Ahad, 28 April 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Undi pos di luar negara berjalan lancar, kata SPR

Posted: 28 Apr 2013 02:09 AM PDT

April 28, 2013

PUTRAJAYA, 28 April — Pengundian pos oleh pengundi di luar negara yang berlangsung pada Ahad berjalan lancar tanpa sebarang masalah, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Kamaruddin Mohamed Baria.

Beliau berkata, sehingga tengah hari Ahad, secara purata kira-kira 50 peratus daripada pengundi telah menyerahkan kembali sampul kertas undi mereka.

"Di Wellington (New Zealand), angkanya kira-kira 60 peratus. Beijing (China), Tokyo (Jepun), Shanghai (China) dan Canberra (Australia) lebih kurang 50 peratus baru keluar (menyerahkan sampul)," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat SPR di sini, Ahad.

Kamaruddin berkata Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara akan terus dibuka sehingga jam 6 petang waktu tempatan bagi tujuan itu.

Pejabat di Melbourne dan London bagaimanapun akan dibuka sehingga 8 malam kerana pengundi yang berjumlah lebih 1,000 orang, katanya.

Semua kertas undi bagi pengundi pos luar negara telah dihantar 24 April lalu kepada 103 Pejabat Perwakilan Malaysia dan dijangka sampai semula di Malaysia seawal-awalnya pagi Isnin.

Mengenai pelajar luar negara yang telah kembali ke tanah air namun masih berstatus pengundi luar negara, Kamaruddin berkata mereka sepatutnya memaklumkan kepada SPR mengenai status terkini mereka.

Ditanya pula mengenai bendera berwarna-warni yang dikaitkan dengan 'Malaysian Spring', beliau berkata ia tertakluk di bawah kuasa pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan.

"SPR hanya terlibat untuk bahan-bahan kempen. Bendera itu tidak bertulis apa-apa, jadi SPR tak boleh ambil tindakan kerana ia bukan bahan kempen," katanya.

Kamaruddin meminta semua pihak agar tidak terpengaruh dengan pergerakan dari luar kerana sejarah sesebuah negara adalah berbeza antara satu sama lain.

"Kalau rakyat suka kita, kita akan menang. Tiada apa yang SPR boleh buat untuk mengalahkan seseorang calon apabila calon itu disukai oleh pengundi setempat," katanya. — Bernama

Muhyiddin: Sikap patriotisme perlu untuk pertahan negara

Posted: 28 Apr 2013 12:51 AM PDT

April 28, 2013

Muhyiddin berkata patriotisme juga perlu untuk mempertahankan negara daripada ancaman terhadap akidah dan agama Islam termasuk budaya-budaya liar yang kini semakin serius. - Gambar fail KUALA LUMPUR, 28 April — Semangat patriotisme tidak terbatas pada soal perjuangan untuk mempertahankan kedaulatan negara sahaja tetapi ia perlu untuk mempertahankan pelbagai ancaman termasuk soal ekonomi, perpaduan serta akidah umat Islam, kata Tan Sri Muhyddin Yassin.

"Saya hendak luaskan (makna) patriotisme, ia bukan terbatas pada soal perjuangan untuk pertahankan kedaulatan negara sahaja.

"Kita hendak pertahankan dari segi ancaman-ancaman yang mungkin boleh berlaku kalau institusi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sudah ada diruntuhkan oleh pihak pembangkang," katanya ketika berucap di hadapan 6,000 anggota Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) pada Perhimpunan Raksasa: Gema Patriotik di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PBTM Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dan Pengarah Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Datuk Zulkifli Mazlan.

Muhyiddin berkata kerajaan yang bertanggungjawab hanya akan menawarkan sesuatu yang mampu diberi dan tidak akan meranapkan negara hanya kerana mahukan undi untuk menjadi Perdana Menteri.

"Manifesto pembangkang mahu hapuskan tol, turunkan harga minyak tanpa ambil kira keupayaan kerajaan, kita buat kajian ia akan menambah hutang dan negara akan jadi bankrap, saya tidak bohong, dari mana mereka hendak dapat duit," katanya.

Beliau berkata manifesto BN yang menggariskan 17 perkara utama aku janji mengandungi 156 komitmen tindakan khusus bagi memastikan kepentingan rakyat dan dipenuhi, sudah pasti akan ditunai dan dilaksanakan kerana BN merupakan kerajaan yang bertanggungjawab dan amanah.

Muhyiddin berkata patriotisme juga perlu untuk mempertahankan negara daripada ancaman terhadap akidah dan agama Islam termasuk budaya-budaya liar yang kini semakin serius.

Beliau turut mengulas mengenai calon PAS Parlimen Putrajaya Datuk Husam Musa yang mengundang seorang penceramah bukan Islam untuk membetulkan akidah orang Melayu baru-baru ini.

"Ini bukan cerita bohong, kalau hendak betulkan akidah orang Islam bukan orang ini, tetapi panggillah tok-tok guru atau ustaz dan belajar agama.

"Bagaimana kita sebagai pejuang-pejuang harus pertahankan akidah kita, jangan biarkan orang lain mengganggu gugat akidah umat Islam, jangan kita biarkan, tolak mereka dalam pilihan raya umum nanti," katanya.

Beliau berkata perjuangan PAS untuk menegakkan syiar Islam juga sudah menyimpang jauh apabila sering bercanggah pendapat dengan rakan pakatannya seperti pendirian terhadap soal hukum Hudud.

Justeru, Muhyiddin menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tidak tersilap memilih kerajaan pada pilihan raya umum 5 Mei ini kerana bahananya amat besar yang boleh menghancurkan masa depan negara.

Beliau berkata rakyat harus memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana beliau merupakan seorang pemimpin yang beramanah, bertanggungjawab dan berupaya memikul tugas untuk membawa Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

"Beliau adalah simbol kepada perjuangan bangsa Melayu dan Malaysia, gagasan 1Malaysia yang diperjuangkan hari ini sudah mula menyerap dan menyusup ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.

"Sebab itu pembangkang sudah gentar, rasa takut dan bimbang kerana gelombang kebangkitan rakyat sudah mula dapat dilihat," katanya.

Beliau berkata segala kejayaan yang dicapai Malaysia pada hari ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana usaha yang dilaksanakan pimpinan negara dari dulu lagi yang bertindak atas dasar yang adil dan saksama tanpa mengira kaum.

"Kerajaan sana (pembangkang) hendak ubah, dia kata kali ini sahajalah, apa lagi yang hendak diubah, kalau negara sudah aman tenteram, nak ubah bermakna jadi huru-hara, kalau negara sudah bersatu-padu nak ubah bermakna perpecahan," katanya.

Beliau berkata soal keselamatan negara juga amat penting untuk dipertahankan dan negara tidak akan membenarkan mana-mana pihak sama ada di dalam ataupun di luar negara untuk menceroboh walau seincipun tanah Malaysia.

Muhyiddin berkata setelah peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu berlaku, barulah rakyat Malaysia dapat menilai betapa pentingnya keamanan dan keselamatan negara.

"Sebab itu kita sokong segala usaha yang diambil pimpinan negara untuk kukuhkan ketahanan negara kita, kalau terpaksa berbelanja lebih sikit untuk aset negara, saya yang pertama berikan sokongan supaya bala tentera kita dilengkapi dengan alat ketenteraan yang moden.

"Ini supaya pihak-pihak yang hendak datang ceroboh negara kita kena fikir 10 kali dan kalau hendak turun ke negara kita, kita akan kejar mereka sampai ke lubang cacing," katanya dengan diiringi sorakan dan tepukan gemuruh ribuan anggota PBTM. – Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved