Selasa, 25 Jun 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Satu persimpangan sejarah

Posted: 24 Jun 2013 05:30 PM PDT

June 25, 2013

Syawal Hafriz is a third-year Government & Economics undergraduate at LSE, and the former chairman of UKEC. He also writes for CEKU at http://www.ceku.org.

Malaysia adalah sebuah negara yang cukup istimewa. Waima berbilang bangsa, keamanan dan perpaduan negara boleh dibanggakan, sekalipun belum cukup sempurna.

Kurang tiga bulan sahaja lagi, genaplah usia 56 tahun kita mencapai kemerdekaan. Akan tetapi, usia yang bertambah tidak menjanjikan kemakmuran yang berterusan. Ancaman datang dari dalam dan luar negara. Seharusnya kita kian matang dan lebih dewasa dalam mengorak langkah untuk terus kekal sebagai negara yang aman.

Sejarah menyaksikan perpaduan bangsa diuji berkali-kali, namun setiap dugaan berjaya kita hadapi. Justeru, polarisasi politik yang kian menebal usai pilihanraya umum yang lalu tidak seharusnya dilihat lebih dari sekadar satu cabaran yang mampu untuk kita tangani, sebagaimana kita bangkit dari cabaran-cabaran yang lampau. Katarsis yang diharapkan akan bisa dinikmati seandainya semua dalam kalangan kita memainkan peranan dalam menyelesaikan kekusutan ini.  

Sememangnya, album bangsa sarat dengan potret luka. Episod berdarah 13 Mei tidak harus kita lupakan. Sebaliknya, jadikan ia sebagai satu iktibar kerana sesungguhnya kita tidak pernah lari dari melakukan kekhilafan. Usahlah digunakannya sebagai satu wahana untuk membangkitkan api perkauman. Jangan dicetuskan rasa tidak percaya dalam kalangan masyarakat dengan momokan persengketaan kaum yang silam.

Hakikat inilah yang perlu disedari oleh UMNO. Tidak ada salahnya menjadi parti keramat yang memperjuangkan nasib bangsa Melayu, apatah lagi dengan amanah yang dipikul. Namun, adalah satu kesalahan seandainya agenda dan prakarsa bagi meningkatkan daya saing Melayu dibiarkan tenggelam dalam teriak sorak laungan keramat untuk mempertahankan kedaulatan bangsa.

Yakinlah, bahawa jatuh bangun sesebuah bangsa itu terletak pada keupayaannya sendiri.

Jangan asyik bangsa lain yang dipersalahkan atas kegagalan kita sendiri. Ramai di antara kita yang masih ketinggalan dan memerlukan bantuan, sekaligus menjustifikasi hak dan keistimewaan bangsa yang termaktub dalam Perlembagaan. Namun, sampai bila kita mahu terus berbicara soal hak dan keistimewaan Melayu andai kita masih berada di takuk lama.

Mutakhir kini, kita melihat bagaimana Melayu yang menekankan isu persaingan dan kesamarataan terus dianggap sebagai pengkhianat bangsa. Tidak ada silapnya untuk menyeru bangsa sendiri untuk bangkit dan bersaing dalam pentas permainan yang sama rata. Jangan mudah kita menghukum sesama bangsa. Mentaliti sebegini yang perlu dikikis andai kita ingin terus maju sebagai sebuah bangsa yang progresif.

Budaya mengharapkan tongkat nan sebatang tidak seharusnya diambil sebagai jalan penyelesaian yang abadi.

Dalam pada masa yang sama, pemansuhan hak dan keistimewaan Melayu juga bukanlah jawapan kepada kekusutan yang membelenggu kita sekian lama. Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu kita bakar.

Permasalahan ini harus diperhalusi dengan teliti. Kerajaan harus memainkan peranan untuk mengurangkan kebergantungan Melayu terhadap keistimewaan tersebut tanpa mengendahkan nasib mereka yang benar-benar memerlukan, dan dalam pada masa yang sama mengambil inisiatif bagi meningkatkan potensi dan kemahiran bangsa Melayu.

Dasar afirmatif tidak harus dijadikan alasan untuk kita kekal di kepompong lama. Selagi mana kita bergantung kepada dasar kerajaan, selagi itulah kita tidak akan mencabar keupayaan diri sendiri.
Kita harus berani mendepani zaman. Perjuangan memartabatkan agenda Melayu pada hari ini bukan lagi sekadar berkisar tentang persoalan untuk mempertahankan hak dan keistimewaan kita di negara bertuah ini. Agenda Melayu harus mencakupi persoalan yang lebih besar daripada itu.

Dalam era globalisasi kini, kita harus mara ke hadapan dan berani bersaing dengan bangsa lain di seantero dunia. Keengganan untuk menerima hakikat bahawa cabaran yang mendatang adalah kian meluas hanya akan menyebabkan kita terus hanyut ketinggalan. 

Hilangnya Melayu dari dunia bukanlah bererti lesapnya terus sebuah bangsa dari muka bumi ini. Sebaliknya, apabila kita sudah jauh terkebelakang dan suara kita tidak lagi didengari, maka di saat itulah kita akan meratapi kehilangan Melayu di dunia.

Megahnya bangsa Melayu satu ketika dahulu bukanlah hanya bersandarkan pada status selaku bangsa majoriti di negara ini semata-mata. Kemasyhuran yang dikecapi adalah hasil daripada keagungan politik dan ekonomi, seperti mana  yang terukir dalam lipatan sejarah Kesultanan Melayu Melaka.

Bangsa Melayu bukanlah bangsa yang lemah. Sejarah membuktikan kita mampu untuk bersaing di pentas antarabangsa. Kepimpinan Melayu akan terus dihormati oleh masyarakat berbilang bangsa seandainya isu-isu pokok diberikan lebih penekanan. Kerajaan harus lebih serius dalam soal membasmi salah guna kuasa, meningkatkan mutu pendidikan, meningkatkan kawalan keselamatan dan pelbagai lagi. Kepercayaan rakyat akan diraih kembali seandainya realiti ini ditangani dengan teliti oleh pucuk pimpinan.

Sedar ataupun tidak, kita sebenarnya berada di satu persimpangan sejarah. Setiap pilihan yang diambil akan menentukan hala tuju dan nasib bangsa.

Apa yang pasti, pilihan terletak di tangan kita sendiri. Yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Samada kita bermuhasabah dan berusaha memperkasa keupayaan diri untuk terus berlari, atau kian lena dibuai mimpi mempertahankan hak bangsa yang seakan tiada pengakhirannya.

Takkan Melayu hilang di dunia. - 25 Jun, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved