Selasa, 20 Ogos 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Kuasa roboh surau tertakluk pada MAIJ, kata Jamil Khir

Posted: 20 Aug 2013 02:37 AM PDT

OLEH DIYANA IBRAHIM
August 20, 2013
Latest Update: August 21, 2013 01:37 am

Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) mempunyai kuasa penuh untuk membuat keputusan sama ada mahu robohkan surau, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar).

Jelasnya lagi setiap negeri mempunyai undang-undang mereka dan sekiranya mereka rasa satu langkah wajar untuk merobohkan surau itu.

"Yang lain jangan masuk campur," kata Jamil Khir dalam satu sidang media selepas merasmikan pelancaran Haji: Pengalaman di Malaysia di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur hari ini.

Jamil Khir berkata demikian mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak bersetuju dengan keputusan merobohkan surau kontroversi itu.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri paling lama itu berkata tindakan merobohkan surau tersebut tidak boleh dihalang sekiranya ia datang dari desakan penduduk setempat.

"Saya mempunyai pandangan berbeza, tapi mereka mahukan ia dirobohkan... jadi baiklah untuk pihak berkuasa laksanakannya," kata Dr Mahathir.

Dalam konterversi tersebut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga turut menarik semula status penduduk tetap (PR) semalam.

Isu surau yang dijadikan tempat sekumpulan penganut agama Buddha menjalankan meditasi menjadi polemik apabila timbul isu patutkan surau itu dirobohkan atau tidak kerana tidak mengikut arah kiblat.

Ia mendapat perhatian dari pelbagai pihak termasuk pembangkang apabila tidak bersetuju dengan keputusan merobohkan surau di Tanjung Sutera Resort, Sedili Besar di Kota Tinggi, Johor.

Ahad lalu Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta semua pihak supaya tidak memperdebatkan keputusan merobohkan surau di sebuah resort di Sedili Besar, dekat Kota Tinggi yang digunakan untuk upacara keagamaan Buddha

Mohamed Khaled berkata keputusan berdasarkan dari apa yang dititahkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

"Keputusan sudah dibuat. Itu adalah titah oleh Sultan Ibrahim yang merupakan ketua agama Islam negeri. Apa-apa keputusan yang baginda buat, baginda sudah mengambil pandangan dan nasihat dari semua pihak," katanya. - 20 Ogos, 2013.

Aktivis mahasiswa rancang demonstrasi bantah CCRIS PTPTN

Posted: 20 Aug 2013 02:00 AM PDT

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
August 20, 2013

Kumpulan aktivis mahasiswa merancang untuk mengadakan demonstrasi berhubung pengumuman Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh mengenai peminjam ingkar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dikenakan tindakan di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Aktivis, Adam Adli Abdul Halim (gambar), berkata mahasiswa tidak memandang remeh isu berkenaan, dan mereka tidak akan membiarkannya tanpa sebarang tindakan.

"Perbincangan sedang dijalankan. Kita pasti akan melakukan aksi bantahan," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Idris ketika mengumumkan perkara itu berkata, menerusi pendekatan melalui CCRIS tersebut, peminjam PTPTN ingkar akan menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, sewa beli dan sebagainya.

Adam berkata: "Selepas kenyataan yang dikeluarkan menteri, banyak kumpulan pelajar dan badan lain termasuk dari sayap parti politik mulai duduk berbincang, dan sedang berkira-kira untuk menunjukkan respon kembali."

Menurut mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) itu, tindakan kementerian jelas membuktikan bagaimana PTPTN tidak pernah diwujudkan untuk tujuan membela kebajikan mahupun membantu sesiapa, melainkan hanya perangkap untuk terus membuat keuntungan hasil dari kesusahan pelajar sendiri.

"Tidak wajar untuk menyenaraikan individu yang berhutang dengan pinjaman pendidikan ke dalam CCRIS memandangkan golongan ini tidak berhutang untuk memiliki sebarang aset atau untuk membuat sebarang keuntungan seperti pinjaman perniagaan.

"Dengan keadaan ekonomi dan kadar pengangguran yang meningkat, ditambah dengan dasar kerajaan yang tidak bijak seperti umur persaraan, tidak hairan ramai graduan bakal terus jadi hamba kepada hutang," katanya.

Adam berkata, menggunakan ugutan seperti penyenaraian CCRIS itu tidak menyelesaikan sebarang masalah, melainkan hanya mendedahkan bagaimana singkatnya pemikiran menteri bertanggungjawab.

Sementara itu, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang berkata, pihaknya akan berusaha untuk bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bagi membincangkan perkara itu.

"Kami rancang untuk bertemu dengan Khairy dan bawa isu ini. Kalau tidak selesai juga kami merancang akan berdemonstrasi sekali lagi," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Kami bantah tindakan CCRIS ini dan ia makin membebankan. Sedangkan hasrat Khairy nak selesaikan isu kebankrapan anak muda tetapi menteri pendidikan semakin nak senarai hitamkan anak muda," katanya.

Adam juga berkongsi pendapat sama, dan berkata:"Perkembangan terbaru ini menunjukkan betapa Idris Jusoh bukan orang yang layak untuk mentadbir hal ehwal pendidikan terutama pendidikan tinggi. Beliau tidak memahami ehwal dan kebajikan pelajar."

Pada April 2012, sekumpulan 300 mahasiswa termasuk Adam dan Safwan mengadakan demonstrasi menuntut pemansuhan PTPTN di Dataran Merdeka.

Mereka berarak membawa gambar Perdana Menteri Datuk, Seri Najib Razak dan Datuk Seri Khaled Nordin yang ketika itu menteri pengajian tinggi dengan dikalungkan bunga malai sebagai simbolik meluahkan perasaan tidak puas hati mereka.

Kumpulan mahasiswa itu kemudiannya mendirikan khemah di kawasan dataran bersejarah dan merancang akan terus berkhemah di kawasan tumpuan pelancong itu sehingga Perhimpunan Bersih 3.0 yang berlangsung pada 28 April. – 20 Ogos, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved