Khamis, 13 Jun 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Utusan tipu rakyat harga kereta turun, kata PKR

Posted: 13 Jun 2013 01:44 AM PDT

Oleh Md Izwan
June 13, 2013

KUALA LUMPUR, 13 Jun — Laporan Utusan Malaysia tentang kononnya kerajaan telah menurunkan harga kereta adalah cubaan memperbodohkan rakyat Malaysia, kata Pengarah PKR Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini.

Utusan telah melaporkan Volkswagen, Peugeot, Honda dan pembuat kereta tempatan Proton dan Perodua telah menurunkan harga sepuluh model mereka sehingga 11 peratus bermula Januari tahun ini, menyiarkan senarai harga sebagai bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menunaikan janji mereka untuk menurunkan harga kereta dalam manifesto Pilihan Raya 2013.

Walau bagaimanapun, dua pembuat kereta Volkswagen dan Peugeot kedua-duanya telah menafikan penurunan harga tahun ini, sebaliknya harga yang dikatakan oleh Utusan tersebut adalah harga asal kereta tersebut.

"Episod memalukan ini mendedahkan betapa terdesaknya Umno-BN di dalam berhadapan dengan kempen #TurunkanHargaKereta Pakatan," kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan media hari ini.

"Laporan Utusan bahawa 10 model kereta telah mencatatkan penurunan harga adalah suatu percubaan terdesak untuk memperbodohkan rakyat," tambahnya lagi.

Nik Nazmi juga membidas kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sehingga kini gagal mengemukakan mekanisme untuk menurunkan harga kereta berbanding Pakatan Rakyat (PR) yang mengemukakan kaedah skim beransur-ansur.

"Sehingga ke hari ini mereka gagal mencari mekanisme untuk berbuat demikian tanpa menghapuskan kebergantungan kerajaan terhadap duti eksais.

"Kami (PR) menjawab bahawa skim ini melibatkan penurunan harga secara beransur-ansur untuk semua pembuat kereta," tambahnya lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengulangi ikrar pilihan raya untuk mengurangkan harga kereta melalui akaun Twitter lewat bulan lepas, berjanji harga kereta akan dikurangkan secara berperingkat sehingga 2017.

Pada hari sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan telah berjanji untuk mengurangkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun, seperti yang digariskan dalam manifesto pilihan raya BN.

"Malah, sejak Oktober tahun lalu, harga 10 model popular di negara ini telah turun secara purata 7.3 peratus," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu, pertama selepas Mustapa dilantik semula ke dalam Kabinet.

Kedua-dua BN dan pembangkang Pakatan Rakyat telah berikrar harga kereta lebih murah menjelang pilihan raya Mei, walaupun melalui mekanisme berbeza.

Wartawan veteran dedahkan terdapat ‘rundingan kerajaan perpaduan’ PAS, PKR dan Umno

Posted: 13 Jun 2013 12:13 AM PDT

Oleh Mohd Farhan Darwis
June 13, 2013

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin hari ini mendedahkan terdapat rundingan perpaduan Melayu diantara parti PAS, PKR dan Umno di negeri Selangor dan Terengganu akan tetapi menemui kegagalan ekoran di pihak Barisan Nasional (BN), khasnya Umno, tidak mempunyai "operator" yang boleh melaksanakan gerakan belakang tabir.

Menurut bekas ketua pengarang kumpulan akhbar milik Umno New Straits Times itu, di negeri Selangor, rundingan berlaku diantara ketiga-tiga parti itu disebabkan oleh permusuhan terbuka antara Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali daripada PKR.

"Di Selangor bisik dan risik mengenai kerajaan campuran PAS-PKR-Umno cukup serius," kata beliau dalam tulisan terbaru di blognya bertajuk "Perpaduan Melayu: Peluang Yang Terlepas".

"Seandainya rancangan itu berjaya, PAS, Umno dan sesetengah elemen PKR akan menubuhkan kerajaan campuran dengan PAS menyumbangkan calon Menteri Besar.

"Tetapi peluang itu terlepas kerana pihak-pihak yang terbabit takut didedahkan dan tidak bersedia bertolak ansur mengenai calon Menteri Besar, kecuali Azmin yang dikatakan lebih terbuka," tambah beliau lagi.

Kepemimpinan PAS Terengganu oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula jelasnya dikatakan berminat bekerjasama dengan Umno walaupun PAS hampir-hampir menewaskan Umno. Umno menang 17 kerusi DUN manakala PAS 14 dan PKR satu di Terengganu.

Kedah juga jelasnya mempunyai cadangan supaya BN membawa masuk seorang Adun PAS menjadi Exco sebagai tanda persaudaraan dan perpaduan Melayu-Islam.

"Tetapi pelung keemasan itu terlepas kerana BN, khasnya Umno, tidak mempunyai "operator" yang boleh melaksanakan gerakan belakang tabir dan kepemimpinan Umno tidak mahu bantuan luar.

"Kalau perbezaan politik dan perpecahan ini berlarutan hingga ke Parlimen dan DUN, masa depan orang Melayu, Bumiputera dan Islam akan lebih lemah dan terancam," katanya lagi.

Beliau berkata walaupun orang Melayu-Islam adalah majoriti di negara ini, tetapi mereka lemah dari segi ekonomi dan keputusan Pilihan Raya 2013 menyebabkan mereka lemah juga dari segi politik akibat perpecahan.

"Apa yang mungkin tidak diketahui umum dan sukar dipercayai ialah Umno, PAS dan sekelompok pemimpin PKR telah kehilangan peluang untuk menubuhkan 'Kerajaan Perpaduan' di Selangor, Terengganu dan Kedah," katanya.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved