The Malaysian Insider :: Bahasa |
Pecat keahlian 61 pemimpin Umno tanding bebas tindakan tepat, kata Soi Lek Posted: 23 Apr 2013 03:02 AM PDT Beliau turut berkata tindakan yang dibuat kepimpinan Umno itu bukanlah bersifat kejam kerana ia melibatkan isu disiplin anggota parti. "Saya tidak akan kata itu tindakan kejam ... tindakan itu perlu bagi memastikan ahli (parti) berdisiplin," katanya (gambar) kepada pemberita dalam lawatan dan pengenalan calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkalan Rinting di Jalan Trus di sini. Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin Umno telah memecat keahlian 61 ahlinya yang bertanding sebagai calon bebas di kawasan pilihan raya Parlimen dan DUN berkuatkuasa serta merta. Pengerusinya Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen, berkata tindakan itu selaras dengan fasal 20.10 Perlembagaan Umno yang menyatakan mana-mana ahli Umno bertanding sebagai calon bebas akan di pecat daripada parti dan tidak akan diterima keahliannya selama-lamanya. "Surat pemecatan keahlian yang ditandatangani oleh saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin dihantar pada hari ini juga untuk dimaklumkan secara rasmi kepada mereka yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan media semalam. Tambah Dr Chua lagi, perkara itu juga telah dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Tertinggi BN sebelum keputusan diambil. "Kita tidak boleh menjadi seperti DAP yang sesetengah pemimpin mereka bertanding sebagai calon DAP dan ada yang bertanding bebas," kata veteran MCA itu lagi. Tindakan sama jelasnya akan diambil kepada mana-mana ahli MCA yang melakukan tindakan serupa. Sementara itu Dr Chua turut mengakui hanya sebahagian masyarakat Cina di Johor yang masih menyokong BN kerana mereka termakan dengan momokan politik perkauman dan kebencian yang dimainkan DAP. "Kenapa mereka bertanding di kawasan majoriti masyarakat Cina sahaja?" soalnya lagi merujuk kepada tindakan DAP meletakkan beberapa pemimpin tertinggi mereka di Johor termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang di Kerusi majoriti Cina di Gelang Patah. "Di Johor kami masih lagi berharap kerana MCA mengamalkan konsep kepelbagaian kaum, bukan seperti DAP," tambahnya. Hari penamaan calon Sabtu lalu menyaksikan beberapa nama besar dalam Umno seperti bekas Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamalia Ibrahim bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Kuala Kangsar. Selain itu, bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Seri Mohd. Shariff Omar, yang bertanding di Parlimen Tasek Gelugor dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd. Ghazali yang bertanding kerusi Parlimen Sepang. Datu Badruddin Tun Mustapha juga dipecat kerana bertanding di Parlimen Semporna dan DUN Senallang. Kesemua mereka adalah antara 61 ahli Umno lain yang bertanding sebagai calon bebas dan telah dipecat. |
Nenek berusia 100 tahun nasihat generasi muda keluar mengundi Posted: 23 Apr 2013 01:50 AM PDT "Budak muda sekarang belajar tinggi, sepatutnya lebih pandai ... keluarlah mengundi kerana itu kerja kita, pilih siapa yang boleh jaga kita," kata Bedah Daud yang mesra dipanggil Tok Bedah kepada Bernama, di sini hari ini. Bedah yang dilahirkan pada 12 April 1913, berkata sejak pilihan raya pertama negara pada 1959, beliau tidak pernah terlepas daripada mengundi. "Kami dulu bangun awal pagi kayuh basikal ajak orang keluar mengundi. Lepas tu kami pakat masak nasi kawah dan makan ramai-ramai selepas mengundi itu," katanya yang ditemui pada program ramah mesra bersama calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Uban, Goh Kheng Sneah. Anak jati Kampung Batu Uban itu juga menyifatkan dirinya bertuah kerana dapat menyaksikan perubahan negara sejak sebelum merdeka sehingga sekarang. Mengakui dirinya penyokong BN sejak dahulu, Bedah berkata beliau tidak sabar menunggu hari pengundian ke-13 baginya. "Sejak guna lambang kapal layar hingga la ni guna lambang dacing, tok suka Barisan (Nasional)," katanya yang masih mempunyai daya ingatan yang kuat. Sementara itu Goh berkata jentera pilihan rayanya kini giat membuat lawatan rumah ke rumah bagi mendekati masyarakat selain memberi penerangan mengenai menifesto dan dasar baharu BN Pulau Pinang. Beliau juga berkata orang muda sekarang wajar mengikut nasihat Tok Bedah yang sudah banyak makan garam dan menyaksikan perkembangan negara di bawah kepimpinan BN. DUN Batu Uban yang terletak di bawah kawasan Parlimen Bayan Baru itu menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan Goh, calon PKR, Jayabalan A. Thambyappa dan tiga calon bebas. Calon bebas iaitu Baratharajan Narayasamy Pillai, Rajendra Ammasi, dan Mohd Noor Sirajajudeen Mohd Abdul Kader. DUN itu mempunyai 28,649 pengundi dan pada pilihan raya umum lepas Goh kalah dengan perbezaan 611 undi kepada calon PKR, Raveentharan Subramaniam. â Bernama |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider :: Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan