Ahad, 19 Mei 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Kita yang bersalut materi dan angan-angan

Posted: 18 May 2013 04:30 PM PDT

May 19, 2013

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

19 MEI — Seperti yang diduga penyanyi pop 80an Herman Tino (Masrun Tamsi) yang bertanding sebagai calon Bebas di Tanjong Karang kalah dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU 13) yang baru berlangsung baru-baru ini. Beliau hanya mendapat 340 undi. Jika saya pengundi di kawasan beliau bertanding itu, beliau akan mendapat 341 undi, pun jauh untuk menjangkau Datuk Seri Noh Omar dari Barisan Nasional yang mendapat 20,548 undi.

Herman Tino bukan orang politik. Itulah kenyataannya. Politik memerlukan cerita dan perlakuan yang bagus-bagus dan kelihatan sempurna yang penuh dengan bunga-bunga keindahan yang nyata dan jelas. Mereka tidak akan faham tentang hal-hal yang surreal yang ada elemen kejiwaan atau jambatan kasih-sayang, antara mesej yang yang mahu disampaikan oleh beliau itu.

Apabila Herman Tino melakukan perkara yang luar biasa dengan berjalan kaki dari Kuala Lumpur ke Tanjong Karang dalam kempennya yang tidak mendapat perhatian dan sokongan, jelas beliau hanya keseorangan dalam misi dan cita-citanya. Kesungguhan dan nilai kejujuran mengikut faham nya hanya mengundang fenomena yang aneh di kalangan pengundi dan masyarakat.

Pun beliau masih bersyukur dengan kekalahan itu malah akan mengadakan kenduri kesyukuran dan menjemput mereka-mereka yang menyokong beliau untuk sama meraikan majlis tersebut yang tarikhnya akan diumumkan nanti.

Bukan semua artis itu punya kredibiliti untuk menjadi orang politik. Politik memerlukan bakat semulajadi. Saya lihat ciri-ciri itu ada dalam diri Norman KRU atau Presiden SENIMAN, Zed Zaidi. Jika mereka menjadi calon, mereka punya harapan cerah untuk menang dan berjaya dalam dunia politik.

Politik memerlukan mereka yang pandai bercakap dan berjanji. Tidak ada orang politik yang berkata mereka tidak punya banyak wang melainkan janji-janji yang penuh dengan elemen kasih-sayang seperti yang Herman Tino lakukan.

Jika tokoh agung kitaTan Sri P. Ramlee itu masih hidup dan di penghujung kariernya beliau memilih untuk menjadi wakil rakyat dan menceburi politik, bagi saya beliau tidak akan berjaya dan nasibnya mungkin sama dengan Herman Tino. Sekurang-kurangnya Herman Tino di penghujung kariernya masih punya peminat terutama bagi mereka yang lena dibuai dengan lagu-lagu terutama di era kemuncaknya sebagai penyanyi pop suatu masa dulu.

P. Ramlee pula di penghujung kariernya seperti mentol yang malap dan masyarakat termasuklah media telah melupakannya sehinggalah ke hari matinya. Dah mati barulah mereka seperti dikejutkan dari mimpi, kelam-kabut memuja dan menganugerahkan berbagai anugerah dan gelaran untuk namanya sampailah ke hari ini, pun apalah gunanya lagi?

Hari ini konsep Peace and Love sudah tidak relevan lagi untuk masyarakat kita yang manja dan suka dibelai dengan nilai pesona dan materi apatah lagilah jika ia dipersembahkan di pentas politik yang penuh dengan elemen kebendaan dan pura-pura di dalamnya.

Ini bukan zaman Woodstock dulu yang mana mesej kasih-sayang itu disambut dengan bentuk yang lebih praktikal, pun timingnya memang sesuai. Tidak ada manusia yang sukakan peperangan, kecuali mereka yang punya kepentingan saja.

Rakyat suka jika wakil rakyat mereka itu suka tersenyum, beramah tamah, menjenguk dan merakyat walau sekali dua menjelang pilihan raya. Itu sudah mencukupi bagi mereka terutamanya untuk orang kita. Jangan buat benda yang pelik-pelik, itu rakyat tidak suka dan tidak akan faham. Tak faham satu hal, bahkan mereka akan "reject" begitu saja.

Untuk faham tentang apa mahunya orang kita terutamanya yang nampak Islamik (bukan semua) itu sangat mudah. Pertama kita perlulah tunjukkan kita ini pandai bercakap dalam hal-hal agama yang melibatkan hal-hal yang bersangkut paut dengan bab fekah dan syariat sahaja seperti yang selalu kita tonton dalam ceramah-ceramah tokoh agama selebriti seperti ustaz Azhar Idrus atau ustaz Don.

Apabila ustaz Azhar Idrus berkereta mewah sana-sini sebagaimana layaknya seorang selebriti yang disanjung dan dihormati, pun itu dikira sebahagian dari konsep kefahaman dan keperluan orang islam yang berjaya juga seperti yang termaktub dalam bab-bab nafsu yang mungkin berlebihan.

Saya baca juga kisah hidup rasulullah dan sahabat-sahabatnya. Apa yang saya faham kebanyakan mereka itu hidup dalam keadaan yang amat sederhana dan zuhud. Bukankah sifat menunjuk-nunjuk itu mampu membiakkan bunga-bunga riak tanpa kita sedari walau mulut kita menafikan?

Segera saya selak semula satu kisah dalam sebuah buku yang saya miliki karya penyair agung asal Lebanon, Khalil Gibran (1883-1931). Ceritanya tentang seorang ulama yang disanjung di daerahnya kerana pandai mengubat dan berceramah dan segala hal yang melibatkan perkara-perkara yang baik dan mulia di sisi masyarakat. Maka pada suatu hari berjalanlah ulama itu dengan pedatinya menuju ke satu kampung atas satu jemputan.

Tiba-tiba di dalam perjalanan itu beliau terlihat sekujur tubuh yang sedang nazak, yang akhirnya barulah ulama itu sedar yang tubuh yang nazak itu adalah iblis. Iblis adalah lambang kejahatan, manakala ulama itu adalah lambang kebaikan dan kemuliaan. Pun ulama itu perlukan sang iblis untuk menjadi sebahagian dari topik dan modal utamanya dalam proses mengubat dan berceramah dan iblis tidak patut dibiarkan mati. Tanpa cerita tentang kejahatan, apa lagi modal yang mahu disampaikannya?

Akhirnya ulama itu memimpin dan menolong sang iblis agar dia terus hidup demi sebuah kepentingan.

Bagi saya jika seorang itu datang kepada saya walau tanpa imej yang Islamik, pun jika pandangannya atau kata-katanya mampu menambah ilmu dan memberi saya sesuatu yang positif, pun itu sudah memadai dan saya tetap akan berterimakasih kepadanya.

Selain itu jangan bercerita tentang perkara yang lebih-lebih dalam agama, itu rakyat tidak suka. Level kefahaman yang paling sesuai hanyalah untuk makam amarah atau lawammah, itu saja. Islam yang kita faham itu mesej jelasnya hanyalah untuk syorga, neraka, pahala dan dosa.

Walau di syurga nanti nikmat yang paling utama adalah menatap zat Allah, pun kerana itu bukanlah hal yang melibatkan kebendaan dan angan-angan, maka itu tidaklah dititik-beratkan sangat bagi kebanyakan mereka yang Islamik itu dari segi imej terutamanya.

Keduanya mereka perlu tunjukkan imej orang kaya yang berjaya untuk meyakinkan rakyat terutamanya untuk golongan marhaen. Itu penting sebab ibarat orang berniaga yang mahu berjumpa pelanggan, perlulah menunjukkan mereka itu dari golongan yang berjaya. Jadi bila seorang wakil rakyat itu datang dengan kereta besar dan perut besar, itu akan membuat hormat rakyat terhadap mereka bertambah-tambahlah lagi. Itulah mentaliti kebanyakan orang kita yang tipikal dan stereotype.

Apa pun ceritanya, kita memang tidak boleh lari dari hal dan kebendaan selagi kita masih berkehendak. Pun terapkanlah nilai-nilai kesederhanaan terutama bagi mereka-mereka yang dihormati masyarakat kerana kehendak jiwa perlu juga kita kisahkan untuk mencapai makna keseimbangan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved