Selasa, 20 Ogos 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Akibat silap kira 1,823 undi, DAP dalam dilema

Posted: 19 Aug 2013 04:13 PM PDT

August 20, 2013

Penulis adalah seorang jurutera semikonduktor, wartawan freelance, penerbit dan editor buku motivasi yang suka mengikuti perkembangan politik Malaysia

Pengiraan silap terhadap 1,823 undi semasa konvensyen pada 15 Disember 2012 terus menjadi alat panas pada DAP.  Ketika keputusan Kongres Nasional DAP dikeluarkan ketika itu yang menyaksikan kegagalan semua calon Melayu menyertai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengundang pelbagai kritikan daripada musuh, terutama Umno, yang menyatakan ini bukti DAP adalah sebuah parti perkauman dan chauvinis Cina.

Dua hari sebelum mengundi, Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang, Rahmad Isahak mendesak perwakilan DAP untuk mengundi sekurang-kurangnya lima calon Melayu. Alasannya mudah – memastikan DAP tidak dilabel sebagai parti anti Melayu, perwakilan perlu memastikan calon Melayu dipilih, bukan sekadar dilantik selepas pemilihan parti.

Keputusan 15 Disember sememangnya menghampakan Rahmad. Dengan pilihanvraya umum ke 13 yang dirasakan sudah bakal menjelang ketika itu, Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng terus membuat kawalan kerosakan (damage control) dengan melantik Zairil Khir Johari dan Senator Ariffin SM Omar ke dalam CEC.

Lim berkata perlantikan itu adalah berdasarkan kebolehan mereka dan mereka juga berperanan untuk mendekati rakyat Malaysia merentasi sempadan perkauman. Ketika itu juga, Lim memberikan jaminan bahawa DAP akan meletakkan calon Melayu di PRU13.

Langkah itu terpaksa diambil Lim untuk menangkis serangan Umno yang semakin tajam bahawa DAP sememangnya anti-Melayu. Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak ketika itu juga mengeluarkan satu kenyataan untuk menguatkan sokongan Melayu kepada Umno-BN dengan menyatakan bahawa pemilihan CEC menyaksikan bahawa "DAP bukan sahaja didominasi oleh satu kaum, iaitu Cina, tetapi juga oleh dinasti keluarga di mana Lim Kit Siang mendapat undi tertinggi manakala anaknya Lim Guan Eng di tempat kedua."

Pada masa sama, ahli Melayu DAP cuba mencari alasan mengapa semua calon Melayu tewas. Orang yang dituding jari  ialah bekas Naib Presiden DAP, Tunku Aziz Ibrahim. Zulkifli Mohd Noor, bekas ahli CEC yang tewas di pemilihan berkata, perwakilan Cina mungkin sudah serik untuk memberikan peluang kepada calon Melayu bagi menganggotai jawatankuasa tertinggi itu selepas melihat apa yang terjadi kepada Tunku Aziz, yang bertubi-tubi menyerang parti selepas dikritik keras kerana mengambil pendirian berlainan di perhimpunan Bersih 3.0.

Serangan bertubi-tubi memaksa Lim sekali lagi bertahan dengan mengadakan satu sidang akhbar yang berlangsung hampir sejam pada 17 Disember dengan menyatakan bahawa parti tidak dapat mengawal siapa yang dipilih perwakilan. "Kami menerima keputusan (pemilihan itu). Ini adalah demokrasi," tambahnya.

Serangan terhadap pemilihan CEC DAP berterusan. Namun begitu, akhbar bertukar hala memfokuskan segala peluru terhadap isu penggunaan nama 'Allah' selepas Lim mengeluarkan kenyataan berhubung dengan isu tuntutan kalimah Allah kepada penganut Kristian dalam ucapannya sempena Hari Natal.

Isu CEC DAP hangat semula pada 3 Januari 2013 selepas DAP mengakui berlaku kesilapan teknikal dalam pengiraan undi semasa pemilihan jawatan CEC yang diumum 15 Disember. Di dalam satu sidang media, Pengerusi DAP Karpal Singh memaklumkan bahawa CEC DAP memutuskan untuk mendedah dan membetulkan kesilapan itu kerana mahu bersikap telus.

"Kami sudah jangka akan menerima kritikan dan dibidas oleh pelbagai pihak namun keputusan untuk mendedahkan kesilapan itu menunjukkan kami telus. Ini kesilapan pertama dalam sejarah DAP dan ia tidak boleh dielakkan tapi boleh diperjelaskan. Saya menafikan bahawa ini cara untuk memasukkan ahli Melayu dalam DAP tetapi apa yang terjadi dan kenyataannya, Zairil Khir Johari yang mendapat 803 undian melayakkan dia berada dalam kelompok 20 undian tertinggi," katanya.

Menurut penjelasan yang diberikan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, kesilapan itu dikesan sehari selepas keputusan CEC diketahui. Pegawai Pilihanraya parti Pooi Weng menjelaskan bahawa kesilapan itu terjadi akibat daripada ralat ketika memindahkan kiraan keputusan menggunakan program komputer Microsoft Excel.

DAP menegaskan bahawa ia memandang serius kesilapan kecil ini dan mengarahkan supaya audit dalaman yang dipimpin Dr Ong Kian Ming. Demi ketelusan, DAP melantik juruaudit luar TCMK Associated Chartered Accountants untuk memeriksa keputusan pilihan raya parti itu.

Ekoran itu, Zairil Khir Johari yang pada mulanya berada pada kedudukan 39, kini menduduki kedudukan 20. Vincent Wu, yang pada mulanya mendapat tempat keenam dengan 1,202 undi, jatuh ke tempat ke-26 kerana parti itu mendakwa beliau sebenarnya hanya meraih 669 undi.

Bagi DAP, insiden itu cukup memalukan dan seperti kata Karpal, DAP membuat persiapan rapi menghadapi serangan daripada pelbagai arah, termasuk dari dalaman. Antara serangan yang diterima ialah terjahan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang menyindir: "Mereka tidak tahu kira walaupun tidak sampai 2,000, budak darjah empat pun tahu kira. Ini Tuhan nak tunjuk."

Ada pula yang menuduh DAP sengaja 'mencari kesilapan' untuk 'membetulkan kesilapan' tiada wakil Melayu yang diundi masuk ke CEC.

Serangan itu tidak membahayakan kerana DAP ada membuat persiapan untuk hadapi serangan. Sudah tentu DAP faham situasi ini kerana jikalau Umno yang membuat silap yang sama, sudah tentu serangan sama dilemparkan kepada Umno.

Kehebatan berpolitik DAP terserlah apabila mereka mengambil peluang melawan kembali tuduhan chauvinis yang dilemparkan dengan hujah bahawa keputusan yang diperbetulkan ini menunjukkan delegasi Kongres ke-16 DAP adalah sebenarnya tidak anti-Melayu seperti difitnah oleh media arus perdana milik Umno dan BN sejak 15 Disember di mana tidak ada calon Melayu yang terpilih ke CEC.

Meskipun demikian, DAP sebenarnya terlupa membuat persiapan untuk hadapi kemungkinan penjelasan mereka tidak diterima oleh segenap lapisan rakyat.

Silap mengira 1,823 undi satu hal, tapi mengambil masa tiga minggu untuk mendedahkannya satu hal yang lain.  Ini menimbulkan persepsi silap dan menjadi satu tamparan kepada slogan CAT – competency, accountability and transparency yang diperjuangkan Lim. Namun yang lebih penting, kesilapan mengira 1,823 undi ini menjadi titik mula peperangan besar antara Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan DAP.

Dan tidak lain tidak bukan, orang yang pertama menggesa ROS untuk menyiasat DAP ialah Naib Presiden Umno dan Menteri Dalam Negeri hari ini Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berhujah pada 6 Januari 2013: "Jika didapati ketelusan tidak ada maka mungkin ROS boleh mengeluarkan kenyataan terhadap hasil siasatan itu.  Itu terpulang kepada ROS untuk mengharamkan DAP atau tidak."

Maka begitulah bermulanya perjuangan DAP untuk mempertahankan parti daripada diharamkan kerana kesilapan teknikalnya, yang penjelasannya tidak dapat diterima musuhnya.

Bahagian 2: Perang DAP-ROS, DAP ambil untung yang rugi akhirnya? – 20 Ogos, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved