Khamis, 30 Mei 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Mahkamah tolak rayuan kes rasuah Khir Toyo

Posted: 30 May 2013 02:42 AM PDT

May 30, 2013

KUALA LUMPUR, 30 Mei — Mahkamah Rayuan menolak rayuan bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo berhubung kes rasuahnya hari ini.

The Star Online melaporkan dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan hakim perbicaraan tidak membuat apa-apa kesilapan dalam membuat keputusannya.

Panel mengatakan hakim Mahkamah Tinggi telah bertindak dengan betul apabila menolak pembelaan Khir dan mensabitkannya bagi pertuduhan itu.

Panel yang diketuai oleh Hakim Abdu Samah Nordin dan terdiri daripada Hakim Azahar Mohamad dan Aziah Ali.

Penghakiman dibacakan oleh Hakim Azahar.

Dr Khir (gambar) didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember, 2011 kerana dikatakan membeli dua bidang tanah dan rumah banglo di Seksyen 7, Shah Alam lebih murah dari harga sebenar di pasaran.

Beliau didapati bersalah menggunakan pengaruhnya sebagai menteri besar untuk membeli kediaman mewah dan tanah sehingga potongan sebanyak RM3 juta lapan tahun lalu.

Menurut mahkamah, RM3.5 juta yang dibayar oleh bekas menteri besar bagi hartanah itu adalah satu pertimbangan tidak wajar.

17 anggota MCA Gelang Patah letak jawatan, hormati resolusi parti

Posted: 30 May 2013 02:16 AM PDT

May 30, 2013

JOHOR BAHARU, 30 Mei — Tujuh belas anggota MCA Bahagian Gelang Patah hari ini meletakkan jawatan dalam agensi pentadbiran kerajaan, berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusinya Jason Teoh berkata mereka melibatkan tiga anggota Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah, lima ketua kampung, seorang pegawai kerajaan tempatan dan perumahan, dua pegawai kebajikan serta enam anggota lembaga pelawat Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail.

"Keputusan peletakan jawatan itu bagi menghormati resolusi MCA yang menetapkan tiada wakil parti itu dalam kerajaan berikutan prestasi buruk pada pilihan raya umum baru-baru ini.

"Kami terima keputusan pilihan raya itu dan akan mengikut resolusi tersebut. Oleh itu, saya mengetuai rakan-rakan MCA yang memegang jawatan masing-masing untuk meletakkan jawatan secara keseluruhan," katanya kepada pemberita, di sini.

Teoh berkata Pusat Khidmat MCA Gelang Patah bagaimanapun tidak akan ditutup dan usaha membantu masyarakat tetap diteruskan.

Susulan peletakan jawatan itu juga beliau menasihatkan penduduk di Gelang Patah agar mengadu masalah masing-masing kepada anggota parlimen mereka yang baharu.

"Oleh kerana ketiadaan jawatan, mungkin kami akan mengalami masalah tertentu dan tidak secekap dahulu. Kami akan rancang cara lain untuk mendekati penduduk Gelang Patah," katanya.

Katanya MCA Gelang Patah sudah bekerja keras dalam membantu masyarakat dengan kebanyakan isu sudah diselesaikan walaupun ada kes tertentu yang gagal memuaskan kehendak mereka. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved