeri ini. Kini golongan ini telah kembali menyokong BN (Barisan Nasional). Mereka mahukan sebuah kerajaan yang mampu untuk beri kemudahan untuk mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat padang bola di tapak hasil sumbangan seorang penduduk kampung di Kampung Nako di sini dan bertemu golongan muda di kampung itu.

Badrol Hisham yang juga calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerang berkata dalam manifesto atau aku janji PRU13 BN Kedah yang dilancarkan baru-baru ini, BN turut mengutamakan pembangunan untuk golongan muda daripada segi ekonomi dan prasarana termasuk pembinaan litar lumba motosikal.

Beliau berkata komitmen dan perjuangannya adalah untuk melihat generasi muda diberi keutamaan sejajar dengan perjuangan BN yang mahu keluhan golongan muda diberi perhatian.

"Saya cuba nak selesaikan prasarana mengikut keperluan penduduk kampong seperti kemudahan jalur lebar, gelanggang takraw dan padang bola. Saya sendiri akan turun padang serta selesaikan masalah orang-orang muda," jelasnya.

Beliau berkata statistik pengundi muda di negeri ini pada pilihan raya kali ini seramai 440,000 orang dan yakin mereka akan memberi undi kepada BN.

Muhamad Zakiyuddin Shaari, 19, berkata dia berterima kasih kepada Pemuda BN yang menyumbangkan dana untuk menyelenggara padang bola tersebut bagi kegunaan golongan belia di kampung itu.

Katanya sebelum ini mereka tidak mempunyai padang bola untuk beriadah dan terpaksa menumpang menggunakan padang di kampung lain dan sekolah berhampiran.

"Kami amat syukur bila ada padang bola ini. Terima kasih kepada pemilik tanah yang sumbang tanah ini dan BN banyak membantu dalam proses membina padang bola ini," katanya. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved