Khamis, 29 Ogos 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Que Sera Sera, apa nak jadi akan terjadi

Posted: 28 Aug 2013 08:25 PM PDT

August 29, 2013
Latest Update: August 29, 2013 07:25 pm

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

Tuhan tidak selalu menghadirkan yang terbaik untuk kita, makhluk Nya. Dimaujudkan kita sebagai makhluk yang bernama manusia ini sudah cukup baik sebenarnya. Pun kita dikurniakan akal pula yang membawa kita menjalani siri-siri yang berbagai untuk melengkapkan perjalanan cerita hidup kita.

Dikurniakan akal untuk membezakan darjat kita sebagai makhluk yang bernama manusia ini sesempurna kejadian. Pun akal kita jugalah yang menjadikan sifat kita ini lebih hina dari makhluk lain. Semuanya bergantung kepada pembawaan diri kita sendiri. kita nak hitam, hitamlah jadinya dan jika nak putih, putihlah jadinya.

Akal pun bukan semua kita dikurniakan IQ yang tinggi, ada yang cerdik, ada yang kurang cerdik. Begitulah percaturan hidup di dunia ini mengikut apa yang disukaiNya. Kalau IQ tinggi pun jika hidup suka membelit sana sini pun tak bagus guna.

Memang takdir lah jika kita dilahirkan ke dunia sebagai anak orang kaya atau pun anak seorang tukang sapu. Menjadi anak orang kaya walau sekolah tak pandai mana, masa depan tetap terjamin. Kalau kita dilahirkan dalam keadaan hidup yang miskin, sekolah tak pandai maka masa depan pun malaplah kecuali semangat kita saja yang mampu menolong untuk menentukan arah dan masa depan kita.

Menjadi anak orang miskin membuatkan kita perlu kerja dan usaha lebih kuat untuk maju membina masa depan.

Saya dulu waktu bersekolah darjah 3 sewaktu ditanya guru kelas tentang cita-cita dan masa depan, saya nak jadi askar sebenarnya. Sebab utama rumah saya terletak di tepi jalan, jadi ada masanya bila sederetan trak askar melintas di jalanraya kerana misi operasi atau latihan ketenteraan mereka, saya akan melambai tangan dan bagi saya mereka ini cukup hebat dan gagah dengan pakaian uniform yang menarik.

Apabila mereka para askar di dalam trak itu membaling bungkusan atau beberapa paket barang makanan, maka berebut-rebutlah saya dan kawan-kawan waktu itu mengambil barang makanan yang dicampak mereka di dalam trak itu.

Sudahnya apabila usia meningkat ke remaja saya mahu menjadi seorang pelukis pula, sebabnya salah seorang abang saya seorang pelukis dan kartunis yang hebat dan menjadi legenda dibidang yang diceburinya.

Apabila lepas tamat sekolah saya cuba menghantar lukisan dan kartun kepada abang saya itu, serta merta di'reject'nya hasil karya saya, maka hampa dan kecewalah saya waktu itu. Akhirnya saya padamkan niat untuk menjadi seorang pelukis.

Meningkat ke usia dewasa apabila beban semakin sarat dan otak makin berat mengenangkan nasib hidup di kota yang keras dan kejam ini juga percaturan nasib yang sering gagal dalam meniti jambatan nasib, saya selalu berfikir alangkah bagus jika saya dilahirkan ke dunia sebagai seekor semut. Menjadi semut memang menarik kerana kita lihat semut mereka sekadar perhiasan dan pelengkap cerita dunia sahaja.

Semut tidak perlu berpakaian dan tidak perlu berlakon seperti kita. Tidak kira semut itu dilahirkan di Malaysia mahu pun di Amerika sana, mereka tidak perlu berugama seperti kita. Kehidupan mereka memang sudah direncanakan dan tempoh hayat mereka juga singkat, tidak seperti kita.

Golongan semut juga tidak ada sebarang kepentingan melainkan hidup aman di bawah ketua mereka, dron dan ratu saja. Perlakuan mereka yang saling bertautan dan memerlukan antara satu sama lain jelas berbeza dengan sikap kita umat manusia yang jelas saling bercakaran antara sesama demi kepuasan nafsu dan tamak haloba semata.

Mereka juga tidak akan bergaduh sesama ugama pasal mazhab seperti kita manusia yang kecoh waktu ini dengan kemelut antara Syiah dan Sunni. Ugama menuntut umatnya membuat dan melakukan perkara yang baik yang terkandung di dalam ajarannya, tapi apa yang kita lihat hari ini sangat mendukacitakan. Negara Islam bergaduh sesama sendiri. walau satu ugama dan berlainan mazhab, pun tak boleh nak ngam, yang itu kata ini sesat, yang ini kata itu sesat.

Di sini Sunnah Wal Jamaah kata Syiah sesat, di Iran sana kebanyakan umat nya mengamalkan aliran Syiah dan Sunnah Wal Jamaah diketepikan. Itu belum lagi aliran kefahaman yang lain-lainnya yang semua pengamal akan mengatakan merekalah yang betul, yang lain dari mereka semuanya salah belaka?

Ia mengingatkan saya kepada buku yang saya baca Naskhah Jawi Sejarah Dan Teks Jilid 1 di dalamnya terkandung cerita tentang Acheh di abad ke-17 M dulu, tentang perbalahan antara pengamal aliran Wujudiah Hamzah Fansuri dan Syams al-Din al- Sumaterani dengan Ulama Sunni Nur al-Din al- Raniri.

Sultan Iskandar Muda yang menjadi pemerintah kerajaan Acheh waktu itu melantik Hamzah dan al-Sumaterani sebagai mufti kerajaan Acheh. Maknanya baginda menyokong aliran Wujudiah yang dibawa dan dikembangkan oleh Hamzah dan al-Sumaterani itu walau mendapat tentangan yang hebat dari al-Raniri.

Tapi bila baginda mangkat dan digantikan oleh Sultan Iskandar Thani yang menyokong aliran Sunni yang dibawa al-Raniri itu, maka Wujudiah tidak punya tempat lagi dan Hamzah juga al-Sumaterani dikecam hebat selain banyak kitab-kita tasawuf karangannya dibakar selepas itu.

Jadi kesimpulannya segala-galanya walau apa fahaman pun, bergantung kepada persetujuan dan sokongan pemerintah yang memerintah. Seperti negara kita yang mengamalkan ajaran dari Sunnah Wal Jamaah atau Sunni, jadi semua umat Islam tanpa mengira apa fahaman mereka, yang tinggal di negara ini perlulah menghormatinya.

Umur bila melepasi usia 60an adalah beban yang memerlukan kita sering berjaga-jaga terutamanya dalam hal yang melibatkan kesihatan. Sebabnya waktu itu banyak penyakit yang mahu dekat dengan kita. Kudrat dan tenaga pula semakin kurang, silap-silap kita mendapat penyakit nyanyuk pula. Menjadi masalah anak cucu pula untuk menjaga dan mengambil berat tentang kita.

Sejak usia akhil baligh kita cuba mengagak dan berangan tentang masa depan kita yang hebat-hebat saja dalam 10 tahun akan datang. Selepas melepasi waktu 10 tahun biasanya cita-cita itu hanyalah angan-angan kerana alam masa depan bukanlah dalam perencanaan kita, melainkan dari Dia belaka.

Pun yang terbaik apabila hari ini kita akan duduk di sini, menerima apa yang sedang kita miliki saat ini, menghargai nikmat kehidupan yang walau sederhana ini seadanya walau kita seorang tukang kebun sekalipun. Setiap manusia punya hak untuk mengecap nikmat bahagia.

Ada sebuah lagu lama yang dicipta pada tahun 1956 oleh Jay Livingston dan Ray Evans dan dinyanyikan oleh Doris Day, judulnya Que Sera Sera. Antara liriknya berbunyi, "Que Sera Sera, whatever will be, will be...the future's not ours to see...Que Sera Sera".

Jadi janganlah kita pening-pening kepala memikirkan masa depan dan apa kita nak jadi suatu hari nanti. Kita layan saja hidup ini seadanya. Apa yang datang samada baik atau tidak, kita belajar menerimanya. Adakah kita mempunyai banyak pilihan dalam hidup ini?

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved