Rabu, 25 September 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Polis tahan tujuh suspek berhubung 302 kes rompakan di Selangor

Posted: 25 Sep 2013 03:17 AM PDT

September 25, 2013

Polis menahan tujuh lelaki berusia di antara 19 hingga 31 tahun di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam bagi membantu siasatan berhubung 302 kes rompakan di negeri ini.

 Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kesemua mereka ditahan pada 11.45 pagi semalam, kira-kira lima jam selepas mereka merompak seorang suri rumah dan melarikan barangan berharga dan wang tunai RM40,000 di Taman Rimbun Hijau Country Heights, Kajang.

Berikutan kejayaan itu, polis merampas lima buah kereta yang disyaki digunakan dalam rompakan itu, 15 keping nombor pendaftaran kereta serta pelbagai model telefon bimbit, barangan kemas dan jam tangan daripada mereka.

Selain beberapa keping MyKad dan lesen memandu, polis turut merampas sejumlah wang tunai, dua pemotong dawai, tiga topi, dua set rambut palsu, sarung tangan, empat bilah parang dan empat batang besi kuku kambing, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kesemua suspek direman tujuh hari mulai hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan dan bersenjata yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, katanya.

Mohd Shukri berkata anggota kumpulan itu yang berasal dari Negeri Sembilan dan Johor dipercayai bergerak aktif sejak setahun lalu dengan perancang utamanya yang berumur 31 tahun tidak bekerja dan mempunyai rekod lampau kes dadah.

Adik suspek berumur 29 tahun pula seorang penganggur dan mempunyai rekod kes samun. Seorang daripada anggota kumpulan itu berumur 19 tahun adalah seorang penuntut kolej swasta, manakala yang lain bekerja di kedai perabot, menjadi pembantu restoran dan menjual telefon bimbit, katanya.

Mohd Shukri berkata kumpulan ini tidak menetap di satu-satu tempat untuk mengelak daripada dikesan polis dan disyaki terlibat dalam kes rompakan di negeri-negeri lain.

Polis juga sedang menjejaki beberapa suspek yang dipercayai saki baki kumpulan ini, katanya. Beliau berkata modus operandi kumpulan ini ialah merompak di waktu pagi di rumah yang mempunyai seorang penghuni seperti suri rumah selepas anggota keluarga yang lain keluar bekerja atau ke sekolah.

Mohd Shukri turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengunci pintu pagar mereka bagi mengelakkan mereka menjadi sasaran perompak. - Bernama, 25 September, 2013.

Sang Saka Malaya terus berkibar walau penjara 1,000 tahun, kata aktivis

Posted: 25 Sep 2013 03:12 AM PDT

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
September 25, 2013

Dua aktivis yang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 kerana mengibarkan Sang Saka Malaya semasa sambutan ambang Kemerdekaan lalu menganggap pindaan akta untuk memberikan hukuman penjara selama 15 tahun bagi tindakan menghina Jalur Gemilang tidak masuk akal.

Menurut Hishamuddin Rais (gambar), Sang Saka Malaya akan terus berkibar walau dipenjara 1,000 tahun sekalipun.

"Sang Saka Malaya (gambar) telah berkibar lebih 2,000 tahun. Bila wujudnya Jalur Gemilang itu?" soal Hishamuddin ketika dihubungi The Malaysian Insider. "Sejak Merdeka hingga 2007 apa nama bendera kita? Seluruh Nusantara menggunakan Sang Saka Malaya," katanya, dan menambah hukuman penjara maksimum sebanyak 15 tahun itu juga sekadar "perkara kecil."

Putrajaya hari ini memasukkan peruntukan 12E Kanun Keseksaan yang membawa penjara minimum lima tahun dan maksimum 15 tahun termasuk denda terhadap mana-mana individu yang menghina logo rasmi ataupun bendera negara.

Pindaan yang dibacakan untuk kali pertama di Parlimen hari ini turut memberi peruntukan sama terhadap penggunaan logo atau simbol yang berlainan selain bendera bagi memperkenalkan negara.

"Mana-mana pihak yang cuba menukar, mengubahsuai, mengoyak, membakar, atau meletakkan, mempersoalkan untuk menghina sebarang logo nasional atau bendera, atau negara lain boleh dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 15 tahun, dan juga boleh didenda," kata pindaan berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini membacakan untuk kali pertama pindaan untuk Kanun Keseksaan termasuk 10 akta lain beserta Akta Kesalahan Jenayah. Aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim bagaimanapun berkata pindaan itu membuktikan kelemahan kerajaan.

"Aneh dan gila bagaimana kerajaan boleh keluarkan satu cadangan undang-undang sedemikian rupa. Kita akan digelakkan oleh seluruh dunia. "Jika mengibarkan bendera pun dianggap jenayah yang boleh dipenjara sehingga 15 tahun, entah apa lagi bentuk jenayah baru yang akan 'dicipta' kerajaan selepas ini?

"Mungkin akan ada undang-undang menghukum orang yang tidak menghafal rukun negara," katanya secara sinis kepada The Malaysian Insider. Selain Hishamuddin dan Adam Adli, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said turut disoal siasat pihak berkuasa atas kesalahan sama. – 25 September, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved