Selasa, 10 September 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Sediakan akta cegah jenayah baru perlu sebelum mansuh EO, kata Musa Hassan

Posted: 10 Sep 2013 02:52 AM PDT

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
September 10, 2013
Latest Update: September 10, 2013 06:03 pm

Ahli-ahli panel forum setuju akta cegah jenayah baru perlu disediakan sebelum mansuh EO. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 10 September, 2013.Ahli-ahli panel forum setuju akta cegah jenayah baru perlu disediakan sebelum mansuh EO. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 10 September, 2013.Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan akta baru bagi membolehkan mereka mencegah dan mengekang jenayah daripada terus berleluasa, kata panel dalam forum "Polis Hilang Sengat: Apa Selepas EO" anjuran Sinar Harian. Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menegaskan Putrajaya seharusnya menyediakan undang-undang gantian sebelum memansuhkan Akta Ordinan Darurat (EO).

"Sepatutnya kena ada cadangan undang-undang ganti, bukan terus mansuh," kata Musa kepada pemberita sejurus tamat sesi forum di Shah Alam itu. Tegas Musa, pihak berkuasa sukar bertindak dengan undang-undang konvensional dan badan berkenaan memerlukan undang-undang yang lebih tegas.

"Patut ada undang-undang lebih tegas diberikan kepada pihak polis ... Kita perlu ada undang-undang baru, bukan pinda PCA," katanya merujuk kepada Akta Pencegahan Jenayah yang kini digunakan pihak berkuasa selepas pemansuhan EO.

Undang-undang pencegahan baru itu bagaimanapun jelas bekas Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Tan Sri Zaman Khan, yang juga panel dalam forum berkenaan, perlu memasukkan peruntukan untuk mengelakkan ianya daripada disalahguna.

"Orang takut berlaku salahguna kuasa polis jika ada akta pencegahan, kita wujudkan mekanisme untuk elakkan salahguna itu berlaku," tegasnya.

Jelasnya lagi, undang-undang yang telah dimansuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak menghormati hak asasi orang awam yang inginkan keamanan.

"Kita perlukan undang-undang ini untuk kita hidup bebas dan bukan mereka (penjenayah) hidup bebas," tegasnya.

Sebelum Pilihan Raya 2013 lalu, Kabinet telah memutuskan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan EO sebagai menghormati keperluan hak asasi manusia.

Insiden pembunuhan menggunakan senjata api yang berleluasa sejak beberapa bulan lalu bagaimanapun membuatkan kepentingan akta pencegahan dinilai semula, bagi membolehkan kes-kes seumpama itu dikekang.

Beberapa pihak kemudiannya menunding jari menyalahkan pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR) yang sebelum itu mendesak akta seperti ISA dan EO dimansuhkan, dengan mendakwa, penjenayah yang dahulunya ditangkap telah dilepaskan selepas kedua akta itu dimansuhkan, yang mengakibatkan kes bunuh meningkat.

Tokoh wartawan kebangsaan Datuk A Kadir Jasin melihat Putrajaya terlalu tergesa-gesa melaksanakan pemansuhan kesemua akta dengan serentak sehinggakan lupa mencari gantian terhadap akta tersebut.

"Adakah perlu kita pinda semua sekali serentak tanpa ada undang-undang gantian?" soalnya ketika berhujah dalam forum tersebut.

"Kenapa kita robohkan rumah kita yang senget, dan tidak dibetulkan sahaja bahagian yang senget itu, sedangkan kita tak buat rumah sementara," katanya.

Tegas Kadir, Putrajaya juga seharusnya memikirkan kesan jangka panjang akibat daripada pemansuhan akta-akta tersebut.

Musa bagaimanapun melihat tindakan PDRM menubuhkan dua Skuad Khas dengan 400 anggota di Bukit Aman juga satu kesilapan kerana mereka melangkaui pegawai di peringkat negeri.

"Skuad baru itu ada silap sikit...Kita sebagai ketua perlu tegas untuk orang bawah ikut arahan kita. "Kerajaan kalau buat polisi perlu terima pendapat pegawai kerajaan kita," katanya.

Pendapat itu turut disokong Zaman, yang beranggapan skuad berkenaan akan mencalarkan imej peribadi ketua polis di satu-satu kawasan.

Kebiasaannya, ketua polis akan dimaklumkan tentang sesuatu Operasi, tapi skuad ini melangkaui mereka ... apa perasaan mereka kepada orang awam?" soalnya.

Kadir bagaimanapun berkata penubuhan skuad berkenaan adalah tindakan bijak kerana bertindak tanpa mendedahkan risiko kepada anggota tempatan.

"Skuad khas ini perlu, gabungan yang baik. Mereka ada maklumat dan tindakan dibuat orang lain," katanya. – 10 September, 2013.

Polis kesan trend kumpulan kongsi gelap berselindung di sebalik majlis rasmi

Posted: 10 Sep 2013 02:51 AM PDT

September 10, 2013
Latest Update: September 10, 2013 05:58 pm

Polis mengesan ada kumpulan kongsi gelap berselindung di sebalik majlis rasmi masyarakat dengan menaja majlis terbabit bagi mengaburi mata masyarakat mengenai kegiatan haram mereka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata polis menyedari trend ini dan mereka (kongsi gelap) menyasarkan majlis masyarakat, terutama yang dihadiri orang kenamaan.

"Mereka akan menaja majlis tersebut untuk menunjukkan penglibatan mereka dengan masyarakat. Tujuan mereka tidak lain ialah untuk menunjukkan mereka pun ada membuat kebaikan. Mereka akan mengambil gambar bersama orang kenamaan dan masyarakat sebagai bukti menunjukkan mereka menjalankan kegiatan yang sah," katanya, di Kuala Lumpur.

Beliau berkata trend seperti itu adalah untuk menyusup masuk ke dalam sesuatu komuniti bagi mengalih perhatian orang ramai berhubung aktiviti mereka yang sebenar.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan ada pemimpin kanan parti politik telah menghadiri sebuah majlis yang dianjurkan "Kelab Sukan dan Rekreasi Kajang" yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap geng '36'.

Ekoran itu satu laporan polis dibuat berikutan penyebaran sepucuk surat di Internet yang mendakwa tiga pemimpin sebuah parti politik itu turut hadir dalam majlis yang dihadiri 6,000 peserta di Seri Kembangan pada 3 Disember lepas.

Abdul Jalil berkata anggota kongsi gelap terbabit akan menjadi wakil dalam sesebuah komuniti dan menaja majlis-majlis anjuran masyarakat termasuk memanggil golongan kenamaan untuk menghadiri majlis yang diadakan.

"Kadang-kadang ada anggota masyarakat tidak sedar, mungkin mereka gembira ada tajaan di sebalik penganjuran majlis itu, (tetapi) sebenarnya di belakang mereka adalah kumpulan kongsi gelap. Mereka perlu berhati-hati," katanya.

Abdul Jalil turut menjelaskan pihaknya sentiasa memantau perkara itu dan turut menasihati jawatakuasa penduduk agar lebih berhati-hati untuk menganjur serta menerima sebarang penajaan daripada individu yang diragui latar belakang mereka.

Beliau berkata pihaknya turut meminta golongan kenamaan dan orang ramai agar menyemak latar belakang sesuatu majlis yang dianjurkan sesuatu komuniti bagi mengelak kumpulan kongsi gelap terbabit daripada "menangguk di air yang keruh". – Bernama, September 10, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved