Ahad, 28 April 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Ubahlah cara berkempen

Posted: 27 Apr 2013 05:18 PM PDT

April 28, 2013

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

28 APRIL — Hari ini, 28 April…genaplah lapan hari tempoh berkempen untuk parti-parti politik sempena Pilihan Raya Umum ke-13.

Ini bermakna tinggal tujuh hari sahaja lagi semua calon dan parti-parti politik yang bertanding boleh berkempen bagi meraih sokongan pengundi.

Bermakna juga dalam tempoh tujuh hari terakhir ini, kita bakal menyaksikan kempen yang lebih agresif daripada kedua-dua pihak, parti pemerintah dan parti pembangkang.

Pelbagai label telah diberikan kepada PRU 13 ini. Ada yang mendakwa PRU 13 adalah ibu kepada segala pilihan raya. Ada pula percaya PRU 13 akan menjadi penentu kepada hidup mati kepada parti pemerintah dan kerjaya Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tidak kurang juga, kedengaran dari mulut Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa ini merupakan PRU yang paling kotor dalam sejarah PRU negara sejak kemerdekaan.

Nampaknya, sepanjang satu minggu pertama ini, tidak banyak perubahan kelihatan daripada siri kempen oleh pemimpin-pemimpin dari kedua-dua pihak.

Masing-masing masih menggunakan strategi berkempen dan pendekatan yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Di pihak parti pemerintah, strategi yang digunapakai antaranya termasuklah memberi gambaran buruk bahawa pembangkang tidak sepakat, tidak mempunyai rekod pemerintahan yang cemerlang bahkan juga sentiasa menggalakkan keganasan.

Di pihak pembangkang pula, mereka menggambarkan parti pemerintah sebagai pihak yang rasuah, sombong, mengamalkan kronisme dan rasis. Apa yang dilontarkan oleh kedua-dua pihak itu tidak menggambarkan budaya berpolitik sihat.

Masing-masing percaya bahawa taktik memburuk-burukkan imej dan nama pemimpin atau individu akan memberikan impak maksimum pada hari pengundian nanti. Walaupun bukan semua calon bertanding berkelakuan sedemikian, tetapi perbuatan beberapa calon sudah cukup untuk memberikan gambaran yang kurang baik.

Persoalannya, mengapa tidak calon-calon bertanding mengubah pendekatan berkempen dan berbahas mengenai dasar-dasar ataupun janji-janji yang mereka boleh berikan kepada pengundi? Apakah calon-calon bertanding tidak bersedia?

Inilah yang ingin didengar dan dinanti-nantikan oleh pengundi. Pengundi boleh diibarat sebagai pelanggan. Mereka mahukan penerangan, mereka mahukan jaminan dan mereka juga mahukan layanan istimewa jika mahukan undinya.

Lebih daripada itu, mereka juga harus tampil dengan jalan penyelesaian konkrit kepada masalah-masalah yang dihadapi rakyat setempat. Sekadar memberikan janji dan tidak menawarkan jalan penyelesaian tidak akan membawa sebarang makna.

Dalam keghairahan meraih sokongan pengundi, jagalah tatatertib dan kesopanan. Jangan kerana terdesak untuk meraih pengundi, seseorang calon sanggup menggadaikan maruah dan melakukan sesuatu di luar bidang kuasanya semata-mata untuk mendapatkan undi itu.

Berbanding dengan PRU yang terdahulu, PRU 13 kali ini bakal ditentukan oleh keupayaan parti-parti politik bertanding untuk menjual idea mereka secara kreatif lagi inovatif kepada pengundi. Dalam erti kata lain, pihak manakah yang berjaya menang dalam pertembungan dan persaingan idea, akan memenangi PRU 13.

Calon-calon bertanding perlulah faham dan sedar bahawa bilangan orang yang datang ke siri ceramah dan kempen tidak semestinya menterjemahkan sokongan itu pada hari pengundian nanti.

Malah, ia ada kalanya boleh memberi gambaran yang sebaliknya. Justeru, adalah penting untuk calon-calon bertanding mempelbagaikan strategi mereka dalam mendekati pengundi.

Takuk pemikiran pengundi sekarang sudah jauh berubah. Dan trend berkenaan akan terus mengalami perubahan pada masa hadapan. Kini, terpulanglah kepada calon-calon yang bertanding untuk membuat pilihan terbaik. Sama ada mempelbagaikan cara berkempen mereka dan berterus-terang ataupun terus terperangkap dalam politik kuno yang tidak berkesudahan.

Mereka perlu faham, kumpulan pengundi yang ada sekarang khasnya golongan generasi muda atau Gen-Y, tidak mudah untuk diperalat. Dengan ledakan teknologi maklumat yang tidak mengenal sempadan, calon-calon PRU perlulah berpijak pada bumi nyata dan bersedia untuk berubah dalam konteks ini.

Jika tidak, berkemungkinan mereka sendiri yang mungkin ditolak pada hari pengundian 5 Mei nanti.

* Pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis.

Herman Tino: Antara seni dan politik

Posted: 27 Apr 2013 05:09 PM PDT

April 28, 2013

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

28 APRIL — Apabila penyanyi pop Melayu Deli tahun 80an popular, Herman Tino atau nama sebenarnya Masrun Tamsi (59 tahun) mengambil keputusan bertanding di tempat kelahirannya Tanjung Karang dalam pilihan raya umum (PRU 13) ini sebagai calon Bebas menentang Datuk Seri Noh Omar (BN) dan calon PAS (Muhammad Rashdi Deraman), saya tidak terkejut kerana setiap manusia yang merasakan dirinya popular akan punya tahap keyakinan yang tinggi untuk banyak perkara dan kepentingan.

Dan jika saya seorang pengundi di kawasan beliau bertanding, dibandingkan dengan calon BN dan PAS itu, saya akan menyokong Herman Tino (gambar) walau saya tahu politik bukanlah bidangnya. Nilai kejujuran seorang seniman bernama Herman Tino tidaklah boleh disamakan dengan nilai kejujuran kebanyakan orang politik.

Jika beliau mengucapkan kata-kata yang lahir dari hati, saya akan percaya kerana saya percaya nilai kejujuran yang ada dalam dirinya, bukan sebagai orang politik, tapi sebagai seniman.

PRU 13 ini menarik kerana untuk kali ini tiga orang artis yang juga penyanyi popular yang bertanding menjadi calon untuk parti masing-masing. Selain Herman Tino yang bertanding sebagai calon Bebas, penyanyi Aishah juga bertanding atas tiket PAS dan Dayangku Intan atas tiket PKR.

Di antara mereka bertiga, saya memilih Herman Tino yang terbaik dan punya jati diri dan imej yang kuat. Kehadirannya dalam dunia hiburan tanahair di tahun 80an dulu memang satu fenomena walau untuk kelompok tertentu sahaja.

Aishah bagi saya seorang penyanyi yang popular tapi tidaklah popular sangat berbanding Siti Nurhaliza (Datuk) mahu pun Syarifah Aini (Datuk).

Manakala Dayangku Intan yang popular di tahun 80an dulu pula hadirnya dalam dunia seni hanyalah sekadar melengkapkan senarai para artis di zamannya. Impaknya tidaklah memberi kesan atau gerun kepada pihak lawan bertambah pula beliau bukanlah orang politik.

Tambahan pula PRU 13 kali ini cabarannya tidaklah sama seperti PRU 12 pada tahun 2008 dulu. Kalau dulu kita boleh kata pembangkang kuat kerana kerana kerajaan BN lemah dan berpecah. Hatta calon yang main tangkap muat pun boleh menang waktu itu. Tapi itu tidak akan berlaku lagi pada pilihan raya kali ini. Apa yang kita lihat baik Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional masing-masing bekerja keras untuk memenangi hati rakyat dan pengundi.

Politik dan nyanyian adalah dua perkara yang berbeza. Orang seni walau apapun pandangan positif yang kita terima dari masyarakat hari ini, jika diletak dua calon, ulama dan artis, saya rasa mereka masih akan memilih ulama berbanding artis. Ini bukan persoalan siapa baik atau tidak, ini adalah hal yang berkait dengan tahap pemikiran kita, terutamanya orang Melayu yang beragama Islam.

Cara orang seni dan orang politik bekerja juga berbeza. Orang seni diminati masyarakat atas aura mereka sebagai penyanyi, tapi itu hanyalah faktor waktu dan ketika. Dulu mereka diminati, hari ini mungkin mereka dilupakan. Bertambah pula mereka kini berada di pentas yang berbeza.

Orang politik pula kerja mereka memang berkait rapat dengan rakyat. Tugas mereka adalah meyakinkan rakyat yang mereka itu bagus dalam serba serbi. Modalnya adalah kata-kata yang manis dan sempurna di mata.

Dalam politik watak yang jahat itu boleh nampak baik, dan yang baik itu boleh nampak jahat. Dulu mereka di sini, hari ini mereka di sana. Apa saja boleh berlaku di dalam dunia politik kerana jelas mereka di situ atas dasar kepentingan dan kuasa.

Orang politik akan berkata merekalah yang paling jujur di kalangan mereka yang jujur. Tapi itu hanyalah sekadar ucapan atas dasar tugas mereka sebagai orang politik. Kita pun sudah terbiasa dengan ungkapan yang indah-indah belaka dari mulut mereka, yang kalau boleh mereka mahu kita percaya yang kata-kata dan janji manis mereka itu bukan dusta melainkan yang benar-benar belaka.

Saya ikuti juga perkembangan Herman Tino sebagai seorang penyanyi pop sejak merakamkan album pertama yang berjudul Mengapa Dikenang Mengapa Difikir dengan syarikat rakaman gergasi waktu itu (EMI) pada tahun 1984 dulu.

Keistimewaan Herman Tino adalah kerana keaslian suara Melayunya yang berdarah Jawa. Beliau memang berbangga dengan darah dan keturunannya, itu yang saya salut. Dengan suara yang memang berkualiti dan beliau juga membuktikan walau tanpa paras rupa yang kacak, seorang penyanyi itu mampu berjaya dan diterima juga oleh peminat seni suara tanahair.

Herman Tino memang penyanyi yang cukup popular di awal tahun 80an dulu.banyak lagu-lagunya hit seperti "Mengapa Dikenang mengapa Difikir", "Pelita Dalam Kabus", "Yale-Yale", "Derma Bukan Tontonan" antaranya.

Perjalan hidupnya sebagai insan seni juga berwarna-warni. Kejayaan sebagai artis yang menjanjikan hidup mewah sehinggalah siri-siri muhasabahnya yang kadang mencetuskan kontroversi juga. Saya pernah menonton persembahan beliau di kaca TV yang waktu beliau mendendangkan lagu "Derma Bukan Tontonan" dengan bernyanyi sambil bermain gitar kapok.

Untuk satu musim melalui lagu-lagunya beliau mula cenderung ke arah ketuhanan dan kemanusiaan. Itu kita boleh lihat melalui lirik-lirik lagunya seperti "Derma Bukan Tontonan" dan "Bantulah Sekadar Mampu".

Sehinggalah sampai satu musim di mana beliau mengambil keputusan untuk berjalan kaki tanpa memakai kasut dari Kuala Lumpur sehingga ke Ipoh pada pertengahan tahun 80an dulu. Itu bagi saya perjalanan unik seorang Herman Tino yang cuba menterjemahkan makna ikhlas dan redha dalam bentuk yang lebih praktikal dan seadanya.

Sehinggalah selepas itu nama beliau seakan senyap dari persada seni tanahair selepas tahun 89 dulu. Seperti katanya yang tidak kisah jika terlepas pandang dan kisah jika beliau tidak dipandang, memang keputusannya untuk bertanding berjaya membuat kita kembali teringat akan beliau dan lagu-lagunya.

Cuma bagi saya kehadirannya atas pentas politik walau bertanding sebagai calon Bebas, ia bakal memberi kesan ke atas kerjayanya sebagai seorang penghibur yang diminati ramai terutama di kawasan tempat kelahirannya, Tanjong Karang. Umum tahu kawasan itu memang tempat BN sejak dulu sehinggalah sekarang.

Sebagai seorang artis, eloklah kita berkecuali dan bersikap neutral tanpa memilih kiri atau kanan. Kerana di kiri atau pun kanan, ada di kalangan mereka itu peminat kita juga. Seperkara juga kita perlu menilai siapa kita dan kenal watak kita sendiri di pentas kehidupan ini. Apa pun bagi mereka yang bertanding pada PRU 13 ini, saya ucapkan selamat bertanding!

* Pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved