Selasa, 10 September 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Mencari tugas Soi Lek yang belum selesai

Posted: 09 Sep 2013 05:48 PM PDT

September 10, 2013

Penulis adalah seorang jurutera semikonduktor, wartawan freelance, penerbit dan editor buku motivasi yang suka mengikuti perkembangan politik Malaysia

Setelah menjadi burung puyuh sekian lama, pemimpin MCA kebelakangan ini kelihatan seperti tertumbuh taringnya semula gara-gara kerana pemilihan parti yang dijadualkan pada akhir tahun ini.

Sejurus selepas malu besar di PRU13 di mana MCA hanya menang tujuh daripada 31 kerusi parlimen yang ditandiingi, Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatannya di pemilihan parti tahun ini. Pengumuman itu dibuat 6 Mei.

Ramai yang sangsi ketika itu dengan kata-kata Chua, kerana beliau bersusah-payah membina kerjayanya semula selepas skandal video seksnya tersebar luas satu ketika dulu.

Orang pertama yang sangsi pada Chua ialah bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, yang tewas diguling Chua pada 2010. Ong berkata Chua tetap akan mempertahankan jawatannya.

Sejurus selepas pengumuman Chua, pemimpin veteran MCA seperti Lim Ah Lek turut tidak sabar melihat Chua meletakkan jawatan. Desakan untuk Chua meletak jawatan itu dibuat bersama 14 veteran yang lain.

Namun, Chua bertegas tidak berundur dan berkata 'banyak perkara belum diselesaikan' dan beliau hendak selesaikannya sebelum Disember ini. Perkara ini menjatuhkan maruah mereka dan menunjukkan kehebatan kuasa Chua sebagai presiden.

Bagi Chua, majoriti di dalam MCA masih menyokongnya sebagai presiden. Antaranya ialah bekas Menteri Pelancongan dan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ng Yen Yen.

Pada masa yang sama, timbalan Chua, Datuk Seri Liow Tiong Lai berganding dengan Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong mula menyerang Chua bertubi-tubi.

Kedua-dua ini adalah antara dua daripada tujuh calon MCA yang menang. Liow berjaya mempertahankan Parlimen Bentong manakala Wee berjaya mempertahankan Parlimen Ayer Hitam.

Liow membuat pengumuman untuk bertanding kerusi presiden. Liow mengasah pedangnya dan dihalakan ke arah Chua berkali-kali semenjak menunjukkan niatnya untuk menggantikan Chua.

Pertembungan pedang Liow dan kapak Chua boleh dilihat dalam isu Matang-Scope RTO (pengambilalihan berbalik), isu pelantikan bekas Setiausaha Penganjur MCA, isu penolakan sebarang jawatan di kabinet persekutan dan negeri, Datuk Tee Siew Kiong sebagai Exco Johor, isu pelantikan Ng Yen Yen sebagai Pengerusi Lembaga Pelancongan Malaysia dan kedudukan Chua sebagai pengerusi Pelabuhan Pulau Pinang.

Chua pula berkali-kali menyelar Liow, menyuruhnya supaya tidak gila kuasa dan bersabar. Semalam Liow menyelar Chua dan menafikan bahawa beliau menekan Chua untuk berundur.

Mereka juga bertengkar dalam isu penarikan penggantungan Tee Siew Kiong sebagai anggota parti selama tiga tahun berkuat kuasa serta merta yang diumumkan Chua.

Liow dan Wee, kedua-dua bekas ahli kabinet berkata keputusan untuk menerima jawatan itu melanggar keputusan parti. Chua pula berkata, keputusan dibuat setelah Siew Kiong membuat rayuan dengan mengemukakan bukti daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim yang mahukan dirinya memegang jawatan dalam kerajaan negeri.

Wee pula dilihat ingin bertanding kerusi timbalan yang disandang Liow dengan membuat interbiu terbuka dengan bertubi-tubi mengkritik dasar BN yang tidak berani disentuhnya ketika menjawat Timbalan Menteri Pendidikan.

Antara Liow dan Wee, Wee dilihat lebih berkempen menggunakan sentimen orang Cina. Kelantangan Wee mengkritik dasar yang tidak betul BN adalah kerana beliau sedar hakikat bahawa MCA kehilangan hormat daripada kaum Cina kerana sikap 'kow-tow'nya pada Umno.

Beliau sedar mengapa DAP berjaya. Pemasaran politik (political marketing) DAP ialah pada kepandaian, kelantangan dan kesensitifannya untuk mengeluarkan kenyataan untuk membela sebarang tindakan BN yang dilihat menindas orang bukan Islam. DAP juga cepat mengkritik PAS sekiranya ada perkara yang mereka tidak suka atau mengusik sensitiviti bukan Islam.

Di dalam BN, MCA tidak boleh berbuat begitu kerana abangnya Umno, dan adik Umno, Perkasa akan datang menerkamnya sehingga mereka diam. Sebelum PRU13, peluru yang MCA ada ialah menembak PAS. Tapi bagi kaum Cina, apa gunanya menembak PAS yang tidak berkuasa sedangkan yang menindas mereka ialah Umno.

Baru-baru ini, Wee mengaku bermain isu hudud adalah satu kesilapan di PRU13 yang lalu. Keberanian Wee mengaku kesilapan ini adalah untuk memukul Chua, yang menerajui serangan terhadap PAS.

Namun begitu, bukan mudah untuk Liow dan Wee menundukkan Chua. Sebagai ahli politik, Chua bukan calang-calang orangnya. Skandal seksnya tidak menghalangnya menjadi Presiden MCA semula. Tekanan daripada orang veteran MCA seperti Lim Ah Lek tidak dapat menggoyangkannya.

Liow dan Wee harus faham apa tugas yang belum diselesaikan Chua sebelum beliau sudi berundur.

Apakah perkara itu? Tidak lain tidak bukan ialah masa depan anak Presiden MCA itu, Chua Tee Yong, ahli Parlimen Labis.

Semasa Chua mengundurkan diri kerana skandal video di 2008, Tee Yong dicalonkan menggantikan tempatnya di parlimen Labis dan kemudiannya dilantik menjadi timbalan menteri.

Sekarang Chua dikatakan nak berundur daripada kerusi MCA, sudah tentu Tee Yong mesti diletakkan di satu tempat yang selamat supaya Liow dan Wee tidak dapat membunuh kariernya dalam MCA selepas Chua kehilangan kuasa.

Secara taktikalnya, Tee Yong perlu dinaikkan di kerusi Naib Presiden dan dilindungi orang Chua yang masih berada di dalam parti.

Oleh itu, majoriti kerusi naib presiden  dan jawatankuasa pusat MCA perlu ditawan semuanya oleh orang Chua. Biar Liow dan Wee sahaja di atas, asalkan Chua masih boleh mengawal Jawatankuasa Pusat MCA.

Hanya dengan demikian, Chua boleh mengatur langkah dari luar supaya beliau boleh kembali menerajui MCA melalui Tee Yong di pemilihan parti yang satu lagi dan menghalang Liow-Wee untuk mencantas akarnya dari MCA.

Chua mungkin terpaksa bersara dari kerusi presiden, tapi ini tidak bermakna nafsunya untuk mengawal MCA akan terhenti.

Itulah tugas Chua yang belum selesai. Jika perkara itu tidak dapat diselesaikan, percayalah bahawa Chua akan mempertahankan jawatannya. – 10 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

A Samad Said besar kerana karyanya

Posted: 09 Sep 2013 05:46 PM PDT

September 10, 2013

Shukur mempunyai lebih 30 tahun pengalaman sebagai wartawan dan bekerja dengan pelbagai media. Beliau kini pencen tetapi menjadi pemerhati politik yang tegar.

Hanya sesekali dalam sesuatu zaman, seorang sasterawan besar lahir untuk mengisi erti kemanusiaan dan kebebasan serta menjadi jurubicara masyarakat dan zamannya.

Di sepanjang zaman, memang ramai penulis yang muncul dalam pelbagai genre, tetapi hanya sejumlah kecil yang benar-benar mampu mengisi tugas itu. Malah dari jumlah yang kecil itu pula, lebih kecil lagi yang bertahan dan mampu mendambakan dirinya walau menghadapi badai dan gelombang.

Daripada jumlah yang sangat kecil itu hadir dan mengalir sasterawan besar A Samad Said. Dalam usianya yang lanjut, 78 tahun itu, dia menjadi ikon anak muda pula, sesuatu yang kelihatannya aneh dan sangat jarang berlaku. Iaitu dalam usia lanjut, sasterawan berasal dari Belimbing Dalam Melaka itu, menjadi idola generasi baru, menyebabkan ada sesetengah pihak sukar memahaminya.

Sasterawan ternama ini menjadi besar kerana usahanya menjadi besar  dan beliau akan terus menjadi besar walau berdepan dengan 'ribut taufan' yang cuba menggugat kewibawaannya. Sebab itu apabila ada pihak yang menuntut supaya Anugerah Sasterawan Negara itu ditarik balik, reaksi segera dari A Samad Said ialah, "Silakan ambil, bila-bila masa" justeru beliau tetap besar kerana karyanya.

Untuk ini saya teringat sebuah dialog hebat dalam novel Ernest Hemingway, 'Old Man And The See', "You can destroy people, but you cannot defeat people." – sama seperti apa yang diucapkan oleh Mahatma Ghandi di depan polis yang menangkapnya, "You can arrest me but you cannot defeat me." Memang manusia boleh dihancurkan, tetapi tidak boleh dikalahkan.

A Samad Said adalah jurubicara masyarakat pada zamannya, bahkan mungkin melampaui zamannya.

Tahun lalu, kami dari Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dan Markas Madrasah Tarbiyah, Kampung Bandar Dalam, Kuala Lumpur, pimpinan Cikgu Ishak Surin,  mengadakan sambutan hari lahir yang ke-77 Sasterawan Negara itu dalam suasana penuh syahdu dan sederhana.

Kami meraikan beliau bukan semata-mata kerana menyambut hari lahirnya itu, tetapi bahkan kerana kehadirannya di tengah medan perjuangan yang membara, malah menjadi antara tokoh penggerak kebangkitan rakyat bahkan mencetuskan sebuah phenomena yang menarik terutama di kalangan golongan muda.

Di majlis itu saya berucap, dengan menyebutkan bahawa dalam umur 77 tahun, A Samad Said dapat menyaksikan suasana politik dan kemasyarakatan yang sedang menuju 'arah yang tidak tentu arah'.

Beliau sedang menyaksikan suasana seolah-olah negara dan bangsa ini kehilangan jati diri, kehilangan kebebasan, malah seperti kehilangan manusiawinya.

Sebagai sasterawan, beliau menyaksikan semuanya ini dengan penuh kecewa dan bertanya mengapa negara dan bangsa yang sudah lebih setengah abad merdeka ini berada dalam kancah yang sedemikian rupa.

Sebagai sahabat lama sejak setengah abad lalu, malah pernah bertugas di bawahnya ketika beliau menjadi Editor Berita Harian dulu, saya amat gembira dan terharu bahawa sasterawan yang satu ini masih berdiri gagah, walaupun dalam usia lanjut, memikul amanah untuk melaksanakan tuntutan agama dan kemanusiaan supaya menyeru kepada yang makruf, mencegah kepada yang mungkar.

Seperti kata A Samad Said sendiri dalam bukunya 'Dari Salina Ke Langit Petang' bahawa "tidak ramai manusia yang sempat memikirkan apa ertinya kehidupan mereka. Makanya dengan caranya sendiri, dengan kehalusan seninya dan kekayaan imaginasi dan fikirannya, penulis sebagai seniman berupaya menyingkapkan pengalaman baru kepada sesiapa  saja yang meresapi atau menghayati karyanya."

Hari ini A Samad Said hadir dan mengalir, memberikan sumbangan kepada masyarakat sesuai dengan peranan sasterawan sebagai jurubicara masyarakat. Hidupnya tidak sia-sia.  Semoga akan lahir lagi tokoh dan ditelaah, menjadi khazanah bangsa dan negara, tetapi perjuangannya juga akan dikenang hingga abadi.

Beliau yang menulis lebih 30 novel, ratusan puisi dan rencana dan menerima Anugerah Pejuang Sastera, Southeast Asia Write Award, Anugerah Sasterawan Negara dan pelbagai lagi, yang semuanya mengiktiraf sumbangan besarnya kepada kesusasteraan dan bahasa Melayu.

Namun bagi sesetengah pihak, yang didorong pelbagai prejudis politik, melihat A Samad Said dengan pandangan dan imej negatif, namun beliau tidak tergugat dengan gelombang protes terhadapnya.

Dengan bahasa yang sangat puitis, sasterawan besar ini menulis: "Cukuplah sedekad kuasa elita bangsawan. Kini, benarkanlah pula upaya permulaan era kuasa murbawan (rakyat) untuk menterjemahkan erti kuasanya pula.

"Hentikanlah cengkaman dan kesombongan lama. Belajarlah bersantun menerima pusaran nasib demi kebahagiaan bangsa. Kepada generasi muda, sedarlah kebobrokan ini. Jangan risaukan sangat orang lama; mereka memang sudah lebih awal termadu atau tercandu. Anda yang masih Bersih!

A Samad Said bukan penulis yang tidak sayangkan bangsa dan negaranya. Seperti pejuang Angkatan Sasterawan '50 – Kris Mas, Usman Awang, Masuri S. N. dan lain-lain, beliau adalah penulis yang sangat menghargai pejuang kemerdekaan tanah air seperti yang terpancar dalam puisinya,  'Tapak Yang Luhur' -  Istimewa buat Dr Burhanuddin Al-Helmy:

Bertapak atas batas yang luhur

bersumpah lidah sufi tersohor,

disedarkannya lara bangsa

waja dirangsang tepis membantah.

Awal lagi semangat bernyala

dihembus bara merdeka bangsa.

Pagi ke malam berjuang tegap

di tengah rakyat gigih bersikap.

Bersilat atas bumi yang subur

bisik bersikap qalbu sejujur —

menyala unggun zaman yang garang

membakar tekad cekal berjuang.

Bersama bangsa bangkitlah ia

tegas perkukuh asas merdeka.

Namun lama selepas tanah airnya merdeka, A Samad Said melihat dengan rasa kecewa terhadap apa yang berlaku di tanah airnya terutama mengenai nasib rakyat, demokrasi, hak asasi manusia dan kepincangan lain seperti yang dirakamkannya dalam puisi 'Unggun Bersih' tahun lalu.

Dalam satu ucapannya dua tahun lalu beliau berkata dalam bahasa sastera yang dalam maknanya:

 "Murbawan (rakyat biasa) Malaysia tidak senang dengan apa yang sedang berlaku di negara ini. Kita menghantar pesanan yang sangat waras. Demokrasi perlu murni dan terus dimurnikan. Kenapa kita tidak boleh memperbaik situasi? Kenapa kita harus membiarkan demokrasi diperkuda oleh segelintir kuasawan yang tampaknya bermaharajalela?

Telah lama kita tidak senang dengan aliran demokrasi yang diperkuda ini. Telah lama kita inginkan demokrasi yang bersih, bergerak atas landas yang murni.

"Kita sedar bahawa jalan ini tidaklah mudah. Maka itu, kita menjadi lebih berazam. Kita maklum bahawa gergasi media arus perdana kini sedang ikut garang menghempit kita dalam arus peristiwa yang semakin durjana. Kita sedang berlawan dengan keangkuhan yang pejal.

"Kita tidak begitu. Kita ingin memperbaiki jentera demokrasi agar lebih berhati nurani. Kita tidak menginginkan demokrasi yang kasar dan sombong; kita merindukan demokrasi yang tulus dan betul. Inilah gerakan kita yang, sayangnya, terpaksa bermula di tengah keangkuhan kerajaan yang merasa segala-galanya sudah betul, malah sudah syurgawi, di tanah air ini. Kita sebenarnya masih dalam derita yang terus dicipta oleh tangan kasar berhati angkuh yang sangat bercita-cita.

"Kita merindukan suara kuasa yang waras dan insani; suara pembimbing yang ikhlas dan mengerti. Kita tidak memerlukan suara angkuh dalam era yang sudah terlalu lama sombong ini. Kita mengharapkan tangan kuasa yang berhemah, sedia memimpin dan berdamai, turut bantu mencipta iklim demokrasi yang harum," katanya.

Sementara itu, kita mengetahuai bagaimana pengarang besar dunia, antaranya,  Aleksandr  Solzhenitsyn, Boris Pasternak yang semuanya memenangi Hadiah Nobel, ada yang dipenjarakan, dibuang ke Siberia yang beku kerana mereka membela rakyat yang tetindas, membela hak asasi manusia, menentang kezaliman Raja Zar dan seterusnya kepincangan pemerintahan komunis, Lenin dan Stalin.

Jadi apa yang berlaku kepada A Samad Said tidak memeranjatkan. Ia tetap besar kerana karyanya dan apa yang berlaku kepadanya hanya suatu permulaan yang kecil dari sebuah perjalanan yang panjang. – 10 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved