Isnin, 6 Mei 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


‘Tsunami’ pengundi Cina punca BN gagal dapat semula Selangor, kata Noh Omar

Posted: 06 May 2013 03:12 AM PDT

May 06, 2013

SHAH ALAM, 6 Mei — Barisan Nasional (BN) Selangor mengakui perubahan 'tsunami' pengundi Cina pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semalam merupakan faktor utama yang menyebabkan gabungan itu gagal menawan semula Selangor daripada Pakatan Rakyat.

Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Noh Omar (gambar) berkata kecenderungan kaum itu terhadap gabungan parti PAS-PKR-DAP di negeri itu telah menyebabkan BN kehilangan lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada PRU 2008, BN memenangi enam daripada 22 kerusi Parlimen dan 20 daripada 56 kerusi DUN. Bagaimanapun, pada pilihan raya umum ini, BN Selangor hanya memperoleh lima kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN.

Noh berkata kajian mendalam akan dijalankan bagi mengenalpasti punca sokongan kaum itu beralih kepada pakatan rakyat serta kehendak sebenar pengundi Cina selepas BN banyak menyalurkan bantuan kepada mereka.

Misalnya, katanya walaupun beliau menang dengan majoriti 4,394 di kerusi Parlimen Tanjong Karang tetapi beliau kalah di kawasan pengundi majoriti Cina.

"Tidak ada peti undi yang boleh menang kalau ada majoriti pengundi Cina," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Umno Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata BN Selangor terkejut dan kecewa dengan kekalahan banyak kerusi di kawasan ramai pengundi Cina walaupun beberapa kerusi berkenaan dilihat berpeluang cerah untuk menang.

"Saya rasa tidak ada yang saya tidak tolong orang Cina. Mengapa mereka tidak undi kita sedangkan dalam aktiviti dan program kita buat mereka tampil memberi sokongan," katanya.

Noh, yang mempertahankan kerusinya buat penggal kelima, berkata keputusan PRU13 menunjukkan proses pilihan raya berjalan lancar dan adil mengikut lunas-lunas demokrasi dan semua pihak perlu menerima keputusan yang ditentukan rakyat.

Ditanya sama ada faktor pemilihan calon BN turut menyumbang kepada kegagalan BN menawan semula Selangor, Noh menjelaskan ada kawasan di mana calonnya tidak dibantah dan dipertikaikan tetapi tetap tewas kepada lawan masing-masing.

Beliau juga tidak menolak faktor geografi turut memainkan peranan di mana ramai calon BN menang di sebelah utara Selangor seperti di Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Mengenai sokongan pengundi muda kepada BN, Noh berkata saluran anak muda bertambah dan kembali memberi sokongan kepada gabungan itu.

Ditanya mengenai penstrukturan semula kepimpinan BN di negeri itu dan pelantikan ketua pembangkang yang baharu, beliau berkata pihaknya akan menyerahkan kepada Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memutuskannya. — Bernama

Dr Mah satu-satunya calon bukan Melayu menang kerusi DUN Perak

Posted: 06 May 2013 03:04 AM PDT

May 06, 2013

IPOH, 6 Mei — Bekas pakar jantung Datuk Dr Mah Hang Soon merupakan satu-satunya calon daripada komponen Barisan Nasional (BN) selain Umno yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.

Walaupun menang di Chenderiang, Dr Mah berkata tiada perasaan yang begitu istimewa dalam dirinya.

"Saya berasa sedih dan terkilan apabila apa yang berlaku pada pilihan raya umum (PRU) 2008 berulang kembali dan menjadi satu-satunya wakil BN bukan Melayu dalam DUN. Saya sebenarnya menaruh harapan tinggi agar lebih ramai calon BN bukan Melayu diberi peluang oleh rakyat," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar awal pagi tadi.

Pada PRU 2008, beliau merupakan satu-satu calon daripada BN selain Umno yang memenangi kerusi DUN di Perak.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri sekaligus membuktikan BN mampu laksanakan perkongsian kuasa dalam kalangan komponennya.

Mengenai kemenangannya di kawasan itu, beliau berkata ia adalah sokongan semua kaum di Chenderiang.

Beliau yang merupakan Naib Ketua Pemuda MCA, menerima keputusan PRU ke-13 dengan hati yang terbuka apabila kesemua kerusi DUN yang diwakili calon BN daripada MCA tewas.

"Saya berpendapat keputusan itu membuatkan kita akan sentiasa memperbaiki dan memajukan diri sebagai wakil rakyat. Kita perlu membuat analisis supaya dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik," katanya.

Pada PRU13, Dr Mah meraih 10,866 undi, menewaskan calon PKR Amani Williams-Hunt Abdullah yang mendapat 6,099 undi dengan majoriti 4,767 undi.

Jumlah undi majoriti yang diperoleh penyandang kerusi Chenderiang itu meningkat sebanyak 1,375 undi berbanding 3,392 undi pada PR12.

Dalam keputusan rasmi yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya, Umno memenangi 30 daripada 36 kerusi DUN yang ditandinginya manakala MCA menjadi satu-satu komponen BN yang menyumbang satu kerusi iaitu Chenderiang. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved