Isnin, 1 Julai 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Kit Siang persoalkan kejujuran Muhyiddin untuk jaga kepentingan semua kaum

Posted: 01 Jul 2013 02:14 AM PDT

July 01, 2013

Penasihat DAP, Lim Kit Siang mempersoal kejujuran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bercakap mengenai kepentingan semua kaum berikutan ia hanya  terpacul dua bulan pilihan raya umum (PRU) ke-13, berakhir.

Mengalu-alukan kenyataan yang merujuk kepentingan dan masalah semua kaum termasuk golongan bandar, beliau menyifatkan ia sebagai suatu perkembangan baru.

"Ini tak ubah seperti menghirup udara segar selepas menyaksikan orang Cina diserang dengan isu perkauman dan gambaran keputusan PRU 13 seolah-olah berlaku tsunami Cina sedang ia sebenarnya tsunami Malaysia," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian hari ini sebagai reaksi  kepada ucapan 'perpaduan' Muhyiddin pada Majlis Kesyukuran dan Penghargaan Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan Sabtu lalu.

Muhyiddin menyentuh isu kepentingan dan 'isyarat' pengundi muda dan golongan bandar pada PRU 13 dan percaya sokongan mereka bergantung kepada keupayaan BN menangani isu berkaitan.

Menyatakan isu yang dibangkit golongan urban memberi impak kepada pelbagai kaum dan perlu penyelesaian segera, ucapan beliau memberi penekanan terhadap kepentingan tolenrasi kaum.

Bagimanapun, Lim tertanya-tanya sampai bilakah Muhyiddin mampu mengekalkan peranan sebagai timbalan perdana menteri 'sebenar' berdasarkan kenyataan sebelum PRU 13.

"Ia berlawanan dengan kenyataan Muhyiddin pada Mac lalu yang menyatakan beliau adalah 'Melayu pertama, Malaysia kedua'," katanya.

Beliau berharap Muhyidin tidak hanya menjadi timbalan perdana menteri kepada 47 peratus pengundi BN, sebaliknya memainkan peranan itu bagi semua rakyat Malaysia. - 1 Julai, 2013.

RCI: Warga Pakistan tukar tempat mengundi kerana ‘diancam’ ketika mengundi

Posted: 01 Jul 2013 02:12 AM PDT

Oleh Mohd Farhan Darwis
July 01, 2013

Seorang saksi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang haram di Sabah, warga asing dari Pakistan, Abdullah Mahmud hari ini berkata beliau terpaksa tukar lokasi mengundi kerana menerima ancaman di lokasi mengundi ketika pilihan raya.

Abdullah, 55, memberitahu Inkuiri RCI beliau pernah ditampar ketika mahu mengundi di Keningau walaupun telah menunjukkan kad pengenalan.

"Saya pernah mengundi enam kali ... waktu itu di Keningau, semasa (Tan Sri Joseph) Pairin Kitingan pembangkang, saya undi kerajaan," kata Abdullah kepada panel RCI di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Ekoran dikasari semasa ingin mengundi, Abdullah kemudiannya menukar tempat mengundi ke Beufort.

"Saya tunjuk IC mereka tidak terima, mereka minta saya tunjuk sijil beranak," katanya yang tidak memiliki dokumen berkenaan kerana lahir di Peshawar, Pakistan.

"Saya minta maaf cakap ... sana (Keningau) ada perkauman," kata Abdullah, yang telah memperoleh kerakyatan dan mengahwini wanita dari suku kaum Dusun dan beroleh tiga anak.

Abdullah merupakan saksi ke-144 RCI dan memperolehi kad pengenalan tanpa melalui proses mengikut sistem perundangan.

Beliau berkata kepada panel RCI yang diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, telah memperolehi kad pengenalan ketika pentadbiran Tan Sri Haris Salleh sebagai Ketua Menteri Sabah.

"Saya diarahkan ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kota Kinabalu, dan bawa gambar hitam putih ... empat lima tahun kemudian baru dapat itu IC," katanya kepada lima panel RCI.

Abdullah memasuki Sabah ketika berusia 10 tahun bersama pak ciknya, dan sejak itu beliau berkata telah menetap di Sabah.

Ketiga-tiga anak lelakinya yang berusia, 21, 19, dan 18 tahun turut memperolehi Mykad.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri Sarawak Datuk Abu Bakar Geng sebelum ini memberi keterangan sebanyak 5,373 pendatang di Sarawak telah diberikan IC biru dari 1963 hingga 2012.

Dianggarkan sekitar 28 peratus daripada 3.2 juta penduduk Sabah adalah warga asing, menjadikannya berjumlah sebanyak 889,000 orang.

Sementara itu, seorang lagi saksi RCI berbangsa India, Zainal Abidin Mohamad berkata beliau terpaksa menukar namanya daripada Ahmad Bashir bagi membolehkan beliau memiliki kad pengenalan.

Zainal Abidin yang lahir di Tamil Nadu, India, pada 11 Ogos 1961 telah menetap di Sabah selama lebih 35 tahun dan menjalankan aktiviti perniagaan termasuk mempunyai beberapa rantaian restoran India Muslim dan juga kedai tekstil.

"Saya cuba pakai nama saya, dua tiga kali tidak lepas (buat IC) ... kemudian tukar Zainal Abidin, itu nama pak cik saya," katanya kepada panel RCI.

Beliau yang mengundi di Likas bagaimanapun berkata isteri dan anak-anaknya tidak mempunyai kad pengenalan, sebaliknya hanya menggunakan passport India.

Beliau juga gagal menjawab ketika ditanya sama ada setuju kad pengenalannya boleh ditarik balik kerana memperolehinya melalui jalan yang salah, serta tidak mengetahu nama Perdana Menteri dan juga Ketua Menteri Sabah.

"Nasem," jawabnya ketika ditanya nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan "Musa Hitam," ketika ditanya siapa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. - Julai 1, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved