Ahad, 2 Jun 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Ustaz Azhar kahwin tiga

Posted: 01 Jun 2013 04:37 PM PDT

June 02, 2013

Haji Subky Abdul Latif seorang penulis bebas dan tinggal di Kuala Lumpur. Seorang pendiam, dia gemar meneliti perangai manusia dan berita politik di Malaysia.

2 JUN — Tahniah dan ucapan syabas dari saya buat Ustaz Azhar Idrus, pendakwah pop popular atas pernikahan ketiganya setakat ini. Saya berdoa jodohnya kekal dan mendapat rahmat Allah, apa lagi beliau mengikut sunnah Nabi.

Nikahnya itu satu ibadat dan moga-moga Allah terima sebagai amal soleh. Amin!

Saya percaya Ustaz Azhar faham dan arif semua hukum, masalah, tanggungjawab, karenah dan apa orang kata tentang beristeri lebih dari satu apa lagi menyimpan tiga madu. Moga-moga beliau dapat menjadi model terbaik bagi orang Islam yang hendak beristeri lebih dari satu.

Ustaz Azhar bukan sekadar pendakwah terkenal, malah sudah menjadi silibriti. Sebagai silibriti, maka beliau akan menjadi perhatian semua media, khususnya tentang kehidupan berumah tangganya.

Apa pun Ustaz Azhar tetap menerima kritikan dari golongan anti poligami dari kalangan orang Islam Malaysia dan Ustaz Azhar tentu faham dan bersedia menghadapinya.

Walaupun P.Ramlee melalui filem jenakanya Nujum Pak Belalang menyebut 'jarang-jarang' atas kahwin tiga, tetapi adalah tidak ganjil bagi ahli-ahli korporat yang berjaya malah Yang Berhormat pun ada. Kebanyakan yang kahwin lebih dari satu apa lagilah sampai tiga berlangsung secara diam.

Ia pun tidaklah perlu dihebohkan.

Akan sekalian anti poligami diharapkan tidak keciwa dengan ikon dakwah itu dan ia tidak pula menghentikan minat untuk mengikuti ceramahnya bagi menimba ilmu dan memantapkan fahaman Islam masing-masing.

Walaupun P. Ramlee di samping filemnya Nujum Pak Belalang, dia juga mengarahkan filem kritikan lucu melalui filem Madu Tiga. Memang lebih dari dua dirasakan lucu tetapi kahwin Ustaz Azhar moga-moga tidak dilucukan.

Bahkan ia boleh menjadi contoh dakwah yang baik bagi orang yang hendak berkahwin banyak.

Selain Ustaz Azhar, saya banyak juga menyaksikan Tok-Tok Guru beristeri ramai dan saya dapati dari pandangan  lahirnya, kehidupan rumah tangganya adalah normal. Sebagai manusia itu ada kekurngan, ada juga tok guru yang tidak berjaya dalam dunia poligaminya, tetapi kegagannya juga adalah bahan pengajaran dan yang banyak berjaya adalah pengajaran yang menjadi contoh.

Saya teringat seorang rakan saya bertaraf tok gurunya, bersara sebagai pensyarah universiti dan menjadi salah seorng pemimpin PAS kemudiannya, kahwin dua sebelum bersara.

Saya pernah bergurau dengannya mula-mula dia kahwin dua dulu. Jawabnya kepada saya, 'Kami tok-tok guru ini, boleh kawal tiga dan empat isteri dengan mudah, tetapi kebanyakan pimpinan negara, termasuk di negara kita, nak kawal seorng isteri pun tidak berjaya...'

Katanya lagi, jika kami yang dapat mengawal isteri yang ramai ini diberi kepercayaan memerintah negara, tentu kami juga boleh mentadbiran negara lebih baik daripada pemimpin yang hendak kawal seorang isteri pun tidak terdaya.

Saya tertarik dengan  falsafahnya. Saya mengikuti kehidpan politik dan kehidupan rumah tangganya. Dalam politik dia kalah setiap kali pilihanraya. Tetapi dia dapat membawa kedua-dua isterinya dalam satu kereta menghadiri program PAS di Markaz Tarbiyah, Taman Melewar.

Di hadapan pandangan kami kedua-dua isterinya itu elok duduk bersama di tengah-tengah Muslimat PAS yang ramai itu, tidak pula mereka menunjukkan sifat konfrantasi dengan madunya.

Bukan sekali dia membawa isterinya dalam program PAS, bahkan selalu dan kedua-dua madu itu bergerak seperti orang biasa dalam PAS.

Maka saya hormat ustaz itu betullah seperti yang pernah dikatakannya bahawa ramai tok guru berjaya kawal isteri yang ramai tetapi banyak pemimin sekular nak jaga seorang isteri pun tidak berdaya.

Semasa saya bujang dulu ada seorang tok guru di daerah saya di Manjung. Tok guru itu sudah berusia lebih 60an, dia sudah beristeri lebih dari satu, tetapi dia beriteri lagi dengan seorang  anak dara lewat usia belum kahwin.

Semua isterinya diberi rumah masing-masing dalam satu kawasan di sekeliling suraunya. Dia dipercaya membuat giliran adil antara rumah-rumahnya. Dia adalah tok guru kampung mengajar di surau dan masjid di daerah itu.

Tidak pula dia kaya. Semua isterinya hidup sederhana. Dia hanya ada sebuah basikal buruk saja. Bila ada kenduri di kampungnya, kesemua isterinya datang bersama berjalan kaki.

Saya pernah hadir kahwin adik bungsu Tun Razak di Pekan semasa beliau Timbalan Perdana Menteri dulu. Tetamunya ialah Al-Marhum Sultan Pahang. Baginda juga macam tok guru di daerah saya tidak berpermaisuri empat.

Setelah semua tetamu kehormat datang, tiba sebuah motokar besar membawa permaisuri baginda yang paling junior — yang ke empat. Lepas itu tiba sebuah motokar lagi. Yang ke empat barulah Raja Perempuan. Yang terakhir tibalah al-Marhum Sultan seorang diri.

Keempat-empat permaisuri itu duduk setempat di majlis itu, ke semuanya boleh senyum dan riang. Tentulah baginda juga berjaya mengaman sekalian permaisurinya seperti kebanyakan tok-tok guru.

Rahsia tok-tok guru itu berjaya mengamankan isterinya ialah mereka telus dan adil. Tok guru yang keluar rumah untuk menjalankan tugasnya, di tengah jalan didapatinya dompennya tertinggal, dia balik ke rumah itu setakat tepi tangga saja. Dia tidak naik ke rumah itu kerana hari itu giliran di rumah lain. Dia minta orang dalam rumah itu mengambil dompetnya yang tertinggal dan menyerahkan kepada di tepi tangga.

Kalau tok guru itu orang kuat PAS, dia menggilirkan isterinya menghadiri  muktamar PAS bersamanya. Muktamar tahun hadapan, isteri yang lain pula yang mengkutnya.

Tok Guru Nik Aziz, Mursyidul Am PAS pula tidak beristeri lebih. Jodohnya ditakdirkan begitu. Tetapi beliau tidak melarang orang-orang yang rapat dengannya untuk beristeri lebih dari satu. Jika ada yang memaklumkan kepadanya mereka hendak beristeri lagi, maka beliau beri duit pula. Didoakannya supaya perkahwinan lagi itu kekal dan bahagia.

Beliau tidak suruh dan tidak pula larang, kerana kahwin lagi itu dibenarkan oleh Islam bagi mereka yang berupaya dan ada hikmatnya, maka tidak wajar dihalang.

Di tengah-tengah masyarakat kita masih panas berhadapan dengan hasil PRU13 yang penuh kontroversi Ustaz Azhar Idrus kahwin pula untuk kali ketiga. Beritanya menggemparkan juga dan boleh meredakan sedikit perhatian tentang  pililhanraya yang dikatakan penuh penipuan itu.

Ia adalah berita gempar juga. Ia adalah satu ibadat baginya dan moga-moga diterima sebagai amal soleh. Dia mendapat pahala, orang-orang yang menyambut baik dan mendoakan kebahagiannya juga mendapat pahala juga.

Sekalian yang menyerbunya di mana-mana juga beliau memberi kuliah mendapat pahala dan apabila menymbut baik pula perkahwinan barunya mereka mendapat pahala lagi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Muzik indipenden, D.I.Y., perkembangan dan kesannya

Posted: 01 Jun 2013 04:29 PM PDT

June 02, 2013

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

2 JUN — Baru-baru ini saya dipelawa untuk satu sesi interview dari sebuah akhbar tabloid harian yang berpengaruh di negara ini. Itu satu hal dan saya pun sedia maklum yang saya ni bukanlah dalam kategori penyanyi maintream yang popular dan terkenal walau saya sudah punya sejumlah album indipenden sejak tahun 2001.

Saya agak berbesar hati apabila ada wartawan editor dari media berbahasa Malaysia tersebut ingin menemuramah saya, kebetulan pula album baru akan diedarkan dalam waktu yang terdekat ini. Jadi adalah sedikit promosi untuk album saya itu nanti.

Cuma isunya kalau boleh biarlah yang serius dan bermanfaat untuk pembaca. Memandangkan umur saya pun sudah menjangku hampir separuh abad, jadi saya tidak punya apa kepentingan yang besar sebenarnya. Ditemuramah atau tidak, hidup perlu diteruskan!

Dan yang paling menarik, dia bertanya kepada saya, "saudara sudah punya album kah?", saya jawab saya sudah punya 10 album dan yang akan diterbitkan nanti adalah album yang ke-11.

Itulah ruginya dari satu sudut jika kita tidak ke arena mainstream dan komersial. Tapi itulah jalan yang saya pilih dan tidak ada kepentingan sangat untuk saya ke sana sebenarnya. Walau apa pun bagi saya idealisma dalam berkarya itu penting dan perlu ada dalam jiwa seorang pengkarya yang tulin tanpa mengira produk kita itu akan diterima atau tidak.

Saya masih seorang pembeli mimpi yang setia sehingga ke hari ini. Sejak terlibat dalam program Unclogged (program singer/songwriter) yang dianjurkan oleh Joe Kidd (Carburater Dung) pada pertengahan tahun 90 an dulu bertempat di sebuah restoran di Lebuh Ampang, saya masih punya rasa percaya seorang pengkarya indipenden itu akan berjaya jika punya kelompok yang besar dan menyokong karya yang dihasilkan.

Maknanya kita tidak perlu bergantung pada lorong komersial dan mainstream. Dan itulah yang saya lakukan dari mula album pertama (Pesta Jiwa pada 2001) sehinggalah ke album baru saya (Redup) yang akan menemui pasaran dalam bulan depan. Saya rasa inilah masa yang sesuai untuk para pendengar berubah menjadi pendengar yang selektif.

Saya selama ini tidak pernah menafikan ruang komersial dan glamour yang dihidangkan untuk selera halwa kita sejak zaman berzaman. Cuma bagus jika ada variasi dan bagus juga jika pendengar punya citarasa yang pelbagai dalam mendengar muzik dan membuat pilihan.

Saya masih berpendapat anak-anak muda tidaklah perlu hanyut dan dibuai dengan lagu-lagu komersial bertemakan cinta budak sekolah yang berlambak di pasaran dari dulu sampailah sekarang. Tapi bukanlah mudah untuk kita mengajak mereka mendengar dan berminat dengan gaya dan konsep muzik kita. 

Jika di luar negeri lagu-lagu serius yang bertemakan keamanan berkonsepkan folk seperti "Peace Train" (Cat Stevens), "Meet Me on the Corner" (Lindisfarne) antaranya tetap diterima dan mendapat tempat di hati pendengar sana, di sini situasi itu sangat sukar berlaku. Pendengar kita jelas sangat sukakan lirik-lirik bodoh yang easy listening dari lagu-lagu yang bermesej dan serius.

Kita punya singer-songwriter yang berbakat dari era 80an dulu seperti Rafique Rashid (gambar) contohnya. Malang beliau hanya dikenali hanya oleh segelintir peminat terutama di kalangan kawan-kawan yang d faham bahawa muzik itu bukan sekadar pop dan rock, malah ada juga folk, reggae, blues, proresif dan lain-lainnya.

Untuk berjaya sebagai singer/songwriter saya rasa harapan itu tipis untuk artis berbakat seperti Rafique dan Hassan&Markiza kerana jika album mereka keluar mungkin hanya akan terjual sebanyak 200 keping sahaja atau mungkin lebih sikit , kerana pembeli di bandar sangat selektif.

Saya antara penggemar dan salut akan muzik dan persembahan Rafique, beliau seorang singer-songwriter yang sangat berbakat. Lirik-lirik dalam lagunya yang berunsur satira, humor dan provokatif sepatutnya punya tempat di hati ramai penggemar tempatan.

Tapi fenomena itu tidak akan berlaku di sini, kerana kebanyakan pendengar yang kebanyakannya para remaja lebih suka menonton persembahan para jejaka atau gadis yang kacak dan lawa menyanyikan lagu-lagu cinta budak-budak sambil bermain gitar dari menonton persembahan yang temanya serius dan bermesej.

Apabila kita keluar dengan album Inggeris, mereka akan bandingkan album kita dengan album Cat Stevens, Paul Simon, Harry Chapin, Jackson Brown dan banyak lagi. Semangat menyokong produk artis tempatan itu kurang sebenarnya, berbeza di Indonesia.

Saya masih ingat pada tahun 2005 dulu sewaktu dijemput untuk menjayakan program singer -songwriter KL Sing Song oleh penganjur yang dianggotai oleh tiga anak muda (Sei Hon, Jerome Kugan dan Azmyl Yunor).

Program tersebut yang bertempat di ICOM (Institute College Of Music) boleh dikira antara program yang terbesar bagi kategori indipenden yang mana ianya melibatkan singer-songwriter dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan Singapura.

Ianya satu penghargaan untuk saya juga semua singer-songwriter yang terlibat dari Malaysia antaranya Pete Teo, Mia Palencia, Shelley Leong dan beberapa nama lagi.

Sebenarnya program itu (waktu itu) mendapat sokongan dan peruntukan dari Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan atau ringkasnya KeKKWa pada tahun tahun pertama ia dianjurkan. Tapi sambutannya sangat perlahan waktu itu, dengan hanya promosi dar akhbar Inggeris, tidak ramai yang tahu dan berminat untuk hadir memberi sokongan.

Tahun berikut dan berikutnya program KL Sing Song masih dianjurkan juga tapi tiada lagi peruntukan dan sokongan dari pihak kerajaan, jika ada pun hanyalah kemudahan dari segi lokasi. Padahal jika kita memperkatakan tentang semangat 1 Malaysia, itu telah kita lakukan dari dulu lagi.

Semua bangsa tidak kira Cina, Melayu, India juga dari pelbagai etnik terlibat untuk menjayakan. Saya tidak faham dan tidak akan mahu faham mengapa tiada peruntukan dari mereka yang di atas sana untuk program yang berkonsep ilmiah seperti itu.

Hari ini saya melihat ramai singer-songwriter baru yang bersemangat untuk bernyanyi sambil bermain gitar dan trend terbaru bermain ukulele di pentas-pentas yang mereka anjurkan. Ada di kalangan mereka yang berbakat.Untuk satu tempoh mungkin kita perlukan pendedahan dan promosi tapi sudahnya sampai bila? Untuk menjadikan muzik yang bercirikan D.I.Y (Do it Yourself) sebagai satu kerjaya yang menjamin masa depan, kita perlu berfikir seratus kali, kerana setakat ini yang lepas mungkin seorang dua, yang lain semuanya kandas dan syok sendiri, fikirkanlah...

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved