Isnin, 1 Julai 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Mohiniyattam: Tarian si penggoda

Posted: 30 Jun 2013 08:00 AM PDT

June 30, 2013

Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.

Penari Mohiniyattam mudah dikenali menerusi pakaian mereka.

Pandangan mata yang kuyu dan malu-malu, tetapi penuh ghairah membuatkan khalayak terpukau. Ditambah pula alunan pinggul ke kiri dan ke kanan secara berirama, serta pergerakan perlahan bahagian atas tubuh (torso) umpama pohon palma yang ditiup angin lembut dan sungai yang mengalir tenang.

Persembahan yang diiringi alunan muzik tradisional India seperti veenai, venu, maddalam dan idakka, serta nyanyian dalam bahasa Manipravalam menambah kesan estetik kepada tarian klasik itu.

Demikianlah gambaran umum yang dapat diberikan apabila berpeluang menyaksikan persembahan Mohiniyattam, tarian klasik yang berasal dari Kerala, India pada sekitar abad ke-16.

Apabila penduduk Malaysia (termasuk Semenanjung Malaysia) meraikan sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2013, penduduk berketurunan Malayali pula turut menyambut Onam, iaitu pesta menuai yang berasal dari Kerala dan terus kekal sebagai tradisi masyarakat Malayali di seluruh dunia.

Memandangkan budaya masyarakat Malayali masih terlalu asing di Malaysia, mari kita mengenali tarian Mohiniyattam secara umum menjelang tarikh sambutan pada tahun ini.

(Makalah saya bertajuk Onam 1Malaysia boleh dibaca dalam The Malaysian Insider, 4 September 2009 manakala Vishu: Meraikan Kepelbagaian dalam The Malaysian Insider, 20 Jun 2011.)

Rujukan bertulis yang pertama mengenai Mohiniyattam terdapat dalam teks Vyavaharamala karangan Mazhamangalam Narayanan Nambodiri. Pengarang menggambarkan bahawa tarian klasik itu dipersembahkan oleh golongan "devadasi" di kuil dan istana.

Agak menarik untuk diperhatikan bahawa pada peringkat permulaan, Mohiniyattam hanya dipersembahkan di kuil, khusus untuk para dewa. Golongan "devadasi" adalah gadis-gadis yang mengabdikan hidup kepada dewa-dewa menerusi upacara penkettu. Seterusnya, mereka membuat persembahan tarian di kuil untuk meluahkan rasa cinta dan rindu terhadap dewa.

Sejak abad ke-13, terdapat banyak karya klasik yang menyebut mengenai golongan "devadasi" di Kerala, Tamil Nadu, Orissa dan Andra Pradesh. Patung-patung dan ukiran di kuil juga membuktikan kewujudan golongan penari itu. Mereka dikatakan mengabdikan diri kepada dewa-dewa, khususnya Krishna, Vishnu dan Shiva.

Walaupun berasal sebagai tradisi di kuil, tarian klasik ini kemudian dialihkan ke istana untuk menghiburkan raja-raja. Khabarnya, daripada memuja dan meluahkan rindu kepada dewa-dewa, tumpuan penari mula beralih kepada raja-raja yang berkuasa dan berharta.

Pada abad ke-19, Maharaja Swathi Thirunal di bahagian selatan Kerala dan Maharaja Vadivelu dari Thanjavur menunjukkan minat terhadap tarian Mohiniyattam. Beberapa lagu yang digubah pada zaman itu masih dipersembahkan di Kerala pada masa kini.

Bagaimanapun, tokoh yang diakui mengangkat semula martabat Mohiniyattam ialah penyair terkenal di Kerala, Vallathol Narayana Menon (1878-1958). Beliau mengasaskan Kerala Kalamandalam pada 1930 khusus untuk mempopularkan semula Mohiniyattam dan Kathakali yang menjadi ikon seni persembahan negeri itu.

Nama bagi taria klasik Mohiniyattam terhasil daripada gabungan dua perkataan bahasa Malayalam. "Mohini" dalam konteks masyarakat Tamil di Malaysia sering dikaitkan dengan "hantu" dan "penunggu". Bagaimanapun, istilah itu sebenarnya merujuk kepada wanita yang cantik dan mampu menggoda sesiapa sahaja yang memandang.

Dua mitos tentang asal-usul tarian

Istilah "attam" pula bukan setakat bermakna "menari" tetapi merujuk pada gerak-geri seluruh tubuh yang penuh seni dan menggoda. Maka, tidak hairanlah Mohiniyattam diklasifikasikan sebagai "tarian si penggoda".

Tamadun India memang kaya dengan mitos, purana dan kisah dewa-dewi. Terdapat dua kisah utama yang dikaitkan dengan asal-usul tarian Mohiniyattam.

Dalam mitos pertama, Dewa Vishnu muncul sebagai Mohini (wanita yang cantik dan menggoda) bagi menghalang sekumpulan asura (raksasa yang menghuni bumi) daripada mengambil amirtham (madu ajaib yang mampu memberi kekebalan).

Dikisahkan bahawa pada waktu itu, Dewa Shiva sedang menggaul Lautan Susu khusus untuk sajian para dewa di kayangan. Kaum asura pula cuba mengambilnya supaya boleh turut menjadi kebal. Maka, Dewa Vishnu bertukar menjadi seorang wanita cantik lalu menari, menggoda,  mengalpakan dan memesongkan perhatian golongan asura daripada amirtham berkenaan.

Dalam mitos kedua, seorang asura bernama Pathmasura mendapat anugerah daripada Tuhan bahawa dia tidak boleh dibunuh oleh lelaki mahu pun wanita.

Maka, Dewa Vishnu muncul sebagai Mohini lalu menari, menggoda dan akhirnya membunuh asura berkenaan. Tarian itulah yang dinamakan Mohiniyattam kerana terbukti mampu menggoda dan memukau sesiapa sahaja.

Bagaimanapun, tarian Mohiniyattam yang ditarikan di Kerala oleh "devadasi" bukan sebagai mewakili Dewa Vishnu yang muncul sebagai Mohini. Sebaliknya, para penari wanita itu memegang peranan sebagai "kekasih" yang dilanda rindu dan mahu bersatu dengan buah hati mereka, iaitu Dewa Vishnu atau Dewa Krishna.

Kisah-kisah yang dipersembahkan menerusi Mohiniyattam biasanya diambil daripada epik-epik klasik dan purana seperti Krishnalila yang banyak menampilkan tema percintaan, kerinduan dan perkasihan.

Orang ramai boleh belajar tarian ini menerusi DVD.Secara tradisi, tarian Mohiniyattam dipersembahkan oleh orang perseorangan (solo) supaya penari mendapat sepenuhnya ruang dan peluang untuk menunjukkan bakat seni persembahan. Penari Kathakali terdiri daripada lelaki sahaja manakala penari Mohiniyattam pula khusus bagi wanita sahaja.

Teknik tarian adalah mengikut mudra yang diterangkan dalam Natyasastra. Mudra merujuk kepada posisi-posisi asas tangan seperti yang biasa dilihat dalam tarian bharatanatyam. Natyasastra adalah sebuah buku panduan serba lengkap yang ditulis oleh Bharata tentang seni klasik India; meliputi bidang muzik, tarian dan drama.

Teks klasik Hasta Lakshanadeepika juga dijadikan rujukan wajib untuk mempelajari dan menguasai pergerakan tangan dan jari yang disebut sebagai mudra dan hastabhinaya.

Penari Mohiniyattam harus mampu menyampaikan cerita menggunakan pergerakan tangan (hastabhinaya), pergerakan mata (netrabhinaya), ekspresi muka (mukhabhinaya) dan pergerakan tubuh badan (angikabhinaya).

Sebuah persembahan tarian klasik Mohiniyattam yang sempurna akan dimulakan dengan "Cholkettu". Penari membuat persembahan tarian khas untuk memuja Dewa Shiva dan Devi Shakti yang dianggap sebagai Nadaraja ("raja seni tari").

Seluruh tubuh penari bercerita

Seterusnya, si penari berpeluang menunjukkan bakat yang dimiliki menerusi "Jathiswaram" sambil diiringi muzik dan swaram (nyanyian vokal). Pada bahagian ini, penari biasanya berusaha menyajikan kehebatannya menguasai pelbagai teknik tarian (nritta) yang terkandung dalam Natyasastra dan Hasta Lakshanadeepika.

Bahagian ketiga dalam repertoire persembahan Mohiniyattam adalah "Padavarnam" yang menggabungkan teknik nritta dan nritya. Nritta atau pure dance merujuk kepada persembahan tarian tanpa cerita kerana apa yang dipentingkan pada bahagian ini adalah kemampuan penari menyajikan teknik gerak tari abstrak dan sukar.

Cerita pula disampaikan dengan penuh ekspresi melalui penggunaan teknik pergerakan yang disebut abhinaya. Abhinaya atau nritya merujuk kepada pergerakan pantomimi tubuh badan yang berfungsi menyampaikan cerita atau disebut storytelling. Maka Mohiniyattam juga berciri danced-mime di mana penari memegang peranan seorang wanita yang merindui kekasihnya.

Bagaimanapun, tentu sahaja persembahan Mohiniyattam pada masa kini bukan lagi oleh golongan "devadasi" yang memuja dewa-dewa. Tambahan pula, persembahan dilakukan secara berkumpulan bagi tujuan meraikan perayaan seperti Onam dan Vishu.

Bahagian keempat dalam persembahan tarian klasik ini disebut "Padam". Pergerakan tubuh dan tangan menjadi minimun. Sebaliknya penari menggunakan sepenuhnya penguasaan mukhabhinaya (ekspresi muka) dan netrabhinaya (ekspresi mata) untuk menyampaikan cerita.

Penari profesional perlu kuasai semua bahagian ini.

Daripada persembahan untuk dewa, ia kini bagi pertunjukan sahaja.

Pada bahagian ini juga seorang penari yang pakar akan benar-benar mampu memukau khalayak (khususnya lelaki) melalui matanya yang sayu, ayu dan menggoda. Wajah si penari menjadi wahana untuk meluahkan navarasa iaitu sembilan emosi termasuk gembira, marah, sedih dan terkejut.

Bahagian terakhir dalam persembahan adalah "Thillana" di mana kesemua nritta yang dikuasai dan kombinasi nritta itu digunakan untuk menggambarkan tema utama tarian yang disajikan. Terdapat sekitar 40 nritta asas yang dinamakan atavukal. Gabungannya mampu menghasilkan ratusan nritta, bergantung pada kepakaran si penari.

Semasa si penari mempersembahkan Mohiniyattam, vokalis pula menyanyikan lagu menggunakan bahasa Manipravalam iaitu gabungan Sanskrit dan Malayalam. Terdapat pelbagai repertoire yang dinamakan chollu dan diklasifikasi mengikut struktur ritma dinyanyikan.

Keayuan dan kelembutan tarian klasik ini diserikan lagi dengan pakaian mundu neryatum iaitu pakaian tradisional wanita Kerala. Pakaian ini terdiri daripada dua bahagian iaitu mundu (sarung) dan neryatum yang diperbuat daripada kain kapas bermutu dan terdapat kasavu (bahagian tepi) bersulam benang warna emas. 

Semoga menjelang sambutan Onam pada 16 September 2013, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia sudah terdidik dengan maklumat asas berkaitan satu lagi aspek budaya masyarakat Malayali. Ayuh kita tolak perkauman, pupuk perpaduan dan raikan kepelbagaian! - 1 Julai, 2013.

* Uthaya Sankar SB suka menulis mengenai budaya dalam Bahasa Malaysia bagi memupuk persefahaman antara kaum.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved