Selasa, 27 Ogos 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Perang ROS-DAP: DAP ambil untung yang akhirnya rugi?

Posted: 26 Aug 2013 05:44 PM PDT

August 27, 2013
Latest Update: August 27, 2013 09:03 am

Penulis adalah seorang jurutera semikonduktor, wartawan freelance, penerbit dan editor buku motivasi yang suka mengikuti perkembangan politik Malaysia

Bahagian II

Perang antara Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan DAP bermula secara rasminya pada awal tahun ini.

Perang tidak rasmi bermula daripada kenyataan Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng pada 10 Januari 2013 yang menyatakan partinya tidak akan mengadakan pemilihan semula untuk mengesahkan keputusan pemilihan parti 15 Disember 2012 di Pulau Pinang.

Ini kerana, dakwa Guan Eng, keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC)  itu ialah "versi yang diperbetulkan, diaudit dan disahkan oleh akauntan bertauliah bebas."

Namun, kenyataan Guan Eng tidak dapat menghalang kontroversi kesilapan teknikalnya terus dihidupkan dan dihangatkan bukan sahaja daripada kalangan musuh, tapi dari ahlinya sendiri.

Ketika itu juga, Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman mengingatkan DAP untuk mengemukakan penyata tahunan dalam masa 60 hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan wujudnya penyelewengan dalam pemilihan itu.

Pada 14 Januari 2013, Naib Presiden DAP - Ladang Paroi, David Dass Aseerpatham dan setiausaha, Mahendran Krishnan membuat laporan ROS terhadap DAP. Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang bertanggungjawab terhadap ROS, berkata jabatan itu akan mengambil keterangan daripada dua ahli terbabit.

Kemudian, DAP Cawangan Desa Dahlia, Senawang pula dilaporkan membuat laporan ke ROS dan mendesak pemilihan diadakan semula.

"DAP asyik menyebut perihal bersih di luar parti, sedangkan rumah sendiri kotor. Bersihkan rumah kita dahulu, baru negara. Jika kepimpinan tinggi DAP masih enggan mengadakan pemilihan semula CEC, usahlah bercakap soal demokrasi dalam DAP, ubahlah nama DAP kepada AAP (`Autocratic Action Party'). Jika benar parti ini mengamalkan demokrasi, buatlah pemilihan semula," kata pengerusi cawangan itu, Richard Francis.

Pandangan Richard secara ironisnya senada dengan sindiran yang diberikan Tun Dr Mahathir Mohamad. Tun berkata pemilihan DAP itu mengarut dan hanya satu helah politik.

"Tak kan lah begitu bodoh sekali sehingga hendak kira undi pun tidak tahu. Kalau dia (DAP) tidak tahu hendak kira undi, tak payah lah nak jadi kerajaan," sindirnya lagi.

Pada 22 Januari 2013, Pengerusi DAP, Karpal Singh menegaskan bahawa partinya tidak bermasalah untuk disiasat ROS. Beliau dengan penuh yakin menyatakan ROS tidak boleh mengharamkan DAP tanpa bukti. Paling hebat pun katanya, ROS hanya boleh mengarahkan DAP membuat pemilihan semula, tapi mesti dengan hujah yang kuat.

11 hari sebelum tarikh akhir 15 Februari 2013 untuk mengemukakan laporan kepada ROS, Guan Eng berkata tiada apa yang perlu dirisaukan dan mengesahkan bahawa parti itu akan menghantar laporan berkenaan sebelum tarikh akhir.

Sinar Harian melaporkan bahawa DAP menghantar laporan penyata tahunannya pada 8 Februari, sebelum Tahun Baru Cina yang jatuh pada 10 Februari. Ia berdasarkan kenyataaan Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke.

Ketika diminta mengulas mengenai tempoh masa yang agak lama diambil oleh DAP untuk menghantar penyata itu, Loke berkata persoalan itu tidak timbul kerana DAP perlu menghantar dalam tempoh 60 hari seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Loke berkata, laporan itu hanya laporan biasa dan berharap pihak ROS dapat bertindak adil kepada DAP yang sudah membuat kenyataan secara terbuka bahawa ada kesilapan mengira dan DAP membaiki kesilapan itu.

Namun, tidak diketahui bagaimana Hishamuddin 'termiss' laporan tersebut sehingga menggesa ROS untuk memulakan siasatan terhadap DAP kerana parti itu gagal mengemukakan laporan mengenai pilihan rayanya pada 16 Februari.

Perkara ini membengangkan DAP, mencemarkan nama baik ROS dan Hishammudin dan seterusnya menghangatkan lagi kontroversi ini.

Sepantas kilat, DAP mendesak Hishammudin untuk memohon maaf atas tuduhannya.

"Bagi saya Hishamuddin berbohong dan dia perlu mohon maaf pada DAP secara terbuka. Dia sebagai menteri tidak ada profesionalisme," Loke mendesak ketika itu.

Selain menyerang Hishamuddin, Loke juga menyerang ROS dan bertanya apakah wujud konspirasi untuk mengharamkan DAP walaupun DAP sudah sengaja "menghantar awal" laporan penyata tahunan.

"Kita hantar tapi kata kita tak hantar. Kita sengaja hantar awal sebelum tahun baru Cina.  Jadi saya nak tanya, adakah ini konspirasi Hisham dan ROS untuk batalkan pendaftaran DAP sebagai parti politik dengan alasan teknikal ini? Bagaimana pegawai boleh beri maklumat salah pada menteri? Bagaimana kita nak ada kepercayaan pada ROS?" katanya.

Tidak diketahui bagaimana ia boleh dikira sebagai "menghantar awal" jika masa yang diambil ialah 53 hari daripada 60 hari yang diberi. Mungkin Loke tidak sedar, perkara tersebut merugikan DAP dari sudut persepsi, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena berlaku dan memerlukan masa yang panjang untuk menyiapkan penyata.

Tetapi akibat serangan tersebut, peperangan terbuka ROS dan DAP terus hangat.

Pada 22 Mac, bekas Naib Presiden DAP Tunku Aziz melakukan serangan tajam terhadap bekas partinya dengan menggesa ROS bertindak terhadap DAP kerana gagal mengadakan semula pemilihan partinya selepas berlaku kesalahan dalam pengiraan undi.

Ini diikuti dengan kenyataan Abdul Rahman yang mendakwa ROS sedang menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan siasatan berhubung kes berkenaan kerana tidak mendapat kerjasama daripada pemimpin tertinggi parti DAP.

Daripada dua kenyataan tersebut, Penasihat DAP Lim Kit Siang terbau ada rancangan jahat yang sedang berlaku; lalu membuat pengumuman mengejutkan di Twitter pada 23 Mac 2013 bahawa beliau mungkin bertanding atas lambang PAS jika DAP diharamkan sebelum PRU13 diadakan.

"Jika BN salah guna kuasa (batalkan pendaftaran DAP), saya mungkin guna lambang PAS untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat," tulis Kit Siang.

Pengumuman Kit Siang terus disambut dengan tangan terbuka oleh Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali.

Melihat kenyataan Kit Siang, Tunku Aziz menajamkan serangan pada DAP dengan mendesak agar "ROS bertindak adil dan cepat" terhadap DAP yang bongkak.

"DAP fikir mereka kebal dengan undang-undang dan tidak perlu bertanggungjawab isu salah kira undi pada pemilihan lepas. Mereka memang angkuh," tambahnya.

Pada 13 April 2013, Karpal menyatakan bahawa ROS meminta bekas pengarah pemilihan DAP, Pooi Weng Keong dan ahli strategi pilihan raya, Ong Kian Ming menghadiri satu siasatan terhadap pemilihan CEC parti pada 18 April 2013. Ketika itu, parlimen telah pun dibubarkan (3 April 2013).

Perang DAP-ROS mencapai kemuncak pada 17 April 2013 apabila ROS menghantar surat memaklumkan parti itu tiga hari menjelang penamaan calon, bahawa ROS tidak mengiktiraf jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP.

Terkejut beruk semua dibuatnya.

Namun ada perkara yang pelik yang berlaku ketika itu iaitu ROS menghantar dua surat pada hari yang sama tapi berbeza kandungan kepada DAP.

Menurut Guan Eng,  surat yang diberikan ROS kepada beliau dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Anthony Loke pada hari itu adalah berbeza. Dalam surat kepada Guan Eng, ROS menyatakan tidak mengiktiraf CEC namun surat kepada Anthony menyatakan siasatan dakwaan silap kira itu telah ditangguhkan ke tarikh 9 Mei 2013 selepas PRU13.

Keganjilan tindakan ROS digunakan sepenuhnya untuk Guan Eng mempertikai tindakan ROS yang mengeluarkan surat tersebut sebelum siasatan selesai dilakukan.

Setelah gagal mendapat sebarang respon penarikan balik surat penggantungan CEC daripada ROS, DAP  mengambil keputusan pada 19 April mengumumkan untuk bertanding menggunakan logo PAS di Semenanjung Malaysia dan PKR di Sabah dan Sarawak dalam PRU13 yang dijadualkan pada 5 Mei 2013.

Atas kesilapan ROS ini dan tindakan PAS dan PKR bersetuju menerima DAP untuk bertanding atas lambang mereka, DAP mengambil untung maksima dalam pertarungan politik ini. Ramai penganalisa berpendapat langkah ROS yang dilihat menganiaya DAP ini melonjakkan undi Cina kepada PR melebihi 85 peratus.

Tidak kurangnya juga, isu ini menguntungkan PAS yang bersedia memberikan laluan kepada DAP untuk menggunakan logo bulannya. Murshidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat mengeluarkan kenyataan ini yang disambut baik oleh semua lapisan rakyat Malaysia, yang majoritinya berhasrat melihat terkuburnya BN pada 5 Mei nanti.

"Keputusan DAP ini insyaAllah satu rahmat besar buat PAS. Ia sebenarnya rezeki buat perjuangan Islam. Mungkin Barisan Nasional merasakan langkah ini bakal membantutkan gerak langkah Pakatan Rakyat, namun sesungguhnya ia mengandungi rahmat yang sangat besar.

"Jika Perjanjian Hudaibiyyah membuka jalan kepada pembukaan kota Makkah, maka tidak mustahil langkah kerajaan Barisan Nasional ini sedang membuka kepada pembukaan Putrajaya dan pembinaan Malaysia Baru. Tidak mustahil tarikh 6 Mei 2013 nanti, perayaan besar-besaran kemenangan rakyat akan berlangsung di seluruh negara menyaksikan keruntuhan Barisan Nasional.

"Yakinlah keputusan ini membuka pintu sejarah yang akan dikenang zaman berzaman. Inilah saatnya di mana akhirnya roket berjaya mendarat di bulan!" kata Nik Aziz.

Barangkali menyedari kesilapan ROS yang memberikan momentum yang amat besar kepada PR, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan bahawa DAP boleh mengemukakan calon seperti biasa pada hari penamaan calon dengan lambang roket tanpa mengira keputusan ROS.

Namun begitu, DAP masih was-was dengan jaminan itu kerana sekiranya SPR berpaling tadah, habislah semua calon DAP. Disebabkan itu, Guan Eng mengeluarkan arahan supaya semua calon DAP membawa dua surat kebenaran, iaitu satu yang ditandatangani olehnya dan satu oleh Mustafa mewakili PAS.

"Ini adalah peluang terakhir kami untuk menggunakan simbol roket tetapi jika tidak boleh, kita akan guna simbol PAS," kata Guan Eng.

Akhirnya semua calon DAP dapat bertanding menggunakan simbol roket, dan walaupun taktik politik DAP dan PR berjaya memaksimakan keuntungan politik daripada keterlanjuran ROS dalam episod ini, namun PR tetap gagal ke Putrajaya.

(Bersambung ke bahagian 3 dan akhir minggu depan)

Bahagian 1: Akibat silap kira 1,823 undi, DAP dalam dilema

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved